Makluman Tarikh Mahkamah & Isu Semasa

Showing posts with label Task Force. Show all posts
Showing posts with label Task Force. Show all posts

Thursday, August 4, 2011

Perbincangan Penyelesaian Luar Mahkamah


Khamis 4hb. Ogos 2011. Alhamdulillah, Perbincangan berkenaan penyelesaian di luar mahkamah bagi Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah (TGDKWPDKI) yang berlangsung di DePalma Inn Shah Alam pada Rabu 3hb. Ogos 2011 jam 9:15 malam berjalan dengan baik.

JawatanKuasa Tuntutan
Sdr Kamarol
Sdr Sabri
Sdr Zulhaizan
Sdr Azwan
Sdri Kamariah
Peguam TGDKWPDKI

Fasilitator Task Force - Pengerusi Majlis Perjumpaan
En. Zulkipli Abdullah - RSS PMC

Pemaju (Baru)
Tn. Haji Ibrahim Md Salleh
En. Mohd Hafiz - Pengarah Nusa Development
En. Mohd Syed - Pengurus Besar Nusa Development
En. Mohd Farid Omar - Peguam

Isi kandungan perbincangan :-

  1. Pengenalan Pembangunan Projek DKI oleh Pemaju (baru).
  2. Persetujuan dan Kelulusan Pengambilalihan Projek DKI oleh Agensi Kerajaan Negeri yang berkaitan.
  3. Penyelesaian terhadap tuntutan dan pampasan
  4. Isu-isu berbangkit


Siapa Pemaju (Baru)
Pemaju (Baru) yang dimaksudkan adalah Nusa Development Sdn Bhd yang bekerjasama dengan KLIA Premiers Sdn Bhd untuk mengambilalih dan seterusnya memulihkan Projek Pembesaran Kampong Bukit Kerayong (Desa Kerayong Indah), Mukim Jeram, Daerah Kuala Selangor, Selangor Darul Ehsan. Pemaju (Baru) telah mengambilalih projek Desa Kerayong Indah daripada Probil Industries Sdn Bhd melalui Perjanjian Usahasama yang telah dimaterai pada 14hb. April 2011 yang lalu.


Pengenalan Pembangunan Projek DKI oleh Pemaju (baru)

Tn Haji Ibrahim Md Salleh yang mewakili Pihak Pemaju (baru) telah memberi penerangan berkenaan pengambilalihan Projek Pemulihan Desa Kerayong Indah ini daripada Probil Industri Sdn Bhd. Pemaju (baru) telah mendapat perkenan dan kelulusan daripada agensi-agensi Kerajaan negeri Selangor untuk projek memulihkan Desa Kerayong Indah yang termasuk di dalam kategori "tenat". Namun begitu terdapat satu agensi yang masih tidak dapat dan tidak akan memberikan kelulusan kepada Pemaju (baru) untuk meneruskan Projek Pemulihan Desa Kerayong Indah ini walaupun diberitakan bahawa pihak Pemaju (baru) telahpun mengeluarkan perbelanjaan (initial cost) seperti pengambilalihan projek, pembinaan pagar dan lain-lainnya.

Agensi tersebut telah menetapkan bahawa selagi Kes Tuntutan Gantirugi dan kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah (TGDKWPDKI) tidak diselesaikan, maka Pemaju (baru) tidak dibenarkan samasekali untuk meneruskan projek pemulihan tersebut waima memasuki tapak projek yang pada masa sekarang telah di"palang" oleh agensi penguatkuasa lain di atas arahan agensi yang tidak memberikan kelulusan tersebut.

Kita menghormati kesungguhan pihak Pemaju (baru) untuk mengadakan pertemuan walaupun 2 pertemuan yang dirancangkan sebelum ini tidak kesampaian. Sessi pertemuan pada 3hb Ogos 2011 lalu (semalam) diadakan dalam suasana yang penuh harmoni yang bertujuan untuk mencapai kesepakatan.

Walaupun kelebihan adalah berpihak kepada kita (TGDKWPDKI) yang mana tanpa persetujuan kita, pihak Pemaju (baru) tidak dapat meneruskan projek tersebut, namun kita perlu akur bahawa masih terdapat pembeli-pembeli yang masih berminat dengan pemilikan rumah di Desa Kerayong Indah walaupun kita tidak pasti apakah Harga Baru bagi setiap unit rumah yang akan ditetapkan oleh Pemaju (baru). Kita menjangkakan bagi setiap unit rumah lot baglo harga akan mencecah sekurang-kurangnya 3 kali ganda berbanding dengan harga yang asal (Tahun 1999).

Namun begitu, Pemaju (baru) prihatin diatas ketidakmampuan pembeli untuk meneruskan pemilikan rumah tersebut. Oleh yang demikian, maka bagi pembeli yang tidak termasuk di dalam TGDKWPDKI ini, maka mereka akan ditawarkan untuk menjualkan unit-unit rumah kepada Pemaju (baru) pada harga semasa yang akan dimaklumkan oleh Pemaju (baru) nanti.

Bagi seramai 321 orang Pembeli yang berada di dalam TGDKWPDKI ini, maka berikut adalah penyelesaian awal yang telah dibincangkan di dalam sessi pertemuan tersebut :-

  1. Pemaju (baru) bersetuju untuk Menyelesaikan Pinjaman Bank Pembeli. Pemaju akan berusaha mendapatkan pembiayaan "anchor" bank dan mendapatkan pelarasan (hair-cut) daripada pihak bank untuk memudahkan urusan penyelesaian kes.
  2. Pemaju (baru) bersetuju untuk Mempertimbangkan Tuntutan sepertimana yang telah difailkan di mahkamah. 2 salinan Jadual Tuntutan telah diserahkan kepada Pemaju (baru).
  3. Pemaju (baru) bersetuju secara bersama untuk Menyelesaikan Kes Diluar Mahkamah. Masa yang ditetapkan ialah selewat-lewatnya 6 bulan daripada tarikh surat peguam (perkara 4). Jumlah pampasan yang akan diterima oleh Pembeli yang telah mengemukakan saman akan dibincangkan secara bersama diantara Pemaju (baru), J/Kuasa TGDKWPDKI dan pihak peguam pada masa yang akan ditetapkan nanti. Pihak Pemaju telah diperingatkan bahawa jumlah tuntutan bagi setiap pembeli yang terlibat adalah tidak sama dan perlu penelitian bagi setiap kes. Apa yang paling penting adalah setiap pembeli akan menerima pampasan pada kadar yang paling munasabah.
  4. Pihak Peguam TGDKWPDKI akan mengeluarkan surat persetujuan untuk withold (bukan withdraw) kes saman di mahkamah (surat ini amat diperlukan oleh Pemaju (baru)). Isi kandungan surat tersebut akan didraftkan terlebih dahulu oleh peguam dan ditunjukkan kepada J/Kuasa Tuntutan sebelum diserahkan kepada Pemaju (baru). Surat ini adalah sahlaku dalam masa 6 bulan daripada tarikh ianya dibuat.
  5. Pemaju menerima surat persetujuan dan dimajukan kepada agensi kerajaan negeri untuk kelulusan.
  6. Pemaju menjangkakan dapat memasuki tapak projek dan memulakan kerja pembinaan infrastruktur selepas Hari Raya Aidil Fitri nanti. Perkara utama yang akan mereka laksanakan adalah penyediaan infrastruktur utama iaitu jalan masuk ke tapak projek serta kemudahan lain seperti bekalan air dan elektrik.
Alhamdulillah, kita bersyukur dengan kesediaan Pemaju (baru) untuk berbincang dengan kita dan menyelesaikannya di luar mahkamah. InsyaAllah, setiap Pembeli yang berada di dalam Kumpulan 1 hingga Kumpulan 6 akan memperolehi semula gantirugi/pengembalian wang mereka dalam masa yang telah ditetapkan seperti di dalam perbincangan.

Apabila ia semua telah diselesaikan, maka seperti yang dipersetujui, Tuntutan Saman di Mahkamah akan ditarik balik bagi memberi laluan untuk kerja-kerja pemulihan projek dijalankan dengan lancar.

Mudah-mudahan segala tuntutan kita akan dipermudahkan dan menemui jalan penyelesaian yang terbaik untuk kebaikan semua pihak. Wassalam.

KOMEN : Sebenarnya apa yang kita tuntut ini adalah hak kita. kalaupun jumlahnya tidak akan dapat membawa kita kembali ke tahun 1999 yang mana pada masa itu kita tiada bebanan, sekurang-kurangnya apabila telah menerima pampasan ini, maka kita akan dapat melabuhkan tirai Desa Kerayong Indah, kita tak perlu menjawab lagi gangguan bank yang saban hari menuntut hutang. Tidur kita akan lebih lena. Selepas daripada ini, kita tidak lagi perlu memikirkan samada Pemaju (baru) dapat menyempurnakan projek Desa Kerayong Indah atau tidak.




Tuesday, July 26, 2011

Update Terkini : Julai 2011


Update Terkini. 26hb Julai 2011
Surat rasmi berhubung dengan pengambilalihan Projek Pembesaran Kampong Desa Kerayong Indah ini telah diterima secara rasmi oleh Peguam dan telah diterima oleh Jawatankuasa Tuntutan Pembeli. Surat yang bertarikh 14hb. Julai 2011 ini memaklumkan tentang pengambilalihan Projek tersebut daripada Probil Industri Sdn Bhd bagi tujuan untuk memulihkan semula projek yang telah terbengkalai sejak tahun 2002 yang lalu.

Sehubungan dengan itu satu sessi pertemuan dijadualkan akan diadakan pada Khamis 28hb. Julai 2011 ini diantara Pihak Pemaju (Baru), Fasilitator Task Force, Peguam dan JawatanKuasa Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang pembeli Desa Kerayong Indah bagi memperolehi persetujuan kita terhadap penyelesaian yang mereka cadangkan melalui Jawatankuasa Task Force.

Tanpa persetujuan kita (penarikbalikan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam), pihak Pemaju (baru) tidak dapat menjalankan kerja-kerja pemulihan projek.

Sehubungan dengan itu, semua pembeli yang telah memfailkan tuntutan di Mahkamah (Kumpulan 1, 2, 3, 4, 5 dan 6) tidak perlu bimbang, kerana apa yang kita perjuangkan sejak hari pertama memfailkan tuntutan di Mahkamah, iaitu menuntut pengembalian semula wang kita, tetap akan kita pertahankan. Pun begitu, bagi memberi laluan kepada pembeli-pembeli yang ingin terus memiliki rumah di Desa Kerayong Indah ini, kita akan berusaha untuk mencapai persetujuan sekurang-kurangnya pada kedudukan "win-win situation".

InsyaAllah, satu perjumpaan dan taklimat akan diadakan dengan semua pembeli yang telah memfailkan tuntutan selepas perjumpaan ini. Oleh yang demikian, harap makluman ini dapat diwar-warkan kepada semua sahabat-sahabat yang tidak mempunyai akses ke internet.


InsyaAllah, kami akan memberikan makluman selepas sessi pertemuan tersebut. Pembeli-pembeli yang mempunyai kemudahan akses ke FaceBook, boleh online untuk mengikuti perkembangan terkini dengan lebih cepat lagi disini disini




Sunday, January 30, 2011

Update Terkini 30hb Januari 2011


Update Terkini.
Menurut sumber daripada pihak peguam, Kerajaan Negeri Selangor telah memberikan "lampu hijau" bagi menyelesaikan masaalah Projek Perumahan Terbengkalai Desa kerayong Indah ini.

Berdasarkan kepada perbincangan terkini diantara fasilitator kepada Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Projek Perumahan Terbengkalai yang ditubuhkan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dengan pihak Peguam kita, secara asasnya mereka telah bersetuju untuk memenuhi tuntutan utama kita iaitu menyelesaikan pinjaman bank sediada sebelum memulakan langkah seterusnya untuk memulihkan Projek Perumahan Desa Kerayarong Indah yang telah terbengkalai ini sejak 2002 yang lalu.



Kita sebenarnya bukan tidak yakin untuk Kerajaan Negeri dan Pemaju Baru untuk menyiapkan Projek ini. Apa yang perlu kita tekankan ialah adakah setelah menandatangani Perjanjian Baru, mereka akan dapat menyiapkan projek ini dalam masa yang ditetapkan, atau ianya akan terbengkalai lagi sepertimana yang seringkali berlaku di dalam projek pemulihan rumah terbengkalai di negara kita ini?

Jika ini berlaku, maka harapan kita untuk mendapatkan hak terhadap rumah tersebut akan tidak kesampaian lagi dan dalam masa yang sama, hak dari segi perundangan untuk membuat tuntutan akan terbatal kerana ianya telah melangkau Tempoh dan Hadmasa 6 tahun daripada tarikh asal untuk membuat tuntutan.

Inilah yang JawatanKuasa Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Rumah Desa Kerayong Indah dan kita semua perjuangkan selama ini bukan sahaja untuk mendapatkan jaminan kejujuran mereka membantu rakyat, tetapi juga demi untuk mendapatkan hak kita yang selama ini dinafikan. Atau setidak-tidaknya kita mendapat keputusan "win-win situation".

Kita dimaklumkan bahawa tindakan yang akan diambil oleh mereka terhadap tuntutan kita dan menyelesaikan kes rumah terbengkalai ini adalah :-
  • Mendapatkan dana daripada "anchor bank" (senaraian 2 bank utama)
  • Menyelesaikan Pinjaman Bank sediaada
  • Menyediakan Pembiayaan Baru dengan bank yang dilantik.
  • Memberi pilihan kepada pembeli samada untuk terus memiliki rumah tersebut atau menjualkannya kepada Pemaju yang baru dengan harga yang akan dipersetujui oleh kedua belah pihak.
  • Menandatangani surat Penamatan Kontrak dengan Bumi Circle Sdn Bhd.
  • Menyiapkan projek perumahan tersebut (projek mesti diteruskan) dalam masa 2-3 tahun dengan penambah-baikan dari segi kualiti rumah kepada 3 fasa (biasa, pertengahan dan atasan)
  • Membina semula lebih 60 buah rumah yang mengalami kerosakan teruk.
  • Menaik taraf rumah kepada rumah 2 tingkat bagi unit-unit yang terpilih.





Insyaallah, fasilitator kepada Task Force dijangka akan mengadakan "presentation" pada bulan Mac 2011. Semua pembeli (yang menyertai saman atau tidak) disarankan menghadirkan diri untuk mendapatkan penjelasan yang lebih lanjut tentang penyelesaian yang akan diadakan ini nanti. Kerajaan negeri melalui Task Force dijangka akan mengeluarkan surat jemputan kepada semua pembeli dalam masa yang terdekat.

Jika ini menjadi kenyataan, kita amat bersyukur kerana sekurang-kurangnya pihak kerajaan negeri Selangor ini telah mula menunjukkan keprihatinan mereka terhadap masaalah kita. Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah yang telah difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 24 April 2007 yang lalu setidak-tidaknya telah menjadikan penentu kepada keputusan yang bakal mereka buat, yakni mereka telah bersetuju pada asasnya untuk menyelesaikan pinjaman bank yang telah tertunggak sejak sekian lama.

Namun begitu, sepertimana yang telah kita sedia maklum dan dipersetujui sebelum ini bahawa proses-proses yang akan dijalankan itu nanti akan hanya dilangsungkan (termasuk menandatangani perjanjian) apabila mereka telah melangsaikan semua hutang-piutang kita dengan pihak bank sedia ada. Jika ini gagal dilaksanakan, maka proses Tuntutan Mahkamah akan diteruskan seperti biasa.

Oleh yang demikian semua plaintif diminta untuk merujuk kepada pihak peguam sekiranya terdapat sebarang keraguan berkenaan dengan tawaran yang dikeluarkan oleh mereka.

Mudahan Allah mempermudahkan tuntutan kita.




Wednesday, October 7, 2009

Pengurusan Kes K1-K2-K3-K4-K5-K6



Pengurusan Kes dan Penggabungan kesemua kumpulan K1-K2-K3-K4-K5-K6 yang berlangsung pada 6hb. Oktober 2009 di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan agak hambar berikutan beberapa dokumen telah tidak dijumpai (pihak mahkamah) untuk ditunjukkan kepada Yang Arif Hakim.

Sehubungan dengan itu, Yang Arif Hakim telah memutuskan untuk Pendengaran Kes (Hearing) pada Hari Rabu 4hb. November 2009. Pada kebiasaannya Pendengaran Kes ini akan dilakukan di galeri awam dan boleh didengari oleh orang awam (dalam mahkamah) termasuk pembeli yang terlibat di dalam tuntutan kes ini.

Marilah kita beramai-ramai memenuhi komplek Mahkamah Tinggi Shah Alam (telah berpindah ke bangunan MRCB) untuk melihat sendiri bagaimana proses perbicaraan sebenarnya. Rancanglah jadual anda agar dapat menghadirkan diri untuk memberikan sokongan kepada barisan Peguam kita.

Yang jelas, kes Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah ini telah memasuki fasa yang lebih menarik untuk kita sama-sama mendengar apakah alasan yang hendak diberikan oleh Kerajaan Negeri yang baru ini di bawah pimpinan Pakatan Rakyat setelah lebih 2 1/2 tahun kes ini difailkan di Mahkamah Tinggi.

Kalau dulu merekalah yang menjadi pembela kita untuk membuat tuntutan terhadap kerajaan Negeri di bawah pimpinan Barisan Nasional. Mereka kata mereka boleh menyelesaikan masalah rakyat yang tak mampu diselesaikan oleh Barisan Nasional. Mereka mahukan kuasa. Tetapi kini, bila mereka telah memiliki kuasa apa yang mereka lakukan kalau tak lain dari berebutan kuasa dan seringkali menuding jari ke arah pihak yang lain di atas kegagalan sesuatu projek itu.

Jawatankuasa Task Force yang diujudkan semula dikhuatiri akan menjadi sebagai alasan bahawa mereka prihatin untuk membantu rakyat dengan pelbagai janji ditaburkan. Ogos 2009 diwar-warkan bahawa Projek Desa Kerayong Indah akan dimulakan semula tanpa mempedulikan kes tuntutan yang sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi. Sekarang telah Oktober 2009, 2 bulan berlalu dan mereka masih lagi belum mampu untuk menggerakkannya kecuali kerja-kerja infrastruktur. Persoalannya siapa yang mengeluarkan peruntukan untuk kerja-kerja tersebut?

Apabila diajukan pertanyaan kepada pihak yang terlibat di dalam Projek Baik Pulih Rumah Terbengkalai ini, jawapan yang kita perolehi adalah tidak menyenangkan sama sekali. Jawapan yang diberikan cukup mudah dan bersahaja, kalau Desa Kerayong Indah bermasalah untuk diselesaikan, ianya akan dibiarkan begitu sahaja sebagaimana yang berlaku semasa kepimpinan Barisan Nasional dahulu. Atau ianya diletakkan di bawah projek yang paling akhir untuk diselesaikan.

Andainya nasib tidak menyebelahi, Pilihanraya Umum yang akan datang, ditakdirkan Pakatan Rakyat tumbang, akan sia-sia sahajalah apa yang mereka lakukan. Yang pasti Kerajaan Baru nanti tidak akan senang-senang untuk meneruskan projek Pakatan Rakyat ini.

Ia sama juga seperti apa yang dialami oleh salah seorang pembeli yang telah ditempelak oleh Menteri Besar sendiri di dalam pertemuan di Pejabat Menteri Besar tidak lama dahulu.

Wakil rakyat yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor langsung tidak kedengaran untuk turut sama membantu. Yang jelas, mereka sama seperti wakil rakyat Barisan Nasional. Hanya mahu berjumpa dengan kita pada masa Pilihanraya sahaja.

Alasan yang selalu diberikan, baru sahaja mengambil alih kuasa. berikan kami masa....Dah nak masuk 2 tahun dah, tapi apa yang mereka lakukan? Aysik dengan meeting...meeting....Hutang dengan pihak bank bagaimana? Nak tunggu pilihanraya yang akan datang baru serious nak menyelesaikan tuntutan kita?

Jika inilah cara mereka menanganinya terutamanya bagi kita yang sebangsa dan seagama ini, nantikanlah, akan sampai waktu dan ketikanya......

Cuma kita berharap dan yakin pihak Mahkamah akan memberikan jawapan yang positif terhadap tuntutan kita ini berlandaskan kepada tanggung jawab mereka sebagai "Principle" terhadap Bumi Circle sebagaimana yang disebutkan di dalam surat Tawaran Pemberi Milikan Tanah Terancang.


Wassalam.



Wednesday, March 11, 2009

Tuntutan Pembeli : Sinar Harapan



Bak kata pepatah, awan tidak selalu cerah, mendung bukanlah terlalu lama untuk kita hadapi walaupun ianya terlalu sukar untuk dilalui bagi sesetengah dari kita semua.

Alhamdulillah telah ada sedikit sinar harapan bagi pembeli-pembeli yang telah membuat Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah (TGKWPDKI) bilamana Kerajaan Negeri Selangor telah memulakan gerak kerja secara bersama pada peringkat awal untuk mengendahkan tuntutan kita di mahkamah.

Mudah-mudahan Kerajaan Pakatan Rakyat yang menerajui Negeri Selangor ini akan lebih prihatin terhadap kesusahan yang kita alami selama ini atau sekurang-kurangnya dapat mengembalikan kedudukan kita seperti sebelum pembelian rumah di Desa kerayong Indah ini, tanpa dibelenggu dengan hutang dengan pihak bank terhadap apa yang tidak kita perolehi.

InsyaAllah, makluman akan menyusul sedikit masa lagi.