Makluman Tarikh Mahkamah & Isu Semasa

Tuesday, May 8, 2007

Sepetang bersama Pengerusi

Assalamualaikum,
Terlebih dahulu, kita ingin memohon maaf kepada Saudara Pengerusi Jawatan Kuasa Bertindak Pembeli Rumah Desa Kerayong Indah (JBPRDKI) iaitu Saudara Roslan bin Mohammad kerana telah agak lewat berjumpa atau memaklumkan kepada beliau tentang tindakan undang-undang yang telah kita ambil ini, iaitu setelah kita memfailkan tuntutan saman pada 24hb April 2007 terhadap pihak-pihak yang bertanggungjawab.

Alhamdulillah, hasrat kita sebelum ini untuk bertemu dengan Saudara Pengerusi persatuan yang selama ini telah banyak berusaha sejak dari mula penubuhan JBPRDKI akhirnya telah dimakbulkan oleh Allah s.w.t.

Tanggal 5hb. Mei 2007 yang lalu kita telah berjumpa dengan Saudara Pengerusi di Shah Alam, Selangor Darul Ehsan atas kehendak kita sendiri kerana kita merasakan bahawa telah menjadi amalan dan budaya kita semua di dalam satu rumpun kekeluargaan Melayu dan Islam mengkehendaki supaya kita menghormati dan menyanjungi sesiapa jua yang telah diamanahkan sebagai ketua selagi ianya tidak melanggari batasan dan nilai-nilai telah ditetapkan oleh agama.

Kita amat berterimakasih kepada Saudara Pengerusi dan Ahli JawatanKuasa JBPRDKI yang selama ini telah berusaha bersungguh-sungguh mencari jalan keluar terhadap kegagalan pihak Pemaju dan Kontraktor menyiapkan rumah kita itu. Segala sumbangan dan jasa mereka dari segi masa, tenaga dan wang ringgit, hanya Allah jua yang dapat membalasnya.

Di dalam pertemuan yang berlarutan selama 4 jam tersebut, kita telah menjelaskan secara terperinci kepada Saudara Pengerusi bahawa kita telah memikirkan dengan semasak-masaknya tentang tindakan undang-undang yang kita lakukan ini adalah diantara sebaik-baik jalan penyelesaian terhadap permasalahan yang dihadapi oleh Pembeli rumah Desa Kerayong Indah ini.

Saudara Pengerusi sendiri telah mengakui bahawa Projek Desa Kerayong Indah ini memang menghadapi masaalah sejak dari awal lagi dan tidak sepatutnya Pembeli seperti kita yang terpaksa menanggung akibat di atas kegagalan pihak Kontraktor menyiapkan rumah kita sepertimana yang telah termaktub di dalam Perjanjian Pembinaan tersebut serta kegagalan pihak Pemaju di dalam memastikan kerja-kerja pembinaan tersebut dijalankan mengikut jadual yang telah dipersetujui yang akhirnya menjurus kepada pengistiharan Projek Terbengkalai oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

Pertemuan kita dengan Saudara Pengerusi dan beberapa orang Pembeli lain yang ingin turut serta memfailkan tuntutan ini, berlangsung dengan suasana penuh harmoni di mana beliau memahami segala apa yang telah kita perjelaskan tentang tindakan undang-undang yang telah diambil ini.

InsyaAllah, Saudara Pengerusi akan menyertai Kumpulan seterusnya yang akan memfailkan Tuntutan Gantirugi dan kembalikan Wang Pembeli DKI ini dalam masa yang terdekat.

Kita meminta sekali lagi kepada Pembeli-pembeli DKI yang telah dan akan membuat tuntutan ini, agar dapat menyampaikan perkhabaran tindakan undang-undang ini kepada rakan-rakan Pembeli yang lain. Apa yang sangat-sangat kita harapkan ialah kerjasama daripada rakan-rakan Pembeli sekalian untuk berusaha bersama-sama. Kemudian, terpulanglah kepada mereka untuk membuat keputusan samada ingin menuntut kembali HAK mereka atau sebaliknya.

Ingatlah, kita tidak pernah dan tidak akan memaksa sesiapa juga untuk bersama-sama dengan kita untuk menuntut HAK ini kembali kerana kita yakin bahawa setiap Pembeli Desa Kerayong Indah ini mempunyai pilihan dan HAK masing-masing.

Oleh itu kita berharap kepada Pembeli-pembeli Desa Kerayong Indah ini agar berfikirlah dengan semasak-masaknya kerana "berfikir itu ibu segala penyelesaian".

Semoga Allah s.w.t. akan memberikan kekuatan kepada kita.

Wassalam.


No comments: