Makluman Tarikh Mahkamah & Isu Semasa

Friday, November 6, 2009

Siapa Lebih Prihatin?


Respond yang diterima melalui e-mail. Kita tengok siapa yang prihatin....


















Thursday, November 5, 2009

Penggabungan Kumpulan : K1-K2-K3-K4-K5-K6



Proses Pengabungan semua Kumpulan yang dijadualkan pada 4 November 2009 yang lalu agak hambar lagi bilamana terdapat beberapa fail masih belum dapat dikemukakan oleh Pejabat Pendaftar Mahkamah kepada YA Hakim. Walaubagaimanapun, 2 fail telahpun dapat dikemukakan kepada YA Hakim pada hari tersebut.

Sehubungan dengan itu, peguam kita telah mendapat kebenaran melalui surat rasmi kepada mahkamah untuk menggabungkan 4 fail yang belum dijumpai tersebut. Proses penggabungan ini akan disebut semula dihadapan YA Hakim di dalam kamarnya pada esok hari Jumaat 6hb November 2009. Oleh yang demikian, pihak pendaftar mahkamah terpaksa mencari fail tersebut sehingga ditemui dan dateline-nya adalah esok.

Sekiranya kesemua ini berjalan dengan lancar pada esok hari, maka kita dijangka akan mendapat tarikh untuk Sebutan Kes yang dijangkakan dalam masa yang terdekat ini.

Dalam pada itu, Pihak Konsultan yang mendapat "kerja" untuk menyelaraskan beberapa Projek-projek Perumahan Terbengkalai di Negeri Selangor ini semakin menampakkan kekalutannya apabila seringkali menghubungi peguam kita untuk meminta bermacam-macam dokumen dengan alasan untuk proses penyelesaian di luar mahkamah.

Mereka seolah-olah di dalam keadaan tertekan kerana pihak kontraktor yang telah dilantik tidak dapat menjalankan kerja-kerja penyambungan projek tersebut kerana kes DKI ini telah berada di mahkamah. Dan lagi pihak bank pasti tidak akan meluluskan pembiayaan projek tersebut.

Apa yang dapat kita lihat, pada masa sekarang alasan "baru memerintah" oleh Kerajaan Negeri yang baru sudah tidak kedengaran lagi dan dalam masa yang sama pelbagai kemelut terus melanda PR di Negeri Selangor selepas kejatuhan Perak. Apa yang kita dapat perhatikan sekarang ini, mereka sedang bergelut dengan date-line "Januari 2010" seperti yang diperkatakan oleh banyak pihak di dalam laman-laman blog.

Dalam masa yang sama kebajikan rakyat, Projek Pemulihan Perumahan Terbengkalai terutamanya Desa Kerayong Indah terus sepi begitu sahaja, malahan Konsultan yang dilantik oleh Kerajaan Negeri boleh dipertikai kewibawaannya seperti dimaklumkan di laman laman blog YB Iskandar Abdul Samad, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan & Setinggan :-

Gagal Projek :
  • Projek pembinaan 175 unit Pangsapuri Taman Sri Angsana Hilir, Mukim Ampang
  • Projek Pembinaan Gombak Perdana Villa di Atas Lot 5311 HS(D) 1733 Mukim Setapak, Daerah Gombak

Dapat Projek :
  • Cadangan pembinaan rumah teres di atas Lot Sub Lot 1 hingga 244 (Fasa 5e) Di atas sebahagian Lot 48729 (16929), Mukim Petaling, Daerah Petaling.
  • Cadangan Pembinaan Rumah Pangsa Kos Rendah, Saujana Puchong Mukim Petaling, Daerah Petaling.

APA NIIIII.....Bengkalaikan rumah orang, pastu dapat projek lagi....pastu jadi konsultan pula....mana ketelusannya?

SAMA JE macam kerajaan terdahulu...semua kroni. Yang sengsaranya kita semua. Sebab tulah maka sebilangan besar daripada kita terutamanya yang telah memfailkan Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah tidak lagi membuat bayaran cukai tanah. Untuk apa bayar, kalau yang senang adalah mereka. Kita pula terpaksa berhadapan dengan hutang bank yang sampai bila tak selesai lagi.

Sepanjang 2 tahun memerintah Selangor ini, wakil rakyat mana yang datang berjumpa dengan kita? EXCO mana yang mahu bertanya atau berbincang dengan kita? MB jauh sekali. DSAI....lupakan sahaja. Telah puas panggilan telefon, e-mail, surat rasmi dikirimkan, namun apa jawapan mereka ....




Ingatlah wahai wakil-wakil rakyat dan Pakatan Rakyat, bilamana kejatuhan telah benar-benar berada diambang, jangan harapkan lagi ehsan daripada rakyat sebagaimana yang berlaku kepada Perak.

Maka, kita merasakan walaupun banyak liku-liku yang terpaksa kita lalui dengan memilih mahkamah sebagai jalan terbaik untuk menuntut kembali hak kita sebagai pembeli yang teranaiya. Mudahan Allah akan membantu kita semua. InsyaAllah.

Wassalam.

NOTA : Sesalinan e-mail kepada YB Nurul Izzah, YB Husam Musa, YB Zulkifli Noordin, YB Hj Mahfuz, Dewan Pemuda PAS, Datin Seri Fatimah, Editor Siasah, Editor TranungKite, Editor Agenda Daily, Editor Berita Harakah, YB Dr Lolo, YB Hassan Ali, Editor Tukar Tiub, Editor Xkutif, Editor Buletinonline, Editor Siasah, YB MP Marang, YB MP Kubang Kerian, YB MP Shah Alam.




Wednesday, October 7, 2009

Pengurusan Kes K1-K2-K3-K4-K5-K6



Pengurusan Kes dan Penggabungan kesemua kumpulan K1-K2-K3-K4-K5-K6 yang berlangsung pada 6hb. Oktober 2009 di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan agak hambar berikutan beberapa dokumen telah tidak dijumpai (pihak mahkamah) untuk ditunjukkan kepada Yang Arif Hakim.

Sehubungan dengan itu, Yang Arif Hakim telah memutuskan untuk Pendengaran Kes (Hearing) pada Hari Rabu 4hb. November 2009. Pada kebiasaannya Pendengaran Kes ini akan dilakukan di galeri awam dan boleh didengari oleh orang awam (dalam mahkamah) termasuk pembeli yang terlibat di dalam tuntutan kes ini.

Marilah kita beramai-ramai memenuhi komplek Mahkamah Tinggi Shah Alam (telah berpindah ke bangunan MRCB) untuk melihat sendiri bagaimana proses perbicaraan sebenarnya. Rancanglah jadual anda agar dapat menghadirkan diri untuk memberikan sokongan kepada barisan Peguam kita.

Yang jelas, kes Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah ini telah memasuki fasa yang lebih menarik untuk kita sama-sama mendengar apakah alasan yang hendak diberikan oleh Kerajaan Negeri yang baru ini di bawah pimpinan Pakatan Rakyat setelah lebih 2 1/2 tahun kes ini difailkan di Mahkamah Tinggi.

Kalau dulu merekalah yang menjadi pembela kita untuk membuat tuntutan terhadap kerajaan Negeri di bawah pimpinan Barisan Nasional. Mereka kata mereka boleh menyelesaikan masalah rakyat yang tak mampu diselesaikan oleh Barisan Nasional. Mereka mahukan kuasa. Tetapi kini, bila mereka telah memiliki kuasa apa yang mereka lakukan kalau tak lain dari berebutan kuasa dan seringkali menuding jari ke arah pihak yang lain di atas kegagalan sesuatu projek itu.

Jawatankuasa Task Force yang diujudkan semula dikhuatiri akan menjadi sebagai alasan bahawa mereka prihatin untuk membantu rakyat dengan pelbagai janji ditaburkan. Ogos 2009 diwar-warkan bahawa Projek Desa Kerayong Indah akan dimulakan semula tanpa mempedulikan kes tuntutan yang sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi. Sekarang telah Oktober 2009, 2 bulan berlalu dan mereka masih lagi belum mampu untuk menggerakkannya kecuali kerja-kerja infrastruktur. Persoalannya siapa yang mengeluarkan peruntukan untuk kerja-kerja tersebut?

Apabila diajukan pertanyaan kepada pihak yang terlibat di dalam Projek Baik Pulih Rumah Terbengkalai ini, jawapan yang kita perolehi adalah tidak menyenangkan sama sekali. Jawapan yang diberikan cukup mudah dan bersahaja, kalau Desa Kerayong Indah bermasalah untuk diselesaikan, ianya akan dibiarkan begitu sahaja sebagaimana yang berlaku semasa kepimpinan Barisan Nasional dahulu. Atau ianya diletakkan di bawah projek yang paling akhir untuk diselesaikan.

Andainya nasib tidak menyebelahi, Pilihanraya Umum yang akan datang, ditakdirkan Pakatan Rakyat tumbang, akan sia-sia sahajalah apa yang mereka lakukan. Yang pasti Kerajaan Baru nanti tidak akan senang-senang untuk meneruskan projek Pakatan Rakyat ini.

Ia sama juga seperti apa yang dialami oleh salah seorang pembeli yang telah ditempelak oleh Menteri Besar sendiri di dalam pertemuan di Pejabat Menteri Besar tidak lama dahulu.

Wakil rakyat yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor langsung tidak kedengaran untuk turut sama membantu. Yang jelas, mereka sama seperti wakil rakyat Barisan Nasional. Hanya mahu berjumpa dengan kita pada masa Pilihanraya sahaja.

Alasan yang selalu diberikan, baru sahaja mengambil alih kuasa. berikan kami masa....Dah nak masuk 2 tahun dah, tapi apa yang mereka lakukan? Aysik dengan meeting...meeting....Hutang dengan pihak bank bagaimana? Nak tunggu pilihanraya yang akan datang baru serious nak menyelesaikan tuntutan kita?

Jika inilah cara mereka menanganinya terutamanya bagi kita yang sebangsa dan seagama ini, nantikanlah, akan sampai waktu dan ketikanya......

Cuma kita berharap dan yakin pihak Mahkamah akan memberikan jawapan yang positif terhadap tuntutan kita ini berlandaskan kepada tanggung jawab mereka sebagai "Principle" terhadap Bumi Circle sebagaimana yang disebutkan di dalam surat Tawaran Pemberi Milikan Tanah Terancang.


Wassalam.



Wednesday, September 16, 2009

Selamat Hari Raya Aidil Fitri 1430H


Hari Raya Aidil Fitri 1430H tiba lagi. Namun Desa Kerayong Indah masih belum menampakkan tanda-tanda akan adanya penyelesaian sepertimana yang kita semua harapkan.

Pihak pemaju/kontraktor baru yang diberitakan berhajat untuk menyambung semula projek tersebut masih lagi belum memberikan sebarang keputusan sepertimana yang kita tuntut di dalam Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah.

Walau bagaimanapun, mereka diberitakan sedang di dalam proses menyediakan infrastruktur seperti menambak tanah bagi membina laluan jalan penghubung antara fasa. Persoalannya, dari manakah peruntukan memulakan projek tersebut diperolehi? Adakah pihak kontraktor baru secara sukarela mengeluarkan perbelanjaan sendiri ataupun pihak kerajaan negeri telah mengeluarkan perbelanjaan tersebut?

Jika diperhatikan, pihak yang terlibat di dalam projek baik pulih ini (rumah terbengkalai di Selangor) adalah terdiri juga dari kalangan kontraktor/pemaju yang bermasalah di tempat lain. Sila klik disini.

Walaubagaimanapun, proses tuntutan di mahkamah akan berlangsung seperti yang dijadualkan iaitu pada 6hb Oktober 2009 ini nanti. Kali ini dijangkakan ada pendengaran kes bagi kesemua kumpulan yang telah memfailkan tuntutan iaitu Kumpulan 1-6.

Mudahan Allah mempermudahkan tuntutan kita.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri.
Maaf Zahir dan Batin.
Blogger.




Thursday, August 20, 2009

Salam Ramadhan 1430H


Khamis 20 Ogos 2009, seperti yang telah diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah pada malam tadi, umat Islam di negara kita akan mula berpuasa pada hari Sabtu 22 Ogos 2009 ini nanti.

Mudah-mudahan segala tuntutan kita akan dipermudahkan dan menemui jalan penyelesaian yang terbaik unttuk kebaikan semua pihak. Wassalam

Selamat Menyambut Awal Ramadhan.


Tuesday, August 4, 2009

Cadangan Penyelesaian Di Luar Mahkamah



SIAPA YANG UNTUNG?????

PEMBELI
KERAJAAN NEGERI
PEMAJU-KONTRAKTOR
KONSULTANT



Sunday, July 19, 2009

Pengurusan Kes K1-K2-K3-K4



InsyaAllah, Pengurusan Kes bagi Kumpulan 1,2,3 dan 4 dijadualkan berlangsung pada Selasa 21hb Julai 2009 jam 9:00 pagi di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

Peguam kita dijangka akan mengemukakan permohonan untuk menggabungkan keempat-empat kumpulan tersebut untuk dibicarakan di dalam mahkamah dan hakim yang sama.

Selain daripada itu, peguam juga akan mengemukakan satu perkara penting kepada hakim yang mengendalikan kes tuntutan ini. Tambahan pula pada masa sekarang pihak Task Force bersama pemaju baru diberitakan semakin berada di dalam keadaan dilema memandangkan tarikh yang mereka janjikan untuk meneruskan pembinaan rumah di Desa Kerayong Indah ini semakin hampir dan dalam masa yang sama kes mahkamah semakin dekat dengan perbicaraan.

Selama ini mereka begitu yakin dengan pendekatan yang cuba mereka bawa, namun yang pasti kecekalan kita untuk menuntut gantirugi tidak mudah untuk digula-gulakan oleh mereka.

Cukuplah sekali mengadakan perbincangan di SUK dengan Task Force pada 11 Mac 2009 yang lalu. Perbincangan kedua hanya akan diadakan selepas mereka menyelesaikan semua hutang piutang kita dengan pihak bank. Semuanya ini kita serahkan kepada peguam untuk menyelesaikannya dan admin dimaklumkan bahawa mereka telah beberapa kali cuba memujuk kita untuk menerima cadangan mereka.....macam gila talak pulak....

Maklumat lanjut akan dimaklumkan nanti. InsyaAllah.

Wassalam.



Friday, July 3, 2009

Mahkamah Arah PKNS Bayar Pembeli



Kesabaran pembeli menghadapi kes tuntutan mereka berbaloi apabila mahkamah memutuskan PKNS bersalah kerana gagal menyerahkan pemilikan rumah sebagaimana yang dijanjikan.

Yang menariknya, hanya 17 orang pembeli sahaja yang memfailkan tuntutan mereka berbanding dengan Tuntutan Gantirugi dan kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah yang berjumlah 350 orang ini.

Menurut hakim Mahkamah Sesyen, tiada apa-apa isu yang perlu dibicarakan di dalam kes tuntutan tersebut. Ianya amat jelas, kerana PKNS GAGAL menyiapkan rumah seperti yang dijanjikan. Kes ini sama seperti kes yang sedang kita hadapi sekarang.

Apa yang kita kesalkan ialah, pihak defendan seringkali cuba melengah-lengahkan kes seperti terlupa tarikh mahkamah, tidak hadir di mahkamah dan sebagainya yang menyebabkan proses dokumentasi telah menjangkau masa lebih dari 2 tahun sejak kita memfailkanya pada 24hb. April 2007 yang lalu.

Baik semasa pemerintahan Barisan Nasional, mahupun Pakatan Rakyat, SAMA sahaja. Sebelum dapat memerintah, berbagai-bagai janji yang dicanangkan...tetapi apabila telah memerintah, lihat sahajalah...Malahan perjumpaan kita yang lalu cuma dihadiri oleh jawatankuasa Task Force sahaja tanpa kehadiran YB Saari Sungib seperti yang mereka janjikan.

Nak jumpa MB, jauh sekali...kalau dapat jumpapun, kita akan ditempelak seperti yang dialami oleh salah seorang pembeli DKI. disini

Tetapi jika ianya melibatkan isu populariti, maka cepat sangat menyempilkan muka di hadapan wartawan atau media. Malahan Surat Terbuka yang kita hantar, langsung tidak diendahkan oleh mereka. Cuma ada 2 wakil rakyat sahaja (YB Nurul Izzah dan YB PAS) yang menjawabnya yang kemudiannya sepi begitu sahaja....

InsyaAllah, kita akan menjadikan kes ini sebagai rujukan di mahkamah terhadap kes kita nanti apabila perbicaraan bermula pada penghujung bulan Julai 2009 ini.

Marilah bersama-sama untuk menuntut hak kita sebagai pembeli. Janganlah ada diantara kita masih lagi terpedaya dengan janji-janji untuk menyiapkan rumah apabila mereka membawa masuk pemaju yang dikatakan lebih berwibawa daripada Bumi Circle dan Probil Sonati.

Ingatlah, apabila kita menurunkan tandatangan di atas perjanjian baru yang diberitakan akan diedarkan di dalam tempoh 1 atau 2 minggu ini, maka secara automatiknya kita akan hilang kelayakan untuk membuat tuntutan.

Fikir-fikirkanlah......




Monday, June 22, 2009

Majlis MOA-MOU di Hotel Carlton Holiday?



Kita telah dimaklumkan tentang akan adanya satu majlis menandatangi perjanjian MOA dan MOU untuk projek-projek rumah terbengkalai akan di adakan pada jam 3:00 petang 30hb. Jun 2009 ini bertempat di Hotel Carlton Holiday, Shah Alam, Selangor.

Apakah motif mereka menyegerakan majlis tersebut, sedangkan kes mahkamah bagi pembeli-pembeli yang telah memfailkan tuntutan masih lagi belum selesai?

Malahan buat pertama kalinya sebutan kes ini akan diperdengarkan di hadapan hakim mahkamah tinggi Shah Alam pada pertengahan bulai Julai 2009 ini setelah lebih daripada 2 tahun memfailkan kes di mahkamah.

Apa yang kita dapat perhatikan adalah :-
  • Ulangan majlis Taklimat di Unisel pada 27 Februari 2008 yang lalu.
  • Negara kita bakal menghadapi pilihanraya umum pada bila-bila masa. Oleh yang demikian, maka sekiranya Kerajaan Selangor (PR) dapat menggerakkan projek-projek perumahan terbengkalai, maka ianya akan dijadikan sebagai modal pilihanraya nanti.
  • Sekiranya, PR tewas, maka apa akan terjadi kepada projek DKI ini?
  • Sekiranya pembeli menandatangi perjanjian baru tersebut, maka secara automatiknya mereka akan hilang hak dan kelayakan untuk membuat tuntutan bagi kelewatan yang telah berlaku.
  • Jika kali ini (..selepas Probil Sonati) gagal disiapkan juga (termasuk pertukaran kerajaan), maka nasib malang akan menimpa pembeli akan lebih berganda-ganda lagi...Siapa Peduli
Malahan pertemuan AJK Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah dengan Jawatankuasa Task Force di bangunan SUK pada 11 Mac 2009 yang lalu seolah-olah untuk mengabui mata kita bahawa mereka lebih prihatin dan bersungguh-sungguh untuk menyiapkan projek tersebut.

Pepatah "kerbau berpegang pada tali, manusia berpegang pada janji" sememangnya tidak relevan langsung di dalam projek perumahan terbengkali ini. Apa yang kita tuntut adalah hak kita sebagai pembeli dan rakyat yang teranaiya...

Marilah kita bersatu hati menentang kezaliman dan kepura-puraan yang sekadar untuk mengambil hati kerana sesuatu yang lebih besar menanti mereka.

Marilah kita beramai-ramai ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada pertengahan Julai 2009 ini. InsyaAllah, kita akan menjemput wakil-wakil media cetak dan media elektronik bersama.




Wednesday, March 11, 2009

Tuntutan Pembeli : Sinar Harapan



Bak kata pepatah, awan tidak selalu cerah, mendung bukanlah terlalu lama untuk kita hadapi walaupun ianya terlalu sukar untuk dilalui bagi sesetengah dari kita semua.

Alhamdulillah telah ada sedikit sinar harapan bagi pembeli-pembeli yang telah membuat Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah (TGKWPDKI) bilamana Kerajaan Negeri Selangor telah memulakan gerak kerja secara bersama pada peringkat awal untuk mengendahkan tuntutan kita di mahkamah.

Mudah-mudahan Kerajaan Pakatan Rakyat yang menerajui Negeri Selangor ini akan lebih prihatin terhadap kesusahan yang kita alami selama ini atau sekurang-kurangnya dapat mengembalikan kedudukan kita seperti sebelum pembelian rumah di Desa kerayong Indah ini, tanpa dibelenggu dengan hutang dengan pihak bank terhadap apa yang tidak kita perolehi.

InsyaAllah, makluman akan menyusul sedikit masa lagi.



Wednesday, February 18, 2009

Sokongan Membawa Rebah 1

Kebelakangan ini senario politik tanahair kita semakin rancak dengan isu peralihan kuasa baik dipihak pemerintah mahupun di pihak pembangkang.

Namun begitu isu permasalahan rakyat seperti projek perumahan terbengkalai masih lagi tiada jalan penyelesaiannya. Pemimpin sibuk berebut jawatan, berebut tender dan projek, membazirkan wang rakyat seperti pembelian aset kerajaan negeri walaupun baru sahaja memerintah.

Malangnya bila diajukan permasalahan rakyat, alasan yang diberikan "berikan kami masa", "kami baru memerintah" dan sebagainya. Sebagai balasannya, bila telah hilang kuasa, tiada apa yang dapat dilakukan lagi...inilah kuasa Allah SWT terhadap kepincangan yang dilakukan.

Nantikan episod seterusnya Sokongan Membawa Rebah 2.....