Makluman Tarikh Mahkamah & Isu Semasa

Friday, April 20, 2007

Pengenalan





Desa Kerayong Indah merupakan sebuah Projek Perumahan di bawah Kerajaan Negeri Selangor di kenali sebagai Projek PemberiMilikan Tanah Terancang di bawah Program Pembesaran Kampung, Kampung Bukit Kerayong, Mukim Jeram, Kuala Selangor, Selangor.

Dengan keluasan tanah sebanyak 216 ekar dan terletak di pinggiran bukit dan berstatuskan Rezab Melayu, ianya telah diilhamkan untuk pemberimilikan tanah terancang kepada individu dan orang perseorangan melalui kelulusan Majlis Exco Negeri Selangor Darul Ehsan.

Pelbagai rekaan rumah seperti Tanjung (RM45,000), Cempaka (RM98,000), Lot Banglo Melati (RM128,000), Lot Banglo Mawar (RM138,000) dan Lot Kedai telah ditawarkan secara terbuka kepada orangramai.

Antara kemudahan-kemudahan yang bakal disediakan termasuk sebuah masjid, sekolah rendah agama, lot-lot kedai dan lain-lain lagi.

Projek ini telah dilancarkan secara rasmi oleh YAB Menteri Besar Selangor Dato' Seri Abu Hassan Bin Omar pada 29hb Jun 1999 di salah sebuah hotel terkemuka di Shah Alam.

Melalui Pejabat Tanah Kuala Selangor setiap Pembeli Desa Kerayong Indah ini telah diberikan surat tawaran pemilikan tanah terancang ini berserta dengan syarat iaitu menyetujui perlantikan Bumi Circle Sdn. Bhd. sebagai Kontraktor rasmi yang juga akan menyediakan kemudahan infrastruktur seperti jalanraya dan lain-lainnya. Pembeli juga dikehendaki menandatangani Perjanjian Pembinaan dengan kontraktor tersebut.

Setelah 36 bulan masa berlalu, seperti yang telah dijanjikan di dalam Perjanjian Pembinaan tersebut, Projek Perumahan yang memuatkan hampir 1100 buah rumah ini telah terbengkalai sepenuhnya dan disahkan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

Sehubungan dengan itu, seramai 130 orang Pembeli Kumpulan 1 telah memfailkan Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah ini di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 24hb. April 2007 yang lalu dan diikuti oleh Pembeli Kumpulan 2, Kumpulan 3 dan Kumpulan 4.

Keujudan Kumpulan-Kumpulan Pembeli ini adalah disebabkan oleh faktor masa dan pemberitahuan yang agak sukar memandangkan ramai pembeli yang gagal dihubungi untuk tujuan pemakluman walaupun kita telah memulakan gerak kerja semenjak Disember 2006 yang lalu.

Akhirnya, semoga kes tuntutan ini akan BERJAYA sepertimana yang diharapkan oleh semua pembeli untuk mengembalikan semula segala kerugian samada wang ringgit mahupun masa yang telah dibazirkan dalam penantian tersebut. Semoga Allah s.w.t. akan memperkenankan doa dan permintaan kita semua yang telah teranaiya ini. Amin.

Wassalam
Blogger.