Makluman Tarikh Mahkamah & Isu Semasa

Sunday, May 6, 2007

Failkan Saman Kumpulan Kedua

Assalamualaikum,

Kami memohon maaf kepada Pembeli-pembeli Desa Kerayong Indah yang lain yang tidak mendapat perkhabaran tentang tindakan undang-undang yang kami lakukan ini. Bukanlah niat kami untuk melepaskan diri masing-masing tanpa memikirkan nasib Pembeli-pembeli yang lain. Apa yang kami lakukan ini adalah sebagai "penyuluh jalan" untuk memudahkan Pembeli-pembeli lain membuat tuntutan yang sama setelah berbagai kepahitan dilalui untuk memulakan gerak-kerja ini sejak Disember 2006 lagi.

Kami banyak menerima panggilan telefon daripada Pembeli-pembeli yang lain, yang selama ini tidak mengetahui akan adanya proses tindakan undang-undang telah diambil. Kebanyakan daripada mereka hanya mengetahui perkara ini apabila berita ini telah tersebar dengan meluasnya di dalam media cetak dan media elektronik pada 25hb April 2007 yang lalu.

Sukacita diberitahu bahawa seperti yang telah kami rancangkan sebelum ini, InsyaAllah Kumpulan Kedua akan memfailkan saman mereka pada awal ataupun pertengahan bulan Mei 2007 ini bagi membolehkan perbicaraan kes tuntutan kita nanti dijalankan serentak dengan Kumpulan Pertama ini.

Sebenarnya tiada istilah pembahagian Kumpulan-kumpulan. Apa yang kami lakukan ini adalah bagi memboleh kes tuntutan kita ini berjalan dengan lancar serta menepati jangkawaktu yang kita harapkan. Memandangkan jumlah Pembeli DKI ini adalah ramai (anggaran 900 orang), maka adalah mustahil untuk mengumpulkan kesemua mereka di dalam satu masa. Ada yang telah berhijrah jauh dari Negeri Selangor Maju ini, ada yang telah bertukar alamat, nombor telefon, e-mail dan lain-lainnya. Malahan ada yang berada diluar negara seperti seorang rakan kita yang kini menyambung pelajaran di Jepun. Malahan ada beberapa orang Pembeli DKI yang telah meninggal dunia.

Tetapi, Alhamdulillah, pemberitahuan tentang Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli ini telah sampai sampai kepengetahuan mereka ataupun waris-waris mereka untuk turut serta menuntut kembali HAK mereka yang kian terhakis menjelang tahun 2008.

Oleh itu, kami berharap agar Pembeli-pembeli yang ingin turut serta memfailkan tuntutan ini, agar segera menyediakan SALINAN dokumen-dokumen yang diperlukan serta membuat tafsiran sendiri tentang jumlah tuntutan mereka. Seterusnya menyerahkannya dokumen-dokumen tersebut kepada Peguam untuk tindakan lanjut.

Sekiranya menghadapi masalah, silalah berhubung terus dengan kami ataupun Peguam. InsyaAllah, kami akan cuba membantu apa yang terdaya.

Wassalam