Makluman Tarikh Mahkamah & Isu Semasa

Wednesday, October 10, 2007

Selamat Hari Raya Aidil Fitri 1428H




Allah hu Akbar...Allah hu Akbar...Allah hu Akbar....

InsyaAllah umat Islam di Malaysia dijangka akan merayakan 1 Syawal 1428H pada hari Sabtu ini bersamaan dengan 13 Oktober 2007. Sehubungan dengan itu pihak Blogger ingin menyusun 10 jari memohon ampun dan maaf sekiranya ada sebarang salah dan silap samada yang disedari mahupun tidak selama Blogger menyiarkan segala bentuk artikel dan pemberitahuan kepada kesemua Pembeli-Pembeli Desa Kerayong Indah sama yang telah memfailkan Tuntutan Gantirugi dan kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah ini ataupun tidak berbuat demikian.

Apa yang Blogger maklumkan di dalam laman Blog ini dan juga Blog Khas adalah tidak lain dari menjalankan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada Blogger untuk disampaikan kepada semua Pembeli-Pembeli DKI ini.

Sesungguhnya kita adalah bersaudara. Cuma yang membezakan antara kita adalah halatuju masing-masing. Olehitu, adalah menjadi harapan Blogger agar segala kekusutan dan ketidaksehaluan ini kita buang jauh-jauh dari kamar hati masing-masing untuk kita sama-sama mengucapkan syukur ke Hadrat Ilahi kerana InsyaAllah lebaran yang mendatang ini dapat kita rayakan bersama walaupun tidak berlangitkan kecerahan Puncak Bukit Kerayong.


Akhir sekali, Blogger ingin mengundang Pembeli-Pembeli Desa Kerayong Indah ke teratak Blogger yang terletak di Kampung Baru Batu 14, Puchong, Selangor Darul Ehsan bersempena dengan Aidil Fitri. InsyaAllah, Blogger akan pulang menyambut hari raya pertama dikampung isteri di Raub, Pahang pada 12 Oktober 2007 dan seterusnya di kampung halaman Blogger di Alor Gajah, Melaka pada hari raya kedua. Blogger akan pulang semula ke Puchong pada 16 Oktober 2007 sebelum mula bertugas pada 18 Oktober 2007 nanti.

Lemang dan ketupat juadah utama,
Dihidang bersama rendang dan kari,
Sepuluh jari disusun bersama,
Memohon kemaafan di Aidil Fitri.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin.

Wassalam
Blogger.

No comments: