Makluman Tarikh Mahkamah & Isu Semasa

Saturday, May 12, 2007

Tempoh dan Had Masa

TEMPOH DAN HAD MASA TINDAKAN

ABDUL AZIZ HUSSIN AMN
DPA; LL.B(Hons); Dip.M.Mgmt.; MSc(Prjt.Mgmt.);
MMIM; Peguambela & peguamcara; MMAP
abdaziz@usm.my

PENDAHULUAN

Didalam industri pembinaan, kerap berlaku pertikaian1 atau perbalahan diantara pihak-pihak, misalnya;

- diantara klien dengan kontraktor;

- diantara klien dengan konsultan atau ahli-ahli profesional projek (arkitek, jurutera, juruukur bahan, dan lain-lain);

- diantara kontraktor dengan subkontraktor;

- diantara kontraktor dengan pembekal;

- diantara subkontraktor dengan pembekal;

- diantara klien dengan pembekal;

- diantara klien dengan pihak ketiga (jiran projek, orang yang dijemput, pemegang lesen dan lain-lain);

- diantara kontraktor dengan pihak ketiga; dan

- diantara klien dengan agensi-agensi kerajaan tertentu.

Apabila berlaku pertikaian atau perbalahan diantara pihak-pihak tersebut (atau kombinasi pihak-pihak tersebut) maka salah satu cara penyelesaiannya ialah mengambil tindakan undang-undang di mahkamah. Salah satu tindakan undang-undang di mahkamah yang paling popular ialah tindakan sivil bagi mendapatkan gantirugi. Ada juga tindakan sivil yang lain seperti perisytiharan, injunksi, certiorari, mandamus dan lain-lain2.

Dalam mengambil tindakan undang-undang (sivil) itu, diantara perkara utama yang perlu diambil berat oleh pihak-pihak ialah mengenai tempoh dan had masa dalam mengambil tindakan tersebut. Kegagalan mematuhi tempoh dan had masa yang ditetapkan undang-undang memungkinkan plaintif (pihak yang menuntut) akan kalah kes awal-awal lagi atas alasan “melebihi tempoh atau had masa”.

Didalam projek pembinaan, diantara sebab musabab tindakan sivil diambil adalah seperti berikut:

• tuntutan gantirugi bagi pelanggaran kontrak;

• tuntutan gantirugi dan/atau perintah larangan (injunksi) kerana pencerobohan, mudarat dan kecuaian yang berlaku (yang biasanya akibat aktiviti-aktiviti pembinaan); dan

• tindakan gantirugi dan/atau perisytiharan, certorari, dan lain-lain akibat penjawat awam atau agensi kerajaan terbabit telah tidak melaksanakan tugasnya, lampau kuasa, dan lain-lain.

Kertas ini akan akan membincangkan mengenai tempoh dan had masa dalam tindakan sivil yang melibatkan pihak-pihak yang dinyatakan di atas, terutamanya yang berkait dengan projek pembinaan.

HAD MASA TINDAKAN

Di Malaysia (dan kebanyakan negara lain di dunia) telah wujud undang-undang bertulis (yang digubal oleh kerajaan) yang menetapkan bahawa sesuatu tindakan sivil (tuntutan gantirugi, perisytiharan, perintah larangan, dan lain-lain) hanya boleh diambil dalam tempoh-tempoh tertentu sahaja. Ini bermaksud orang yang menuntut, yakni plaintif, hanya boleh mengambil tindakan terhadap orang yang dituntut (defendan) dalam tempoh yang ditetapkan sahaja. Jika tindakan undang-undang diambil selepas luputnya (tamatnya) tempoh masa tersebut maka pihak defendan boleh memohon kepada mahkamah secara khusus untuk menolak tuntutan tersebut. Perkara ini diperuntukkan dibawah seksyen 4 Akta Pembatasan 19533. Seksyen 4 memperuntukkan seperti yang berikut:

4. Tiada apa pun dalam Akta ini boleh bertindak sebagai halangan kepada sesuatu tindakan melainkan Akta ini telah dicatatkan sebagai pembelaan terhadapnya dalam mana-mana kes di mana di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang berkaitan dengan acara sivik yang pada masa sedang berkuatkuasa pembelaan seperti ini perlu dicatatkan.

Dengan erti kata lain, pembelaan oleh defendan bahawa tindakan sivil oleh plaintif adalah melebihi had masa (dan perlu ditolak) hanya boleh diterima jika defendan dengan jelas menyatakannya (memberitahu) (yakni kes dihalang oleh had masa) didalam pernyataan pembelaannya.

Terdapat dua statut berkaitan pembatasan (had masa) tindakan, iaitu Akta Pembatasan 19534 dan Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 19485.

Dari segi skop pemakaiannya Akta Pembatasan 1953 adalah lebih umum, dan ianya mengenai pembatasan tindakan-tindakan dan penimbangtaraan6. Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948 pula adalah berhubungan dengan perlindungan bagi orang-orang yang bertindak dalam melaksanakan kewajipan-kewajipan statutori dan kewajipan-kewajipan awam lain7. Ia juga melindungi pihak berkuasa awam itu sendiri dalam hal yang serupa. Pihak-pihak yang terlibat dengan industri pembinaan termasuk penjawat-penjawat awam perlulah mentafsir dan mengguna pakai Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948 dengan berhati-hati. Mengenai batasan (had masa) tindakan dibawah akta ini, ianya diperuntukkan dibawah seksyen 2(a) Akta. Seksyen 2 (a) Akta memperuntukkan seperti yang berikut:

2. Jika, selepas mula berkuatkuasa Akta ini, apa-apa guaman, tindakan, pendakwaan atau prosiding lain dimulakan di Persekutuan terhadap mana-mana orang kerana apa-apa perbuatan yang dilakukan menurut atau dalam melaksanakan atau dengan tujuan melaksanakan mana-mana undang-undang atau apa-apa kewajipan awam atau kuasa awam atau berkenaan dengan apa-apa keabaian atau keingkaran yang dikatakan dalam melaksanakan mana-mana undang-undang bertulis, kewajipan atau kuasa tersebut, maka peruntukkan-peruntukkan berikut hendaklah berkuatkuasa -

(a) guaman, tindakan, pendakwaan atau prosiding itu tidak boleh diambil atau dimulakan melainkan jika ianya dimulakan dalam tempoh tiga puluh enam bulan selepas sahaja perbuatan, keabaian atau keingkaran yang diadukan itu atau, berkenaan dengan kecederaan atau kerosakan yang berterusan, dalam tempoh tiga puluh enam bulan selepas sahaja perbuatan, keabaian atau keingkaran yang diadukan itu atau, berkenaan dengan kecederaan atau kerosakan yang berterusan, dalam tempoh tiga puluh enam bulan selepas sahaja terhentinya kecederaan atau kerosakan itu;

Adalah jelas bahawa seseorang (misalnya pemaju hartanah atau kontraktor) yang ingin mendakwa kerajaan8 kerana dikatakan kerajaan telah tidak melaksanakan sesuatu obligasi dibawah undang-undang bertulis atau kewajipan atau kuasa awam, atau telah mengabaikan atau mengingakari dalam melaksanakan undang-undang bertulis, kewajipan awam atau kuasa awam tersebut, hanya boleh mendakwa (yakni mengambil tindakan, guaman, pendakwaan atau prosiding) dalam tempoh tiga puluh enam bulan sahaja.

Perlulah disebutkan bahawa Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948 adalah terpakai kepada pihak-pihak berikut:

Pertama, terhadap Kerajaan Persekutuan (dibawah Perkara 69(2) Perlembagaan Persekutuan, yang dibaca bersama Mukaddimah Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948 dan seksyen 64 serta seksyen 128 Akta Tafsiran 1948 dan 1967);

Kedua, terhadap Kerajaan-Kerajaan Negeri (dibawah Bahagian III dan Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan, yang dibaca bersama Mukaddimah Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948 dan seksyen 131 Akta Tafsiran 1948 dan 1967).

Ketiga, badan-badan berkanun yang mempunyai peruntukan didalam akta penubuhannya mengenai pemakaian Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948. Contohnya Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (dibawah seksyen 6 Akta Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia 1992), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (dibawah seksyen 6 Akta Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan 1978), Pihak-pihak Berkuasa Tempatan (dibawah seksyen 124 Akta Kerajaan Tempatan 1976), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (dibawah peruntukan seksyen 7 Akta Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang 1983), Universiti-universiti dan kolej-kolej universiti awam (dibawah seksyen 24B Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971), Lembaga Akreditasi Negara (dibawah seksyen 59 Akta Lembaga Akreditasi Negara 1996), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (dibawah peruntukan seksyen 6 Akta Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah 1981), dan lain-lain lagi.

MENGIRA TEMPOH BERMULA DAN BERAKHIR

Pengiraan hari bermula (hari pertama) adalah pada hari berikutnya bilamana kejadian itu berlaku atau bila perbuatan (atau ketinggalan) atau perkara itu dilakukan9. Ia berakhir pada tarikh kes itu difailkan (yakni di daftarkan) di Pejabat Pendaftaran Mahkamah yang berkenaan.

Walaupun telah dinyatakan di atas mengenai tempoh bermula dan berakhir (bagi tujuan pliding “dihalang oleh had masa”) namun pengiraan sebenar masa bermula tidaklah semudah yang disangkakan.

Dalam kes Khin, C.S. Development Sdn. Bhd. lwn. Chung Yoke Onn10, seorang arkitek telah diambil berkhidmat untuk perkhidmatan profesional untuk sebuah syarikat pemaju perumahan. Terdapat projek yang terbengkalai dan pemaju itu enggan membayar fee profesional arkitek berkenaan bagi projek tersebut. Arkitek berkenaan memfail tuntutan (melalui Writ Saman) di mahkamah. Mahkamah Tinggi memutuskan arkitek itu berhak atas fee berkenaan. Selepas itu pemaju perumahan terbabit merayu kepada Mahkamah Persekutuan dengan menghujjah bahawa arkitek itu telah dihalang oleh had masa kerana projek itu telah ditinggalkan lebih daripada enam tahun11 sebelum Writ Saman itu dikeluarkan (yakni semasa kes itu didaftarkan di mahkamah). Di Mahkamah Persekutuan, Hakim Besar Lee Hun Hoe memutuskan bahawa oleh kerana pemaju perumahan itu ada membuat sebahagian bayaran fee profesional selepas projek tersebut ditinggalkan maka pembayaran ini menghalang had masa bermula daripada tarikh projek ditinggalkan, dan ia (had masa) sebenarnya bermula sebaik sahaja selepas tarikh pembayaran terakhir fee profesional itu dibuat oleh pemaju perumahan tersebut. Dengan itu dalam kes berkenaan arkitek berhak atas baki fee profesionalnya (dan tuntutannya di Mahkamah Tinggi dikira masih dalam tempoh masa yang ditetapkan).

Persoalan bila bermulanya mengira tempoh sekali lagi berbangkit didalam kes Loh Wai Lian lwn. SEA Housing Corporation Sdn. Bhd.12. Dalam kes ini seorang pembeli telah membeli sebuah rumah kedai daripada sebuah syarikat pemaju. Mengikut perjanjian rumah kedai tersebut akan siap pada 18 September 1975 tetapi tarikh sebenar rumah kedai berkenaan siap dan dapat diserah kepada pembeli berkenaan ialah pada 9 September 1977. Pada 9 September 1982 pembeli berkenaan memfailkan writ saman menuntut jumlah gantirugi yang ditetapkan. Persoalannya adakah tindakan undang-undang menuntut gantirugi yang ditetapkan itu telah melebihi had masa (dan dengan dihalang daripada diteruskan)? Jawatankuasa Kehakiman Majlis Privy memutuskan bahawa pihak-pihak dalam perjanjian jualbeli itu telahpun bersetuju mengenai pengenaan gantirugi yang ditetapkan. Dengan itu Jawatankuasa Kehakiman Majlis Privy memutuskan bahawa sehinggalah jumlah gantirugi itu dapat ditentukan pada akhirnya maka ia belum lagi luput. Tindakan undang-undang tentunya tidak dapat diambil sehinggalah pada tarikh itu (yakni pada tarikh jumlah gantirugi itu dapat ditentukan) (yakni pada tarikh rumah kedai itu siap), dan dengan itu tempoh had masa hanya bermula apabila rumah kedai itu diserah milik (iaitu pada 7 November 1977). Dengan itu mahkamah memutuskan tindakan undang-undang yang difailkan pada 9 September 1982 masih lagi dalam tempoh masa yang dibenarkan.

Bagi tuntutan gantirugi dibawah gantirugi dibawah tort kecuaian, dalam kes Pirelli General Cable Works Ltd. lwn. Oscar Faber & Partners13, hakim Lord Fraser of Tolly- belton memutuskan bahawa kausa tindakan plaintif tidak akan bermula sehinggalah kerosakan berlaku, yang biasanya keretakan akan wujud (kelihatan) hasil daripada kecacatan kerja meskipun keretakan atau kecacatan mungkin tidak diketahui (ditemui) dan tidak dapat diketahui. Ini bermaksud kausa tindakan bagi menuntut gantirugi hanya bermula (mulanya pengiraan tempoh masa) apabila kerosakan itu diketahui (dan bukan bermula apabila keretakan atau kecacatan kerja berlaku). Namun keputusan ini membawa kepada persoalan bilakah tarikh sebenar mengira kerosakan berlaku? Dalam kes London Borough of Bromley lwn. Rush and Tompkins14, diputuskan bahawa tarikh kerosakan wujud apabila ada tanda-tanda keretakan halus dikesan.

HAD PEMAKAIAN AKTA PERLINDUNGAN PIHAK BERKUASA AWAM 1948

Persoalan yang pernah berbangkit ialah: setakat mana kerajaan atau agensi kerajaan (termasuk badan berkanun) dimana Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948 dipakai,boleh digunakannya sebagai perlindungan (atas alasan dihalang oleh had masa)? Perkara ini pernah berbangkit dalam kes Kerajaan Malaysia lwn. Lee Hock Ning15. Dalam kes ini sebuah firma kontraktor telah melaksanakan kerja-kerja pembinaan sebuah sekolah untuk Kerajaan Malaysia. Apabila projek siap, sejumlah wang masih belum dibayar oleh Kerajaan Malaysia kepada kontraktor terbabit. Lebih setahun kemudian kontraktor berkenaan memfail writ tuntutan jumlah wang berkenaan. Kerajaan Malaysia membuat pembelaan bahawa tuntutan itu telah dihalang oleh had masa dibawah Ordinan Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 194816. Mahkamah Persekutuan (yang dipersetujui oleh Jawatankuasa Kehakiman Majlis Privy) bahawa walaupun Kerajaan dilindungi dibawah Ordinan Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948, tetapi ianya cuma terpakai bagi apa-apa tindakan undang-undang terhadapnya berkait pelaksanaan tugas-tugas awamnya. Namun obligasi kontrak (seperti didalam kes ini) bukanlah pelaksanaan tugas-tugas awam (seperti memberi atau menyedia pendidikan) tetapi berasaskan obligasi dibawah kontrak dengan komuniti perdagangan (misalnya dengan kontraktor didalam kes ini). Dengan itu Kerajaan tidak boleh menggunakan Ordinan (kini Akta) Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948 dalam kes-kes sedemikian.

Daripada keputusan kes di atas adalah jelas bahawa Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948 hanya boleh diguna oleh Kerajaan (termasuk agensi-agensi kerajaan atau badan-badan berkanun dimana undang-undang bertulis yang mewujudkan mereka dan memperuntukkan bahawa Akta ini terpakai kepada agensi atau badan berkenaan) bagi kes-kes berkaitan pelaksanan kewajipan-kewajipan awam dan kewajipan-kewajipan statutori sahaja. Bagi kes-kes lain seperti kontrak misalnya, adalah jelas bahawa Akta Pembatasan 1953 masih perlu digunakan oleh kerajaan (atau agensi dan badan-badan berkanun) sebagai pembelaan had masa.

PENUTUP

Daripada apa yang dibincangkan di atas adalah jelas bahawa jika berlaku apa-apa pertikaian atau pertelingkahan diantara pihak-pihak didalam projek pembinaan, dan kes itu akan berakhir secara penyelesaian di mahkamah, maka salah satu perkara penting yang pihak-pihak perlu ambil perhatian ialah mengenai had tempoh masa tindakan dibawah Akta Pembatasan 1953 dan Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948. Ini penting bagi maksud mempastikan bahawa sesuatu tindakan undang-undang itu tidak dihalang atas had masa, atau secara ringkasnya ialah, kes tidak dapat diteruskan kerana telah tamat tempoh tindakan.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

1 Mengenai takrif “pertikaian”, lihat Abdul Aziz Hussin. 1992. Undang-undang Timbangtara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. m.s. 17-18

2 Mengenai bentuk-bentuk tindakan ini, lihat Abdul Aziz Hussin, 2002. Kelakuan dan Tatatertib penjawat Awam – Hak & Tanggungjawab. Edisi Kedua. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. dalam Bab Tiga.

3 Akta 254 (Semakan 1981)

4 Akta 254. Ia mula berkuatkuasa pada 19 Februari 1953.

5 Akta 198 (Semakan 1978). Ia mula berkuatkuasa di Semenanjung Malaysia pada 19 Ogos 1948 dan di Sabah dan Sarawak pada 25 Februari 1965.

6 Mukaddimah Akta.

7 Mukaddimah Akta.

8 Iaitu dibawah Akta Prosiding Kerajaan 1956 (Akta 359). Untuk prosedur prosiding sedemikian lihat Aturan 73, Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980 (bagi prosiding di Mahkamah Tinggi) dan Aturan 43, Kaedah-kaedah Mahkamah Rendah 1980 (bagi prosiding di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Seksyen).

9 Seksyen 54(1) Akta Tafsiran 1948 dan 1967 (Akta 388).

10 [1985]1 MLJ 319

11 Yakni dibawah seksyen 6(1) Akta Pembatasan 1953.

12 [1987] Bld. (Aug.) 461

13 [1983]2 A.C. 1; [1983]2 WLR 6; [1982]21 B.L.R. 96

14 [1985]4 Constr. L.R. 44

15 [1973]2 MLJ 51

16 Dimana pada masa itu tindakan hanya boleh diambil dalam tempoh 12 bulan (bukan 36 bulan seperti sekarang).