Makluman Tarikh Mahkamah & Isu Semasa

Sunday, February 24, 2008

Protes Menghiasi Penamaan Calon Kuala Selangor


Penamaan Calon yang berlangsung di Pusat Penamaan Calon Stadium Tertutup Kuala Selangor bagi Parlimen dan DUN Kuala Selangor pada Ahad 24 Februari 2008 telah dihiasi dengan Protes daripada sekumpulan Pembeli Rumah Terbengkalai Desa Kerayong Indah.

Dalam majlis penamaan calon tersebut, pembeli Rumah Terbengkalai Desa Kerayong Indah di dalam DUN Jeram yang kecewa dengan sikap acuh tak acuh pihak yang berkenaan yang selama ini diyakini dapat membantu rakyat untuk memiliki sebuah rumah di Desa Kerayong Indah telah mengadakan satu protes di Pusat Penamaan Calon.

Protes tersebut telah berjalan dengan lancar tanpa halangan daripada pihak bekuasa seperti Polis dan FRU memandangkan protes yang dilakukan tersebut tidak mengganggu dan menggugat ketenteraman awam.



KEM BARISAN NASIONAL (BN)
Pada kem Barisan Nasional (BN), protes ditujukan kepada calon Wakil Rakyat DUN Jeram Amirruddin Setro dan calon Parlimen Kuala Selangor yang baru Sdr Jahaya Ibrahim agar mereka memahami bahawa rakyat di bawah kawasan mereka amat kecewa dengan kegagalan mereka membantu pembeli-pembeli rumah Desa Kerayong Indah yang telah melangkaui
9 tahun penantian sejak 1999 yang lalu.

Semasa perarakan tersebut, calon-calon BN dan mereka-mereka yang turut mengiringi tidak terlepas pandang ke arah kumpulan pembeli yang mengambil bahagian di dalam protes tersebut. Ini adalah kerana lokasi tempat kumpulan pembeli mempamerkan kain rentang adalah amat startegik dan tepat di laluan ke arah pintu masuk Stadium Kuala Selangor.

Diantara perkataan-perkataan yang terdapat pada kain rentang tersebut ialah :-
  • Tolong saya 1 minit, saya tolong 5 tahun. Desa Kerayong Indah dah 9 tahun, tiada siapa yang tolong!!!
  • Kemana pemimpin pembela rakyat??? Sedangkan DKI 9 tahun terus terbengkalai???
  • Projek rumah terbengkalai 9 tahun! 2000 orang nak undi siapa?
  • Desa Kerayong Indah. Jangan janji kosong pilihanraya.
  • Desa Kerayong Indah. Pemaju melayu tipu pembeli melayu.
  • Desa Kerayong Indah? Abandoned! Mana rumah kami?? Jumlah pembeli > 2000. Nak undi siapa???
  • Buktikan kepimpinan. Bantu kami.

Pihak media yang berada di kawasan tersebut juga tidak melepaskan peluang untuk memfokuskan lensa kamera mereka ke arah kumpulan pembeli.
Klik disini untuk gambar-gambar penuh.






Dalam pada itu, terdapat provokasi yang sengaja dicetuskan oleh kem BN yang sedang berarak bilamana pembeli-pembeli rumah terbengkalai telah di "boo" sambil mereka mengeluarkan kata-kata kesat yang mencerca pembeli-pembeli yang datang untuk melahirkan kekecewaan terhadap rumah yang telah terbengkalai sepenuhnya ini. Namun begitu, pembeli-pembeli yang memprotes telah diperingatkan sebelum ini agar tidak membalas atau mengeluarkan kata-kata kesat sekiranya berlaku provokasi sedemikian bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.







KEM BARISAN ALTERNATIF (BA)
Pada Kem Barisan Alternatif pula, agendanya ialah untuk disampaikan kepada calon DUN Jeram Hairi@Maruji Darmo dan calon Parlimen Dr Dzulkifly Ahmad agar membantu pembeli-pembeli rumah Desa Kerayong Indah sekiranya
mereka memenangi kerusi tersebut dan menjadi wakil rakyat di dalam Pilihanraya Umum 2008 ini. Klik disini untuk gambar-gambar penuh.


Berbeza dengan kem BN, pembeli-pembeli telah diberikan sepenuhnya ruang dan semangat oleh Barisan Alternatif (BA) di kem mereka untuk pembeli-pembeli Desa Kerayong Indah menaikkan kain rentang ini.

Semasa berada di lokasi kem Barisan Alternatif juga, pihak media yang telah berada di dalam kawasan stadium tidak putus-putus merakamkan gambar-gambar kumpulan pembeli yang menaikkan kain rentang. Malahan ada juga yang merakamkannya melalui kamera video.




TAPAK PROJEK DESA KERAYONG INDAH
Kemudian kumpulan pembeli-pembeli ini telah bergerak ke tapak Projek Desa Kerayong Indah untuk mengantung kesemua kain rentang di sana dan di jalan masuk projek tersebut.




Secara keseluruhannya, program protes yang berlangsung sempena dengan Pilihanraya Umum ke-12 ini telah berjalan dengan lancar seperti yang diharapkan. Semoga mesej yang disampaikan ini diambil perhatian oleh mereka-mereka yang sepatutnya membantu pembeli-pembeli Desa Kerayong Indah ini yang telah teranaiya ini.

Mereka bukan sahaja gagal mendapatkan rumah seperti yang dijanjikan untuk disiapkan pada tahun 2002, malahan dibebankan juga dengan ansuran pinjaman bank yang menjangkau hampir RM1,200.00 setiap bulan.

Wassalam.
Blogger

No comments: