Makluman Tarikh Mahkamah & Isu Semasa

Sunday, January 30, 2011

Update Terkini 30hb Januari 2011


Update Terkini.
Menurut sumber daripada pihak peguam, Kerajaan Negeri Selangor telah memberikan "lampu hijau" bagi menyelesaikan masaalah Projek Perumahan Terbengkalai Desa kerayong Indah ini.

Berdasarkan kepada perbincangan terkini diantara fasilitator kepada Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Projek Perumahan Terbengkalai yang ditubuhkan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dengan pihak Peguam kita, secara asasnya mereka telah bersetuju untuk memenuhi tuntutan utama kita iaitu menyelesaikan pinjaman bank sediada sebelum memulakan langkah seterusnya untuk memulihkan Projek Perumahan Desa Kerayarong Indah yang telah terbengkalai ini sejak 2002 yang lalu.



Kita sebenarnya bukan tidak yakin untuk Kerajaan Negeri dan Pemaju Baru untuk menyiapkan Projek ini. Apa yang perlu kita tekankan ialah adakah setelah menandatangani Perjanjian Baru, mereka akan dapat menyiapkan projek ini dalam masa yang ditetapkan, atau ianya akan terbengkalai lagi sepertimana yang seringkali berlaku di dalam projek pemulihan rumah terbengkalai di negara kita ini?

Jika ini berlaku, maka harapan kita untuk mendapatkan hak terhadap rumah tersebut akan tidak kesampaian lagi dan dalam masa yang sama, hak dari segi perundangan untuk membuat tuntutan akan terbatal kerana ianya telah melangkau Tempoh dan Hadmasa 6 tahun daripada tarikh asal untuk membuat tuntutan.

Inilah yang JawatanKuasa Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Rumah Desa Kerayong Indah dan kita semua perjuangkan selama ini bukan sahaja untuk mendapatkan jaminan kejujuran mereka membantu rakyat, tetapi juga demi untuk mendapatkan hak kita yang selama ini dinafikan. Atau setidak-tidaknya kita mendapat keputusan "win-win situation".

Kita dimaklumkan bahawa tindakan yang akan diambil oleh mereka terhadap tuntutan kita dan menyelesaikan kes rumah terbengkalai ini adalah :-
  • Mendapatkan dana daripada "anchor bank" (senaraian 2 bank utama)
  • Menyelesaikan Pinjaman Bank sediaada
  • Menyediakan Pembiayaan Baru dengan bank yang dilantik.
  • Memberi pilihan kepada pembeli samada untuk terus memiliki rumah tersebut atau menjualkannya kepada Pemaju yang baru dengan harga yang akan dipersetujui oleh kedua belah pihak.
  • Menandatangani surat Penamatan Kontrak dengan Bumi Circle Sdn Bhd.
  • Menyiapkan projek perumahan tersebut (projek mesti diteruskan) dalam masa 2-3 tahun dengan penambah-baikan dari segi kualiti rumah kepada 3 fasa (biasa, pertengahan dan atasan)
  • Membina semula lebih 60 buah rumah yang mengalami kerosakan teruk.
  • Menaik taraf rumah kepada rumah 2 tingkat bagi unit-unit yang terpilih.





Insyaallah, fasilitator kepada Task Force dijangka akan mengadakan "presentation" pada bulan Mac 2011. Semua pembeli (yang menyertai saman atau tidak) disarankan menghadirkan diri untuk mendapatkan penjelasan yang lebih lanjut tentang penyelesaian yang akan diadakan ini nanti. Kerajaan negeri melalui Task Force dijangka akan mengeluarkan surat jemputan kepada semua pembeli dalam masa yang terdekat.

Jika ini menjadi kenyataan, kita amat bersyukur kerana sekurang-kurangnya pihak kerajaan negeri Selangor ini telah mula menunjukkan keprihatinan mereka terhadap masaalah kita. Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah yang telah difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 24 April 2007 yang lalu setidak-tidaknya telah menjadikan penentu kepada keputusan yang bakal mereka buat, yakni mereka telah bersetuju pada asasnya untuk menyelesaikan pinjaman bank yang telah tertunggak sejak sekian lama.

Namun begitu, sepertimana yang telah kita sedia maklum dan dipersetujui sebelum ini bahawa proses-proses yang akan dijalankan itu nanti akan hanya dilangsungkan (termasuk menandatangani perjanjian) apabila mereka telah melangsaikan semua hutang-piutang kita dengan pihak bank sedia ada. Jika ini gagal dilaksanakan, maka proses Tuntutan Mahkamah akan diteruskan seperti biasa.

Oleh yang demikian semua plaintif diminta untuk merujuk kepada pihak peguam sekiranya terdapat sebarang keraguan berkenaan dengan tawaran yang dikeluarkan oleh mereka.

Mudahan Allah mempermudahkan tuntutan kita.