Makluman Tarikh Mahkamah & Isu Semasa

Thursday, July 17, 2014

Mahkamah Tinggi Shah Alam - Trial Ke-2

Khamis 17hb. Julai 2014, telah berlangsung Trial (Perbicaraan) yang ke-2 di Galeri Awam Mahkamah Tinggi (Sivil) Shah Alam, Shah Alam, Selangor Ehsan di hadapan YA Hakim Dato' Wan Afrah Binti Dato' Paduka Wan Ibrahim telah dihadiri oleh lebih daripada 100 orang rakan-rakan pembeli Desa Kerayong Indah.

Trial ke-2 ini adalah berkenaan soal jawab dan pemeriksaan balas oleh pihak Defendan 1, 2 dan 3 iaitu Kerajaan Negeri (dan Pejabat Tanah Kuala Selangor) serta syarikat Kontraktor Bumi Circle Sdn Bhd yang diwakili oleh peguam masing-masing.

Sidang Mahkamah bermula jam 10:00 pagi bilamana semua pihak iaitu Peguam, Defendan 1,2 dan 3 serta White Knight dipanggil memasuki Kamar Hakim untuk mengadakan perbincangan sebelum memulakan perbicaraan.

Sesi soaljawab pertama saksi terhadap Sdr Kamarol oleh Defendan 1, 2 dan 3 bermula lebih kurang jam 11:00 pagi dan mengambil masa selama hampir 1 1/2 jam. Persoalan yang dikemukakan oleh Peguam Defendan adalah lebih berkisar kepada :-

01. Bahan dokumentasi Writ Saman

02. Mengkaitkan pihak luar iaitu JKKK

03. Penafian Kerajaan Negeri & Pejabat Tanah mengeluarkan brosur

04. Penglibatan Kontraktor Probil Sonati


Soalan-soalan yang dikemukakan juga memerlukan Sdr Kamarol memberikan jawapan "Ya", "Tidak", "Setuju" dan "Tidak Setuju". Malahan ada ketikanya Sdr Kamarol dikelirukan oleh beberapa soalan dan memaksa beliau meminta Peguam Defendan mengulangi soalan sebanyak 3 kali, manakala beliau tidak dibenarkan memberikan jawapan secara subjektif.

Namun terdapat pada bahagian tertentu, YA Hakim telah mencelah dan menempelak peguam defendan serta membenarkan Sdr Kamarol memberikan jawapan secara subjektif. Juga ada terdapat pada 2 soalan yang dikemukan, Sdr Kamarol memberikan jawapan sebagai "Saya tidak mahu menjawab soalan ini".

Selesai Sdr Kamarol memberikan keterangan, giliran Puan Sarimah Shuhaimi pula dipanggil oleh peguam untuk memberikan keterangan sebagai saksi. Soalan-soalan yang dikemukakan juga adalah berkisar mengenai pekerjaan, dokumentasi saman, harga rumah yang dibeli, penglibatan JKKK dan Kontraktor Probil Sonati.

Mahkamah berhenti rehat selama 15 minit sebelum bersambung dengan keterangan saksi ke-3 iaitu Sdr Mohd Farid Bin Mohd Nor yang ditanya soalan yang sama seperti Puan Sarimah Shuhaimi.

Selesai Sdr Mohd Farid memberikan keterangan, Mahkamah kemudiannya berhenti pada jam 1:15 tengahari dan akan bersambung pada Isnin 9:30 pagi 8hb September 2014. Peguam juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau berhasrat untuk memanggil saksi seterusnya iaitu bekas Pengarah Bumi Circle Sdn Bhd dan Pengarah Probil Sonati untuk memberikan keterangan. Untuk tujuan itu, Peguam juga akan mengeluarkan sapina terhadap kedua-dua individu ini.

Di dalam sesi taklimat sejurus selepas selesai perbicaraan pada hari ini, Peguam telah memaklumkan bahawa :-

01. Trial telah berjalan dengan lancar

02. Memaklumkan keperluan memanggil/sapina saksi

03. Persetujuan White Knight menyegerakan Loan Settlement

04. Amaun Loan Settlement dan Deposit

05. Tempoh 1 bulan untuk Redemption Loan

06. Lain-lain perkara berbangkit


Jawatankuasa Tuntutan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua rakan-rakan pembeli Desa Kerayong Indah yang telah hadir di Mahkamah sepanjang perbicaraan yang berlangsung selama 3 1/2 jam ini.

NOTA : Kepada rakan-rakan yang tidak berkesempatan hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada hari ini untuk mengambil Lencana secara PERCUMA (Sumbangan seorang rakan DKI), boleh menghubungi J/Kuasa tuntutan untuk mendapatkannya.

PERBICARAAN SETERUSNYA : Isnin 8hb. September 2014 (9:30 pagi)

BERSATU MENUNTUT HAK
Admin Desa Kerayong Indah

Penyerahan Lencana Rasmi DKI (Sumbangan Rakan DKI)



Kehadiran Rakan-Rakan di Galeri Mahkamah


Taklimat Peguam Kepada Saksi


Taklimat Selesai Trial



Monday, July 14, 2014

Pemakluman : Perbicaraan Ke-2

Isnin 14hb Julai 2014. Perbicaraan ke-2 Tuntutan Gantirugi Pembeli rumah Desa Kerayong Indah akan berlangsung di galeri Mahkmah Tinggi Shah Alam seperti yang telah ditetapkan seperti berikut

Tarikh Perbicaraan Ke-2
Tarikh : 17hb. Julai 2014
Hari : Khamis
Waktu : 9:00 pagi


Sehubungan dengan itu, Admin menyeru kepada semua rakan-rakan pembeli Desa Kerayong Indah samada yang telah memfailkan tuntutan saman mahupun yang telah menyerahkan senarai nama kepada pihak peguam dan Admin agar dapat hadir ke mahkamah seperti yang dinyatakan diatas.

Sebarang pertanyaan berkenaan perbicaraan ini, boleh menghubungi J/Kuasa Tuntutan.