Makluman Tarikh Mahkamah & Isu Semasa

Showing posts with label Kes Tuntutan. Show all posts
Showing posts with label Kes Tuntutan. Show all posts

Wednesday, February 22, 2012

Penyelesaian Tuntutan : Tarikh Akhir


Rabu 22hb. Februari 2012. Alhamdulillah, proses mengumpulkan maklumat Pembeli/Pemilik Desa Kerayong Indah yang telah dan ingin membuat Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah (TGDKWPDKI) berjalan dengan lancar. Sehingga pada hari ini sahaja, jumlah yang membuat tuntutan termasuk Pembeli/Pemilik yang telah memfailkan saman adalah berjumlah hampir 500 orang dan jumlah ini meningkat dari hari ke hari.

Namun begitu, selepas berbincang dengan Peguam dan Konsultan JawatanKuasa Task Force Selangor, maka penetapan Tarikh Akhir untuk menyertai tuntutan ini telah diputuskan seperti di bawah ini :-

Tarikh Akhir Menyertai Tuntutan Gantirugi (TGDKWPDKI)
Tarikh : 25hb. Februari 2012
Hari : Sabtu
Waktu : 11:59 malam

Tarikh Akhir ini terpaksa dibuat bagi memastikan urusan seterusnya iaitu Menandatangani Surat Tawaran Penyelesaian Tuntutan Gantirugi bagi Pembeli/Pemilik Kumpulan 7,8 dan 9. Bagi Pembeli/Pemilik Kumpulan 1-6 yang telah memfailkan tuntutan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam, mereka tidak perlu berbuat demikian tetapi disarankan agar mengemaskinikan butiran dan maklumat mereka (jika belum berbuat demikian) seperti yang diminta sebelum ini.

Sehubungan dengan itu, bagi Pembeli/Pemilik Desa Kerayong Indah yang baru sahaja mendapat pemakluman ini atau masih belum membuat keputusan agar SEGERA membuat keputusan dengan bijak sebelum TARIKH AKHIR seperti di atas. Sekiranya memilih untuk menyertai Tuntutan Gantirugi (TGDKWPDKI), sila berikan maklumat yang diperlukan dengan segera seperti di bawah ini :-

Maklumat Pemilik/Pembeli
Nama Penuh Pemilik/Pemilik Bersama :
No. Kad Pengenalan Pemilik/Pemilik Bersama :
Alamat Surat Menyurat :
Nombor Telefon :
Email (jika ada) :

Maklumat Desa Kerayong Indah
Nombor Lot Rumah/Tanah (No. PT) :
Nombor Fasa/Desa :
Jenis Rumah :
Nama Bank & Cawangan (Pinjaman) :

Semua maklumat yang diperlukan diatas boleh disalurkan ke :-
email : romatech@streamyx.com atau desakerayongindah@gmail.com
sms : 019-226 2125 (Sdr. Kamarol)

Sila pastikan anda menerima balasan email yang mengesahkan bahawa maklumat anda telah direkodkan dan dikemaskinikan.

Kegagalan membuat keputusan untuk menyertai tuntutan gantirugi ini akan menyebabkan Pembeli/Pemilik Desa Kerayong Indah tertakluk kepada 2 pilihan iaitu Meneruskan Pemilikan rumah serta menandatangani Perjanjian Baru dengan Pemaju (Baru) ATAU Menjualkan semula unit rumah/hartanah tersebut kepada Kerajaan Negeri melalui Pemaju (Baru) dengan harga yang akan ditetapkan oleh Pemaju (Baru).



Oleh yang demikian, Pembeli/Pemilik Desa Kerayong Indah yang tidak berhasrat untuk meneruskan pemilikan rumah di Desa Kerayong Indah, tetapi masih belum menyertai tuntutan gantirugi ini agar segera membuat keputusan yang bijak. Kegagalan membuat keputusan bijak akan menyebabkan kerugian yang berpanjangan kerana selepas daripada ini, kes tuntutan ini tidak boleh difailkan lagi di mahkamah.

Perlu diingatkan kepada Pembeli/Pemilik Desa kerayong Indah, bahawa pemilikan rumah di Desa Kerayong Indah ini adalah tertakluk kepada pra-syarat Desa Wawasan yang mana samada suka atau tidak, kita semua terpaksa akur kerana ianya adalah di bawah bidang kuasa MMKN Selangor yang mana mengguna-pakai KELULUSAN BERSYARAT.

Sebarang pertanyaan berkenaan dengan butiran yang diperlukan ini, boleh menghubungi J/Kuasa Tuntutan.






Saturday, January 14, 2012

Perbincangan Tuntutan dan Berita Baik


Jumaat 14hb. Januari 2012. Memasuki tahun baru 2012 ini, J/Kuasa Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah (TGDKWPDKI) telah mengadakan satu perbincangan dan mendapat taklimat daripada Pemaju Baru berkenaan dengan kedudukan dan proses memulihkan Projek Perumahan Desa Kerayong Indah ini dan berlangsung di DePalma Inn Shah Alam.

Isi kandungan perbincangan :-
  1. Laporan dan taklimat proses mendapatkan kebenaran dan kelulusan daripada Kerajaan Negeri untuk memasuki tapak projek dan memulakan kerja-kerja infrastruktur oleh Pemaju Baru.
  2. Proses audit dan analisa gantirugi bagi setiap unit rumah Pembeli/Pemilik yang terlibat dengan TGDKWPDKI.
  3. Isu semasa yang melibatkan Pembeli/Peminjam yang telah dan di dalam proses disaman oleh Bank-bank pemberi pinjaman.
  4. Tempoh masa untuk Pemaju menyelesaikan Pinjaman Bank Pembeli yang telah memfailkan tuntutan di mahkamah.
  5. Isu berbangkit yang melibatkan Pemilik/Pembeli yang tidak berkesempatan untuk menyertai tuntutan saman di mahkamah (selain dari Pembeli Kumpulan 1-6)
Perbincangan dan Keputusan
  1. Pemaju Baru memberikan taklimat berkenaan dengan persetujuan yang telah dicapai bersama semua agensi yang terlibat seperti JKKK, Pejabat Tanah, Pejabat Majlis Daerah, Syabas, TNB dan lain-lain. Pemaju juga telah membuat presentation kepada Kerajaan Negeri Selangor dan telah dipersetujui. Cuma 1-2 perkara yang melibat SOP (Standard of Procedure) yang perlu dipatuhi oleh Pemaju Baru untuk pengambilalihan projek DKI ini.
  2. Pemaju Baru telah bersetuju untuk mempercepatkan proses audit dan tafsiran kerugian bagi setiap unit rumah Pembeli yang telah memfailkan tuntutan (Kumpulan 1-6 dan 7). Pemaju melalui Jabatan Audit (Kewangan) mereka akan memasuki tapak projek dalam masa yang terdekat iaitu selepas mendapat maklumat terperinci berkenaan dengan kedudukan lot rumah dan makluman bank pemberi pinjaman setiap pembeli yang telah memfailkan saman. Butiran ini akan SEGERA disediakan oleh J/kuasa Tuntutan dan Peguam.
  3. Isu yang melibatkan pembeli yang telah disaman (termasuk yang telah mendapat status bankrap) oleh pihak bank juga di dalam pengetahuan Pemaju. InsyaAllah, Peguam kita akan berusaha untuk membantu mengikut kedudukan kes.
  4. Pihak Pemaju berjanji akan menyegerakan tempoh masa menyelesaikan tuntutan pembeli iaitu sebaik sahaja memperolehi kelulusan daripada Kerajaan Negeri. Tambahan pula Anchor Bank (Bank Pembiaya Projek DKI) telah bersetuju dengan proposal Pemaju Baru untuk mengambilalih projek ini.
  5. Pihak Pemaju Baru TELAH BERSETUJU dengan permintaan kita untuk memberi peluang kepada pembeli yang tidak berkesempatan untuk menyertai Pembeli yang telah memfailkan tuntutan gantirugi di mahkamah (Kumpulan 1-6 dan 7).
Berdasarkan kepada PERSETUJUAN yang telah dicapai ini, kita sangat mengalu-alukan mana-mana Pemilik/Pembeli Desa Kerayong Indah yang tidak berkesempatan untuk menyertai Tuntutan Gantirugi
(TGDKWPDKI) ini agar dapat SEGERA menghubungi J/Kuasa Tuntutan dan memberikan butiran seperti yang diperlukan di bawah ini :-


Maklumat Pemilik/Pembeli
Nama Penuh Pemilik/Pemilik Bersama :
No. Kad Pengenalan Pemilik/Pemilik Bersama :
Alamat Surat Menyurat :
Nombor Telefon :
Email (jika ada) :

Maklumat Desa Kerayong Indah
Nombor Lot Rumah/Tanah (No. PT) :
Nombor Fasa/Desa :
Jenis Rumah :
Nama Bank & Cawangan (Pinjaman) :

Semua maklumat yang diperlukan diatas boleh disalurkan ke :-
email : romatech@streamyx.com atau
desakerayongindah@gmail.com
sms : 019-226 2125 (Sdr. Kamarol)

Sila pastikan anda menerima balasan email yang mengesahkan bahawa maklumat anda telah direkodkan.

Sila hubungi J/Kuasa Tuntutan untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan dengan TAWARAN tuntutan gantirugi ini.

Sehubungan dengan itu, kita menyeru kepada Pemilik/Pembeli yang BELUM membuat tuntutan gantirugi dan ingin menuntut kembali wang mereka, agar SEGERA menghubungi kami untuk sama-sama memperolehi tuntutan gantirugi mereka.

Kerjasama daripada Pembeli-pembeli yang telah memfailkan tuntutan (Kumpulan 1-6 dan 7) amat dialu-alukan agar dapat MENGHEBAHKAN Peluang Keemasan ini kepada sahabat-sahabat yang belum membuat tuntutan agar bersama-sama dengan kita memperolehi gantirugi tanpa perlu memfailkan tuntutan saman di mahkamah lagi.

NOTA : Kelewatan memberikan butiran diatas akan menyebabkan Pemilik/Pembeli yang BELUM memfailkan tuntutan akan terlepas PELUANG KEEMASAN ini.




Thursday, August 4, 2011

Perbincangan Penyelesaian Luar Mahkamah


Khamis 4hb. Ogos 2011. Alhamdulillah, Perbincangan berkenaan penyelesaian di luar mahkamah bagi Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah (TGDKWPDKI) yang berlangsung di DePalma Inn Shah Alam pada Rabu 3hb. Ogos 2011 jam 9:15 malam berjalan dengan baik.

JawatanKuasa Tuntutan
Sdr Kamarol
Sdr Sabri
Sdr Zulhaizan
Sdr Azwan
Sdri Kamariah
Peguam TGDKWPDKI

Fasilitator Task Force - Pengerusi Majlis Perjumpaan
En. Zulkipli Abdullah - RSS PMC

Pemaju (Baru)
Tn. Haji Ibrahim Md Salleh
En. Mohd Hafiz - Pengarah Nusa Development
En. Mohd Syed - Pengurus Besar Nusa Development
En. Mohd Farid Omar - Peguam

Isi kandungan perbincangan :-

  1. Pengenalan Pembangunan Projek DKI oleh Pemaju (baru).
  2. Persetujuan dan Kelulusan Pengambilalihan Projek DKI oleh Agensi Kerajaan Negeri yang berkaitan.
  3. Penyelesaian terhadap tuntutan dan pampasan
  4. Isu-isu berbangkit


Siapa Pemaju (Baru)
Pemaju (Baru) yang dimaksudkan adalah Nusa Development Sdn Bhd yang bekerjasama dengan KLIA Premiers Sdn Bhd untuk mengambilalih dan seterusnya memulihkan Projek Pembesaran Kampong Bukit Kerayong (Desa Kerayong Indah), Mukim Jeram, Daerah Kuala Selangor, Selangor Darul Ehsan. Pemaju (Baru) telah mengambilalih projek Desa Kerayong Indah daripada Probil Industries Sdn Bhd melalui Perjanjian Usahasama yang telah dimaterai pada 14hb. April 2011 yang lalu.


Pengenalan Pembangunan Projek DKI oleh Pemaju (baru)

Tn Haji Ibrahim Md Salleh yang mewakili Pihak Pemaju (baru) telah memberi penerangan berkenaan pengambilalihan Projek Pemulihan Desa Kerayong Indah ini daripada Probil Industri Sdn Bhd. Pemaju (baru) telah mendapat perkenan dan kelulusan daripada agensi-agensi Kerajaan negeri Selangor untuk projek memulihkan Desa Kerayong Indah yang termasuk di dalam kategori "tenat". Namun begitu terdapat satu agensi yang masih tidak dapat dan tidak akan memberikan kelulusan kepada Pemaju (baru) untuk meneruskan Projek Pemulihan Desa Kerayong Indah ini walaupun diberitakan bahawa pihak Pemaju (baru) telahpun mengeluarkan perbelanjaan (initial cost) seperti pengambilalihan projek, pembinaan pagar dan lain-lainnya.

Agensi tersebut telah menetapkan bahawa selagi Kes Tuntutan Gantirugi dan kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah (TGDKWPDKI) tidak diselesaikan, maka Pemaju (baru) tidak dibenarkan samasekali untuk meneruskan projek pemulihan tersebut waima memasuki tapak projek yang pada masa sekarang telah di"palang" oleh agensi penguatkuasa lain di atas arahan agensi yang tidak memberikan kelulusan tersebut.

Kita menghormati kesungguhan pihak Pemaju (baru) untuk mengadakan pertemuan walaupun 2 pertemuan yang dirancangkan sebelum ini tidak kesampaian. Sessi pertemuan pada 3hb Ogos 2011 lalu (semalam) diadakan dalam suasana yang penuh harmoni yang bertujuan untuk mencapai kesepakatan.

Walaupun kelebihan adalah berpihak kepada kita (TGDKWPDKI) yang mana tanpa persetujuan kita, pihak Pemaju (baru) tidak dapat meneruskan projek tersebut, namun kita perlu akur bahawa masih terdapat pembeli-pembeli yang masih berminat dengan pemilikan rumah di Desa Kerayong Indah walaupun kita tidak pasti apakah Harga Baru bagi setiap unit rumah yang akan ditetapkan oleh Pemaju (baru). Kita menjangkakan bagi setiap unit rumah lot baglo harga akan mencecah sekurang-kurangnya 3 kali ganda berbanding dengan harga yang asal (Tahun 1999).

Namun begitu, Pemaju (baru) prihatin diatas ketidakmampuan pembeli untuk meneruskan pemilikan rumah tersebut. Oleh yang demikian, maka bagi pembeli yang tidak termasuk di dalam TGDKWPDKI ini, maka mereka akan ditawarkan untuk menjualkan unit-unit rumah kepada Pemaju (baru) pada harga semasa yang akan dimaklumkan oleh Pemaju (baru) nanti.

Bagi seramai 321 orang Pembeli yang berada di dalam TGDKWPDKI ini, maka berikut adalah penyelesaian awal yang telah dibincangkan di dalam sessi pertemuan tersebut :-

  1. Pemaju (baru) bersetuju untuk Menyelesaikan Pinjaman Bank Pembeli. Pemaju akan berusaha mendapatkan pembiayaan "anchor" bank dan mendapatkan pelarasan (hair-cut) daripada pihak bank untuk memudahkan urusan penyelesaian kes.
  2. Pemaju (baru) bersetuju untuk Mempertimbangkan Tuntutan sepertimana yang telah difailkan di mahkamah. 2 salinan Jadual Tuntutan telah diserahkan kepada Pemaju (baru).
  3. Pemaju (baru) bersetuju secara bersama untuk Menyelesaikan Kes Diluar Mahkamah. Masa yang ditetapkan ialah selewat-lewatnya 6 bulan daripada tarikh surat peguam (perkara 4). Jumlah pampasan yang akan diterima oleh Pembeli yang telah mengemukakan saman akan dibincangkan secara bersama diantara Pemaju (baru), J/Kuasa TGDKWPDKI dan pihak peguam pada masa yang akan ditetapkan nanti. Pihak Pemaju telah diperingatkan bahawa jumlah tuntutan bagi setiap pembeli yang terlibat adalah tidak sama dan perlu penelitian bagi setiap kes. Apa yang paling penting adalah setiap pembeli akan menerima pampasan pada kadar yang paling munasabah.
  4. Pihak Peguam TGDKWPDKI akan mengeluarkan surat persetujuan untuk withold (bukan withdraw) kes saman di mahkamah (surat ini amat diperlukan oleh Pemaju (baru)). Isi kandungan surat tersebut akan didraftkan terlebih dahulu oleh peguam dan ditunjukkan kepada J/Kuasa Tuntutan sebelum diserahkan kepada Pemaju (baru). Surat ini adalah sahlaku dalam masa 6 bulan daripada tarikh ianya dibuat.
  5. Pemaju menerima surat persetujuan dan dimajukan kepada agensi kerajaan negeri untuk kelulusan.
  6. Pemaju menjangkakan dapat memasuki tapak projek dan memulakan kerja pembinaan infrastruktur selepas Hari Raya Aidil Fitri nanti. Perkara utama yang akan mereka laksanakan adalah penyediaan infrastruktur utama iaitu jalan masuk ke tapak projek serta kemudahan lain seperti bekalan air dan elektrik.
Alhamdulillah, kita bersyukur dengan kesediaan Pemaju (baru) untuk berbincang dengan kita dan menyelesaikannya di luar mahkamah. InsyaAllah, setiap Pembeli yang berada di dalam Kumpulan 1 hingga Kumpulan 6 akan memperolehi semula gantirugi/pengembalian wang mereka dalam masa yang telah ditetapkan seperti di dalam perbincangan.

Apabila ia semua telah diselesaikan, maka seperti yang dipersetujui, Tuntutan Saman di Mahkamah akan ditarik balik bagi memberi laluan untuk kerja-kerja pemulihan projek dijalankan dengan lancar.

Mudah-mudahan segala tuntutan kita akan dipermudahkan dan menemui jalan penyelesaian yang terbaik untuk kebaikan semua pihak. Wassalam.

KOMEN : Sebenarnya apa yang kita tuntut ini adalah hak kita. kalaupun jumlahnya tidak akan dapat membawa kita kembali ke tahun 1999 yang mana pada masa itu kita tiada bebanan, sekurang-kurangnya apabila telah menerima pampasan ini, maka kita akan dapat melabuhkan tirai Desa Kerayong Indah, kita tak perlu menjawab lagi gangguan bank yang saban hari menuntut hutang. Tidur kita akan lebih lena. Selepas daripada ini, kita tidak lagi perlu memikirkan samada Pemaju (baru) dapat menyempurnakan projek Desa Kerayong Indah atau tidak.




Sunday, January 30, 2011

Update Terkini 30hb Januari 2011


Update Terkini.
Menurut sumber daripada pihak peguam, Kerajaan Negeri Selangor telah memberikan "lampu hijau" bagi menyelesaikan masaalah Projek Perumahan Terbengkalai Desa kerayong Indah ini.

Berdasarkan kepada perbincangan terkini diantara fasilitator kepada Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Projek Perumahan Terbengkalai yang ditubuhkan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dengan pihak Peguam kita, secara asasnya mereka telah bersetuju untuk memenuhi tuntutan utama kita iaitu menyelesaikan pinjaman bank sediada sebelum memulakan langkah seterusnya untuk memulihkan Projek Perumahan Desa Kerayarong Indah yang telah terbengkalai ini sejak 2002 yang lalu.



Kita sebenarnya bukan tidak yakin untuk Kerajaan Negeri dan Pemaju Baru untuk menyiapkan Projek ini. Apa yang perlu kita tekankan ialah adakah setelah menandatangani Perjanjian Baru, mereka akan dapat menyiapkan projek ini dalam masa yang ditetapkan, atau ianya akan terbengkalai lagi sepertimana yang seringkali berlaku di dalam projek pemulihan rumah terbengkalai di negara kita ini?

Jika ini berlaku, maka harapan kita untuk mendapatkan hak terhadap rumah tersebut akan tidak kesampaian lagi dan dalam masa yang sama, hak dari segi perundangan untuk membuat tuntutan akan terbatal kerana ianya telah melangkau Tempoh dan Hadmasa 6 tahun daripada tarikh asal untuk membuat tuntutan.

Inilah yang JawatanKuasa Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Rumah Desa Kerayong Indah dan kita semua perjuangkan selama ini bukan sahaja untuk mendapatkan jaminan kejujuran mereka membantu rakyat, tetapi juga demi untuk mendapatkan hak kita yang selama ini dinafikan. Atau setidak-tidaknya kita mendapat keputusan "win-win situation".

Kita dimaklumkan bahawa tindakan yang akan diambil oleh mereka terhadap tuntutan kita dan menyelesaikan kes rumah terbengkalai ini adalah :-
  • Mendapatkan dana daripada "anchor bank" (senaraian 2 bank utama)
  • Menyelesaikan Pinjaman Bank sediaada
  • Menyediakan Pembiayaan Baru dengan bank yang dilantik.
  • Memberi pilihan kepada pembeli samada untuk terus memiliki rumah tersebut atau menjualkannya kepada Pemaju yang baru dengan harga yang akan dipersetujui oleh kedua belah pihak.
  • Menandatangani surat Penamatan Kontrak dengan Bumi Circle Sdn Bhd.
  • Menyiapkan projek perumahan tersebut (projek mesti diteruskan) dalam masa 2-3 tahun dengan penambah-baikan dari segi kualiti rumah kepada 3 fasa (biasa, pertengahan dan atasan)
  • Membina semula lebih 60 buah rumah yang mengalami kerosakan teruk.
  • Menaik taraf rumah kepada rumah 2 tingkat bagi unit-unit yang terpilih.





Insyaallah, fasilitator kepada Task Force dijangka akan mengadakan "presentation" pada bulan Mac 2011. Semua pembeli (yang menyertai saman atau tidak) disarankan menghadirkan diri untuk mendapatkan penjelasan yang lebih lanjut tentang penyelesaian yang akan diadakan ini nanti. Kerajaan negeri melalui Task Force dijangka akan mengeluarkan surat jemputan kepada semua pembeli dalam masa yang terdekat.

Jika ini menjadi kenyataan, kita amat bersyukur kerana sekurang-kurangnya pihak kerajaan negeri Selangor ini telah mula menunjukkan keprihatinan mereka terhadap masaalah kita. Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah yang telah difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 24 April 2007 yang lalu setidak-tidaknya telah menjadikan penentu kepada keputusan yang bakal mereka buat, yakni mereka telah bersetuju pada asasnya untuk menyelesaikan pinjaman bank yang telah tertunggak sejak sekian lama.

Namun begitu, sepertimana yang telah kita sedia maklum dan dipersetujui sebelum ini bahawa proses-proses yang akan dijalankan itu nanti akan hanya dilangsungkan (termasuk menandatangani perjanjian) apabila mereka telah melangsaikan semua hutang-piutang kita dengan pihak bank sedia ada. Jika ini gagal dilaksanakan, maka proses Tuntutan Mahkamah akan diteruskan seperti biasa.

Oleh yang demikian semua plaintif diminta untuk merujuk kepada pihak peguam sekiranya terdapat sebarang keraguan berkenaan dengan tawaran yang dikeluarkan oleh mereka.

Mudahan Allah mempermudahkan tuntutan kita.




Friday, July 3, 2009

Mahkamah Arah PKNS Bayar Pembeli



Kesabaran pembeli menghadapi kes tuntutan mereka berbaloi apabila mahkamah memutuskan PKNS bersalah kerana gagal menyerahkan pemilikan rumah sebagaimana yang dijanjikan.

Yang menariknya, hanya 17 orang pembeli sahaja yang memfailkan tuntutan mereka berbanding dengan Tuntutan Gantirugi dan kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah yang berjumlah 350 orang ini.

Menurut hakim Mahkamah Sesyen, tiada apa-apa isu yang perlu dibicarakan di dalam kes tuntutan tersebut. Ianya amat jelas, kerana PKNS GAGAL menyiapkan rumah seperti yang dijanjikan. Kes ini sama seperti kes yang sedang kita hadapi sekarang.

Apa yang kita kesalkan ialah, pihak defendan seringkali cuba melengah-lengahkan kes seperti terlupa tarikh mahkamah, tidak hadir di mahkamah dan sebagainya yang menyebabkan proses dokumentasi telah menjangkau masa lebih dari 2 tahun sejak kita memfailkanya pada 24hb. April 2007 yang lalu.

Baik semasa pemerintahan Barisan Nasional, mahupun Pakatan Rakyat, SAMA sahaja. Sebelum dapat memerintah, berbagai-bagai janji yang dicanangkan...tetapi apabila telah memerintah, lihat sahajalah...Malahan perjumpaan kita yang lalu cuma dihadiri oleh jawatankuasa Task Force sahaja tanpa kehadiran YB Saari Sungib seperti yang mereka janjikan.

Nak jumpa MB, jauh sekali...kalau dapat jumpapun, kita akan ditempelak seperti yang dialami oleh salah seorang pembeli DKI. disini

Tetapi jika ianya melibatkan isu populariti, maka cepat sangat menyempilkan muka di hadapan wartawan atau media. Malahan Surat Terbuka yang kita hantar, langsung tidak diendahkan oleh mereka. Cuma ada 2 wakil rakyat sahaja (YB Nurul Izzah dan YB PAS) yang menjawabnya yang kemudiannya sepi begitu sahaja....

InsyaAllah, kita akan menjadikan kes ini sebagai rujukan di mahkamah terhadap kes kita nanti apabila perbicaraan bermula pada penghujung bulan Julai 2009 ini.

Marilah bersama-sama untuk menuntut hak kita sebagai pembeli. Janganlah ada diantara kita masih lagi terpedaya dengan janji-janji untuk menyiapkan rumah apabila mereka membawa masuk pemaju yang dikatakan lebih berwibawa daripada Bumi Circle dan Probil Sonati.

Ingatlah, apabila kita menurunkan tandatangan di atas perjanjian baru yang diberitakan akan diedarkan di dalam tempoh 1 atau 2 minggu ini, maka secara automatiknya kita akan hilang kelayakan untuk membuat tuntutan.

Fikir-fikirkanlah......