Makluman Tarikh Mahkamah & Isu Semasa

Friday, February 22, 2008

Kenali Calon BN Selangor Dalam PRU-12





Semalam (21 Feb 2008) Barisan Nasional Negeri Selangor telah mengumumkan senarai nama-nama calon yang akan bertanding pada Pilihanraya Umum ke 12 (PRU-12) di Negeri Selangor Darul Ehsan ini.

Menteri Besar Selangor Kekal
Desas desus yang mengatakan bahawa Dato' Seri Dr Mohamad Khir Bin Toyo akan berpindah ke kerusi Parlimen untuk merebut jawatan sebagai Ketua Pemuda UmNO terjawab hari ini apabila senarai terkini yang telah dikeluarkan menyenaraikan nama Dr Mohamad Khir dan akan mempertahankankan kerusi N03 Sungai Panjang yang dimenanginya pada Pilihanraya Umum ke-11 pada 2004 yang lalu dengan menewaskan Salbini Ismail (PAS).

Beliau secara automatiknya masih mengekalkan jawatan sebagai Ketua UmNO Selangor walaupun kepimpinannya banyak menimbulkan kemelut bermula daripada perlantikannya sebagai MB Selangor semasa berusia 35 tahun menimbulkan pertikaian semua pihak kerana kesenioritian Timbalan Menteri Besar Selangor
Dato' Dr Zainal Abidin Ahmad pada ketika itu.

Anak Emas Gugur Ganti Menantu?
Selangor adalah diantara negeri yang paling banyak dan kerap diperkatakan umum yang melibatkan korupsi. Namun sehingga kini, tidak ada satupun pendakwaan dilakukan termasuk kes-kes yang melibatkan ADUN Selangor yang lain seperti Dato Zakaria Md Deros yang turut digugurkan daripada calon N46 Pelabuhan Klang dan beliau telah digantikan dengan menantu beliau sendiri iaitu Roselinda Abd Jamil yang juga Ketua Puteri UmNO Klang. Roselinda juga pernah dipertikai perlantikannya sebagai Ahli Majlis MPK kerana status sebagai menantu Dato' Zakaria.

Anak Bapak
Seperti juga bekas Menteri Kesihatan Dato' Seri Chua Soi Lek (isu video) yang mana MCA Negeri Johor mencalonkan anak beliau sendiri Chua Tee Yong sebagai calon bagi kerusi Parlimen Labis. Agaknya BN telah ketandusan pemimpin yang boleh menambat hati rakyat atau masih kekal dengan Tradisi Membela Kroni?

Undur Diri Parlimen Selayang
Begitu juga teka-teki tentang Menteri Pengangkutan Dato' Seri Chan Kong Choy yang dikaitkan dengan PKFZ (RM3.5 billion) telah melepaskan kerusi P097 Selayang yang masih belum ditetapkan penggantinya oleh MCA (sehingga 21 Feb 2008 ini..). Yang pasti Parlimen Selayang akan kekal di tangan MCA walau siapapun calon yang akan diumumkan nanti oleh MCA sendiri.

Parlimen Kuala Selangor Beralih Angin
Sementara itu bagi kerusi Parlimen P096 Kuala Selangor, Mohd Daud Tarihep terpaksa putih mata apabila nama beliau tidak tersenarai di dalam pencalonan tersebut. Beliau yang hanya mampu menyandang kerusi tersebut selama 1 penggal yang tidak sampaipun 4 tahun sejak Pilihanraya Umum pada 2004 yang lalu terpaksa akur dengan keputusan pimpinan UmNO Negeri dan Barisan Nasional.

Beliau yang menjadi Ketua Bahagian Kuala Kuala Selangor sebelum ini dijulang oleh Dr Mohamad Khir pada pemilihan 2001 yang lalu akhirnya amat tidak disenangi oleh beliau sendiri akibat daripada tindak tanduk Mohd Daud yang mengakibatkan UmNO Kuala Selangor hampir berpecah belah. Ada yang mengatakan bahawa lagak beliau mengalahkan MB Selangor itu sendiri.

Apa yang pasti, sepanjang menjadi Ahli Parlimen Kuala Selangor, beliau langsung tidak berbuat apa-apa untuk membantu pembeli-pembeli rumah Desa Kerayong Indah. Selama ini kita mengharapkan agar Ahli Parlimen tersebut yang seringkali menghadiri Persidangan Dewan Rakyat agar dapat menyuarakan kesusahan yang dialami oleh pembeli-pembeli rumah Desa Kerayong Indah bilamana projek Pembesaran Kampong di atas tanah Rezab Melayu yang bernilai lebih daripada RM100 juta ini menemui kegagalan. Begitu juga dengan keluhan dan kesusahan yang dialami oleh penduduk kampong yang seringkali mengalami banjir lumpur bilamana pihak Kontraktor Bumi Circle gagal mematuhi prosedur di tapak projek.

Beliau telah digantikan dengan Naib Ketua UmNO Hj Jahaya Ibrahim yang pernah mencabar Mohd Daud sebagai jawatan Ketua Bahagian pada tahun 2001 yang lalu.

Dewan Undangan Negeri N12 Jeram Kekal
Kerusi N12 DUN Jeram sekali lagi mengekalkan Dato' Amiruddin Setro sebagai calon Pilihanraya PRU-12 2008 ini. Beliau yang kuat mengatur startegi untuk kekal meneraju DUN Jeram telah diberikan kepercayaan oleh pimpinan UmNO untuk mempertahankan kerusi tersebut walaupun beliau juga sama seperti Mohd Daud yang langsung tidak mengambil kisah tentang permasalahan rakyat di DUN beliau sendiri.

Dato Mokhtar Dahlan Tidak Di Calonkan
N39 Kota Damansara berubah angin apabila Dato Mokhtar Dahlan yang juga EXCO Perumahan tidak dicalonkan sebagai calon pada Pilihanraya 2008 ini. Beliau yang selama ini kita lihat gagal memainkan peranan sebagai EXCO perumahan yang antara lain telah mengakibatkan banyak projek-projek perumahan di Negeri Selangor telah terbengkalai. Kita kerapkali melihat muka beliau terpampang di kaca TV di dalam majlis penyerahan kunci rumah, tetapi tidak pada majlis keluhan rakyat yang rumah mereka tak siap-siap sampai sekarang. Inilah yang dikata pemimpin buat kerja tapi tak ikhlas. Kita sebenarnya mahu pemimpin yang jadi penunjuk dan bukannya pemimpin yang suka menunjuk-nujuk.

Semoga apabila telah ada nanti EXCO Perumahan Selangor yang baru, tak kira samada yang menjadi Kerajaan Negeri Selangor adalah daripada Barisan Nasional ataupun barisan Alternatif, projek-projek rumah yang terbengkalai seperti Desa Kerayong Indah ini akan menjadi kenyataan pada suatu hari nanti. Semoga hajat mereka-mereka yang tetap mahukan rumah idaman tersebut di bumi Desa Kerayong Indah, akan tercapai.

Tetapi bagi kita yang telah memfailkan tuntutan di Mahkamah ini, apa yang kita inginkan adalah pengembalian wang tuntutan tersebut agar kemelut ini akan berakhir dengan sebaiknya.

Wassalam
Blogger.

No comments: