Makluman Tarikh Mahkamah & Isu Semasa

Thursday, September 6, 2007

Rasuah - BPR Siasat Pegawai Pejabat Tanah Selangor

Panas! Panas!! Panas !!! Pejabat Tanah Mana?

Walaupun baru berusia 26 tahun dan tidak sampai tiga tahun berkhidmat, seorang pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) di Selangor memiliki wang tunai hampir setengah juta ringgit dalam akaun simpanan tetap dan dua kereta mewah.

Selain kereta mewah yang masing-masing berharga RM150,000 dan RM170,000 itu, pegawai kumpulan profesional dan pengurusan itu memiliki rumah berharga kira-kira RM150,000. Rumah berkenaan kini disita kerana dipercayai dimiliki hasil daripada rasuah, manakala harta lainnya dirampas mengikut Seksyen 26 Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Pengarah BPR Selangor, Mohd Jamidan Abdullah, berkata pegawai itu disiasat kerana disyaki menerima rasuah RM2 juta daripada sebuah syarikat pemaju sebagai ganjaran menyelesaikan urusan rasmi membabitkan agensi berkenaan termasuk meluluskan pembangunan tanah dan menukar status tanah.

"Kes ini disiasat mengikut Akta Pencegahan Rasuah 1997. Bagi kakitangan kerajaan yang disiasat kerana rasuah, BPR mempunyai kuasa menyita semua harta yang dipercayai diperoleh hasil daripada rasuah.

"Kami bagaimanapun belum menahan pegawai terbabit kerana masih dalam siasatan tetapi kami akan cuba menyiapkan siasatan dengan segera," katanya ketika ditemui selepas majlis penutup Pidato Pencegahan Rasuah Pra-universiti Piala Pusingan Menteri Besar Selangor 2007 di sini, semalam.

Mohd Jamidan berkata, BPR percaya pegawai terbabit mula menerima rasuah sejak akhir tahun lalu dan pihaknya masih menyiasat harta lain yang dimilikinya.

Kes itu disiasat selepas BPR menerima aduan orang awam yang curiga dengan kemewahan hidup pegawai terbabit kerana usianya masih muda, di samping risikan oleh kakitangan BPR.

Beliau berkata, kertas siasatan kes itu sudah hampir selesai dan akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Selain pegawai berkenaan, 58 orang termasuk kakitangan kerajaan dan swasta ditahan BPR setakat akhir bulan lalu.

Rujukan : Sumber Berita Harian:5hb September 2007

Komen Blogger : Inilah yang berlaku jika WANG menguasai manusia tanpa memikirkan kesan yang berlaku ke atas orang lain.


No comments: