Makluman Tarikh Mahkamah & Isu Semasa

Wednesday, March 5, 2008

PRU12-Kemana Arah Kita



Pilihanraya Umum ke-12 (PRU12) akan berlangsung pada hari Sabtu 8 Mac 2008 ini bagi menentukan kepimpinan negara yang baru. Apakah kerajaan terdahulu mampu mengekalkan kuasa mereka untuk 5 tahun yang akan datang atau negara akan mempunyai kerajaan yang baru daripada Barisan Alternatif.

Ramai pihak menjangkakan bahawa beberapa negeri akan jatuh ke tangan Barisan Alternatif seperti Perlis, Kedah, Perak, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu. Sementara itu Kelantan masih lagi kekal di bawah pimpinan YAB Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.

Ini adalah kesan daripada Manisfesto Barisan Alternatif yang membuat tawaran yang amat menguntungkan rakyat jelata seperti Penurunan Harga Bahanapi, Pendidikan Secara Percuma, Kesihatan Percuma, Melaksanakan Akta Gaji Minimum dan bermacam-macam lagi.

Jika diberikan mandat oleh rakyat, PAS Selangor di bawah kepimpinan ulama akan menurunkan kadar Cukai Pintu rumah kediaman sebanyak 20% serta memastikan setiap rakyat Selangor memiliki sebuah rumah kediaman sendiri serta bermacam-macam lagi faedah untuk rakyat. Sekiranya Manifesto ini ditawarkan kepada rakyat Indonesia, Thailand, mahupun Amerika Syarikat, pastinya rakyat mereka akan berebut-rebut untuk memilih Barisan Alternatif ini.

Ini berbeza dengan Barisan Nasional yang memaparkan Manisfesto yang hampir sama seperti tahun-tahun yang lalu yang hanya indah khabar dari rupa terutamanya yang melibatkan skim perumahan untuk rakyat. Malahan Kerajaan yang ada sekarang telah membelanjakan hampir RM700 biliion sepanjang 4 tahun pemerintahannya berbanding dengan Tun Dr Mahathir yang membelanjakan hanya RM300 billion sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri.

Terlalu banyak yang kita dengar kemungkaran yang dilakukan seperti isu Rasuah, Skandal Seks Pemimpin MCA, Plat Kereta Kerajaan Negeri, Isu Kenaikan harga barang , isu paip minyak , Isu PKFZ dan sebagainya. Sekiranya kita berdiam diri dan tidak berusaha untuk merubahnya, maka kita juga tergolong di dalam golongan yang subahat.

Apakah kita masih lagi mahu memberikan sokongan kepada kerajaan yang langsung tidak mahu membantu rakyat yang selama ini begitu tertekan dengan hutang dengan pihak bank? Sedangkan mereka begitu angkuh dengan mahligai indah milik mereka? Apakah kita mudah menjadi pelupa setiap kali pilihanraya bilamana kita disajikan dengan sebotol air mineral, sehelai kain pelikat, duit minyak setinggi RM200 berbanding dengan khazanah negara yang begitu rakus dirobek oleh mereka?

Selama 50 tahun memerintah, tidak ada satupun wakil rakyat mereka yang berani bersuara di Parlimen untuk menguatkuasakan undang-undang yang ketat bagi menghukum mana-mana pemaju perumahan yang gagal menyiapkan projek perumahan. Malahan mereka seolah-olah dilindungi apabila gagal menyiapkan projek perumahan yang mana pembeli tidak akan dapat menyaman mereka kerana dikhuatiri sekiranya pemaju jatuh bankrap, maka projek perumahan beserta hartanah tersebut akan menjadi "freeze" (berbeza kes DKI, kita menyaman Kerajaan Negeri Selangor)

Lihat sahaja betapa begitu banyak projek perumahan di Selangor ini yang terbengkalai tanpa diambil peduli secara serious oleh Kerajaan BN pimpinan Dato' Seri Khir Toyo. Malahan EXCO perumahan Dato Mokhtar Dahlan secara sinis pernah menghina Pembeli-Pembeli Desa Kerayong Indah melalui sketsa di TV3 menyuruh kita mengambil tindakan saman sekiranya tidak berpuas hati di atas kegagalan beliau menyelia urus projek rumah terbengkalai ini. Allah itu Maha Berkuasa. Beliau kini tidak dicalonkan sebagai calon pilihanraya di dalam PRU12 di Selangor ini.

Sementara Wakil Parlimen Kuala Selangor sebelum ini Mohd Daud Tarihep yang asyik gemar menunjuk-nunjuk keegoannya sebagai Ahli Parlimen telah gagal memainkan perananannya untuk membantu Pembeli-Pembeli Desa Kerayong Indah di bawah Parlimen beliau. Malahan Dato' Amiruddin yang amat gembira bilamana Mohd Daud Tarihep tidak dicalonkan, juga langsung tidak mengambil tahu tentang Projek Perumahan di dalam kawasan beliau sendiri.

Diberitakan bahawa kem Mohd Daud Tarihep langsung tidak mahu menyertai kempen Pilihanraya ke-12 ini untuk membantu calon-calon yang bertanding di Kuala Selangor ini. Mungkin kerana menunjukkan protes terhadap MB Selangor kerana menggugurkan Mohd Daud Tarihep.

Inilah yang seringkali berlaku ke atas pimpinan UmNO yang selama ini telah 2 kali kita memberikan undi kepada mereka sejak Pilihanraya Umum ke-10 (1999) dan Pilihanraya Umum ke-11 (2004). Walaupun mereka langsung tidak mempedulikan projek Desa Kerayong Indah ini, namun kita masih lagi mahu memberikan undi terhadap calon bagi DUN Jeram dan Parlimen Kuala Selangor.

Enough is enough. Cukuplah kita tertipu sebanyak 2 kali pilihanraya yang lepas. Pada Pilihanraya Umum ke-12 ini, marilah kita berganding bahu samada Pembeli yang memfailkan tuntutan mahupun tidak, untuk sama-sama tidak memberikan undi kepada Barisan Nasional. Sekiranya BN menang pada kali ini, Pembeli yang tidak memfailkan tuntutan pasti akan lebih tertekan dengan ketidakpeduli mereka terhadap kita semua.

Bagi Pembeli yang mengundi di kawasan lain, pastikan kita tidak mengundi Barisan Nasional. Undilah parti-parti lain kerana hanya ini sahaja kuasa yang ada pada kita untuk membawa perubahan.

HARAPAN KITA
Adalah menjadi harapan kita semua untuk sesuatu perubahan yang lebih baik setelah kita mengharungi kesukaran selama 9 tahun yang telah sudah. Perubahan yang lebih baik itu akan dapat diterjemahkan melalui kertas undi pada 8 Mac 2008 ini kerana,
  • Bagi pembeli yang masih menantikan rumah tersebut, InsyaAllah, Kerajaan Pimpinan PAS nanti pasti akan mampu merealisasikan impian tersebut sepertimana yang terkandung di dalam Manifesto PAS Selangor ini.
  • Bagi yang telah memfailkan tuntutan saman, InsyaAllah, Kerajaan PAS Selangor pasti akan segera berusaha untuk menyelesaikannya kerana mereka lebih memahami masalah rakyat.

Oleh itu, bulatkan tekad untuk kita sama-sama bersatu untuk kali ini untuk sama-sama memberikan undi kepada Barisan Alternatif samada PAS, PKR mahupun DAP. UNDILAH BARISAN ALTERNATIF untuk kebaikan dan kesejahteraan semua.






No comments: