Panggilan Akhir (SAMAN DI MAHKAMAH)

Sila ambil perhatian kepada tentang tarikh akhir kepada pembeli-pembeli yang masih belum memfailkan Tuntutan agar segera berbuat demikian bagi mengelakkan daripada ketinggalan untuk membuat Tuntutan Gantirugi. Tiada apa yang dapat dilakukan lagi sekiranya anda tidak memfailkannya di dalam tempoh yang telah ditetapkan apatahlagi jika Tempoh dan Hadmasa telah berakhir.

Makluman Tarikh Mahkamah & Isu Semasa

Saturday, May 12, 2007

Rumah Terbengkalai

RUMAH Terbengkalai : Apa Kata PM DAN MB SELANGOR ?

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Percaya atau tidak, masalah projek rumah terbengkalai bukan sekadar menghantui orang kebanyakan malahan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo juga tidak terlepas daripada melalui pengalaman pahit itu.

``Jangan kata rumah, cerucuk pun tak naik lagi sampai sekarang,'' kata Mohamad Khir di Shah Alam hari ini yang merujuk kepada pangsapuri yang dibelinya di Salak Tinggi, Sepang pada tahun 1994.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini turut menceritakan nasib malang pembeli rumah di negeri asalnya, yang terpaksa membayar pinjaman selama 20 tahun, sedangkan rumah yang dibeli tidak juga siap-siap.

Kata Abdullah: ``Saya ada pengalaman yang sangat teruk mengenai rumah terbengkalai di Butterworth, Pulau Pinang. Orang ramai terpaksa bayar (harga) unit apartmen selama 20 tahun kepada bank sebab dia ambil hutang (pinjaman).

``Kemudian, pada masa yang sama terpaksa membayar sewa rumah yang sedang diduduki,'' katanya dengan nada kecewa pada sidang akhbar selepas merasmikan Ekspo Pelaburan Malaysia 2004 anjuran Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia), di sini.

Sebelum itu Abdullah diminta mengulas mengenai projek rumah terbengkalai yang banyak dilaporkan di negara ini.

Surat Pembaca Muka 1, Utusan Malaysia Isnin lepas misalnya menyiarkan rintihan seorang pembeli rumah, Norhiza Jaafar, 38, yang sudah tujuh tahun menanti rumahnya yang belum menjadi kenyataan apabila projek berkenaan di Lembah Beringin, Hulu Selangor terbengkalai.

Perdana Menteri seterusnya berkata, bertolak daripada pengalaman itulah, beliau pernah mencadangkan supaya konsep rumah siap baru jual diamalkan; bagi mengelakkan rakyat menderita beban membayar balik ansuran bulanan pinjaman bank walaupun rumah tidak siap, dan pada masa sama terpaksa menyewa rumah.

Semua itu adalah akibat sikap tamak segelintir pemaju yang tidak bertanggungjawab, jelasnya.

``Itulah, kalau kita jual rumah apabila sudah siap, tak jadilah macam ni. Tetapi saya tak kata semua pemaju perangai begitu atau pun tidak bertanggungjawab,'' katanya.

Sehubungan itu, katanya, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting sedang mengkaji dengan serius masalah rumah terbengkalai dan sedang memastikan langkah-langkah untuk melindungi pembeli.

Sementara itu, Mohamad Khir menceritakan bagaimana pangsapuri yang dibeli pada 1994 di Salak Tinggi, bukan sahaja tidak siap, malah pemajunya terus mendiamkan diri bagaikan tidak bersalah apa-apa.

Pangsapuri itu dibeli ketika beliau masih menjadi doktor gigi dan ketika membuat tinjauan untuk melihat perkembangan projek berkenaan, tidak ada apa-apa struktur pun yang dibina oleh pemaju.

``Saya sangat kecewa dalam hal ini, saya ingat mahu tinggal bersama keluarga dan kakak saya di situ tetapi sampai sekarang rumah itu tidak siap-siap,'' katanya.

Beliau yang tidak berpuas hati dengan keadaan itu membuat siasatan lanjut dan mendapati pemaju projek pangsapuri berkenaan menghadapi masalah kewangan dan kini tidak lagi dibenarkan berurusniaga di Bursa Malaysia.

Sehubungan itu, beliau yang merasai sendiri pengalaman ditipu pemaju menafikan tuduhan segelintir pihak bahawa beliau tidak prihatin dengan nasib pembeli rumah yang berasa mereka dipermainkan pemaju.

``Cuma sekarang, kerajaan negeri mahu menumpukan usaha mengatasi masalah setinggan terlebih dahulu bagi memastikan semua penduduk setinggan mendapat rumah yang lebih selesa.

``Berilah saya masa, kerajaan negeri akan selesaikan masalah perumahan di Selangor satu persatu,'' jelasnya.

Antara perkara yang beliau fikirkan, katanya, ialah menyenaraihitamkan pemaju projek perumahan terbabit serta mengkaji semula perjanjian jual beli rumah bagi melindungi hak pembeli.

Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri tidak akan sewenang-wenangnya meluluskan projek perumahan kepada pemaju baru tetapi kedudukan kewangan mereka akan dikaji terlebih dahulu.

oleh : Nazeri Nong Samah, Hairulazim Mahmud dan Zaini Raban
Petikan : Utusan Online 27hb.Ogos 2004

No comments: