Makluman Tarikh Mahkamah & Isu Semasa

Showing posts with label Ucap Selamat. Show all posts
Showing posts with label Ucap Selamat. Show all posts

Wednesday, September 16, 2009

Selamat Hari Raya Aidil Fitri 1430H


Hari Raya Aidil Fitri 1430H tiba lagi. Namun Desa Kerayong Indah masih belum menampakkan tanda-tanda akan adanya penyelesaian sepertimana yang kita semua harapkan.

Pihak pemaju/kontraktor baru yang diberitakan berhajat untuk menyambung semula projek tersebut masih lagi belum memberikan sebarang keputusan sepertimana yang kita tuntut di dalam Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah.

Walau bagaimanapun, mereka diberitakan sedang di dalam proses menyediakan infrastruktur seperti menambak tanah bagi membina laluan jalan penghubung antara fasa. Persoalannya, dari manakah peruntukan memulakan projek tersebut diperolehi? Adakah pihak kontraktor baru secara sukarela mengeluarkan perbelanjaan sendiri ataupun pihak kerajaan negeri telah mengeluarkan perbelanjaan tersebut?

Jika diperhatikan, pihak yang terlibat di dalam projek baik pulih ini (rumah terbengkalai di Selangor) adalah terdiri juga dari kalangan kontraktor/pemaju yang bermasalah di tempat lain. Sila klik disini.

Walaubagaimanapun, proses tuntutan di mahkamah akan berlangsung seperti yang dijadualkan iaitu pada 6hb Oktober 2009 ini nanti. Kali ini dijangkakan ada pendengaran kes bagi kesemua kumpulan yang telah memfailkan tuntutan iaitu Kumpulan 1-6.

Mudahan Allah mempermudahkan tuntutan kita.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri.
Maaf Zahir dan Batin.
Blogger.




Sunday, September 28, 2008

Selamat Hari Raya Aidil Fitri 1429H/2008



Blogger ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua rakan-rakan Pembeli Rumah Desa Kerayong Indah.

Blogger juga ingin memohon maaf zahir dan batin sekiranya ada kekasaran dari segi bahasa mahupun penampilan samada yang disedari mahupun tidak terhadap semua rakan-rakan.

Mudah-mudahan kes tuntutan kita di mahkamah yang telah berlarutan lebih dari 1 tahun ini akan menampakkan hasil sepertimana yang kita semua harapkan. InsyaAllah, berkat kesabaran kita semua, Allah SWT akan menunjukkan jalan untuk kita semua lalui agar hari-hari yang mendatang akan lebih bermakna.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Maaf Zahir dan Batin.



Monday, March 24, 2008

Senarai EXCO Kerajaan Negeri Selangor


Hari ini 24 Mac 2008, Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan YAB Dato Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Bin Ibrahim telah mengumumkan secara rasmi senarai penuh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (EXCO).

Berikut adalah senarai EXCO Kerajaan Negeri Selangor :-

  1. Tan Sri Datuk Abdul Khalid bin Ibrahim - Dato’ Menteri Besar
    Pembangunan Tanah, Kewangan, Majlis Tindakan Ekonomi Negeri, Belia & Sukan
  2. Teresa Kok Suh Sim - Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan
  3. Datuk Dr. Hassan bin Mohamed Ali - Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam
  4. Yaakob bin Sapari - Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan
  5. Rodziah binti Ismail - Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi
  6. Dr. Xavier Jayakumar a/l Arulanandam - Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin
  7. Dr. Halimah binti Ali - Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan
  8. Iskandar bin Abdul Samad - Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan
  9. Ronnie Liu Tian Khiew - Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan
  10. Wong Keat Ping @ Elizabeth Wong - Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar
  11. Eam Yong Hian Wah - Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram

Apa yang kita sangat-sangat harapkan adalah dengan perlantikan serta amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada barisan EXCO Selangor yang baru ini agar mereka lebih telus dalam menjalankan tugas sebagai EXCO untuk memajukan Negeri Selangor ini dan untuk kesejahteraan rakyat sekalian tanpa membeza-bezakan fahaman politik masing-masing.

Kita juga mengharapkan perlantikan
Sdr Iskandar Bin Abdul Samad sebagai EXCO Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan dapat membantu kita semua Pembeli-Pembeli Rumah Desa Kerayong Indah yang telah menghadapi kesusahan sejak 2002 bilamana rumah yang telah dijanjikan untuk disiapkan telah terbengkalai sepenuhnya dan langsung tidak diambil peduli secara serius oleh EXCO dan Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Bekas MB Dato' Seri Khir Toyo.

EXCO YB Iskandar Abdul Samad , 47 tahun, berasal dari Petaling Jaya, Selangor. Beliau merupakan lulusan Ijazah Arkitek dari Humberside, United Kingdom dan pernah menjadi Pensyarah Senibina di Universiti Teknologi MARA. Kini beliau merupakan Timbalan Persuruhjaya 3 PAS Negeri Selangor dan Yang Dipertua PAS Kawasan Pandan.

Di dalam PRU-12 yang lalu, beliau telah menewaskan calon BN Nosimah Hashim di kawasan DUN N21-Chempaka dengan majoriti 1,048 undi.

Mudah-mudahan YAB Dato MB dan YB Iskandar dapat melihat kes tuntutan kita ini agar satu penyelesaian dapat diberikan bagi membolehkan kita menjalani kehidupan di hari yang mendatang dengan lebih baik lagi tanpa perlu bersusah payah untuk menunggu rumah tersebut dengan lebih lama lagi. InsyaAllah.

Wassalam
Blogger.


Thursday, March 20, 2008

Selamat Menyambut Maulidur Rasul 1429H





Hari ini 12 Rabiul Awal 1429H bersamaan dengan 20 Mac 2008, seluruh umat Islam menyambut hari keputeraan junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. Baginda lahir pada 12 Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan dengan 23 April 571.

Bulan Rabiulawal bermaksud bulan dimana bermulanya musim bunga bagi tanaman. Mengikut kebiasaannya di Tanah Arab, sewaktu bulan Rabiulawal pokok buah-buahan mula berbunga dan seterusnya berbuah. Maka nama bulan ini diambil sempena musim berbunga tanaman mereka. Dan setelah kedatangan Islam, Rasulullah saw telah mengekalkan nama Rabiulawal ini sehinggalah sekarang.

Satu nikmat besar yang dikurniakan Allah kepada manusia ialah memperolehi perutusan daripada nabi dan rasul. Mereka adalah pembawa risalah Islam, sekali gus menjadi contoh tauladan kepada umat manusia seluruhnya.

Firman-Nya dalam surah Ali Imran ayat 164 bermaksud: Sesungguhnya Allah telah memberi kurnia kepada orang-orang yang beriman ketika Allah mengutus di antara mereka seorang rasul daripada golongan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, membersihkan (jiwa) mereka dan mengajarkan kepada mereka al-Kitab dan al-Hikmah. Dan sesungguhnya sebelum (kedatangan nabi) itu, mereka adalah benar-benar kesesatan yang nyata.

Sepatutnya sambutan Maulidur Rasul telah kita raikan secara bersama-sama sebanyak 6 kali sejak 2002 (tahun rumah Desa kerayong Indah siap). Malangnya dengan kegagalan pihak Bumi Circle menyiapkan rumah tersebut, maka kita semua terpaksa meraikannya secara berasingan di tempat masing-masing.

Walaubagaimanapun, marilah kita bersama-sama mengucapkan salam dan selawat ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW yang telah menjadi utusan Allah SWT untuk membimbing kita semua ke jalan yang benar. InsyaAllah.

Wassalam
Blogger.


Monday, January 7, 2008

Selamat Menyambut Maal Hijrah 1429H




Blogger ingin mengucapkan Selamat menyambut Maal Hijrah 1 Muharram 1429H yang akan menjelang tiba pada hari Khamis 10 Januari 2008 nanti kepada semua Pembeli-Pembeli Desa Kerayong Indah.

Sepatutnya kedatangan Maal Hijrah ini akan dapat kita raikan bersama-sama di Masjid Desa Kerayong Indah yang kita nantikan sejak delapan tahun yang telah sudah andainya desa yang kita impikan itu telah dilaksanakan dengan penuh tanggung jawab oleh mereka-mereka yang telah diberikan amanah itu.

Kita hanya mampu membayangkan betapa ketika itu jawatankuasa Masjid Desa Kerayong Indah bersama-sama dengan kita sibuk berusaha mengatur majlis keagamaan seperti sembahyang berjamaah, bacaan doa akhir dan awal tahun, bacaan yassin, ceramah agama dan sebagainya.

Manakala khemah-khemah tetamu dan ruang memasak dipenuhi dengan jemaah DKI yang bergotong royong menyediakan kerusi meja dan makanan untuk kenduri kesyukuran sempena dengan kedatangan Maal Hijrah ini. Kecerian sambutannya dihiasi lagi dengan anak-anak kita yang turut bergembira.

Namun itu semua tidak menjadi kenyataan.
Apa yang kita impikan sejak 1999 yang lalu telah lenyap ditelan waktu. Malahan hari ini kita menghadapi kesusahan yang tidak dapat digambarkan dengan hanya "bersabar". Dan dalam masa yang sama antara kita dan pihak yang bertanggung jawab saling mengejar waktu Tempoh dan Hadmasa yang akan berakhir 5 bulan dari sekarang.

Jika ini berlaku, maka kita amat bersimpati kepada mereka yang tidak memfailkan Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah ini kerana tiada apa lagi yang boleh dilakukan selain mengharapkan ehsan mereka untuk menyiapkan pembinaan rumah tersebut. Pada masa itu, pihak yang bertanggung jawab akan terlepas daripada Tindakan Undang-Undang bilamana berakhirnya Tempoh dan Hadmasa tersebut.


Mudah-mudahan juga kehadiran 1429H ini akan memberikan nafas baru dalam hidup dan kehidupan kita dalam menghadapi kegetiran hari-hari yang mendatang. Semoga juga apa yang kita rencanakan pada tahun yang telah sudah, walaupun belum berjaya sepenuhnya, namun janganlah sesekali kita berputus asa. Orang yang berjaya di dalam hidupnya tidak akan berputus asa walau sesaat selagi ia menyakini bahawa apa yang dilakukannya adalah benar. InsyaAllah.

Bagi Pembeli yang telah memfailkan tuntutan di Mahkamah, kita mengesyorkan agar setiap keluarga mahupun individu agar membuat bacaan Yassin pada Hari Rabu 9 Januari 2008 bersamaan dengan 30 Zulhijjah 1428H selepas Solat Maghrib serta memohon ke hadrat Ilahi agar kes tuntutan kita ini akan berjaya dan dipermudahkan oleh Allah SWT. InsyaAllah.

Wassalam
Blogger.


Sunday, December 30, 2007

Selamat Menyambut Tahun Baru 2008




Blogger ingin mengucapkan Selamat menyambut Tahun Baru 2008 yang akan menjelang tiba pada hari Selasa nanti kepada semua Pembeli-Pembeli Desa Kerayong Indah.

Semoga kehadiran Tahun Baru 2008 ini akan memberikan nafas baru kepada kita semua samada Pembeli-Pembeli yang telah memfailkan Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah mahupun kepada mereka yang masih menanti dengan seribu pengharapan kepada sebuah kediaman yang sempurna di Bumi Selangor ini.

Memandangkan 2008 merupakan tahun yang amat penting untuk semua pihak yang mana pada Jun 2008 nanti akan luputnya Tempoh dan Hadmasa yang terawal untuk Pembeli memfailkan Tuntutan mereka di Mahkamah serta jangkaan Pilihanraya Umum negara kita yang ke-12, apa yang kita harapkan agar penyelesaian akan dapat dicapai dengan kadar yang segera bagi membolehkan kesemua pihak dapat mengharungi hari-hari yang mendatang dengan lebih sempurna lagi.

InsyaAllah, segala apa yang kita harapkan akan diperkenankan oleh Allah SWT.

Wassalam
Blogger.


Monday, December 17, 2007

Selamat Hari Raya Aidil Adha 1428H




Sempena dengan Kehadiran Aidil Adha yang mulia ini yang akan dirayakan pada hari Khamis 20 Disember 2007, Pihak Blogger ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha. Maaf Zahir dan Bathin.

Kepada mereka yang akan pulang berhari raya di kampung, Blogger ucapkan selamat pulang ke kampung halaman. Berhati-hatilah ketika di dalam perjalanan. Utamakan keselamatan dan orang yang tersayang.

Mereka yang akan pulang ke Pantai Timur serta kawasan-kawasan yang dilanda banjir agar lebih berhati-hati dan sentiasa menjaga keselamatan diri dan ahli keluarga. Blogger pula akan pulang berhari raya di Alor Gajah, Melaka.

InsyaAllah, kita berjumpa lagi selepas Hari Raya Aidil Adha ini dengan perkhabaran yang kita nanti-nantikan.

Wassalam
Blogger.


Wednesday, October 10, 2007

Selamat Hari Raya Aidil Fitri 1428H




Allah hu Akbar...Allah hu Akbar...Allah hu Akbar....

InsyaAllah umat Islam di Malaysia dijangka akan merayakan 1 Syawal 1428H pada hari Sabtu ini bersamaan dengan 13 Oktober 2007. Sehubungan dengan itu pihak Blogger ingin menyusun 10 jari memohon ampun dan maaf sekiranya ada sebarang salah dan silap samada yang disedari mahupun tidak selama Blogger menyiarkan segala bentuk artikel dan pemberitahuan kepada kesemua Pembeli-Pembeli Desa Kerayong Indah sama yang telah memfailkan Tuntutan Gantirugi dan kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah ini ataupun tidak berbuat demikian.

Apa yang Blogger maklumkan di dalam laman Blog ini dan juga Blog Khas adalah tidak lain dari menjalankan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada Blogger untuk disampaikan kepada semua Pembeli-Pembeli DKI ini.

Sesungguhnya kita adalah bersaudara. Cuma yang membezakan antara kita adalah halatuju masing-masing. Olehitu, adalah menjadi harapan Blogger agar segala kekusutan dan ketidaksehaluan ini kita buang jauh-jauh dari kamar hati masing-masing untuk kita sama-sama mengucapkan syukur ke Hadrat Ilahi kerana InsyaAllah lebaran yang mendatang ini dapat kita rayakan bersama walaupun tidak berlangitkan kecerahan Puncak Bukit Kerayong.


Akhir sekali, Blogger ingin mengundang Pembeli-Pembeli Desa Kerayong Indah ke teratak Blogger yang terletak di Kampung Baru Batu 14, Puchong, Selangor Darul Ehsan bersempena dengan Aidil Fitri. InsyaAllah, Blogger akan pulang menyambut hari raya pertama dikampung isteri di Raub, Pahang pada 12 Oktober 2007 dan seterusnya di kampung halaman Blogger di Alor Gajah, Melaka pada hari raya kedua. Blogger akan pulang semula ke Puchong pada 16 Oktober 2007 sebelum mula bertugas pada 18 Oktober 2007 nanti.

Lemang dan ketupat juadah utama,
Dihidang bersama rendang dan kari,
Sepuluh jari disusun bersama,
Memohon kemaafan di Aidil Fitri.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin.

Wassalam
Blogger.