Makluman Tarikh Mahkamah & Isu Semasa

Thursday, June 19, 2008

Pra-Bicara 19 Jun 2008





Pra-Bicara yang telah berlangsung pada pagi tadi Khamis 19 Jun 2008 di Kamar Hakim, Mahkamah Tinggi (Sivil) 2, Mahkamah Tinggi Shah Alam, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan berjalan dengan lancar.

Peguam Wan Shahrizal yang mewakili pembeli telah masuk ke Kamar Hakim Dato' Alizatul Khair Bte Osman Khairuddin bersama dengan Peguam Yusman yang mewakili Bumi Circle dan Penolong Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri Selangor Puan Aimi Hajar Binti Dato' Mohd Ridzwan tepat jam 10:50 pagi di Mahkamah Tinggi (Sivil) 2.

Bumi Circle yang masih lagi belum memfailkan Pembelaan seperti yang diminta oleh YA Hakim semasa tuntutan mendapatkan JID pada 5 Mac 2008 yang lalu, telah diarahkan sekali lagi oleh YA
Hakim untuk memfailkan Pembelaan mereka di Pejabat Pendaftar Mahkamah di dalam tempoh 14 hari daripada tarikh hari ini. Walaupun kita amat kesal dengan kelewatan Bumi Circle memfailkan Pembelaan ini, namun peraturan mahkamah yang membenarkan penangguhan ini terpaksa diterima juga.

Setelah meneliti segala dokumen dan penghujahan semua pihak, maka YA Hakim Dato' Alizatul telah menetapkan tarikh untuk Menetapkan Sebutan Kes bagi Pembeli Kumpulan-1 ini adalah pada Rabu 5 November 2008 nanti.

Walaubagaimanapun, sebelum itu, pihak Defendan Bumi Circle telah memfailkan pembelaan mereka terhadap Pembeli Kumpulan 2 dan Kumpulan 3 yang mana tarikh bagi menetapkan Sebutan Kes adalah pada 5 Ogos 2008 di Mahkamah Tinggi (Sivil) 1 nanti.

InsyaAllah, saya akan upload maklumat pembelaan Defendan Bumi Circle sedikit masa lagi di dalam laman "blog khas" untuk pengetahuan semua pembeli yang terlibat.



Sunday, June 15, 2008

Dimana Wakil Rakyat Kita?



KUALA LUMPUR 14 Jun 2008 -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mengadakan perbincangan dengan pihak bank agar kadar faedah yang dikenakan kepada pembeli rumah yang projeknya terbengkalai dapat dikurangkan. Timbalan Menteri berkenaan Datuk Hamzah Zainudin berkata langkah itu bagi mengurangkan beban pembeli rumah yang terpaksa menanggung pembayaran walaupun projek perumahan itu masih tergendala.

"Saya akan bincang dengan bank dan saya percaya interest yang dikenakan dapat dikurang atau diberi penjadualan semula pembayaran" - Datuk Hamzah Zainuddin


Lima projek itu ialah Taman Lestari Perdana, Taman Lestari Puchong, Taman Lestari Permai, Saujana Puchong dan Saujana Putra adalah antara yang terbengkalai sejak tahun 2003 di sekitar Puchong dan Seri Kembangan.

Lawatan ke Taman Lestari Permai turut dihadiri sekurang-kurangnya 150 pembeli rumah projek perumahan itu, yang meluahkan rasa tidak puas hati apabila projek yang dijadual siap sepenuhnya pada 2006 masih terbengkalai. Sementara itu, Hamzah berkata kementerian akan mengetatkan lagi akta-akta yang terkandung di dalam Dasar Perumahan Negara (DPN) untuk mengelakkan berlakunya projek perumahan terbengkalai. "Apabila perkara itu mendapat persetujuan dari semua pihak yang terlibat dalam industri perumahan, ia akan kita (kementerian) kemukakan kepada jemaah menteri akhir tahun ini," katanya. [seterusnya]

Agak malang bagi nasib sesetengah pembeli rumah yang lain kerana langsung tidak mendapat perhatian daripada pihak yang sepatutnya samada daripada Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Pusat. Kalau semasa era pemerintahan BN di Selangor sebelum 8 Mac 2008 yang lalu, Pembeli Desa Kerayong Indah dilayan seolah-olah seperti melukut di tepi gantang apabila berhadapan dengan EXCO Kerajaan Negeri Selangor. Mantan Menteri Besarnya apatahlagi, langsung tidak ambil peduli dengan Projek Pemberimilikan Tanah Terancang tersebut.

Dan kini apabila Pakatan Rakyat telah memegang tampuk pemerintahan Selangor, Wakil Rakyat Parlimen Kuala Selangor, EXCO Perumahan dan Menteri Besar yang baru tidak langsung menunjukkan tanda-tanda akan membantu kita untuk menyelesaikan kemelut Rumah Terbengkalai Desa Kerayong Indah yang telah berlanjutan 9 tahun ini. 100 hari pemerintahan mereka yang pada hari ini kita lihat lebih kepada isu untuk menjadi popular seperti Projek Ladang Babi di Kampung Tumbuk berbanding dengan isu perumahan yang dialami oleh rakyat Selangor.

Malahan saya mendapat maklumat bahawa salah seorang pembeli Desa Kerayong Indah yang telah bertemu dengan pucuk pimpinan negeri untuk mengadu masalah yang dihadapi berkenaan dengan Rumah Terbengkalai Desa Kerayong Indah ini. Beliau bukan sahaja ditempelak dengan keras, malahan dikecewakan dengan jawapan bahawa Projek tersebut tidak akan diteruskan walaupun pembeli-pembeli telah mengalami kerugian sehingga ratusan ribu ringgit.

Apakah kerana kita semua Melayu, maka siapa sahaja yang memerintah boleh mengabaikannya? Mana perginya Wakil Rakyat Kuala Selangor yang selama ini kita harap dapat membantu apabila memenangi PRU-12 yang lalu? Berbanding dengan Wakil Rakyat Lain yang telah sibuk mengunjungi dan menyelesaikan masalah rakyat mereka.


Friday, June 6, 2008

Peringatan Terakhir



Pembeli-pembeli Projek Pemberimilikan Tanah Terancang dan Projek Perumahan Desa Kerayong Indah adalah diingatkan untuk KALI TERAKHIR bahawa Tempoh dan Hadmasa yang sah dari segi perundangan untuk memfailkan Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah adalah sehingga hujung bulan Jun 2008 ini bagi pembeli yang terawal menandatangani perjanjian pembinaan dengan Kontraktor Bumi Circle Sdn. Bhd.

Selepas daripada tarikh tersebut, pembeli tidak lagi berkelayakan untuk memfailkan tuntutan di mana-mana mahkamah di negara kita ini sepertimana yang telah termaktub di dalam perundangan.

Pihak peguam juga telah memaklumkan bahawa Jun 2008 ini juga merupakan TARIKH AKHIR bagi pembeli-pembeli Desa Kerayong Indah untuk menyerahkan dokumen tuntutan bagi tujuan memfailkan tuntutan gantirugi di Mahkamah Tinggi Shah Alam bersama pembeli kumpulan 1,2,3,4 dan 5 yang telah memfailkan tuntutan mereka sebelum ini.

Kumpulan ke-6 ini merupakan Kumpulan Terakhir di dalam proses Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah. Tidak akan ada Kumpulan ke-7 dan seterusnya kerana proses tuntutan ini telahpun memasuki fasa perbicaraan dan pihak peguam akan HANYA menumpukan perhatian terhadap perbicaraan yang akan menyusul tidak lama lagi.

Tambahan pula pihak defendan sedang meneliti dan dijangka akan mengambil tindakan penguguran kes (Limitation) terhadap mana-mana pembeli yang telah tamat Tempoh dan Hadmasa tersebut.

Oleh yang demikian, pembeli-pembeli yang masih belum memfailkan tuntutan agar segera menyediakan dokumen-dokumen yang diperlukan [ Klik disini ] seterusnya menyerahkannya kepada pihak peguam untuk tindakan lanjut sebelum 30 Jun 2008. Sila hubungi kami untuk pertanyaan tentang memfailkan tuntutan.






Wednesday, June 4, 2008

Minyak Naik Lagi - Penipu Malaysia (PM)



Putrajaya 4 Jun 2008 - Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan senarai harga baru bagi Petrol dengan pertambahan besar dari RM1.92 sekarang kepada RM2.70. Sementara harga minyak diesel pula naik daripada RM1.58 kepada RM2.58 berkuatkuasa mulai tengah malam ini. Kenaikan sebanyak 41 peratus bagi petrol dan 63.3 peratus bagi diesel.

Kenaikan harga itu adalah sebahagian daripada langkah kerajaan untuk mengawal subsidi bagi menampung kenaikan petrol, diesel dan gas, yang dijangka berjumlah RM56 bilion tahun ini, katanya di sidang media di Putrajaya. [ Baca Lagi... ]

Inilah hadiah dan penghargaan kepada Hamba Rakyat yang 100% menyokong kepimpinan PM yang "tersohor" yang dibanggakan oleh pengampu-pengampu UmNO. Sejak PRU-12 yang lalu, rakyat semakin terhimpit dengan pelbagai kemelut yang tercetus seperti krisis makanan yang mencetuskan perbalahan dan pertikaian semua pihak termasuk krisis susu, tepung, gula, minyak masak dan yang terbarunya beras yang menjadi makanan utama rakyat Malaysia.

Sehari sebelum itu, PM dan Dato Shahrir berkata bahawa minyak tidak akan dinaikkan dalam masa yang terdekat dan menjangkakan kenaikan hanya berkuat-kuasa pada Ogos 2008 nanti. Tetapi hari ini, tak semena-mena PM dan Shahrir berbohong kepada rakyat apabila mengumumkan kenaikan secara tiba-tiba dan berkuat-kuasa pada 12:01 tengah malam 5 Jun 2008. Inilah contoh Islam Hadhari yang mereka perjuangkan dengan menonjolkan penipuan secara terang-terangan.

Manakala Akhbar pengampu UtusanM
cuba mengalih tajuk berita dengan melaporkan pengguna masih meraih subsidi petrol, tetapi ditukar bentuk kepada rebat iaitu pemotongan terhadap cukai jalan kenderaan. Apa ni!!!! Toksah fikir lebih mendalam, macam mana dengan mereka yang tidak berkenderaan tetapi menggunakan petrol dan diesel seperti pemotong rumput, generator, pam air, mesin-mesin dan enjin-enjin, bengkel-bengkel kenderaan yang menggunakan petrol dan diesel dan macam-macam lagi industri.

Lihatlah nanti kesan-kesan yang bakal menyusul bilamana TNB telah diberikan kebenaran kenaikan tarif elektrik berkuatkuasa pada Julai 2008 ini, kenaikan resin (plastik), permintaan kenaikan tambang bas dan lain-lain lagi yang akan naik dan semakin naik... (Yang peliknya Selangor boleh beri air percuma kepada rakyat untuk 20 meter padu pertama)

Ekoran kenaikan harga bahanapi diperingkat antarabangsa bermakna Petronas juga meraih keuntungan berlipat kali ganda. Bukankan itu ada timbal balik kerana negara kita adalah pengeluar minyak tidak seperti Indonesia (telah tidak mengekspot minyak lagi), Singapura, Thailand dan lain-lain negara di Asia ini. Cuba tanya berapa harga minyak di negara-negara pengeluar minyak.... [Baca Lagi... ]
  • Malaysia RM2.70
  • Iran RM0.29
  • Venezuela RM0.16
  • Turkemenistan RM0.39
  • Arab Saudi RM0.19
  • Mesir RM0.81
Marah...memang kita patut marah lantaran pengumuman yang dilakukan adalah secara tergesa-gesa. Apa tidaknya, perlaksanaannya tidak sampai tempoh 24 jam selepas diumumkan. Sedangkan peraturan larangan pembelian petrol dan diesel kepada warga asing masih samar-samar terutamanya dari kenderaan warga Singapura yang masih lagi tidak dapat dilaksanakan walaupun larangan kepada kenderaan Thailand telahpun berkuat-kuasa. Kini Penipu Malaysia bercadang untuk menarik balik larangan tersebut. [ Baca Lagi... ]

Sehingga jam 11:59 malam ini (Rabu), deretan kenderaan masih kelihatan di stesen minyak sepertimana yang saya sendiri alami. Agaknya, warga Singapura tersenyum sendiri apabila menyaksikan fenomena dan ketaksuban rakyat Malaysia terhadap pemimpin mereka yang bergelar Perdana Menteri. Sekali umum, tiada siapa yang berani membantah...cakap belakang, boleh lah...Ingatkan warga Singapura yang merasai keperitan kenaikan kos bahanapi ini, tetapi yang menjadi mangsanya adalah rakyat sendiri.

Apakah kekalutan ini ada kena-mengena dengan PRU-12 atau isu Tun Dr Mahathir atau isu peralihan kuasa (DSAI) atau isu Pulau Batu Putih atau isu Sabah? Atau sememangnya pentadbiran PM terlalu lemah atau sememangnya UmNO semakin dayus dengan membiarkan rakyat semakin terhimpit sedangkan dalam masa yang sama mereka yang kaya semakin kaya. Marahkan nyamuk habis kelambu dibakar. Kera di hutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan.

Artikel berkaitan :
Buletin Online
Cerita Disebalik Kenaikan Harga Minyakl
Minyak Naik Darahpun Naik
Minyak Naik - Hadiah Untuk Rakyat




Monday, June 2, 2008

Kerajaan Negeri Sedia Jadi Penjamin

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor diberitakan bersedia menjadi penjamin bank kepada penghuni setinggan yang ingin membuat permohonan pinjaman bagi membeli kediaman sendiri. Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata, pendekatan tersebut adalah langkah segera kerajaan negeri bagi mengatasi masalah setinggan sepenuhnya.

Menurut Iskandar lagi, berdasarkan bancian terakhir bertarikh 7 Mei lalu, lebih 10 penempatan setinggan dengan jumlah penduduk melebihi 2,000 direkodkan. Daripada jumlah itu, sebanyak 0.6 peratus yang masih berada di tapak kerana berhadapan masalah pinjaman bank dan penempatan sementara yang belum selesai. Menerusi pendekatan ini (menjadi penjamin), kerjaan negeri yakin usaha mengatasi masalah setinggan dapat diatasi peringkat demi peringkat, katanya kepada pemberita.

"Seramai 268 keluarga telah membawa kes mereka ke mahkamah sementara setinggan yang lain masih menunggu penyelesaian masing-masing" - Iskandar


Dalam masa sama, katanya, bantuan lain turut disalurkan termasuklah meneruskan pemberian elaun perpindahan seperti dilaksanakan kerajaan negeri sebelum ini (BN) berjumlah RM500 hingga RM2000. [
Seterusnya...]

Kita ingin memaklumkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan Negeri Selangor bahawa Pembeli-pembeli rumah Desa Kerayong Indah di atas rezab Melayu (diluluskan oleh EXCO) sebenarnya juga adalah berhak untuk mendapatkan penyelesaian terhadap apa yang telah Kerajaan Negeri perlakukan kepada kami semua yang 100% Melayu Islam ini.

Janganlah kerana yang melakukan angkara ini adalah pimpinan Kerajaan terdahulu yang menjadi seteru politik mereka, maka kami semua menjadi mangsa dek pertikaian untuk membuktikan siapa sebenar yang menjadi dalang merompak wang rakyat. Jangan terlalu berdolak dalik kerana perjuangan menuntut HAK tetap akan kami teruskan walau ada diantara kami yang tidak berkesempatan untuk merasai kejayaan ini yang telahpun pergi menemui Ilahi.

Kalau Kerajaan Negeri sanggup menjadi penjamin kepada setinggan, apa kurangnya Projek Desa kerayong Indah ini yang mana Kerajaan Negeri secara tidak langsung telah menjadi penjamin kepada projek tersebut bilamana Pejabat Tanah Kuala Selangor telah mengeluarkan surat tawaran pemilikan rumah secara bersyarat?

Juga kepada Dr Zulkefly Ahmad , Ahli Parlimen Kuala Selangor merangkap Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pembangunan PAS agar janganlah hanya duduk diam merasai keselesaan bangku MP tanpa mengambil tahu masalah rakyat di bawah parlimen anda kerana 90 hari kejayaan yang dinikmati pasti akan berkubur dengan doa daripada rakyat yang menuntut HAK mereka. Mungkin anda lupa, tetapi sejarah tidak akan lupa.....




Wednesday, May 28, 2008

Selangor dan Pulau Pinang Haramkan Islam Hadhari



Selepas Selangor, Pulau Pinang melalui Timbalan Ketua Menterinya Mohammad Fairus Khairuddin telah melarang sebarang bentuk program mempromosikan Islam hadhari, tafsiran agama yang dikembangkan sejak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri pada tahun 2004 yang lalu. Beliau yang juga EXCO Hal-Ehwal Islam Pulau Pinang, berkata langkah negeri ini tidak bermotifkan politik, sebaliknya untuk "mengembalikan ajaran Islam yang sebenar. Islam Hadhari- JAKIM

"konsep Islam hadhari menyalahi prinsip sebenar Islam. Ajaran Islam sekarang sudah sempurna (seperti dinyatakan dalam al-Quran). Jadi, tidak perlu dibuat sebarang tokok tambah lagi," katanya lagi. [ Baca lagi ]

"Mana ada Islam hadhari, yang ada hadharah Islamiah (ketamadunan Islam). Kalau orang Arab datang ke Malaysia, dia pun tak faham maksudnya (Islam hadhari)" - Mohammad Fairus


Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri Selangor, Datuk Dr. Hassan Mohamed Ali sebelum itu berkata, semua masjid dan surau di Selangor diarah tidak lagi dibenarkan mengadakan program yang menyentuh konsep Islam yang diperkenal sejak empat tahun lalu. Ajaran Islam yang sebenarnya akan disandarkan dan diamalkan untuk memerintah Selangor dan bukannya Islam Hadhari, katanya lagi semasa sessi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 26 Mei 2008 yang lalu. [ Baca lagi ]

"Kita haramkan Islam hadhari di Selangor ini kerana Islam yang kita amalkan dulu dan hari ini tidak berubah dan sudah cukup" - Dr Hassan Ali



Artikel berkaitan :
Khalid: Bukan isu besar
Perak digesa ikut Selangor & Pulau Pinang
Teras alu-alukan hasrat Selangor tampilkan Islam sebenar
Undi Keputusan
Kelantan sudah lama tolak konsep Islam Hadhari

Khir Toyo marah haramkan Islam Hadhari



Sunday, May 25, 2008

KPKT Nak Kaji Dasar Perumahan Negara



IPOH, 25 Mei 2008 -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan melaksanakan Dasar Perumahan Negara hanya selepas memperolehi maklum balas daripada orang ramai sehingga akhir tahun ini bagi mendapatkan input dalam merangka satu dasar yang lebih seimbang dan adil. Ini adalah bagi memastikan kepentingan pembeli rumah benar-benar dilindungi dan dalam masa yang sama tidak mahu dilihat sebagai terlalu banyak campur tangan kerajaan sehingga boleh 'melemaskan' industri perumahan negara serta pasaran bebas.

Beliau berkata dasar baru yang akan diperkenalkan kelak akan mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk pembeli rumah dan mereka yang terlibat dalam industri berkenaan selain memastikan ia tidak merencatkan pembangunan sektor perumahan di negara ini.

"Kerajaan tidak boleh melakukan terlalu banyak perubahan tetapi dalam masa sama kita juga mahu melindungi pembeli rumah kerana mereka mudah tertipu dengan sesetengah projek" - Ong Ka chuan


Ong berkata kerajaan mahu memastikan keseimbangan dengan merangka satu dasar lebih menyeluruh yang mendapat sokongan semua pihak yang berkepentingan.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Hamzah Zainuddin, dilaporkan berkata masalah projek perumahan terbengkalai mungkin akan menjadi suatu perkara lapuk tidak lama lagi apabila kerajaan memperkenal dan melaksanakan Dasar Perumahan Negara khusus bagi menangani pelbagai masalah dalam sektor perumahan. Pihak kementerian juga akan memberi perhatian yang lebih terhadap laporan kemajuan syarikat dan projek dengan laporan kemajuan projek akan disyorkan supaya diserahkan kepada kementerian dengan lebih kerap untuk tujuan pemantauan, berbeza dengan keadaan ketika ini di mana syarikat pemaju hanya dikehendaki menghantar laporan dua kali setahun. [seterusnya]

ULASAN :
Inilah senario yang seringkali berlaku terhadap pembeli-pembeli rumah pada hari ini. Bila menteri bertukar tangan, maka ada sahaja perkara baru yang hendak dikaji dan diteliti terlebih dahulu yang kadang kala tak tertunai sehingga jawatan menteri tersebut bertukar kepada orang lain. Kemudian ianya akan senyap begitu sahaja tanpa apa-apa tindakan susulan.

Kalau rakyat disajikan dengan "Black List" kalau tak bayar pinjaman, mengapa pula pengarah-pengarah syarikat yang telah menyebabkan sesuatu projek tersebut terbengkalai tidak boleh di "Black-List"kan oleh pihak kerajaan seperti KPKT, PBT, Majlis Daerah dan sebagainya? Pada masa sekarang mereka hanya menyenarai-hitamkan nama syarikat sahaja dan bukannya pengarah yang terbabit. Jadi di dalam soal ini, pengarah akan selamat dan boleh memajukan projek lain dengan nama syarikat yang lain pula atau secara usahasama sepertimana yang berlaku ke atas pengarah-pengarah Bumi Circle yang sekarang ini diberitakan mengusahakan projek baru.

Kita lihat bahawa golongan pemaju-pemaju perumahan di Malaysia ini sebenarnya seolah-olah dibela oleh kerajaan bilamana bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato' Seri Ong Ka Ting pernah berkata bahawa pemaju sebenarnya tiada modal untuk melaksanakan sesuatu projek perumahan dan ianya memerlukan wang pendahuluan (progress payment, dengan izin..) untuk menjalankan projek perumahan tersebut (Bumi Circle dapat dana RM62 juta). Jadi bila projek terbengkalai, maka pemaju akan selamat daripada didakwa, kerana Akta Syarikat 1965 hanya membenarkan syarikat sahaja yang dimufliskan dan bukannya pengarah syarikat.

Berbanding dengan negara jiran Singapura yang telah mengamalkan "bina-jual" untuk tidak membebankan rakyat mereka. Mereka sebenarnya yang lebih prihatin berbanding dengan pemimpin negara kita yang sekarang ini bercakaran untuk merebut kuasa daripada membela nasib rakyat jelata seperti yang diperkatakan oleh Mantan Timbalan Perdana Menteri DSAI. [Klik disini]

Artikel berkaitan :
Dewan Rakyat Selasa 16 Julai 1991
Dewan Rakyat Rabu, 20 Oktober 1999
Gubal Akta Pemaju-Kolumnis Salleh Buang



Saturday, May 24, 2008

Malaysia Gagal Tuntut Pulau Batu Putih



THE HAGUE (Belanda) Jumaat 23 Mei 2008 - Malaysia hari gagal di dalam perbicaraan bersama dengan negara kecil Singapura terhadap tuntutan Pulau Batu Putih yang selama ini menjadi pertikaian kedua-dua negara. Menteri Luar Dato' Seri Rais Yatim hari ini berkata, penjelasan yang yang diberikan oleh ICJ dalam keputusannya untuk memberikan kedaulatan adalah berdasarkan fakta bahawa bermula daripada 1850 hingga 1953, dari segi keterangan Malaysia tidak mengambil sebarang tindakan atau mempunyai asas yang boleh diterima sebagai bukti kedaulatan, baik dalam bentuk pekerjaan, menjalankan pemeriksaan atau ativiti pengawasan di Pulau Batu Puteh.

""Hakikat bahawa kita telah hilang Pulau Batu Puteh bukan disebabkan kelemahan penghujahan kita tetapi kekurangan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa (di pulau itu) untuk kira-kira 100 tahun" - Rais Yatim



Kepimpinan negara secara jelas enggan mengakui bahawa kekurangan bukti, fakta kes dan kelemahan barisan Peguam yang berhujah telah menyebabkan kita kehilangan Pulau Batu Putih walaupun kedudukannya lebih hampir dengan Malaysia. Hanya dengan sepucuk surat yang ditulis oleh Pemangku Setiausaha Kerajaan negeri Johor bertarikh 21 September 1953 yang dianggap oleh Mahkamah sebagai bukti bahawa berlaku penyerahan kuasa dan kedaulatan terhadap pulau itu kepada Singapura. Seterusnya ...

Hari ini negara bukan sahaja kehilangan tanah, malahan tanah yang sedia ada sudahpun dimiliki oleh warga Singapura dengan keujudan Wilayah Iskandar di Johor. Rakyat asing bebas membeli hartanah di negara kita atas tiket pelaburan, sedangkan dalam masa yang sama rakyat sendiri masih teraba-raba dalam pencarian sebidang tanah seluas 4,000 kaki persegi. Siapa yang peduli dengan nasib yang kita alami, kalau bukan kita sendiri yang sama-sama berjuang menuntut HAK dan Keadilan.

Sebagai rekod: Sebelum ini negara seringkali tunduk kepada Singapura seperti kes keluarnya Singapura dari Malaysia, isu tanah KTM di Singapura, isu Kastam, isu air, isu ruang udara, isu tambak pantai dan isu Jambatan Bengkok. Baca lagi

Lagi berita Pulau Batu Putih :
Macam mana Nelayan kita nak ke laut
Aneh-Singapura dapat pulau, Malaysia dapat batu
Singapura dapat pulau, Malaysia dapat batu (Bahasa Malaysia)
Surat Pulau Batu Putih



Thursday, May 22, 2008

Brosur Desa Kerayong Indah




PENTING!!!
Kepada mana-mana pembeli rumah Desa Kerayong Indah yang memiliki sebarang brosur ataupun iklan selain yang dipaparkan di atas diminta untuk memaklumkan kepada Blogger ataupun Sdr Kamarol (Tel:019-2262125) dengan seberapa segera kerana ianya adalah perlu kepada kita untuk tujuan pengumpulan maklumat dan bakal digunakan di dalam perbicaraan nanti.

InsyaAllah, kita semua telah hampir tiba ke destinasi terakhir di dalam tuntutan pengembalian semula segala kerugian yang telah kita alami selama ini. Malahan sehingga ke hari ini telah ada petunjuk-petunjuk yang jelas yang menguatkan lagi kes tuntutan ini menjelang perbicaraan yang akan bermula tidak lama lagi.




Monday, May 19, 2008

Dr Mahathir Keluar UmNO

Alor Star, Kedah, Isnin 19 Mei 2008 - Mantan Perdana Menteri Malaysia yang pernah memegang tampuk pemerintahan selama hampir 22 tahun, hari ini secara rasmi mengumumkan keluar dari UmNO ekoran dari kekecewaannya terhadap kepemimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri yang gagal memimpin negara sehingga Barisan Nasional mengalami kekalahan yang besar di dalam Pilihanraya Umum ke-12 pada 8 mac 2008 yang lalu.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis anjuran Dewan Perhimpunan Melayu kedah itu, Dr Mahathir dengan wajah kecewa berkata beliau terpaksa mengambil tindakan keluar Umno yang dianggotai sejak 1946 kerana berpendapat parti itu tidak lagi dapat berperanan sebagai sebuah parti politik sebenar untuk membela nasib Melayu, sepertimana hasrat sejarah penubuhannya.

Beliau menyatakan pendiriannya adalah jelas dan tidak akan menyertai UmNo selagi Dato' Seri Abdullah masih menjadi Perdana Menteri dan Presiden UmNO.

"Tunggulah hingga Abdullah letak jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden parti, dan kita boleh kembali semula kepada Umno" - Mahathir

Beliau juga menyeru ahli UmNo yang lain agar turut keluar daripada parti untuk menunjukkan tanda protes terhadap Dato' Seri Abdullah.

Mengulas perkara yang sama, Ahli Majlis Tertinggi UmNO (MT), Dato' Shahrir Samad juga tidak menolak kemungkinan akan adanya pilihanraya umum dalam masa terdekat sekiranya berlaku perubahan secara besar-besaran yang mana ramai Ahli Parlimen tampil menyahut seruan Dr Mahathir itu dengan meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen. Barisan Nasional yang akan kehilangan mandat tiada pilihan selain memohon perkenan SPB Agung untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihanraya umum bagi mengelakkan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan sekiranya Ahli Parlimen menyertai Pakatan Rakyat. Baca lagi...

Apapun, hakikat sebenarnya yang dapat dirasakan bukan sahaja pergolakan yang berlaku ini adalah disebabkan kekalahan Barisan Nasional adalah di dalam PRU-122 yang lalu dan kegagalan Dato' Seri Abdullah sahaja, malahan lebih dari itu seperti memperkenalkan Islam Hadhari yang secara tidak langsung memecah belahkan perpaduan umat Islam, gejala sosial yang semakin hari semakin bertambah parah seperti yang berlaku baru-baru ini di Port Dickson, kejadian jenayah, rogol, anak hilang, anak lari dari rumah, gejala rasuah yang semakin parah yang hanya di dalam ucapan berapi-api untuk membanterasnya.

Bukan itu sahaja, rakyat yang saban hari kian menderita ekoran kenaikan harga barangan secara mendadak, bekalan makanan seringkali terputus (masa zaman Dr mahathir jarang sekali kita dengar masalah ini), kenaikan gaji hanya tertumpu kepada kakitangan kerajaan sehingga mencecah 30% sedangkan pekerja di sektor swasta terpaksa berputih mata. Secara tidak langsung dengan kenaikan gaji dan elaun ini telah menyebabkan harga barangan meningkat naik termasuklah perbelanjaan persekolahan anak mencecah ribuan ringgit.

Apa yang lebih menariknya ekoran peristiharan Dr Mahatir ini adalah sebagai senario politik sepertimana Tunku Abdul Rahman yang keluar dari UmNO sebelum akhir hayatnya kerana kecewa dengan semasa era kepimpinan Dr Mahathir bilamana UMNO (Lama) telah diistiharkan sebagai sebuah pertubuhan yang tidak sah oleh mahkamah.

Blogger dapat merasakan bahawa kebangkitan semula Dato' Seri Anwar Ibrahim di dalam arena politik tanahair selepas dipenjarakan selama 8 tahun telah banyak merubah senario politik tanahair dan yang paling kuat merasai tempiasnya adalah UmNO sendiri. Kerana UmNO (baru) hari ini ternyata tidak dapat membantu orang-orang Melayu sepertimana apa yang kita semua alami ekoran kegagalan Projek Pemilikan Tanah Terancang Desa Kerayong Indah ini.

JKKK Melayu...Kontraktor Melayu...PBT Melayu... LPHS Melayu... ADUN Melayu... Ahli Parlimen Melayu...MB Melayu... PM Melayu.. Pembelipun Melayu 100%, tetapi tiada siapa yang datang membantu.

Terkini !!! Senarai keluar UmNO :-
1. Dr Mahathir Mohamad (No. keahlian :00000001)
2. Siti Hasmah (No. keahlian :00000002)
3. Sanusi Junid

Lagi berita tentang Dr Mahathir keluar UmNO :
Dalam Negara :
"Saya orang paling gembira di dunia"-Nik Aziz
Sanusi Junid ikut jejak Dr M keluar Umno
Keluar parti bukan jalan penyelesaian-Azalina
Duri dalam daging sudah terkeluar - Musa Hitam
Reaksi pemimpin UMNO

Luar Negara:
Mahathir quits Malaysia's governing party-Herald Tribune
Mahathir quits Malaysia party-Al-Jazeera
Malaysia's Mahathir quits ruling party
Malaysian former PM Mahathir quits ruling party UMNO




Sunday, May 18, 2008

Laporkan Masalah Perumahan Kepada EXCO

Sinar Harian
Selangor, Sabtu 17 Mei 2008 - Orang ramai yang mempunyai masalah perumahan diminta menyalurkan aduan mereka secara bertulis kepada EXCO Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Negeri. Ini adalah bagi memudahkan EXCO terbabit untuk meneliti serta mengkaji perkara tersebut dalam jangkamasa yang ada sekarang ini.

Pegawai Khas EXCO Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Negeri, Sdr Khairuddin Othman berkata demikian ketika menghadiri majlis dialog bersama penduduk di perumahan PKNS Kampung Pasir.
Pihaknya memahami rakyat ternanti-nanti dengan tindakan yang akan diambil untuk mengatasi masalah rumah terbengkalai dan sebagainya dan pihaknya sedang berusaha untuk menangani masalah rakyat ini.


"Kami mendapat tahu lebih 140 projek rumah terbengkalai di negeri ini malah akan CUBA MENCARI JALAN menyelesaikannya" - Khairuddin


Malahan EXCO (Iskandar) terbabit telahpun mengadakan pertemuan dengan beberapa pihak terbabit termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS). Namun pihaknya belum mendapat jawapan yang konkrit berkaitan dengan masalah rakyat di negeri Selangor ini.

ULASAN:
Apa yang pasti bagi Projek Pemberimilikan Tanah Terancang Desa kerayong Indah, kami tetap akan meneruskan Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah (TGKWPDKI). Walaupun ditakdirkan pihak Kerajaan Negeri (kepimpinan baru) enggan membantu menyelesaikan tuntutan, kami masih mempunyai saluran untuk memperjuangkan HAK iaitu penghakiman di Mahkamah.



Saturday, May 17, 2008

Layari Internet Secara Percuma di KL




Mulai sekarang sekarang penduduk sekitar Kuala Lumpur boleh menikmati capaian internet berkelajuan tinggi secara percuma selama 2 tahun dengan pelancaran rasmi Kuala Lumpur Wireless Metropolitan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Sri Zulhasnan Rafique baru-baru ini.

WiMax adalah Internet jalur lebar tanpa wayar (WiFi) merupakan perkhidmatan spektrum akses tanpa wayar jalur lebar 2.3GHz dan Kuala Lumpur adalah diantara bandaraya terawal diseluruh dunia yang memperkenalkan rangkaian komunikasi seumpamanya.

Ia membenarkan akses Internet berkelajuan tinggi dan muat turun fail daripada telefon, komputer riba dan peralatan komunikasi bergerak dalam jangkauan lebih jauh.

WiMax, bertujuan menyediakan data tanpa wayar untuk jarak jauh dengan pelbagai cara, daripada hubungan titik-ke-titik hingga kepada akses jenis selular mudah alih penuh dan juga boleh menyediakan perkhidmatan suara.

Pengguna yang ingin menggunakan perkhidmatan ini secara percuma adalah perlu mendaftar (percuma) di wirelesskl.com sebelum boleh menggunakan Wimax.
>>Selanjutnya..