Makluman Tarikh Mahkamah & Isu Semasa

Saturday, November 17, 2007

Apa Ada Dengan Perjanjian Baru-Siri 2

...sambungan dari Siri-1
PERSETUJUAN
Pernyataan bahawa Kontraktor "Bersetuju Menyambung Kerja-Kerja dan Menyiapkan Bangunan Tersebut" jelas menyatakan bahawa mereka HANYA akan bertanggungjawab terhadap baki kerja yang belum disiapkan oleh Kontraktor Lama sahaja. Bagaimana halnya pula bagi rumah-rumah yang telah disahkan siap oleh Kontraktor Lama tetapi mengalami kerosakan teruk seperti hakisan, kerangka kayu (bumbung) yang terbiar lama (reput) ataupun kecurian seperti pendawaian elektrik, pintu, tingkap aluminium dan sebagainya ? Sila rujuk Album --> Album Gambar Projek DKI.

Dari analisa yang dibuat, mereka hanya mengambilkira kos membaikpulih berdasarkan kepada laporan penyiapan projek oleh Kontraktor Lama, tanpa melihat dan analisa terhadap keadaan sebenar rumah-rumah yang telah terbiar sejak sekian lama. Siapa yang akan tanggung kos ini? Tidak mustahil selepas kita tandatangani Perjanjian Baru ini, maka akan tuntut (claims) bayaran membaikpulih segala kerosakan tersebut. Pada masa itu, pembeli tidak akan ada pilihan selain membayar atau ditamatkan Perjanjian Baru tersebut.



BAKI JUMLAH KONTRAK
Pernyataan 3 di atas bermaksud supaya Pembeli menyerahkan baki yang masih belum dilepaskan oleh pihak Pembiaya/Bank kepada Kontraktor Baru. Ini bermakna, maka Pembeli sekali lagi terpaksa memberi keyakinan kepada pihak Pembiaya untuk melepaskan bayaran kepada Kontraktor Baru. Bagaimana dengan Perjanjian Pinjaman tersebut? Apakah Pembeli dikehendaki menandatangi Perjanjian Pinjaman yang baru dengan pihak pembiaya pula? Yang pasti ianya bukanlah semudah yang kita sangkakan nanti..

PINJAMAN DAN PEMBIAYAAN
Perenggan 5 (a), Dalam masa 7 hari daripada tarikh menandatangani Perjanjian Baru, Pembeli dikehendaki dengan apa cara sekalipun menyebabkan pihak Pembiaya (Bank) membuat pembayaran baki yang masih belum dilepaskan kepada Kontraktor Baru. Sekiranya Pembeli lewat dalam menyebabkan pembayaran tersebut dibayar kepada Kontraktor Baru, maka Pembeli akan dikenakan denda lewat. Peraturan ini sesungguhnya menyebelahi Kontraktor Baru.

Perenggan 5 (b), Kontraktor akan sedaya upaya cuba membantu Pembeli untuk menyakinkan Pembiaya supaya melepaskan baki tersebut. Tetapi ianya bukanlah satu kemestian. Selama ini pernahkah Bumi Circle membantu Pembeli untuk mendapatkan pinjaman? Ianya tak lain daripada kata-kata manis untuk melembutkan hati Pembeli.

Perenggan 5 (c), Jika sekiranya pihak Pembiaya enggan melepaskan baki bayaran kepada Kontraktor Baru, maka Pembeli akan dipertanggungjawabkan untuk membuat pembayaran daripada wang sendiri. Apakah pihak bank akan sewenang-wenangnya akan melepaskan baki tersebut kepada Kontraktor Baru? Bagaimana pula keadaan pembeli yang ada tunggakan (sehingga puluhan ribu ringgit) dengan pihak Pembiaya (bank)? Pasti pihak Pembiaya tidak akan berbuat demikian sehingga Pembeli melunaskan kesemua tunggakan tersebut terlebih dahulu.

Perenggan 5(d), 5(e)dan seterusnya jelas menyatakan bahawa Pembeli bersetuju dan memperakui, jika sekiranya Pihak Pembiaya enggan melepaskan baki bayaran tersebut atau pembeli gagal mendapatkan pembiayaan baru atau gagal menjelaskan baki bayaran tersebut dengan wang sendiri, maka dalam tempoh 14 hari daripada menandatangani Perjanjian Baru ini, Pembeli dikehendaki dengan apa cara sekalipun yang menyebabkan Gadaian Tanah tersebut dilepaskan oleh Pihak Pembiaya dan dipulangkan semula kepada Pejabat Tanah.

Kita pasti, pihak Pembiaya tidak akan melepaskan Gadaian tersebut melainkan kita menjelaskan kesemua hutang tersebut. Pembeli pula tidak berhak menerima apa-apa gantirugi atau pampasan atau mebuat tuntutan di Mahkamah. Kita melihat terlalu banyak peraturan ditetapkan sekiranya Pembeli gagal membuat atau menyebabkan bayaran dibuat ke atas Kontraktor Baru. Inilah yang kita lihat seperti menggali kubur sendiri (maaf...agak kasar sedikit).

NOTA PENTING:-
  • Kontraktor bersetuju "menyambung" kerja-kerja pembinaan.
  • Kerosakan dan kecurian akan ditanggung oleh siapa?
  • Baki Jumlah Kontrak perlu dilepaskan kepada Kontraktor Baru.
  • Pembeli ada tunggakan dengan Pembiaya, apa kesudahannya?
  • Gadaian Tanah perlu dilepaskan kepada Pejabat Tanah.

...bersambung ke Siri-3

Wassalam
Blogger.


Thursday, November 15, 2007

Apa Ada Dengan Perjanjian Baru-Siri 1



Muka hadapan Draf Perjanjian Baru dengan Kontraktor baru yang mereka lantik. Ianya hanya menyebut sebagai "Perjanjian Desa kerayong Indah" sahaja.




PERNYATAAN
Perenggan 1, Pernyataan bahawa JKKK telah dilantik oleh Jawatankuasa Tanah dan Daerah untuk mengurus rancangan untuk membesarkan dan memajukan tanah di Kampung Bukit Kerayong, Mukim Jeram, Kuala selangor. Tetapi di dalam pembelaan, mereka menafikan pernyataan ini!

Perenggan 4, Pernyataan bahawa tuan punya (Pembeli) telah melantik Bumi Circle sebagai kontraktor yang bertanggungjawab mendirikan dan membina rumah kita. Pada dasarnya, kita langsung tiada kuasa (authority) untuk berbuat sedemikian. Kenapa pernyataan sedemikian dimasukkan ke dalam Perjanjian? Inilah yang boleh kita andaikan sebagai alasan untuk mereka melarikan diri daripada pertanggungjawaban sekiranya timbul masalah di kemudian hari nanti.

Perenggan 7, Pernyataan bahawa JKKK telah membatalkan perlantikan Bumi Circle Sdn. Bhd. Persoalannya apakah hak JKKK untuk membatalkan Kontraktor Bumi Circle, sedangkan Pembeli masih lagi tertakluk kepada "Perjanjian Pembinaan" dengan Bumi Circle? Sekiranya kita bersetuju dengan perkara ini, maka secara automatiknya kita akan hilang hak untuk membuat tuntutan LAD yang dianggarkan tidak kurang (purata) RM50,000 bagi setiap pembeli. Bagaimana pula dengan masalah pembeli yang terpaksa membayar sewaan rumah secara puratanya berjumlah minimum RM30,000 sepanjang keterbengkalainya projek tersebut?

Perenggan 8, Bumi Circle Sdn. Bhd. telah "diminta" untuk menyerahkan tugas dan tanggungjawab untuk menyelesaikan projek tersebut kepada Kontraktor Baru. Persoalannya apakah Bumi Circle telah bersetuju untuk menyerahkannya? Yang pasti tiada pengesahan rasmi dibuat oleh Bumi Circle. Malahan Pembeli tidak dimaklumkan tentang perlantikan ini secara rasmi (bertulis). Dan lagi, kita ingin tahu apakah keuntungan dan faedah yang bakal diperolehi oleh Kontraktor Baru tersebut memandangkan projek ini terbengkalai sejak sekian lama ditambah pula dengan kenaikan kos pembinaan yang semakin tinggi. Atau ada sesuatu disebaliknya?

NOTA PENTING :-
  • Perlantikan JKKK oleh Pejabat Tanah dan Daerah.
  • Pembeli dikatakan "melantik" Bumi Circle sebagai Kontraktor. Betul ke?
  • JKKK kemudian membatalkan perlantikan Bumi Circle. Boleh pulak?
  • Pernyataan bahawa Bumi Circle "diminta" menyerahkan Projek kepada Kontraktor Baru.
...bersambung ke Siri-2

Wassalam
Blogger.


Monday, November 12, 2007

Agenda Melayu Dulu Kini dan Selamanya



Sedih....apabila Perhimpunan Agung UMNO bagi tahun 2007 yang berakhir pada 9 November 2007 yang lalu langsung tidak ada seorangpun perwakilan yang menyentuh tentang Permasalahan Rumah Terbengkalai terutamanya Projek Pembesaran kampung, yang seringkali dihadapi oleh orang-orang Melayu yang sebahagian besarnya melibat rumah-rumah kos rendah dan sederhana.

Mengapa tidak ada seorangpun yang menyentuh tentang isu ini? Bagaimana untuk memastikan setiap projek perumahan untuk rakyat akan terlaksana dengan jayanya? Apakah kerana syarat-syarat yang longgar, maka pemilihan Kontraktor boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira latar belakang syarikat yang terbabit. Atau kerana projek yang melibatkan kroni, maka kelulusan amat mudah diberikan?

Apakah mereka tidak menyedari atau mengambil segala langkah yang perlu bagi mengelakkan kejadian rumah terbengkalai ini daripada berterusan yang sememangnya amat merugikan golongan pembeli dan pengguna seperti kita?

Untuk rekod, di Selangor sahaja antara projek-projek yang masih dikategorikan sebagai terbengkalai melibatkan 28 Projek Perumahan, 17 Projek Komersial, 5 Projek Pembesaran Kampung dan 1 Projek Industri.

Apakah kerana "ada udang di sebalik batu", maka mana-mana projek rumah terbengkalai dibiarkan begitu sahaja sehingga melewati "tempoh dan had masa" untuk Pembeli membuat sebarang tuntutan secara sah (legal). Maka seterusnya mereka memikirkan bagaimana pula untuk mendapat projek-projek lain daripada pihak-pihak yang bertanggung jawab meluluskan permohonan tersebut.

Kita melihat peraturan yang ada amatlah longgar bilamana Pengarah-Pengarah Syarikat yang terlibat di dalam Projek Terbengkalai ini masih lagi boleh tersenyum lebar walaupun projek tersebut gagal disiapkan sepertimana yang telah dijanjikan sedangkan golongan pembeli seperti kita ini terpaksa berhadapan dengan tindakan saman pemula daripada pihak pembiaya kerana gagal menjelaskan bayaran ansuran bulanan atau sekurang-kurangnya nama kita disenarai-hitamkan daripada memohon apa-apa pinjaman daripada mana-mana pembiaya lain di Malaysia ini. Keadilan dan kesaksamaan inilah yang sepatutnya diperjuangkan oleh mereka-mereka yang telah diamanahkan dan mempunyai kuasa.

Kita juga melihat saranan bahawa Melayu memiliki ekuiti sehingga 30% menjelang 2020 seperti yang seringkali dilaung sejak sekian lama tidak akan terlaksana dengan jayanya sekiranya orang-orang Melayu seperti kita masih lagi tidak mampu memiliki rumah sendiri apatah lagi untuk memiliki sebuah syarikat. Mengapa tidak disarankan bahawa setiap orang Melayu memilik rumah kediaman sendiri? Tidaklah hanya menyewa rumah seperti yang banyak berlaku di Negeri Selangor ini.

Tanyalah kepada kaum lain seperti orang cina, berapa ramai di antara mereka yang masih tidak memiliki rumah sendiri? Berapa ramai yang memiliki lebih daripada sebuah rumah. Sebagai contohnya saya sendiri yang telahpun bekerja dan secara tak langsung memakmurkan Negeri Selangor yang tercinta ini selama lebih daripada 17 tahun tetapi masih belum memiliki rumah kediaman sendiri. Tidak seperti seorang wakil rakyat kita yang mampu memiliki sebuah banglo yang bernilai jutaan ringgit berbanding dengan kita rakyat biasa yang idamkan sebuah rumah sendiri serendah RM45,000.

Mengapa tidak ada satupun agenda yang disentuh oleh perwakilan PAU 2007 tentang perlunya memastikan setiap individu Melayu yang telah berumahtangga dan mempunyai rumah kediaman sendiri. Inilah sepatutnya agenda yang perlu diberi perhatian yang serius oleh mereka kerana secara tidak langsung dapat berjuang dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat seperti kita. Janganlah hanya terlalu memikirkan projek-projek mega, maka projek perumahan hanya dipandang sepi oleh mereka.

Kalau dahulu Tun Abd Razak begitu prihatin dengan nasib orang Melayu dengan mengujudkan FELDA yang mana orang-orang Melayu boleh memiliki rumah, tanah dan ladang untuk diusahakan secara percuma dan secara tidak langsung ianya telah mengangkat ekonomi dan martabat orang-orang Melayu dengan lebih tinggi lagi. Tetapi sekarang, jauh berbeza yang mana untuk memiliki rumah dan tanah seluas 4,000 kaki persegi, kita terpaksa menyediakan wang sehingga ratusan ribu ringgit, malahan itu juga bukanlah sebagai satu jaminan bahawa wang yang telah kita keluarkan selama ini akan menjelmakan sebuah rumah idaman setelah delapan tahun masa berlalu sejak 1999 lagi.

Saya tidak tahu kenapa mereka seolah-olah memekak telinga tentang isu perumahan terbengkalai yang melibatkan Projek Pembesaran kampung ini yang 100% melibatkan kaum Melayu seperti kita. Apabila ditanyakan kepada pemimpin-pemimpin yang bertanggung jawab, pelbagai alasan yang diberikan seperti "saya tidak tahu", "Ini bidang kuasa jabatan ...bla...bla.." dan jawapan yang paling murahan diberikan oleh mereka adalah "kita akan siasat".

Apakah mereka langsung tidak memikirkan bahawa isu perumahan juga tidak kurang penting untuk memperkasakan dan mengangkasakan bangsa Melayu itu sendiri?

Kenapa? Disebabkan oleh Melayu seperti kita yang mudah mengalah dan menerima bahawa keterbengkalainya rumah kita adalah Qada dan Qadar, maka kita terpaksa akur dengannya? Apakah kita hanya mampu berpeluk tubuh setelah melihat dengan jelas seolah-olah wang daripada keringat yang kita kumpulkan bertahun-tahun "dilarikan" oleh mereka begitu sahaja tanpa kita berusaha untuk menuntutnya daripada pihak-pihak yang bertanggung jawab?

Apa yang kita harapkan kes tuntutan Gantirugi dan kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah ini akan berjaya. Semoga Allah akan kabulkan doa kita ini. InsyaAllah.

Wassalam
Blogger.


Wednesday, November 7, 2007

Perhimpunan Agung UMNO dan Nasib Pembeli Melayu



Perhimpunan Agung UMNO bagi tahun 2007 baru sahaja bermula pada Hari Isnin 5 November 2007 yang lalu dengan di hadiri oleh 2,522 perwakilan dari 190 bahagian. Seperti kebiasaan ramai perwakilan membahaskan usul-usul menarik yang mewakili bahagian masing-masing.

Datuk Seri Najib Razak ketika berucap merasmikan serentak persidangan perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) berkata, pelaburan terpenting sesebuah keluarga Melayu bukan sekadar memiliki tanah, rumah dan kereta besar, tetapi memastikan anak cucu menguasai ilmu dan berjaya dalam pendidikan setinggi mungkin.

Banyak yang kita dengar tentang tentang istilah dan perjuangan yang diketengahkan seperti "bangsa angkasa" yang didefinasikan oleh TPM iaitu bangsa yang sentiasa mempunyai impian tertinggi dan memiliki tamadun yang hebat untuk cemerlang dalam persaingan global. Bangsa kita yang sekian lama berkampung di hulu dan membumi di darat, perlu menerokai proses pengantarabangsaan dan pengangkasaan.

Katanya lagi, "budaya wiraswasta", iaitu bijak dan berkebolehan dalam mengusahakan perniagaan secara profesional serta karier sebagai usahawan, mesti dipupuk sejak di bangku sekolah lagi bagi meningkatkan ekonomi Melayu.

Tambah beliau lagi, masyarakat perlu memerangi jenayah dan saling ambil peduli kesengsaraan orang lain demi memastikan ketenteraman awam.

Persidangan dan usul-usul yang dibangkit sehingga ke hari ini lebih menjurus kepada isu-isu semasa yang langsung tidak menyentuh soal pokok bagaimana untuk membina masyarakat Melayu yang kuat dan mampu menyaingi bangsa-bangsa lain. Kekuatan orang Melayu pada dasarnya bermula dari rumah sendiri. Tanpa rumah dan kediaman yang sempurna, maka orang Melayu pasti akan semakin terpinggir di dalam arus kemodenan hari ini.

Kita kesal kerana Projek yang bernilai ratusan juta ringgit ini yang dimulakan dari orang Melayu untuk orang Melayu, di atas tanah rezab Melayu dengan Kontraktornya adalah Melayu, tetapi tidak mampu untuk membantu seramai hampir 1300 pembeli rumah yang kalau kita andaikan setiap isirumah mempunyai 5 penghuni (suami, isteri dan sekurang-kurangnya 3 orang anak), maka jumlah orang Melayu yang bakal menduduki Desa Kerayong Indah akan mencecah sehingga 6500 orang.

Kesempatan inilah yang GAGAL diambil peduli oleh pemimpin untuk membela nasib orang-orang Melayu di negeri dan negara sendiri sehingga kita terpaksa berjuang membawa kes tuntutan gantirugi ini ke mahkamah untuk diadili.

Apa yang amat kita kesalkan ada kalangan yang bergelar pemimpin tanpa segan silu pernah mengeluarkan kata-kata pada satu ketika dahulu supaya kita membawa kes ini ke mahkamah sekiranya tidak berpuashati. Malahan ianya disiarkan di salah sebuah rangkaian televisyen dan disaksikan oleh jutaan rakyat Malaysia.

Bukanlah kita untuk mendakwa dan menghukum Kerajaan Negeri Selangor, tetapi apa yang kita tuntut ini adalah hak kita sendiri setelah berpenat lelah mengeluarkan puluhan ribu ringgit malahan ada yang telah mencecah ratusan ribu ringgit, semata-mata untuk memiliki sebuah rumah di atas Tanah Rezab Melayu. Kita telah berusaha dan memberikan cukup ruang dan masa untuk Kerajaan Negeri mengawasi dan memastikan Kontraktor yang telah dilantik menyiapkan rumah kita dalam masa yang telah ditetapkan sehingga penghujung tahun 2006 walaupun Projek tersebut sepatutnya siap pada tahun 2002.

Pelbagai mesyuarat dan perjumpaan telah diadakan, malahan tanpa pengetahuan rasmi kita satu Kontraktor baru telah dilantik untuk mengambil-alih projek tersebut daripada Kontraktor lama. Apa yang kita bimbangi adalah tempoh dan hadmasa yang yang akan berakhir seawal Jun 2008 nanti yang mana secara automatiknya akan melenyapkan hak kita untuk membuat tuntutan.

Pengalaman daripada orang-orang yang terdahulu mengajar kita untuk lebih berhati-hati dan berjuang menuntut keadilan supaya wang kita dikembalikan bagi membolehkan kita mencari rumah kediaman baru tanpa perlu memikirkan apa kesudahan dengan Projek Desa Kerayong Indah ini.

Kita mengharapkan Perhimpunan Agung UMNO 2007 ini akan setidak-tidaknya mengambil peduli akan isu-isu orang Melayu yang terlibat di dalam Projek-projek rumah terbengkalai seperti Desa Kerayong Indah ini. Kita tidak mahu, masih ada orang-orang Melayu yang masih tidak memiliki rumah kediaman yang sempurna sedangkan dalam masa yang sama mereka sama-sama menabur bakti memajukan negeri dan negara yang tercinta ini. Tanpa rumah kediaman sendiri, bagaimana harus kita membina tamadun dan bangsa yang kuat dalam mengharungi masa-masa yang akan datang?

Wassalam
Blogger.


Friday, November 2, 2007

Isu Perumahan dan Nasib Pembeli

Assalamualaikum
Pada minggu lepas Blogger telah mengunjungi Pejabat Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) bagi tujuan untuk mendapatkan surat pengesahan rumah terbengkalai bagi Projek Perumahan Desa Kerayong Indah ini. Alhamdulillah, selepas seminggu, barulah Blogger memperolehi surat pengesahan tersebut.

Adapun tujuan Blogger mendapatkan pengesahan tersebut (walaupun semua orang tahu bahawa Projek Desa Kerayong Indah ini memang telah terbengkalai sepenuhnya sejak sekian lama) adalah bagi tujuan untuk memohon kepada pihak bank/pembiaya supaya kadar faedah semasa yang dikenakan dapat dikurangkan bagi meringankan bebanan kerana kegagalan menduduki rumah tersebut sepertimana yang telah dijanjikan oleh pihak pemaju.

Pembeli-pembeli yang telah memfailkan tuntutan di mahkamah, tetapi masih meneruskan pembayaran kepada pihak bank atau pembiaya samada secara tunai ataupun potongan gaji berjadual, maka permohonan boleh dimajukan kepada pihak bank atau pembiaya untuk tujuan mendapatkan pengurangan kadar faedah semasa. Tahniah kepada anda kerana masih mematuhi perjanjian pinjaman walaupun terpaksa bersusah payah menjelaskan ansuran pinjaman tersebut pada setiap bulan.

Pembeli-pembeli yang tidak berupaya menjelaskan ansuran pinjaman boleh mengajukan permohonan penangguhan kepada pihak bank masing-masing.

Kajian menunjukkan Peminjam sistem konvensional tidak menghadapi masalah yang besar berhubung dengan kadar faedah ini kerana ianya dikira berdasarkan kepada amaun semasa. Ianya berbeza dengan Peminjam sistem Islamik yangmana kadar keuntungan (faedah) dikira berdasarkan kepada keseluruhan amaun yang telah diakadkan semasa menandatangani perjanjian pinjaman tersebut. Bebanan semakin bertambah sekiranya pembeli tidak membuat apa-apa pembayaran ansuran bulanan kepada pihak bank/pembiaya dan ianya akan meningkat dari bulan ke bulan.

Bagi pembeli yang ingin mengelakkan sebarang masalah seperti "senarai hitam" (black-list) kerana ketidakupayaan untuk meneruskan pembayaran ansuran bulanan yangmana ianya akan menyebabkan kesukaran kepada pembeli DKI ini untuk mendapatkan pinjaman lain daripada mana-mana institusi kewangan, maka boleh juga membuat pengeluaran daripada wang simpanan KWSP bagi tujuan tersebut.

Apapun yang berlaku, kita sebagai Pembeli dan Pengguna seringkali tersepit dan menjadi mangsa kepada keadaan yang mana kita terpaksa menanggung KERUGIAN yang besar di atas KEGAGALAN dan KERAKUSAN orang lain memerah WANG kita. Malahan setakat hari ini sahaja, Blogger sendiri telah terpaksa menghabiskan wang sebanyak lebih daripada RM100,000.00, tetapi impian untuk memiliki rumah sendiri semakin hilang daripada pandangan.

Apa yang kita harapkan agar pihak-pihak yang berkuasa dan mempunyai kuasa agar dapat melihat permasalahan pembeli dan pengguna seperti kita ini dan melakukan sesuatu bagi membendung masalah-masalah ini daripada berterusan menimpa kita semua sedangkan mereka-mereka yang terlibat dengan KEGAGALAN ini masih boleh tersenyum bilamana projek DKI ini diwar-warkan akan diambil alih oleh pihak lain seawal Mac 2007 yang lalu.

Kita telah meneliti dengan mendalam Draf Perjanjian Baru tersebut sebelum memfailkan tuntutan ini di mahkamah yangmana antara lainnya ia seolah-olah untuk menutup KEGAGALAN mereka dengan menyajikan sesuatu yang tidak menguntungkan apatahlagi menyebelahi kita semua. InsyaAllah, di dalam episod yang akan datang, kita "upload" butiran Draf Perjanjian tersebut untuk dinilai oleh semua pembeli.

Ingatlah, wahai segolongan manusia yang hanya mementingkan diri sendiri, seandainya anda terlepas daripada hukuman dan undang-undang dunia, pasti hukuman daripada Yang Maha Esa di Akhirat nanti akan menanti anda. Itu janji Allah kepada setiap hambanya yang melakukan kemungkaran.

Wassalam
Blogger.


Thursday, October 25, 2007

Jadual Failkan Tuntutan Kumpulan 5




Assalamualaikum
Bermula daripada 1hb. Oktober 2007 yang lalu, pengumpulan dokumen-dokumen tuntutan bagi Kumpulan Ke-5 sedang giat dijalankan bagi memberi peluang kepada Pembeli-Pembeli yang tidak berkesempatan untuk menyertai Kumpulan 1, 2, 3 dan 4 yang telah memfailkan Tuntutan Gantirugi dan kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah ini.

Kepada Pembeli-Pembeli rumah Desa Kerayong Indah yang masih belum memfailkan tuntutan mereka dan ingin berbuat demikian, anda adalah sangat dialu-alukan untuk menyertai Kumpulan yang telahpun memfailkan tuntutan mereka di mahkamah. Oleh itu, anda diminta segera menyediakan dokumen tuntutan yang diperlukan serta menyerahkannya kepada Peguam yang telah kita lantik bagi membolehkan Tuntutan Gantirugi anda difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam secepat yang mungkin.

Seperti yang telah kita maklumkan sebelum ini, ruang dan peluang untuk turut serta memfailkan Tuntutan Gantirugi ini masih terbuka luas kepada semua Pembeli-Pembeli Desa Kerayong Indah selagi kes kita ini belum diputuskan oleh mahkamah atau selagimana tempoh dan hadmasa yang sah untuk tindakan undang-undang terhadap pihak-pihak yang telah gagal menyiapkan rumah kita itu belum berakhir.

Marilah kita bersama-sama bergerak beriringan dengan satu kekuatan dan keyakinan akan apa yang kita tuntut ini adalah HAK kita sendiri. Kita telah melihat, bahawa harapan dan peluang untuk mendapatkan kembali HAK kita itu, InsyaAllah akan dimakbulkan oleh Allah s.w.t.

Alhamdulillah, pada masa sekarang perjalanan Tuntutan Gantirugi ini berjalan dengan lancar sepertimana yang kita harapkan sebelum ini di mana ianya sedang memasuki tahap Pengurusan Kes yang mana pihak Peguam sedang di dalam proses menyenaraikan dokumen-dokumen yang relevan, saksi-saksi dan mereka-mereka yang akan disapina sebelum bermulanya perbicaraan di mahkamah nanti .
Maklumat lanjut boleh di dapati disini

Sekiranya anda ingin mendapatkan maklumat lanjut, sila hubungi kami.

Wassalam
Blogger.


Wednesday, October 10, 2007

Selamat Hari Raya Aidil Fitri 1428H




Allah hu Akbar...Allah hu Akbar...Allah hu Akbar....

InsyaAllah umat Islam di Malaysia dijangka akan merayakan 1 Syawal 1428H pada hari Sabtu ini bersamaan dengan 13 Oktober 2007. Sehubungan dengan itu pihak Blogger ingin menyusun 10 jari memohon ampun dan maaf sekiranya ada sebarang salah dan silap samada yang disedari mahupun tidak selama Blogger menyiarkan segala bentuk artikel dan pemberitahuan kepada kesemua Pembeli-Pembeli Desa Kerayong Indah sama yang telah memfailkan Tuntutan Gantirugi dan kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah ini ataupun tidak berbuat demikian.

Apa yang Blogger maklumkan di dalam laman Blog ini dan juga Blog Khas adalah tidak lain dari menjalankan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada Blogger untuk disampaikan kepada semua Pembeli-Pembeli DKI ini.

Sesungguhnya kita adalah bersaudara. Cuma yang membezakan antara kita adalah halatuju masing-masing. Olehitu, adalah menjadi harapan Blogger agar segala kekusutan dan ketidaksehaluan ini kita buang jauh-jauh dari kamar hati masing-masing untuk kita sama-sama mengucapkan syukur ke Hadrat Ilahi kerana InsyaAllah lebaran yang mendatang ini dapat kita rayakan bersama walaupun tidak berlangitkan kecerahan Puncak Bukit Kerayong.


Akhir sekali, Blogger ingin mengundang Pembeli-Pembeli Desa Kerayong Indah ke teratak Blogger yang terletak di Kampung Baru Batu 14, Puchong, Selangor Darul Ehsan bersempena dengan Aidil Fitri. InsyaAllah, Blogger akan pulang menyambut hari raya pertama dikampung isteri di Raub, Pahang pada 12 Oktober 2007 dan seterusnya di kampung halaman Blogger di Alor Gajah, Melaka pada hari raya kedua. Blogger akan pulang semula ke Puchong pada 16 Oktober 2007 sebelum mula bertugas pada 18 Oktober 2007 nanti.

Lemang dan ketupat juadah utama,
Dihidang bersama rendang dan kari,
Sepuluh jari disusun bersama,
Memohon kemaafan di Aidil Fitri.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin.

Wassalam
Blogger.


Tuesday, October 9, 2007

Pembelaan Balas Terhadap Defendan 1 & 2

Assalamualaikum,

Pihak Peguam kita telah memfailkan Pembelaan Balas terhadap Pembelaan Defendan 1 dan 2 (Kerajaan Negeri Selangor dan Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Selangor) di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan pada 5 Oktober 2007 (Jumaat) yang lalu.

Sepertimana yang telah diperuntukan di dalam perundangan, tujuan Pembelaan Balas yang telah difailkan ini adalah bagi menyangkal segala penafian di dalam Pembelaan mereka terhadap pertanggungjawaban yang sewajibnya mereka galas di atas kegagalan Kontraktor Utama Bumi Circle Sdn. Bhd. menyiapkan Projek Desa Kerayong Indah.

Sehubungan dengan itu juga, Pihak Peguam kita akan menunggu sehingga 14 hari daripada tarikh 5 Oktober 2007 ini sebelum meneruskan prosidur (procedure) yang seterusnya iaitu Pengurusan Kes.

Kemudian dari itu, Pihak mahkamah dijangka akan menetapkan Tarikh Pengurusan Kes seterusnya Peguam kita akan mengemukakan (memfailkan) dokumen-dokumen kes yang relevan.

Setelah itu, Pihak Mahkamah Tinggi Shah Alam akan menetapkan Tarikh Perbicaraan. Apabila tarikh perbicaraan telah ditetapkan,
Peguam kita akan memaklumkan dan menyenaraikan saksi-saksi serta pihak-pihak yang akan dikenakan sapina untuk hadir di mahkamah bagi memberikan keterangan terhadap kes tuntutan kita ini.

InsyaAllah kita menjangkakan proses di atas akan berjalan di dalam masa yang terdekat ini. Kesemua Pembeli yang telah membuat tuntutan yang terdiri daripada Kumpulan 1,2,3 dan 4 akan dimaklumkan berhubung dengan Tarikh Perbicaraan dengan secepat yang mungkin.

Oleh itu Pembeli-pembeli dinasihatkan agar selalu melayari blog ini atau menghubungi kami atau pihak Peguam untuk mendapatkan pemakluman terkini. Sila maklumkan juga kepada rakan-rakan pembeli lain yang tiada kemudahan internet.

Semoga Allah akan mempermudahkan lagi urusan kita.

NOTA : Maklumat Pembelaan Balas oleh Peguam kita akan di "upload" kemudian.

Wassalam.
Blogger.


Sunday, October 7, 2007

Tarikh Perbicaraan K1 Vs Bumi Circle Sdn Bhd





Pihak Blogger telah dimaklumkan oleh Peguam bahawa pihak Mahkamah Tinggi Shah Alam telah menetapkan tarikh perbicaraan Engkar Pembelaan terhadap Bumi Circle Sdn. Bhd. bagi Kumpulan 1 seramai 130 orang Pembeli Desa Kerayong Indah telah ditetapkan pada... sila klik disini

Terdahulu, Pihak Peguam telah memfailkan Pembelaan Engkar terhadap Bumi Circle pada 10 Julai 2007 yang lalu apabila mereka GAGAL Memasukkan Kehadiran dan seterusnya memfailkan Pembelaan sepertimana yang telah diperuntukkan di dalam undang-undang.

InsyaAllah, kita menjangkakan pihak Mahkamah Tinggi Shah Alam akan membuat keputusan muktamad Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah terhadap Bumi Circle Sdn. Bhd seterusnya mengesahkan tuntutan tersebut.

Semoga Allah akan mempermudahkan urusan tuntutan kita.

Wassalam
Blogger.


Thursday, October 4, 2007

Yuran Guaman Berjadual




Assalamualaikum,

Pihak Blogger ingin memaklumkan kepada semua Pembeli yang telah memfailkan Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah yang terdiri daripada Kumpulan 1,2,3 dan 4 yang belum membuat Bayaran Guaman Berjadual agar dapat menghubungi pejabat Peguam untuk tujuan semakan serta menjelaskan bayaran guaman tersebut kepada pihak Peguam sepertimana yang telah dipersetujui sebelum ini.

Seperti yang kita semua ketahui, bayaran secara berjadual ini adalah penting untuk melancarkan lagi urusan pihak Peguam menjalankan tugas-tugas guaman tersebut memandangkan kes tuntutan kita ini telah hampir ke perbicaraan yang kita jangkakan akan berlangsung dalam masa yang terdekat ini.

Para pembeli yang budiman juga boleh menghubungi kami untuk mendapatkan penjelasan lanjut serta nombor telefon Peguam bagi urusan tersebut.

Kerjasama daripada semua pembeli amatlah dialu-alukan bagi memastikan kelancaran urusan Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah ini.

Wassalam
Blogger.


Tuesday, October 2, 2007

Failkan Tuntutan Kumpulan 4

Assalamualaikum,

Pihak Blogger dimaklumkan bahawa Peguam telahpun memfailkan Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah bagi Kumpulan ke-4 di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam, Shah Alam, Selangor pada 1hb Oktober 2007 (Isnin).

Sehubungan dengan itu, Pembeli daripada Kumpulan 4 ini bolehlah menghubungi Pejabat Peguam mulai sekarang untuk mendapatkan pengesahan dan butiran tuntutan mereka.

Pada masa sekarang pihak Blogger tidak dapat meluluskan sebarang invited ke laman khas atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Harap maaf.



Semoga Allah s.w.t. mempermudahkan urusan kita.

Wassalam.
Blogger.
(2hb. Oktober 2007)


Saturday, September 29, 2007

Ya Allah, Berikan Kekuatan Kepada Kami




Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberi rezeki kepadanya tanpa di sangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.


Marilah kita bersama-sama menadah tangan ke hadrat Ilahi memohon agar diberikan kekuatan untuk terus mengharungi liku-liku perjalanan untuk menuntut kembali HAK kita. Kita tidak mahu dan tidak akan membiarkan usaha bersama yang telah kita gerakkan semenjak Disember 2006 ini boleh diganggu-gugatkan oleh mereka-mereka yang mempunyai kepentingan tersendiri.

Kita akan cuba dengan sedaya yang ada mengharunginya tanpa mengenal erti jerit dan perit mengadu domba kepada sebuah pengharapan agar perjalanan kita untuk mengembalikan semula HAK ini, akan berjalan dengan lancar walaupun terkadang kita seringkali dihimpit dengan pelbagai kemelut yang terkadang hampir melemaskan kita sendiri.

Semoga Allah memberikan kekuatan kepada kita semua untuk terus berjuang mempertahankan apa yang telah kita usahakan selama ini. Teruskanlah perjuangan ....teruskanlah perjuangan...teruskanlah perjuangan....


Wassalam
Blogger