
Majlis Taklimat yang berlangsung di Kampus Utama Unisel, Bestari Jaya (dahulunya Batang Berjuntai) pada 27 Februari 2008 (Rabu) yang lalu pada jam 10:00 pagi telah dihadiri oleh Pejabat Daerah/Tanah Kuala Selangor, MDKS, LPHS, Probil Sonati dan pembeli-pembeli Desa Kerayong Indah.
Apa yang menariknya, majlis tersebut diadakan secara tergesa-gesa bilamana surat jemputan ke majlis taklimat tersebut hanya mula diedarkan melalui pos pada hari Isnin 25 Feb 2008. Oleh yang demikian, maka sebilangan pembeli terutamanya yang tinggal di luar Lembah Klang menghadapi kesukaran untuk menghadirinya. Ditambah pula ianya diadakan pada hari Rabu iaitu hari bekerja. Ini tidak termasuk ada pembeli yang menerima surat jemputan tersebut pada beberapa hari selepas majlis taklimat itu berlangsung.
Malahan surat jemputan tersebut menggunakan kepala surat Pejabat Daerah/Tanah Kuala Selangor dan ditandatangani oleh Ketua Penolong Pegawai Tanah Kuala Selangor. Surat ini juga diposkan atas "Urusan Seri Paduka Baginda". Tetapi yang memberi taklimat adalah LPHS. Mengapa sebelum ini mereka menafikan keterlibatan mereka di dalam projek perumahan untuk rakyat ini?

Apa yang sedihnya bilamana pihak yang memberi taklimat telah mendedahkan kepada pembeli yang hadir tentang banyak lagi kes rumah terbengkalai yang terdapat di Selangor ini. Mereka pula terpaksa berkejaran ke sana ke mari untuk mengaturkan majlis taklimat sedemikian bagi menunjukkan kepada pembeli bahawa bukan mereka sahaja yang menghadapi nasib sedemikian dengan harapan agar kemarahan pembeli akan menjadi reda.

Tidak perlu rasanya untuk kita mengulas panjang lebar berkenaan dengan tujuan utama mereka mengadakan majlis tersebut yang tak lain hanya untuk sekadar gimik pilihanraya untuk memancing undi sepertimana yang berlaku ke atas pembeli-pembeli Alam Perdana semasa kempen pilihanraya Ijok pada 28 April 2007 yang lalu.
Tambahan pula pihak yang terlibat menganjurkan majlis taklimat itu hanya orang ketiga yang pada akhirnya tidak akan mampu untuk merealisasikannya. Mereka hanya berjanji untuk membawa permasalahan rumah terbengkalai ini kepada pihak atasan untuk diberikan perhatian sedangkan dalam masa yang sama pihak atasan sedang sibuk meraih simpati rakyat untuk kekal berkuasa.

Manakala Desa Kerayong Indah sebenarnya tidak mempunyai keistimewaan seperti rumah pangsa Alam Perdana ini. Bolehkah mereka mengumpulkan tidak kurang 70% pembeli untuk meneruskan pembinaan rumah tersebut, sedangkan kehadiran di majlis taklimat tidak sampaipun 10%?

Apakah pembeli-pembeli Desa Kerayong Indah, sekali lagi akan termakan janji-janji yang ditaburkan pada kali ini? Sedangkan perkara yang sama telah mereka lakukan sejak 9 tahun yang lalu dengan mengadakan pelbagai mesyuarat demi mesyuarat, tetapi akhirnya tidak menjadi.
Nasihat kepada pembeli yang masih mahupun rumah tersebut :-
- Pertambahan Kos - Secara logiknya, mana-mana kontraktor baru yang mengambil alih projek terbengkalai, pasti akan ada sedikit pertambahan kos, itupun kalau keadaan rumah/tapak adalah sempurna semasa ditinggalkan oleh kontraktor lama. Inikan pula Desa Kerayong Indah yang keadaan rumah yang telah rosak teruk dan keadaan peningkatan harga barangan semasa seperti besi, simen dll. Sekiranya Kontraktor Baru mengatakan bahawa tiada pertambahan kos, bermakna ada sesuatu yang tak kena yang perlu diambil perhatian....
- Perjanjian Baru - Mana-mana kerja yang hendak dibuat oleh satu-satu syarikat mestilah tertakluk kepada syarat-syarat dan terma-terma. Inilah yang dikatakan perjanjian. Sekiranya tiada perjanjian, bermakna Kontraktor Baru akan terlepas segala tanggungan (legal) sekiranya mereka gagal menyiapkan projek tersebut, sedangkan pada masa itu Bumi Circle telah terlepas dari tanggungan secara legal (tempoh dan hadmasa berakhir). Bak kata pepatah, terlepas mulut harimau masuk pula mulut buaya.
- 70% Pembeli - Mampukah mereka memujuk seramai tidak kurang 70% pembeli (sekurang-kurangnya 700 orang) untuk meneruskan projek tersebut sedangkan Tempoh dan Hadmasa terawal akan berakhir pada Jun 2008 ini?
- Kontraktor Baru - Siapakah Kontraktor Baru ini? Apakah latar belakangnya sebelum ini pernah menyiapkan dengan sempurna unit-unit rumah kediaman?

Jadikanlah sejarah kes Desa Wawasan Lesung Batu di Negeri Melaka sebagai sempadan untuk kita menilai apakah maksud dan tujuan mereka yang sebenarnya. Sebagai rekod... bekas ADUN yang terlibat sama di dalam projek tersebut telahpun dijatuhkan hukuman penjara 2 tahun atas kesalahan penyalahgunaan kuasa semasa memegang jawatan sebagai EXCO.
Kita bukanlah bermaksud untuk mengetepikan hasrat pembeli-pembeli yang lain untuk memiliki rumah di Desa Kerayong Indah, tetapi apa yang perlu dibimbangi adalah permainan dan tipu helah mereka untuk menidakkan HAK pembeli dan sekaligus melenyapkan hak pembeli untuk membuat tuntutan gantirugi bilamana tempoh dan had masa berakhir.
Dalam episod seterusnya...kita akan kupas berdasarkan kepada sumber-sumber yang dipercayai, bagaimana mereka akan mendapatkan dana sebanyak tidak kurang RM70 juta untuk meneruskan projek Pembesaran Kampung yang telah gagal ini.
- Apakah mereka mampu memperolehi dana sebanyak itu dalam masa yang terdekat?
- Apakah akan adanya suntikan dana daripada pihak-pihak yang berkepentingan demi untuk menutup keterlibatan secara salah pihak-pihak (VIP) yang terlibat di dalam projek ini?
- Apakah bentuk balasan yang bakal dinikmati oleh Kontraktor Baru bilamana tiada satupun kontraktor lain yang sanggup menyiapkan projek yang ditinggalkan oleh Bumi Circle ini?
- Mengapakah ada sesetengah pihak yang beriya-iya benar hendak meneruskan projek yang ternyata sudah tidak bermaya ini? Tunggu.....
Wassalam.
Blogger
No comments:
Post a Comment