Makluman Tarikh Mahkamah & Isu Semasa

Monday, November 12, 2007

Agenda Melayu Dulu Kini dan Selamanya



Sedih....apabila Perhimpunan Agung UMNO bagi tahun 2007 yang berakhir pada 9 November 2007 yang lalu langsung tidak ada seorangpun perwakilan yang menyentuh tentang Permasalahan Rumah Terbengkalai terutamanya Projek Pembesaran kampung, yang seringkali dihadapi oleh orang-orang Melayu yang sebahagian besarnya melibat rumah-rumah kos rendah dan sederhana.

Mengapa tidak ada seorangpun yang menyentuh tentang isu ini? Bagaimana untuk memastikan setiap projek perumahan untuk rakyat akan terlaksana dengan jayanya? Apakah kerana syarat-syarat yang longgar, maka pemilihan Kontraktor boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira latar belakang syarikat yang terbabit. Atau kerana projek yang melibatkan kroni, maka kelulusan amat mudah diberikan?

Apakah mereka tidak menyedari atau mengambil segala langkah yang perlu bagi mengelakkan kejadian rumah terbengkalai ini daripada berterusan yang sememangnya amat merugikan golongan pembeli dan pengguna seperti kita?

Untuk rekod, di Selangor sahaja antara projek-projek yang masih dikategorikan sebagai terbengkalai melibatkan 28 Projek Perumahan, 17 Projek Komersial, 5 Projek Pembesaran Kampung dan 1 Projek Industri.

Apakah kerana "ada udang di sebalik batu", maka mana-mana projek rumah terbengkalai dibiarkan begitu sahaja sehingga melewati "tempoh dan had masa" untuk Pembeli membuat sebarang tuntutan secara sah (legal). Maka seterusnya mereka memikirkan bagaimana pula untuk mendapat projek-projek lain daripada pihak-pihak yang bertanggung jawab meluluskan permohonan tersebut.

Kita melihat peraturan yang ada amatlah longgar bilamana Pengarah-Pengarah Syarikat yang terlibat di dalam Projek Terbengkalai ini masih lagi boleh tersenyum lebar walaupun projek tersebut gagal disiapkan sepertimana yang telah dijanjikan sedangkan golongan pembeli seperti kita ini terpaksa berhadapan dengan tindakan saman pemula daripada pihak pembiaya kerana gagal menjelaskan bayaran ansuran bulanan atau sekurang-kurangnya nama kita disenarai-hitamkan daripada memohon apa-apa pinjaman daripada mana-mana pembiaya lain di Malaysia ini. Keadilan dan kesaksamaan inilah yang sepatutnya diperjuangkan oleh mereka-mereka yang telah diamanahkan dan mempunyai kuasa.

Kita juga melihat saranan bahawa Melayu memiliki ekuiti sehingga 30% menjelang 2020 seperti yang seringkali dilaung sejak sekian lama tidak akan terlaksana dengan jayanya sekiranya orang-orang Melayu seperti kita masih lagi tidak mampu memiliki rumah sendiri apatah lagi untuk memiliki sebuah syarikat. Mengapa tidak disarankan bahawa setiap orang Melayu memilik rumah kediaman sendiri? Tidaklah hanya menyewa rumah seperti yang banyak berlaku di Negeri Selangor ini.

Tanyalah kepada kaum lain seperti orang cina, berapa ramai di antara mereka yang masih tidak memiliki rumah sendiri? Berapa ramai yang memiliki lebih daripada sebuah rumah. Sebagai contohnya saya sendiri yang telahpun bekerja dan secara tak langsung memakmurkan Negeri Selangor yang tercinta ini selama lebih daripada 17 tahun tetapi masih belum memiliki rumah kediaman sendiri. Tidak seperti seorang wakil rakyat kita yang mampu memiliki sebuah banglo yang bernilai jutaan ringgit berbanding dengan kita rakyat biasa yang idamkan sebuah rumah sendiri serendah RM45,000.

Mengapa tidak ada satupun agenda yang disentuh oleh perwakilan PAU 2007 tentang perlunya memastikan setiap individu Melayu yang telah berumahtangga dan mempunyai rumah kediaman sendiri. Inilah sepatutnya agenda yang perlu diberi perhatian yang serius oleh mereka kerana secara tidak langsung dapat berjuang dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat seperti kita. Janganlah hanya terlalu memikirkan projek-projek mega, maka projek perumahan hanya dipandang sepi oleh mereka.

Kalau dahulu Tun Abd Razak begitu prihatin dengan nasib orang Melayu dengan mengujudkan FELDA yang mana orang-orang Melayu boleh memiliki rumah, tanah dan ladang untuk diusahakan secara percuma dan secara tidak langsung ianya telah mengangkat ekonomi dan martabat orang-orang Melayu dengan lebih tinggi lagi. Tetapi sekarang, jauh berbeza yang mana untuk memiliki rumah dan tanah seluas 4,000 kaki persegi, kita terpaksa menyediakan wang sehingga ratusan ribu ringgit, malahan itu juga bukanlah sebagai satu jaminan bahawa wang yang telah kita keluarkan selama ini akan menjelmakan sebuah rumah idaman setelah delapan tahun masa berlalu sejak 1999 lagi.

Saya tidak tahu kenapa mereka seolah-olah memekak telinga tentang isu perumahan terbengkalai yang melibatkan Projek Pembesaran kampung ini yang 100% melibatkan kaum Melayu seperti kita. Apabila ditanyakan kepada pemimpin-pemimpin yang bertanggung jawab, pelbagai alasan yang diberikan seperti "saya tidak tahu", "Ini bidang kuasa jabatan ...bla...bla.." dan jawapan yang paling murahan diberikan oleh mereka adalah "kita akan siasat".

Apakah mereka langsung tidak memikirkan bahawa isu perumahan juga tidak kurang penting untuk memperkasakan dan mengangkasakan bangsa Melayu itu sendiri?

Kenapa? Disebabkan oleh Melayu seperti kita yang mudah mengalah dan menerima bahawa keterbengkalainya rumah kita adalah Qada dan Qadar, maka kita terpaksa akur dengannya? Apakah kita hanya mampu berpeluk tubuh setelah melihat dengan jelas seolah-olah wang daripada keringat yang kita kumpulkan bertahun-tahun "dilarikan" oleh mereka begitu sahaja tanpa kita berusaha untuk menuntutnya daripada pihak-pihak yang bertanggung jawab?

Apa yang kita harapkan kes tuntutan Gantirugi dan kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah ini akan berjaya. Semoga Allah akan kabulkan doa kita ini. InsyaAllah.

Wassalam
Blogger.

No comments: