Makluman Tarikh Mahkamah & Isu Semasa

Thursday, June 19, 2008

Pra-Bicara 19 Jun 2008





Pra-Bicara yang telah berlangsung pada pagi tadi Khamis 19 Jun 2008 di Kamar Hakim, Mahkamah Tinggi (Sivil) 2, Mahkamah Tinggi Shah Alam, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan berjalan dengan lancar.

Peguam Wan Shahrizal yang mewakili pembeli telah masuk ke Kamar Hakim Dato' Alizatul Khair Bte Osman Khairuddin bersama dengan Peguam Yusman yang mewakili Bumi Circle dan Penolong Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri Selangor Puan Aimi Hajar Binti Dato' Mohd Ridzwan tepat jam 10:50 pagi di Mahkamah Tinggi (Sivil) 2.

Bumi Circle yang masih lagi belum memfailkan Pembelaan seperti yang diminta oleh YA Hakim semasa tuntutan mendapatkan JID pada 5 Mac 2008 yang lalu, telah diarahkan sekali lagi oleh YA
Hakim untuk memfailkan Pembelaan mereka di Pejabat Pendaftar Mahkamah di dalam tempoh 14 hari daripada tarikh hari ini. Walaupun kita amat kesal dengan kelewatan Bumi Circle memfailkan Pembelaan ini, namun peraturan mahkamah yang membenarkan penangguhan ini terpaksa diterima juga.

Setelah meneliti segala dokumen dan penghujahan semua pihak, maka YA Hakim Dato' Alizatul telah menetapkan tarikh untuk Menetapkan Sebutan Kes bagi Pembeli Kumpulan-1 ini adalah pada Rabu 5 November 2008 nanti.

Walaubagaimanapun, sebelum itu, pihak Defendan Bumi Circle telah memfailkan pembelaan mereka terhadap Pembeli Kumpulan 2 dan Kumpulan 3 yang mana tarikh bagi menetapkan Sebutan Kes adalah pada 5 Ogos 2008 di Mahkamah Tinggi (Sivil) 1 nanti.

InsyaAllah, saya akan upload maklumat pembelaan Defendan Bumi Circle sedikit masa lagi di dalam laman "blog khas" untuk pengetahuan semua pembeli yang terlibat.



Sunday, June 15, 2008

Dimana Wakil Rakyat Kita?



KUALA LUMPUR 14 Jun 2008 -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mengadakan perbincangan dengan pihak bank agar kadar faedah yang dikenakan kepada pembeli rumah yang projeknya terbengkalai dapat dikurangkan. Timbalan Menteri berkenaan Datuk Hamzah Zainudin berkata langkah itu bagi mengurangkan beban pembeli rumah yang terpaksa menanggung pembayaran walaupun projek perumahan itu masih tergendala.

"Saya akan bincang dengan bank dan saya percaya interest yang dikenakan dapat dikurang atau diberi penjadualan semula pembayaran" - Datuk Hamzah Zainuddin


Lima projek itu ialah Taman Lestari Perdana, Taman Lestari Puchong, Taman Lestari Permai, Saujana Puchong dan Saujana Putra adalah antara yang terbengkalai sejak tahun 2003 di sekitar Puchong dan Seri Kembangan.

Lawatan ke Taman Lestari Permai turut dihadiri sekurang-kurangnya 150 pembeli rumah projek perumahan itu, yang meluahkan rasa tidak puas hati apabila projek yang dijadual siap sepenuhnya pada 2006 masih terbengkalai. Sementara itu, Hamzah berkata kementerian akan mengetatkan lagi akta-akta yang terkandung di dalam Dasar Perumahan Negara (DPN) untuk mengelakkan berlakunya projek perumahan terbengkalai. "Apabila perkara itu mendapat persetujuan dari semua pihak yang terlibat dalam industri perumahan, ia akan kita (kementerian) kemukakan kepada jemaah menteri akhir tahun ini," katanya. [seterusnya]

Agak malang bagi nasib sesetengah pembeli rumah yang lain kerana langsung tidak mendapat perhatian daripada pihak yang sepatutnya samada daripada Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Pusat. Kalau semasa era pemerintahan BN di Selangor sebelum 8 Mac 2008 yang lalu, Pembeli Desa Kerayong Indah dilayan seolah-olah seperti melukut di tepi gantang apabila berhadapan dengan EXCO Kerajaan Negeri Selangor. Mantan Menteri Besarnya apatahlagi, langsung tidak ambil peduli dengan Projek Pemberimilikan Tanah Terancang tersebut.

Dan kini apabila Pakatan Rakyat telah memegang tampuk pemerintahan Selangor, Wakil Rakyat Parlimen Kuala Selangor, EXCO Perumahan dan Menteri Besar yang baru tidak langsung menunjukkan tanda-tanda akan membantu kita untuk menyelesaikan kemelut Rumah Terbengkalai Desa Kerayong Indah yang telah berlanjutan 9 tahun ini. 100 hari pemerintahan mereka yang pada hari ini kita lihat lebih kepada isu untuk menjadi popular seperti Projek Ladang Babi di Kampung Tumbuk berbanding dengan isu perumahan yang dialami oleh rakyat Selangor.

Malahan saya mendapat maklumat bahawa salah seorang pembeli Desa Kerayong Indah yang telah bertemu dengan pucuk pimpinan negeri untuk mengadu masalah yang dihadapi berkenaan dengan Rumah Terbengkalai Desa Kerayong Indah ini. Beliau bukan sahaja ditempelak dengan keras, malahan dikecewakan dengan jawapan bahawa Projek tersebut tidak akan diteruskan walaupun pembeli-pembeli telah mengalami kerugian sehingga ratusan ribu ringgit.

Apakah kerana kita semua Melayu, maka siapa sahaja yang memerintah boleh mengabaikannya? Mana perginya Wakil Rakyat Kuala Selangor yang selama ini kita harap dapat membantu apabila memenangi PRU-12 yang lalu? Berbanding dengan Wakil Rakyat Lain yang telah sibuk mengunjungi dan menyelesaikan masalah rakyat mereka.


Friday, June 6, 2008

Peringatan Terakhir



Pembeli-pembeli Projek Pemberimilikan Tanah Terancang dan Projek Perumahan Desa Kerayong Indah adalah diingatkan untuk KALI TERAKHIR bahawa Tempoh dan Hadmasa yang sah dari segi perundangan untuk memfailkan Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah adalah sehingga hujung bulan Jun 2008 ini bagi pembeli yang terawal menandatangani perjanjian pembinaan dengan Kontraktor Bumi Circle Sdn. Bhd.

Selepas daripada tarikh tersebut, pembeli tidak lagi berkelayakan untuk memfailkan tuntutan di mana-mana mahkamah di negara kita ini sepertimana yang telah termaktub di dalam perundangan.

Pihak peguam juga telah memaklumkan bahawa Jun 2008 ini juga merupakan TARIKH AKHIR bagi pembeli-pembeli Desa Kerayong Indah untuk menyerahkan dokumen tuntutan bagi tujuan memfailkan tuntutan gantirugi di Mahkamah Tinggi Shah Alam bersama pembeli kumpulan 1,2,3,4 dan 5 yang telah memfailkan tuntutan mereka sebelum ini.

Kumpulan ke-6 ini merupakan Kumpulan Terakhir di dalam proses Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah. Tidak akan ada Kumpulan ke-7 dan seterusnya kerana proses tuntutan ini telahpun memasuki fasa perbicaraan dan pihak peguam akan HANYA menumpukan perhatian terhadap perbicaraan yang akan menyusul tidak lama lagi.

Tambahan pula pihak defendan sedang meneliti dan dijangka akan mengambil tindakan penguguran kes (Limitation) terhadap mana-mana pembeli yang telah tamat Tempoh dan Hadmasa tersebut.

Oleh yang demikian, pembeli-pembeli yang masih belum memfailkan tuntutan agar segera menyediakan dokumen-dokumen yang diperlukan [ Klik disini ] seterusnya menyerahkannya kepada pihak peguam untuk tindakan lanjut sebelum 30 Jun 2008. Sila hubungi kami untuk pertanyaan tentang memfailkan tuntutan.






Wednesday, June 4, 2008

Minyak Naik Lagi - Penipu Malaysia (PM)



Putrajaya 4 Jun 2008 - Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan senarai harga baru bagi Petrol dengan pertambahan besar dari RM1.92 sekarang kepada RM2.70. Sementara harga minyak diesel pula naik daripada RM1.58 kepada RM2.58 berkuatkuasa mulai tengah malam ini. Kenaikan sebanyak 41 peratus bagi petrol dan 63.3 peratus bagi diesel.

Kenaikan harga itu adalah sebahagian daripada langkah kerajaan untuk mengawal subsidi bagi menampung kenaikan petrol, diesel dan gas, yang dijangka berjumlah RM56 bilion tahun ini, katanya di sidang media di Putrajaya. [ Baca Lagi... ]

Inilah hadiah dan penghargaan kepada Hamba Rakyat yang 100% menyokong kepimpinan PM yang "tersohor" yang dibanggakan oleh pengampu-pengampu UmNO. Sejak PRU-12 yang lalu, rakyat semakin terhimpit dengan pelbagai kemelut yang tercetus seperti krisis makanan yang mencetuskan perbalahan dan pertikaian semua pihak termasuk krisis susu, tepung, gula, minyak masak dan yang terbarunya beras yang menjadi makanan utama rakyat Malaysia.

Sehari sebelum itu, PM dan Dato Shahrir berkata bahawa minyak tidak akan dinaikkan dalam masa yang terdekat dan menjangkakan kenaikan hanya berkuat-kuasa pada Ogos 2008 nanti. Tetapi hari ini, tak semena-mena PM dan Shahrir berbohong kepada rakyat apabila mengumumkan kenaikan secara tiba-tiba dan berkuat-kuasa pada 12:01 tengah malam 5 Jun 2008. Inilah contoh Islam Hadhari yang mereka perjuangkan dengan menonjolkan penipuan secara terang-terangan.

Manakala Akhbar pengampu UtusanM
cuba mengalih tajuk berita dengan melaporkan pengguna masih meraih subsidi petrol, tetapi ditukar bentuk kepada rebat iaitu pemotongan terhadap cukai jalan kenderaan. Apa ni!!!! Toksah fikir lebih mendalam, macam mana dengan mereka yang tidak berkenderaan tetapi menggunakan petrol dan diesel seperti pemotong rumput, generator, pam air, mesin-mesin dan enjin-enjin, bengkel-bengkel kenderaan yang menggunakan petrol dan diesel dan macam-macam lagi industri.

Lihatlah nanti kesan-kesan yang bakal menyusul bilamana TNB telah diberikan kebenaran kenaikan tarif elektrik berkuatkuasa pada Julai 2008 ini, kenaikan resin (plastik), permintaan kenaikan tambang bas dan lain-lain lagi yang akan naik dan semakin naik... (Yang peliknya Selangor boleh beri air percuma kepada rakyat untuk 20 meter padu pertama)

Ekoran kenaikan harga bahanapi diperingkat antarabangsa bermakna Petronas juga meraih keuntungan berlipat kali ganda. Bukankan itu ada timbal balik kerana negara kita adalah pengeluar minyak tidak seperti Indonesia (telah tidak mengekspot minyak lagi), Singapura, Thailand dan lain-lain negara di Asia ini. Cuba tanya berapa harga minyak di negara-negara pengeluar minyak.... [Baca Lagi... ]
  • Malaysia RM2.70
  • Iran RM0.29
  • Venezuela RM0.16
  • Turkemenistan RM0.39
  • Arab Saudi RM0.19
  • Mesir RM0.81
Marah...memang kita patut marah lantaran pengumuman yang dilakukan adalah secara tergesa-gesa. Apa tidaknya, perlaksanaannya tidak sampai tempoh 24 jam selepas diumumkan. Sedangkan peraturan larangan pembelian petrol dan diesel kepada warga asing masih samar-samar terutamanya dari kenderaan warga Singapura yang masih lagi tidak dapat dilaksanakan walaupun larangan kepada kenderaan Thailand telahpun berkuat-kuasa. Kini Penipu Malaysia bercadang untuk menarik balik larangan tersebut. [ Baca Lagi... ]

Sehingga jam 11:59 malam ini (Rabu), deretan kenderaan masih kelihatan di stesen minyak sepertimana yang saya sendiri alami. Agaknya, warga Singapura tersenyum sendiri apabila menyaksikan fenomena dan ketaksuban rakyat Malaysia terhadap pemimpin mereka yang bergelar Perdana Menteri. Sekali umum, tiada siapa yang berani membantah...cakap belakang, boleh lah...Ingatkan warga Singapura yang merasai keperitan kenaikan kos bahanapi ini, tetapi yang menjadi mangsanya adalah rakyat sendiri.

Apakah kekalutan ini ada kena-mengena dengan PRU-12 atau isu Tun Dr Mahathir atau isu peralihan kuasa (DSAI) atau isu Pulau Batu Putih atau isu Sabah? Atau sememangnya pentadbiran PM terlalu lemah atau sememangnya UmNO semakin dayus dengan membiarkan rakyat semakin terhimpit sedangkan dalam masa yang sama mereka yang kaya semakin kaya. Marahkan nyamuk habis kelambu dibakar. Kera di hutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan.

Artikel berkaitan :
Buletin Online
Cerita Disebalik Kenaikan Harga Minyakl
Minyak Naik Darahpun Naik
Minyak Naik - Hadiah Untuk Rakyat




Monday, June 2, 2008

Kerajaan Negeri Sedia Jadi Penjamin

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor diberitakan bersedia menjadi penjamin bank kepada penghuni setinggan yang ingin membuat permohonan pinjaman bagi membeli kediaman sendiri. Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata, pendekatan tersebut adalah langkah segera kerajaan negeri bagi mengatasi masalah setinggan sepenuhnya.

Menurut Iskandar lagi, berdasarkan bancian terakhir bertarikh 7 Mei lalu, lebih 10 penempatan setinggan dengan jumlah penduduk melebihi 2,000 direkodkan. Daripada jumlah itu, sebanyak 0.6 peratus yang masih berada di tapak kerana berhadapan masalah pinjaman bank dan penempatan sementara yang belum selesai. Menerusi pendekatan ini (menjadi penjamin), kerjaan negeri yakin usaha mengatasi masalah setinggan dapat diatasi peringkat demi peringkat, katanya kepada pemberita.

"Seramai 268 keluarga telah membawa kes mereka ke mahkamah sementara setinggan yang lain masih menunggu penyelesaian masing-masing" - Iskandar


Dalam masa sama, katanya, bantuan lain turut disalurkan termasuklah meneruskan pemberian elaun perpindahan seperti dilaksanakan kerajaan negeri sebelum ini (BN) berjumlah RM500 hingga RM2000. [
Seterusnya...]

Kita ingin memaklumkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan Negeri Selangor bahawa Pembeli-pembeli rumah Desa Kerayong Indah di atas rezab Melayu (diluluskan oleh EXCO) sebenarnya juga adalah berhak untuk mendapatkan penyelesaian terhadap apa yang telah Kerajaan Negeri perlakukan kepada kami semua yang 100% Melayu Islam ini.

Janganlah kerana yang melakukan angkara ini adalah pimpinan Kerajaan terdahulu yang menjadi seteru politik mereka, maka kami semua menjadi mangsa dek pertikaian untuk membuktikan siapa sebenar yang menjadi dalang merompak wang rakyat. Jangan terlalu berdolak dalik kerana perjuangan menuntut HAK tetap akan kami teruskan walau ada diantara kami yang tidak berkesempatan untuk merasai kejayaan ini yang telahpun pergi menemui Ilahi.

Kalau Kerajaan Negeri sanggup menjadi penjamin kepada setinggan, apa kurangnya Projek Desa kerayong Indah ini yang mana Kerajaan Negeri secara tidak langsung telah menjadi penjamin kepada projek tersebut bilamana Pejabat Tanah Kuala Selangor telah mengeluarkan surat tawaran pemilikan rumah secara bersyarat?

Juga kepada Dr Zulkefly Ahmad , Ahli Parlimen Kuala Selangor merangkap Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pembangunan PAS agar janganlah hanya duduk diam merasai keselesaan bangku MP tanpa mengambil tahu masalah rakyat di bawah parlimen anda kerana 90 hari kejayaan yang dinikmati pasti akan berkubur dengan doa daripada rakyat yang menuntut HAK mereka. Mungkin anda lupa, tetapi sejarah tidak akan lupa.....