Makluman Tarikh Mahkamah & Isu Semasa

Saturday, September 8, 2007

Apa yang Indah, Desa atau Konfliknya?

Sedutan Perbahasan di Dewan Rakyat pada 27hb. Mac 2006.

Tuan Mohd. Daud bin Tarihep [Kuala Selangor]:
Saya hendak berpindah Tuan Yang di-Pertua kepada isu kedua iaitu soal Pembangunan Perumahan. Kuala Selangor merupakan sebuah daerah pelancongan. Slogannya ‘Kuala Selangor Indah Dan Bersejarah’. Tetapi saya lihat Kuala Selangor hari ini semacam suatu dumping ground, dengan izin yang mana pencemaran baik parit, baik sungai, apatah lagi dengan kerakusan pemaju perumahan. Saya ambil contoh Shah Alam 2 yang membangunkan Puncak Alam 2. Setiap kali hujan lebat dengan kolam takungannya yang tidak memadai dan tidak diselenggarakan dengan baik menyebabkan limpahan air banjir lumpur ke perkampungan Bukit Hijau di bersebelahannya. Pemaju dapat untung, rakyat dapat lumpur. Sagu hati duit sabun pun susah hendak dapat, patutnya pemaju beri belas ihsanlah sedikit.

Oleh kerana saya lihat enforcement, dengan izin penguatkuasaan yang dijalankan oleh pihak-pihak berkuasa amat longgar. Bukannya undang-undang peruntukan tidak diadakan dalam Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 begitu juga dengan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, peruntukan undang-undang cukup, mungkin yang perlu ditambah ialah jumlah denda. Disebut denda RM50,000 tidak kurang dan penjara sehingga tiga tahun. Tetapi saya tidak pernah dengar lagi walaupun orang kampung sudah membuat laporan polis, tindakan mahkamah untuk membawa pemaju ini agar dapat diambil tindakan, saya tidak dengar dan kita harus bertegas mengenai perkara ini. Kita tidak mahu orang kampung susah dan kalau perkara ini berterusan nampaknya mereka tidak akan menyokong kerajaan. Mungkin mereka akan menyokong parti pembangkang.

Tuan Mohd. Daud bin Tarihep [Kuala Selangor]: Begitu juga satu lagi ...... Yang Berhormat bagi Ledang tunggu sekejap. Kerayong Desa juga merupakan kawasan pembangunan perumahan yang sama bentuknya. Kawalan pembangunannya amat lemah menyebabkan banjir lumpur ke kawasan kampung Bukit Kerayong dan selaku Ahli Parlimen kawasan berkenaan, saya cukup dukacita. Saya tidak mahu perkara yang sama berulang, banjir kilat di Shah Alam dan perkara ini tidak dapat diselesaikan - banjir lumpur di kampung-kampung yang berkenaan. Silakan Yang Berhormat bagi Ledang.

Ir. Haji Hamim bin Samuri [Ledang]: Terima kasih Yang Berhormat bagi Kuala Selangor. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya terus kepada soalan pokok tadi. Tuan Yang di-Pertua, pelan yang dimajukan oleh pihak pemaju cantik, disemak dan disahkan oleh arkitek ataupun jurutera perunding yang berkaitan. Kemudian diluluskan oleh PBT, tetapi contohnya yang paling mudah difahami ialah ‘perangkap lumpur’ yang dinyatakan di dalam pelan-pelan yang dikemukakan, yang disahkan oleh perunding yang diluluskan oleh PBT atau oleh jawatankuasa yang berkaitan.

Tetapi apabila sampai ke tahap pelaksanaan, lumpur-lumpur masih lagi mengalir dan menyebabkan parit dan sungai menjadi cetek dan tersumbat. Undang-undang sedia ada, tetapi penguasaan mungkin longgar dengan sebab kita tidak cukup anggota dan sebagainya. Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mencadangkan kalau Yang Berhormat bagi Kuala Selangor boleh bersetuju supaya deposit dikenakan kepada pemaju-pemaju. Kalau ‘perangkap lumpur’ misalnya kenakan deposit. Kos pembinaan ‘perangkap lumpur’ kalau pemaju tidak buat, majlis buat atau PBT buat. Adakah Yang Berhormat bagi Kuala Selangor bersetuju?

Tuan Mohd. Daud bin Tarihep [Kuala Selangor]: Yang Berhormat bagi Ledang terima kasih. Saya setuju dengan cadangan itu sebab beliau seorang engineer. Saya pun tidak faham, jurutera yang bekerja di syarikat perumahan berkenaan belajar di mana pun saya tidak faham. Sedangkan sudah dapat nasihat perunding daripada Jabatan Pengairan dan Saliran tetapi itulah rupa bentuknya dan Pihak Berkuasa Tempatan pula tidak dapat mengambil tindakan yang tegas kepada mereka.

Dato’ Wan Adnan bin Wan Mamat [Indera Mahkota]: Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Sebenarnya apa yang berlaku di Kuala Selangor dan Shah Alam itu juga berlaku di tempat saya di Kuantan dan juga di kawasan Indera Mahkota. Sebenarnya seperti yang dinyatakan oleh Yang Berhormat bagi Ledang tadi berkenaan kelulusan yang diberi, seperti mana juga pertumbuhan pembangunan yang pesat di Kuala Lumpur contohnya, jalan-jalan ataupun elevated highway telah dibina sedangkan saliran utama contohnya di Shah Alam apabila berlaku banjir kilat, hanya satu saliran sahaja iaitu Sungai Shah Alam sedangkan saliran lain tidak dibina. Ini akan menyebabkan berlakunya banjir kilat pada bila-bila masa apabila hujan lebat. Ini akan tetap berlaku pada bila-bila masa sahaja. Terima kasih.

Tuan Mohd. Daud bin Tarihep [Kuala Selangor]: Terima kasih Yang Berhormat bagi Indera Mahkota. Saya gulung, bagi mengatasi masalah ini, jangka panjang saya kira delivery system atau sistem penyampaian kerajaan perlu berkesan dan kita kena bertegas. Kalau didapati ada pegawai-pegawai kerajaan yang bertugas di pejabat-pejabat Pihak Berkuasa Tempatan yang menyeleweng atau ada elemen ‘kautim’ atau unsur rasuah yang menyebabkan tindakan tidak dapat dilaksanakan, saya harap tindakan tatatertib dan Badan Pencegah Rasuah masuk membuat siasatan untuk mengelakkan perkara ini berterusan. Satu lagi Tuan Yang di-Pertua, saya menyokong supaya pihak media massa sama elektronik, TV dan juga akhbar terus membuat pendedahan kepada umum tentang pencemaran dan sebagainya agar kerajaan dapat mengambil tindakan dengan serta-merta. Dengan ini saya ingin menyokong. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Rujukan : Laporan Dewan Rakyat 27 Mac 2006 (Mukasurat 84~86)

Komen Blogger : Siapa yang harus dipertanggung-jawabkan terhadap kesusahan yang dihadapi oleh orang kampung dan Pembeli Desa kerayong Indah yang teranaiya ini? Kepada Allah jualah kita memohon setelah kita berusaha untuk mengembalikan semula segala kerugian kita selama ini melalui tindakan undang-undang.


No comments: