Makluman Tarikh Mahkamah & Isu Semasa

Thursday, February 28, 2008

Senarai Projek Terbengkalai Di Selangor Dipadamkan?



Hari ini Blogger dikejutkan dengan "kehilangan" senarai projek-projek yang terbengkalai di Negeri Selangor di dalam laman web MB Selangor.

Blogger yang mengunjungi semula laman web tersebut pada hari ini 28 April 2008 terkejut apabila link Senarai Projek Terbengkalai yang mana nama Projek Pembesaran Kampung Desa Kerayong Indah disenaraikan sebelum ini telah dihilangkan dengan alasan,

"Senarai Sedang Dalam Kemaskini.
Lawati semula seksyen ini pada 25 Februari 2008"


Kalau sebelum ini, laman web MB Selangor begitu gah memaparkan nama-nama projek yang terbengkalai di negeri Selangor, tetapi apabila Musim Pilihanraya bermula, ianya merupakan satu tamparan hebat dalam memperjudikan nasib untuk membolehkannya terus memerintah Selangor untuk 5 tahun yang akan datang.

Apakah kerana bimbangkan Pas Selangor yang berjanji akan memperjuangkan serta membela nasib rakyat untuk memiliki sebuah kediaman yang sempurna sekiranya mereka mendapat mandat untuk memerintah Negeri Selangor sepertimana yang terkandung di dalam Manifesto Pas Selangor di dalam PRU-12 ini yang antara lainnya :-
  • Membantu setiap rakyat Selangor untuk mendapatkan kediaman sendiri.
  • Mengurangkan cukai pintu rumah kediaman sebanyak 20%
Oleh itu, kita menuntut supaya "Senarai Projek Terbengkalai" di Negeri Selangor ini dimasukkan semula ke dalam laman web MB Selangor bagi membolehkan kita mengetahui status terkini mana-mana projek yang masih terbengkalai.



Wednesday, February 27, 2008

Artikel Protes Dalam Tranung Kite





Protes yang berlangsung pada Penamaan Calon pada 24 Februari 2008 lalu telah tersiar dalam laman web paling popular Tranung Kite pada hari ini 27 Februari 2008 dengan hit sebanyak 1259 kali dibaca sehingga jam 10:00 malam pada hari yang sama. Ia adalah ranking ke-3 tertinggi diantara artikel-artikel yang lain yang dimasukkan pada hari dan waktu tersebut.

Maklumat lanjut sila layari laman Tranung Kite






Alam Perdana - Apakah DKI Juga Senasib?




Pilihanraya kecil N11 DUN Ijok telah berlangsung sejak hampir 1 tahun lalu iaitu pada 28 April 2007 selepas kematian wakil rakyatnya Datuk K.Sivalingam pada 4 April 2007 akibat serangan sakit jantung di Lapangan Terbang Chennai, India. Kerusi tersebut telah dimenangi oleh calon MIC, K. Parthiban yang juga seorang bekas guru yang berhadapan dengan bekas CEO Kumpulan Guthrie Bhd., Tan Sri Khalid Ibrahim yang mewakili PKR.

Kempen Pilihanraya Ijok 2007
Semasa kempen pilihanraya Ijok 2007, terlalu banyak peruntukan untuk "pembangunan" telah disalurkan ke kawasan DUN Ijok yang menjangkau RM 36 juta dan ianya telah dihabiskan di dalam masa 2 minggu tempoh berkempen tersebut.

Bagi pembeli-pembeli rumah Bandar Alam Perdana yang melibatkan unit-unit rumah pangsa dan rumah teres , aduan demi aduan telah dilakukan kepada pihak yang bertanggungjawab dengan melahirkan keluhan mereka bilamana projek tersebut telah terbengkalai dan sering bertukar pemaju.

Mereka juga telah mengadakan satu protes semasa hari penamaan calon pada 19 April 2007 semasa kehadiran TPM Dato' Seri Najib untuk menyampaikan mesej kekecewaan mereka dengan harapan TPM dapat membantu pembeli-pembeli yang teranaiya ini.


Apa yang menariknya, tempias pilihanraya Ijok turut dapat dirasai sekejap oleh hampir 4000 orang pembeli-pembeli rumah di Bandar Alam Perdana di bawah DUN Ijok yang telah menandatangani perjanjian pada pertengahan tahun 2000 bilamana "mereka" berjanji untuk menyiapkan rumah yang telah terbengkalai tersebut di dalam kempen "mereka".

Namun begitu kegembiraan tersebut hanyalah berpihak kepada pembeli rumah pangsa kos rendah sahaja bilamana Syarikat Perumahan Negara Sdn. Bhd. hanya bersetuju untuk mengambilalih projek rumah pangsa tersebut.

Mesyuarat SPNB dan pembeli yang pada mulanya dijadualkan pada Mei 2007 akhirnya ditangguhkan pada Julai 2007 dan diadakan di Stadium Shah Alam, Shah Alam, Selangor.

Apa yang malangnya, sehingga ke hari ini (27 Februari 2008) iaitu selepas 10 bulan pengambilalihan projek tersebut oleh SPNB, masih lagi tidak menampakkan tanda-tanda mahupun adanya kerja-kerja pembinaan dilakukan dengan alasan belum mencapai sasaran 70% pembeli yang menandatangani perjanjian yang baru tersebut.

Kini diberitakan pula, projek tersebut dijanjikan untuk dimulakan pada bulan Mac 2008 ini bersesuaian dengan Demam Pilihanraya Umum ke-12 (PRU12) ini.

Apakah pembeli-pembeli rumah terbengkalai Desa Kerayong Indah juga akan terpedaya dengan janji-janji manis pilihanraya pada kali ini?

Gambar-gambar terkini rumah pangsa Alam Perdana diambil pada 23 Feb 2008.






Tuesday, February 26, 2008

Taklimat Khas..sambungan





Pari ini ramai dikalangan pembeli-pembeli perumahan terbengkalai Desa Kerayong Indah di dalam DUN Jeram telah menerima surat jemputan rasmi bertajuk "Majlis Taklimat Status Projek Pembesaran Kampung Desa Kerayong Indah, Mukim Jeram, Daerah Kuala Selangor" ..baca seterusnya


Wassalam
Blogger.


Sunday, February 24, 2008

Protes Menghiasi Penamaan Calon Kuala Selangor


Penamaan Calon yang berlangsung di Pusat Penamaan Calon Stadium Tertutup Kuala Selangor bagi Parlimen dan DUN Kuala Selangor pada Ahad 24 Februari 2008 telah dihiasi dengan Protes daripada sekumpulan Pembeli Rumah Terbengkalai Desa Kerayong Indah.

Dalam majlis penamaan calon tersebut, pembeli Rumah Terbengkalai Desa Kerayong Indah di dalam DUN Jeram yang kecewa dengan sikap acuh tak acuh pihak yang berkenaan yang selama ini diyakini dapat membantu rakyat untuk memiliki sebuah rumah di Desa Kerayong Indah telah mengadakan satu protes di Pusat Penamaan Calon.

Protes tersebut telah berjalan dengan lancar tanpa halangan daripada pihak bekuasa seperti Polis dan FRU memandangkan protes yang dilakukan tersebut tidak mengganggu dan menggugat ketenteraman awam.



KEM BARISAN NASIONAL (BN)
Pada kem Barisan Nasional (BN), protes ditujukan kepada calon Wakil Rakyat DUN Jeram Amirruddin Setro dan calon Parlimen Kuala Selangor yang baru Sdr Jahaya Ibrahim agar mereka memahami bahawa rakyat di bawah kawasan mereka amat kecewa dengan kegagalan mereka membantu pembeli-pembeli rumah Desa Kerayong Indah yang telah melangkaui
9 tahun penantian sejak 1999 yang lalu.

Semasa perarakan tersebut, calon-calon BN dan mereka-mereka yang turut mengiringi tidak terlepas pandang ke arah kumpulan pembeli yang mengambil bahagian di dalam protes tersebut. Ini adalah kerana lokasi tempat kumpulan pembeli mempamerkan kain rentang adalah amat startegik dan tepat di laluan ke arah pintu masuk Stadium Kuala Selangor.

Diantara perkataan-perkataan yang terdapat pada kain rentang tersebut ialah :-
  • Tolong saya 1 minit, saya tolong 5 tahun. Desa Kerayong Indah dah 9 tahun, tiada siapa yang tolong!!!
  • Kemana pemimpin pembela rakyat??? Sedangkan DKI 9 tahun terus terbengkalai???
  • Projek rumah terbengkalai 9 tahun! 2000 orang nak undi siapa?
  • Desa Kerayong Indah. Jangan janji kosong pilihanraya.
  • Desa Kerayong Indah. Pemaju melayu tipu pembeli melayu.
  • Desa Kerayong Indah? Abandoned! Mana rumah kami?? Jumlah pembeli > 2000. Nak undi siapa???
  • Buktikan kepimpinan. Bantu kami.

Pihak media yang berada di kawasan tersebut juga tidak melepaskan peluang untuk memfokuskan lensa kamera mereka ke arah kumpulan pembeli.
Klik disini untuk gambar-gambar penuh.






Dalam pada itu, terdapat provokasi yang sengaja dicetuskan oleh kem BN yang sedang berarak bilamana pembeli-pembeli rumah terbengkalai telah di "boo" sambil mereka mengeluarkan kata-kata kesat yang mencerca pembeli-pembeli yang datang untuk melahirkan kekecewaan terhadap rumah yang telah terbengkalai sepenuhnya ini. Namun begitu, pembeli-pembeli yang memprotes telah diperingatkan sebelum ini agar tidak membalas atau mengeluarkan kata-kata kesat sekiranya berlaku provokasi sedemikian bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.







KEM BARISAN ALTERNATIF (BA)
Pada Kem Barisan Alternatif pula, agendanya ialah untuk disampaikan kepada calon DUN Jeram Hairi@Maruji Darmo dan calon Parlimen Dr Dzulkifly Ahmad agar membantu pembeli-pembeli rumah Desa Kerayong Indah sekiranya
mereka memenangi kerusi tersebut dan menjadi wakil rakyat di dalam Pilihanraya Umum 2008 ini. Klik disini untuk gambar-gambar penuh.


Berbeza dengan kem BN, pembeli-pembeli telah diberikan sepenuhnya ruang dan semangat oleh Barisan Alternatif (BA) di kem mereka untuk pembeli-pembeli Desa Kerayong Indah menaikkan kain rentang ini.

Semasa berada di lokasi kem Barisan Alternatif juga, pihak media yang telah berada di dalam kawasan stadium tidak putus-putus merakamkan gambar-gambar kumpulan pembeli yang menaikkan kain rentang. Malahan ada juga yang merakamkannya melalui kamera video.




TAPAK PROJEK DESA KERAYONG INDAH
Kemudian kumpulan pembeli-pembeli ini telah bergerak ke tapak Projek Desa Kerayong Indah untuk mengantung kesemua kain rentang di sana dan di jalan masuk projek tersebut.




Secara keseluruhannya, program protes yang berlangsung sempena dengan Pilihanraya Umum ke-12 ini telah berjalan dengan lancar seperti yang diharapkan. Semoga mesej yang disampaikan ini diambil perhatian oleh mereka-mereka yang sepatutnya membantu pembeli-pembeli Desa Kerayong Indah ini yang telah teranaiya ini.

Mereka bukan sahaja gagal mendapatkan rumah seperti yang dijanjikan untuk disiapkan pada tahun 2002, malahan dibebankan juga dengan ansuran pinjaman bank yang menjangkau hampir RM1,200.00 setiap bulan.

Wassalam.
Blogger


Saturday, February 23, 2008

Pusat Penamaan Calon Kuala Selangor


Penamaan calon bagi P096 Parlimen Kuala Selangor, N10 Bukit Melawati, N11 Ijok dan N12 Jeram akan berlangsung di Stadium Tertutup Kuala Selangor pada Ahad 24 Februari 2008 bermula dari jam 9:00 pagi hingga 12:00 tengahari.

JOM kita beramai-ramai ke Kuala Selangor.









Wassalam
Blogger.


Taklimat Khas?





Blogger dimaklumkan bahawa satu majlis taklimat khas akan diadakan pada minggu hadapan oleh "mereka" khas untuk Pembeli-Pembeli Perumahan Terbengkalai Desa Kerayong Indah pada minggu hadapan (minggu ke-5 Februari 2008).

Sehubungan dengan itu Pembeli-Pembeli yang telah memfailkan Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah diminta untuk memaklumkan kepada kami sekiranya mendapat jemputan tersebut. Apa yang kita harus pertimbangan adalah samada ianya merupakan jalan penyelesaian yang terbaik atau kita akan terus terlena dengan janji-janji manis yang telah berlarutan sejak 9 tahun yang lalu.

Cerita selanjutnya akan menyusul dalam sehari dua ini. InsyaAllah.

Wassalam
Blogger.


Friday, February 22, 2008

Kenali Calon BN Selangor Dalam PRU-12





Semalam (21 Feb 2008) Barisan Nasional Negeri Selangor telah mengumumkan senarai nama-nama calon yang akan bertanding pada Pilihanraya Umum ke 12 (PRU-12) di Negeri Selangor Darul Ehsan ini.

Menteri Besar Selangor Kekal
Desas desus yang mengatakan bahawa Dato' Seri Dr Mohamad Khir Bin Toyo akan berpindah ke kerusi Parlimen untuk merebut jawatan sebagai Ketua Pemuda UmNO terjawab hari ini apabila senarai terkini yang telah dikeluarkan menyenaraikan nama Dr Mohamad Khir dan akan mempertahankankan kerusi N03 Sungai Panjang yang dimenanginya pada Pilihanraya Umum ke-11 pada 2004 yang lalu dengan menewaskan Salbini Ismail (PAS).

Beliau secara automatiknya masih mengekalkan jawatan sebagai Ketua UmNO Selangor walaupun kepimpinannya banyak menimbulkan kemelut bermula daripada perlantikannya sebagai MB Selangor semasa berusia 35 tahun menimbulkan pertikaian semua pihak kerana kesenioritian Timbalan Menteri Besar Selangor
Dato' Dr Zainal Abidin Ahmad pada ketika itu.

Anak Emas Gugur Ganti Menantu?
Selangor adalah diantara negeri yang paling banyak dan kerap diperkatakan umum yang melibatkan korupsi. Namun sehingga kini, tidak ada satupun pendakwaan dilakukan termasuk kes-kes yang melibatkan ADUN Selangor yang lain seperti Dato Zakaria Md Deros yang turut digugurkan daripada calon N46 Pelabuhan Klang dan beliau telah digantikan dengan menantu beliau sendiri iaitu Roselinda Abd Jamil yang juga Ketua Puteri UmNO Klang. Roselinda juga pernah dipertikai perlantikannya sebagai Ahli Majlis MPK kerana status sebagai menantu Dato' Zakaria.

Anak Bapak
Seperti juga bekas Menteri Kesihatan Dato' Seri Chua Soi Lek (isu video) yang mana MCA Negeri Johor mencalonkan anak beliau sendiri Chua Tee Yong sebagai calon bagi kerusi Parlimen Labis. Agaknya BN telah ketandusan pemimpin yang boleh menambat hati rakyat atau masih kekal dengan Tradisi Membela Kroni?

Undur Diri Parlimen Selayang
Begitu juga teka-teki tentang Menteri Pengangkutan Dato' Seri Chan Kong Choy yang dikaitkan dengan PKFZ (RM3.5 billion) telah melepaskan kerusi P097 Selayang yang masih belum ditetapkan penggantinya oleh MCA (sehingga 21 Feb 2008 ini..). Yang pasti Parlimen Selayang akan kekal di tangan MCA walau siapapun calon yang akan diumumkan nanti oleh MCA sendiri.

Parlimen Kuala Selangor Beralih Angin
Sementara itu bagi kerusi Parlimen P096 Kuala Selangor, Mohd Daud Tarihep terpaksa putih mata apabila nama beliau tidak tersenarai di dalam pencalonan tersebut. Beliau yang hanya mampu menyandang kerusi tersebut selama 1 penggal yang tidak sampaipun 4 tahun sejak Pilihanraya Umum pada 2004 yang lalu terpaksa akur dengan keputusan pimpinan UmNO Negeri dan Barisan Nasional.

Beliau yang menjadi Ketua Bahagian Kuala Kuala Selangor sebelum ini dijulang oleh Dr Mohamad Khir pada pemilihan 2001 yang lalu akhirnya amat tidak disenangi oleh beliau sendiri akibat daripada tindak tanduk Mohd Daud yang mengakibatkan UmNO Kuala Selangor hampir berpecah belah. Ada yang mengatakan bahawa lagak beliau mengalahkan MB Selangor itu sendiri.

Apa yang pasti, sepanjang menjadi Ahli Parlimen Kuala Selangor, beliau langsung tidak berbuat apa-apa untuk membantu pembeli-pembeli rumah Desa Kerayong Indah. Selama ini kita mengharapkan agar Ahli Parlimen tersebut yang seringkali menghadiri Persidangan Dewan Rakyat agar dapat menyuarakan kesusahan yang dialami oleh pembeli-pembeli rumah Desa Kerayong Indah bilamana projek Pembesaran Kampong di atas tanah Rezab Melayu yang bernilai lebih daripada RM100 juta ini menemui kegagalan. Begitu juga dengan keluhan dan kesusahan yang dialami oleh penduduk kampong yang seringkali mengalami banjir lumpur bilamana pihak Kontraktor Bumi Circle gagal mematuhi prosedur di tapak projek.

Beliau telah digantikan dengan Naib Ketua UmNO Hj Jahaya Ibrahim yang pernah mencabar Mohd Daud sebagai jawatan Ketua Bahagian pada tahun 2001 yang lalu.

Dewan Undangan Negeri N12 Jeram Kekal
Kerusi N12 DUN Jeram sekali lagi mengekalkan Dato' Amiruddin Setro sebagai calon Pilihanraya PRU-12 2008 ini. Beliau yang kuat mengatur startegi untuk kekal meneraju DUN Jeram telah diberikan kepercayaan oleh pimpinan UmNO untuk mempertahankan kerusi tersebut walaupun beliau juga sama seperti Mohd Daud yang langsung tidak mengambil kisah tentang permasalahan rakyat di DUN beliau sendiri.

Dato Mokhtar Dahlan Tidak Di Calonkan
N39 Kota Damansara berubah angin apabila Dato Mokhtar Dahlan yang juga EXCO Perumahan tidak dicalonkan sebagai calon pada Pilihanraya 2008 ini. Beliau yang selama ini kita lihat gagal memainkan peranan sebagai EXCO perumahan yang antara lain telah mengakibatkan banyak projek-projek perumahan di Negeri Selangor telah terbengkalai. Kita kerapkali melihat muka beliau terpampang di kaca TV di dalam majlis penyerahan kunci rumah, tetapi tidak pada majlis keluhan rakyat yang rumah mereka tak siap-siap sampai sekarang. Inilah yang dikata pemimpin buat kerja tapi tak ikhlas. Kita sebenarnya mahu pemimpin yang jadi penunjuk dan bukannya pemimpin yang suka menunjuk-nujuk.

Semoga apabila telah ada nanti EXCO Perumahan Selangor yang baru, tak kira samada yang menjadi Kerajaan Negeri Selangor adalah daripada Barisan Nasional ataupun barisan Alternatif, projek-projek rumah yang terbengkalai seperti Desa Kerayong Indah ini akan menjadi kenyataan pada suatu hari nanti. Semoga hajat mereka-mereka yang tetap mahukan rumah idaman tersebut di bumi Desa Kerayong Indah, akan tercapai.

Tetapi bagi kita yang telah memfailkan tuntutan di Mahkamah ini, apa yang kita inginkan adalah pengembalian wang tuntutan tersebut agar kemelut ini akan berakhir dengan sebaiknya.

Wassalam
Blogger.