Makluman Tarikh Mahkamah & Isu Semasa

Showing posts with label Ingin Tahu. Show all posts
Showing posts with label Ingin Tahu. Show all posts

Thursday, March 13, 2008

Kerajaan Baru : Implikasi Kes Tuntutan




Blogger ingin menjawab beberapa persoalan yang seringkali bermain di fikiran kita semua bilamana Kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Dato' Seri Mohd Khir Toyo telah beralih kepada gabungan Kerajaan Barisan Alternatif (BA) pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim. Ramai yang bertanya apakah implikasinya terhadap kes tuntutan gantirugi yang telah difailkan semasa era Kerajaan Barisan Nasional tersebut?

Kronologi kepimpinan Kerajaan Negeri Selangor.
  • Projek Pembesaran Kampung/Perumahan Desa kerayong Indah ini telah dimulakan pada seawal Jun 1999 semasa YAB Dato Abu Hassan Omar menjadi Menteri Besar Selangor.
  • Kemudiannya pada tahun 2000, Dato Seri Mohd khir Toyo telah dilantik menjadi Menteri Besar Selangor yang ke-13 menggantikan Dato Seri Abu Hassan Omar apabila kita memfailkan kes tuntutan di mahkamah.
  • Pada 8 Mac 2008, apabila gabungan Barisan Alternatif (BA) memenangi pilihanraya umum ke-12, Tan Sri Khalid Ibrahim (PKR) telah dipilih menjadi Menteri Besar Selangor yang ke-14 setelah menerima perkenan DYM Sultan Selangor.
Sebenarnya kes tuntutan kita adalah terhadap Kerajaan Negeri Selangor (Defendan 1) dan Pejabat Daerah/Tanah Kuala Selangor (Defendan 2). Walau parti mana sekalipun yang memerintah Negeri Selangor ini, kes tuntutan yang sedang dan akan dibicarakan di mahkamah akan berjalan seperti biasa. Kerajaan yang baru (BA) adalah perlu meneruskan prosiding mahkamah sekalipun terdapat pertukaran kerajaan, SUK dan Penasihat Undang-Undang mereka.

Oleh yang demikian, kita tidak perlu bimbang apa-apa kerana tidak akan berlaku peminggiran terhadap kes-kes mahkamah dan kita menjang
kakan bahawa kes tuntutan ini akan berjalan dengan lancar dari segi perundangan. Ini ditambah dengan kemasukan Bumi Circle Sdn. Bhd. di dalam kes ini yang akan didengar di hadapan Hakim oleh Pengarah mereka sendiri (arahan mahkamah) pada Pengurusan Kes (Case Management) yang akan datang.

Bumi Circle yang telah menghilangkan diri sebaik sahaja Projek ini menemui kegagalan telah datang melalui Peguam mereka di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk mencelah bagi mengelakkan kita memperolehi JID pada 5 Mac 2008 yang lalu. Oleh yang demikian, walaupun kita gagal mendapatkan JID, tetapi sebenarnya ianya merupakan satu bonus untuk kita dan kita sebenarnya tidak perlu lagi mengeluarkan sapina terhadap mereka, kerana sekarang mereka telah datang menyerahkan diri.

Ini ditambah dengan Bumi Circle yang selama ini dianggap sebagai anak emas semasa era pemerintahan Barisan Nasional yang lalu. Nah...sekarang macam mana? Dahan tempat mereka berpaut telah terkulai menyembah bumi.

Kita pasti, kekesalan mereka tidak terperi rasanya kerana apabila telah memasuki kes ini, mereka tidak lagi boleh melarikan diri dengan seribu macam alasan. Mereka menyangka bahawa Kerajaan Barisan Nasional akan kekal berkuasa di Selangor ini, maka dengan sebab itu maka mereka telah memasuki kes ini tanpa berfikir panjang walaupun dah tak ada duit lagi atau ada pihak lain yang berada di belakang mereka. Kalau selama ini mereka tak kisah kalau Bumi Circle gulung tikar dan tanah seluas 216 ekar tersebut akan menjadi "freeze" sehinggalah Kerajaan Negeri "redeem" semula.

Tetapi bagi kita, apabila kes ini dibicarakan nanti, ianya akan menjadi tambah menarik bilamana Kerajaan Negeri dan Bumi Circle bukanlah dari pihak yang bersekutu sekarang ini. Segala rahsia dan kecurangan akan segera terbongkar di Mahkamah nanti. Majlis Daerah Kuala Selangor dan Pejabat Daerah/Tanah Kuala Selangor juga akan mempunyai pimpinan yang baru yang kita jangkakan akan lebih telus.

JKKK Bukit Kerayong dan mereka-mereka yang terlibat sama, persiapkanlah diri sebelum kes bermula, kerana kita telah sepakat apabila dibicarakan dan di dapati adanya unsur-unsur korupsi, maka kalian semua akan dilaporkan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR). InsyaAllah.

NOTA : Tan Sri Khalid Ibrahim merupakan anak kelahiran Jeram.

Wassalam
Blogger.


Wednesday, November 21, 2007

Apa Ada Dengan Perjanjian Baru-Siri 4

Siri Akhir ...sambungan dari Siri-3
PENYERAHAN PEMILIKAN KOSONG
Perenggan 10(a) menyatakan bahawa apabila rumah telah disahkan siap oleh Arkitek Kontraktor dan Pembeli telahpun membuat kesemua pembayaran yang perlu kepada Kontraktor, maka pihak Kontraktor dibenarkan untuk menyerahkan kunci rumah tersebut kepada Pembeli walaupun Sijil Layak Menduduki masih belum diperolehi daripada Pihak Berkuasa Tempatan. Perkara sebegini seringkali terjadi kepada Pembeli yang tidak menyedari bahawa Kontraktor bermaksud untuk mengelak daripada membayar LAD kepada Pembeli jika lewat menyiapkan dan seterusnya menyerahkan kunci rumah. Apa guna kita ada kunci rumah, kalau kita masih tidak boleh mendudukinya?

Perenggan 10(b) Kontraktor akan mengeluarkan notis 14 hari untuk Pembeli mengambil kunci rumah tersebut. Jika Pembeli GAGAL mengambilnya, maka ianya dianggap telah diserahkan kepada Pembeli.

Kita melihat bahawa Pembeli seolah-olah akan dipaksa untuk mengambil kunci rumah apabila Arkitek Kontraktor membuat pengesahan penyiapan rumah tersebut. Apa yang kita khuatirkan adalah :-
  • Kontraktor akan tergesa-gesa mengeluarkan notis mengambil kunci rumah walaupun terdapat kecacatan seperti bumbung bocor, paip air bocor, saluran najis tersumbat dan lain-lain lagi. Ini adalah bagi mengelakkan Kontraktor daripada terpaksa membayar LAD apabila telah melepasi tempoh 30 bulan tersebut.
  • Apabila Kunci rumah sudah diterima, Pembeli sebenarnya masih belum boleh menduduki rumah tersebut sehingga Sijil Layak Menduduki (CF) diperolehi daripada Pihak Berkuasa Tempatan. Bagaimana kalau Kontraktor menghadapi masalah untuk mendapatkan CF tersebut? Bagaimana dengan tempoh tanggungan kecacatan? Bukankah ianya dikira dari tarikh Pembeli menerima kunci rumah dan bukannya dari tarikh Pembeli boleh menduduki rumah tersebut (selepas dapat CF)?
  • Apabila Pembeli ingin mengambil kunci rumah nanti, apakah Pembeli tidak akan dikenakan dengan apa-apa bayaran tambahan (bayaran tersembunyi)? Tanyalah kepada mana-mana pembeli rumah di tempat lain, apakah mereka tidak menghadapi masalah sedemikian? Kita dapat merasakan bahawa Pembeli akan dikenakan bayaran tambahan sebagai menggantikan kos membaikpulih seperti kecurian pada pendawaian elektrik, gelongsor tingkap aluminium dan lain-lain lagi. Memanglah pada masa sekarang, bilamana nak memujuk untuk tandatangan perjanjian baru, semuanya cakap tak perlu tambah apa-apa bayaran...hanya turunkan tandatangan sahaja, tetapi bila masanya nak ambil kunci rumah nanti,.... siapkan duit aje lah.....


TEMPOH TANGGUNGAN KECACATAN (TEMPOH JAMINAN)
Pernyataan 12 menyatakan Kontraktor Baru memberi jaminan kecacatan HANYA 6 Bulan SAHAJA. Ni kira boleh masuk ke dalam "Malaysia Book of Record" . Carilah mana-mana projek perumahan di Malaysia ini kalau ada mana-mana Pemaju atau Kontraktor beri tempoh jaminan yang sesingkat ini. Pada kebiasaannya tempoh jaminan adalah 18 bulan (3 kali ganda tu...), tetapi perjanjian baru tersebut sekadar 6 bulan sahaja. Inikah yang dinamakan keadilan?

  • Apabila Kontraktor Baru telah menyerahkan kunci rumah, Pembeli masih tidak boleh menduduki rumah tersebut kerana CF masih belum diluluskan. Bagaimana kalau CF hanya diperolehi selepas 6 bulan daripada tarikh penyerahan kunci rumah? Sudah pasti tempoh jaminan ini akan TAMAT dan Pembeli tidak lagi boleh membuat sebarang tuntutan terhadap Kontraktor. Yang pasti Kontraktor Baru tersebut akan SELAMAT.
  • Kalaupun CF boleh diluluskan dalam masa yang singkat, tetapi pada kebiasaannya kecacatan pada rumah hanya boleh dilihat (berlaku) diantara 6 bulan hingga ke 12 bulan. Yang pasti "Retaining Wall" setinggi 10 kaki akan menghadapi masalah besar selepas tempoh 6 bulan. Pada masa tersebut, bukanlah hanya RM100 atau RM200 sahaja tetapi kosnya akan mencecah ribuan ringgit untuk membaikinya. Bagaimana kalau runtuhan tersebut membabitkan rumah jiran tetangga kita. Tak pasal-pasal terpaksalah kita keluarkan belanja untuk membaikinya juga.
  • Ini belum termasuk permasalahan dengan tangki septik (tangki najis) yang telah menjadi masalah besar kerana terdapatnya "batu-batu besar" dalam perut bumi Desa Kerayong Indah ini. Untuk membuat tangki septik secara individu pasti akan mengundang masalah dikemudian hari nanti. Kita tidak dapat bayangkan sekiranya ianya diputuskan oleh mereka nanti. Bagaimana halnya dengan jiran tetangga kita yang mana tapak rumahnya 10 kaki lebih rendah daripada tapak rumah kita? Pasti air najis akan mengalir ke laman rumah jiran kita itu. Dahlah kira kehilangan sekurang-kurang 3 kaki persegi tanah apabila adanya "individu sectic tank" ini, pastu...nak buat kat depan rumah pulak. Mana ada dalam kamus, tangki najis letak depan rumah? Atau kita akan terpaksa mengeluarkan belanja untuk kerja-kerja penyedutan najis oleh "Indah Water" yang nilainya bukanlah RM10 atau RM20 sahaja. Selepas 6 bulan tempoh jaminan, semua masalah seperti ini tidak akan dilayan lagi oleh Kontraktor.



Perenggan 17 menyatakan Perjanjian ini sebagai Perjanjian Tambahan dan Pembeli dikehendaki dalam masa 7 hari daripada tarikh menandatanganinya untuk menyebabkan Pihak Pembiaya/Bank menyerahkan baki pembayaran yang masih belum dilepaskan kepada Kontraktor Baru.

Mengapa hanya kepada Pembeli sahaja yang diletakkan syarat-syarat dan peraturan yang berat-berat sebegini? Sedangkan pihak Kontraktor hanya pada kadar yang paling minimum.

NOTA PENTING :-
  • Pembeli diwajibkan mengambil kunci rumah = 14 hari
  • CF dikeluarkan = Tak tahu bila...
  • Tempoh jaminan kualiti rumah = 6 bulan
  • Tempoh serah bayaran kepada Kontraktor = 7 hari

KESIMPULAN DAN RUMUSAN

Perbincangan demi perbincangan di meja rundingan telah dijalankan sejak 2002 bilamana Projek Desa Kerayong Indah ini telah menampakkan tanda-tanda kegagalan bilamana Kontraktor Bumi Circle telah memberikan berbagai-bagai alasan yang kadangkala kita fikir tidak logik langsung seperti masalah "kekurangan pekerja". Cuba kalau kita beritahu kepada Kontraktor bahawa kita menghadapi masalah "kekurangan wang" dan tak dapat membuat bayaran kepada mereka, apakah jawapan yang bakal kita terima daripada mereka? Pasti surat berserta Penalti 10% akan dikenakan kepada kita.

Kemudian kita dijanjikan oleh mereka dengan bermacam-macam tarikh untuk menyiapkan rumah tersebut. Malahan ianya disaksikan oleh salah seorang exco Negeri Selangor. Masa mesyuarat ...boleh...boleh...semuanya boleh siap. Tapi bila tengok kat tapak projek, lain yang jadinya.

Ini tak termasuk beberapa unit rumah yang tak ikut spesifikasi seperti ukuran keluasan rumah yang lebih kecil daripada yang sepatutnya, pendawaian elektrik yang bersimpang siur, penggunaan batu blok dan sebagainya. Masihkah kita boleh terima penipuan yang sebegini rupa?

Sebagai Pembeli, Kita nak tanya kepada mereka, mengapakah kita dibebankan dengan permasalahan sedemikian serupa sedangkan kita dah mengeluarkan wang sehingga ratusan ribu ringgit? Mengapa pula mereka tak pernah bertanya kepada kita, ada duit ke nak bayar ansuran bank? Ada dapat surat saman dari Bank ke? Ada duit ke nak bayar sewaan rumah?

Draf Perjanjian Baru yang kita terima dan analisa pada Februari 2007 yang lalu jelas menunjukkan ketidakadilan yang mana Pembeli dibebankan dengan bermacam-macam pra-syarat. Kita melihat, Pembeli seolah-olah ditekan dengan bermacam-mana syarat sedangkan dipihak Kontraktor diletakkan pada syarat yang paling minimum sekali.

Sekiranya Kontraktor Baru ini GAGAL sekali lagi, maka masalah Pembeli akan semakin bertambah rumit kerana Pembeli akan menanggung kerugian yang berlipat kali ganda.

Pembeli yang telah memfailkan Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa kerayong Indah ini sebenarnya telah tidak lagi mengharapkan rumah tersebut. Apa yang kita inginkan adalah supaya wang beserta gantirugi tersebut dikembalikan kepada kita bagi membolehkan kita mencari kediaman lain yang lebih menyakinkan.

Semoga Allah akan sentiasa bersama dengan kita yang telah teranaiya ini.

TAMAT.

Wassalam
Blogger.


Monday, November 19, 2007

Apa Ada Dengan Perjanjian Baru-Siri 3

...sambungan dari Siri-2
DENDA PEMBAYARAN LEWAT
Perenggan 7 menyatakan bahawa Pembeli akan dikenakan Denda Lewat 10% sekiranya GAGAL menyerahkan Baki Kontrak (baki yang belum dilepaskan oleh Pembiaya@progress payment) kepada Kontraktor Baru dan dikira secara harian.



MASA UNTUK MENYERAHKAN PEMILIKAN KOSONG
Pernyataan 9(a) menyatakan Kontraktor Baru akan menyiapkan rumah tersebut dalam masa 30 bulan (2 1/2 tahun) daripada tarikh penyambungan kerja-kerja pembinaan rumah tersebut. Ini bermaksud :-
  • Sekiranya Perjanjian baru ditandatangani pada Disember 2007, ianya bukanlah satu kemestian rumah tersebut disiapkan selewat-lewatnya pada Jun 2010 kerana ianya bergantung kepada tarikh permulaan penyambungan kerja dilakukan oleh Kontraktor Baru. Andainya Kontraktor Baru lewat memulakan kerja, maka tarikh siap akan menjadi lewat dan tertunda lebih lama lagi.
  • Kita menjangkakan jika ianya GAGAL disiapkan juga pada Jun 2010 nanti, maka Pembeli juga akan hilang HAK dan KELAYAKAN untuk membuat tuntutan terhadap apa juga pembayaran yang telah dibuat kepada Bumi Circle kerana ianya telah melepasi Tempoh dan Hadmasa yang sah dari segi perundangan. Bayangkan apa akan terjadi kepada Pembeli yang telah membuat pembayaran sehingga 95% kepada Bumi Circle? Sedangkan Kontraktor Baru hanya akan bertanggung jawab terhadap baki 5% sahaja seperti yang termaktub di dalam Perjanjian baru ini. Dalam masa yang sama, hutang dengan pihak Pembiaya (Bank) mesti dijelaskan, jika tidak, status muflis akan menjadi milik Pembeli apabila pihak Pembiaya membuat tuntutan undang-undang di mahkamah bagi mendapatkan semula wang yang telah dikeluarkan oleh Pembiaya. Bak kata pepatah, terlepas mulut harimau, masuk pula mulut buaya.
  • Kita melihat ada sesuatu yang lebih besar yang tidak lebih dari gimik p*********a sahaja. Kalau mereka benar-benar ikhlas, mengapa tidak dari 2002 lagi apabila rumah tersebut telah menampakkan tanda-tanda kegagalan oleh Bumi Circle? Ini...kan Projek Perumahan Rakyat dari Rezab Melayu untuk Orang Melayu. Mengapa YB kita langsung tidak turun menjengok? Susah sangat ke nak bantu bangsa sendiri? Kita akan paparkan jaminan bertulis daripada YB semasa mempromosikan Projek ini pada 1998 yang lalu di dalam episod yang akan datang. Tunggu....
Manakala Perenggan 9(b) pula lebih memihak kepada Kontraktor Baru bilamana Denda Lewat (LAD) yang perlu dibayar oleh mereka hanyalah 5% sahaja. Kita lihat perkiraan di bawah ini :-

Harga rumah : RM128,000.00
Jumlah Pinjaman dengan Bank = RM115,200.00
Bank telah bayar kepada Bumi Circle 95% = RM109,440.00
Baki yang belum dilepaskan oleh Bank 5% = RM 5,760.00
Jumlah lewat siap (6 bulan) = 182 hari (sehingga Disember 2010).
Denda Lewat dibayar oleh Kontraktor = (182 x RM5,760)/365 x 5% = RM143.00

Sekarang Kita bandingkan pula dengan Sewaan Rumah yang terpaksa kita tanggung sejak 2002 :-
Sewaan bulanan = RM500.00
Jangkamasa sewaan dari Jan 2003 hingga Disember 2010 = 8 tahun = 96 bulan
Jumlah sewaan yang kena bayar = RM500 x 96 bulan = RM48,000.00

Jika dicampur Harga Rumah RM128,000.00 dengan Sewaan Rumah yang terpaksa kita tanggung, maka jumlah yang terpaksa kita keluarkan untuk mendapatkan rumah tersebut ialah RM176,000.00 iaitu peningkatan sebanyak 38% daripada harga rumah yang sebenarnya.

Siapa sebenarnya yang untung? Yang pasti Bumi Circle akan Selamat walaupun terpaksa gulung tikar, Kontraktor Baru hanya perlu Membayar Sedikit sahaja (itupun kalau pembeli failkan tuntutan di mahkamah) dan Kerajaan Negeri akan Terlepas Bebanan dan Tanggungjawab manakala mereka-mereka yang terlibat di dalam Projek ini akan Tidur Lena.

Itupun kalau rumah tersebut berjaya disiapkan. Bagaimana kalau rumah tersebut GAGAL disiapkan oleh
Kontraktor Baru? Lihatlah apa yang terjadi dengan Projek Perumahan Tmn Senawang Jaya yang telah menunggu hampir 24 tahun tetapi masih belum menampakkan hasilnya. Siapa sebenarnya yang akan menanggung kerugian yang berlipat kali ganda ini? Risiko sebenilah yang akan ditanggung oleh Pembeli demi untuk mendapatkan sebuah kediaman yang sempurna di bumi Selangor ini.

Inilah diantara sebab-sebab utama mengapa kita memfailkan Tuntutan Gantirugi dan kembalikan Wang Pembeli Desa kerayong Indah ini. Apa yang kita perjuangkan senenarnya adalah HAK kita.

NOTA PENTING :-
  • Pembeli/pembiaya lewat bayar progress payment, denda = 10%
  • Kontraktor lewat siapkan rumah, denda LAD = 5%
  • Rumah akan disiapkan dalam masa 30 bulan = sehingga Jun 2010
  • Luputnya Tempoh dan Hadmasa = seawal Jun 2008
  • Pembeli terus membayar sewaan rumah = RM48,000.00

...bersambung ke Siri-4

Wassalam
Blogger.


Saturday, November 17, 2007

Apa Ada Dengan Perjanjian Baru-Siri 2

...sambungan dari Siri-1
PERSETUJUAN
Pernyataan bahawa Kontraktor "Bersetuju Menyambung Kerja-Kerja dan Menyiapkan Bangunan Tersebut" jelas menyatakan bahawa mereka HANYA akan bertanggungjawab terhadap baki kerja yang belum disiapkan oleh Kontraktor Lama sahaja. Bagaimana halnya pula bagi rumah-rumah yang telah disahkan siap oleh Kontraktor Lama tetapi mengalami kerosakan teruk seperti hakisan, kerangka kayu (bumbung) yang terbiar lama (reput) ataupun kecurian seperti pendawaian elektrik, pintu, tingkap aluminium dan sebagainya ? Sila rujuk Album --> Album Gambar Projek DKI.

Dari analisa yang dibuat, mereka hanya mengambilkira kos membaikpulih berdasarkan kepada laporan penyiapan projek oleh Kontraktor Lama, tanpa melihat dan analisa terhadap keadaan sebenar rumah-rumah yang telah terbiar sejak sekian lama. Siapa yang akan tanggung kos ini? Tidak mustahil selepas kita tandatangani Perjanjian Baru ini, maka akan tuntut (claims) bayaran membaikpulih segala kerosakan tersebut. Pada masa itu, pembeli tidak akan ada pilihan selain membayar atau ditamatkan Perjanjian Baru tersebut.



BAKI JUMLAH KONTRAK
Pernyataan 3 di atas bermaksud supaya Pembeli menyerahkan baki yang masih belum dilepaskan oleh pihak Pembiaya/Bank kepada Kontraktor Baru. Ini bermakna, maka Pembeli sekali lagi terpaksa memberi keyakinan kepada pihak Pembiaya untuk melepaskan bayaran kepada Kontraktor Baru. Bagaimana dengan Perjanjian Pinjaman tersebut? Apakah Pembeli dikehendaki menandatangi Perjanjian Pinjaman yang baru dengan pihak pembiaya pula? Yang pasti ianya bukanlah semudah yang kita sangkakan nanti..

PINJAMAN DAN PEMBIAYAAN
Perenggan 5 (a), Dalam masa 7 hari daripada tarikh menandatangani Perjanjian Baru, Pembeli dikehendaki dengan apa cara sekalipun menyebabkan pihak Pembiaya (Bank) membuat pembayaran baki yang masih belum dilepaskan kepada Kontraktor Baru. Sekiranya Pembeli lewat dalam menyebabkan pembayaran tersebut dibayar kepada Kontraktor Baru, maka Pembeli akan dikenakan denda lewat. Peraturan ini sesungguhnya menyebelahi Kontraktor Baru.

Perenggan 5 (b), Kontraktor akan sedaya upaya cuba membantu Pembeli untuk menyakinkan Pembiaya supaya melepaskan baki tersebut. Tetapi ianya bukanlah satu kemestian. Selama ini pernahkah Bumi Circle membantu Pembeli untuk mendapatkan pinjaman? Ianya tak lain daripada kata-kata manis untuk melembutkan hati Pembeli.

Perenggan 5 (c), Jika sekiranya pihak Pembiaya enggan melepaskan baki bayaran kepada Kontraktor Baru, maka Pembeli akan dipertanggungjawabkan untuk membuat pembayaran daripada wang sendiri. Apakah pihak bank akan sewenang-wenangnya akan melepaskan baki tersebut kepada Kontraktor Baru? Bagaimana pula keadaan pembeli yang ada tunggakan (sehingga puluhan ribu ringgit) dengan pihak Pembiaya (bank)? Pasti pihak Pembiaya tidak akan berbuat demikian sehingga Pembeli melunaskan kesemua tunggakan tersebut terlebih dahulu.

Perenggan 5(d), 5(e)dan seterusnya jelas menyatakan bahawa Pembeli bersetuju dan memperakui, jika sekiranya Pihak Pembiaya enggan melepaskan baki bayaran tersebut atau pembeli gagal mendapatkan pembiayaan baru atau gagal menjelaskan baki bayaran tersebut dengan wang sendiri, maka dalam tempoh 14 hari daripada menandatangani Perjanjian Baru ini, Pembeli dikehendaki dengan apa cara sekalipun yang menyebabkan Gadaian Tanah tersebut dilepaskan oleh Pihak Pembiaya dan dipulangkan semula kepada Pejabat Tanah.

Kita pasti, pihak Pembiaya tidak akan melepaskan Gadaian tersebut melainkan kita menjelaskan kesemua hutang tersebut. Pembeli pula tidak berhak menerima apa-apa gantirugi atau pampasan atau mebuat tuntutan di Mahkamah. Kita melihat terlalu banyak peraturan ditetapkan sekiranya Pembeli gagal membuat atau menyebabkan bayaran dibuat ke atas Kontraktor Baru. Inilah yang kita lihat seperti menggali kubur sendiri (maaf...agak kasar sedikit).

NOTA PENTING:-
  • Kontraktor bersetuju "menyambung" kerja-kerja pembinaan.
  • Kerosakan dan kecurian akan ditanggung oleh siapa?
  • Baki Jumlah Kontrak perlu dilepaskan kepada Kontraktor Baru.
  • Pembeli ada tunggakan dengan Pembiaya, apa kesudahannya?
  • Gadaian Tanah perlu dilepaskan kepada Pejabat Tanah.

...bersambung ke Siri-3

Wassalam
Blogger.


Thursday, November 15, 2007

Apa Ada Dengan Perjanjian Baru-Siri 1



Muka hadapan Draf Perjanjian Baru dengan Kontraktor baru yang mereka lantik. Ianya hanya menyebut sebagai "Perjanjian Desa kerayong Indah" sahaja.




PERNYATAAN
Perenggan 1, Pernyataan bahawa JKKK telah dilantik oleh Jawatankuasa Tanah dan Daerah untuk mengurus rancangan untuk membesarkan dan memajukan tanah di Kampung Bukit Kerayong, Mukim Jeram, Kuala selangor. Tetapi di dalam pembelaan, mereka menafikan pernyataan ini!

Perenggan 4, Pernyataan bahawa tuan punya (Pembeli) telah melantik Bumi Circle sebagai kontraktor yang bertanggungjawab mendirikan dan membina rumah kita. Pada dasarnya, kita langsung tiada kuasa (authority) untuk berbuat sedemikian. Kenapa pernyataan sedemikian dimasukkan ke dalam Perjanjian? Inilah yang boleh kita andaikan sebagai alasan untuk mereka melarikan diri daripada pertanggungjawaban sekiranya timbul masalah di kemudian hari nanti.

Perenggan 7, Pernyataan bahawa JKKK telah membatalkan perlantikan Bumi Circle Sdn. Bhd. Persoalannya apakah hak JKKK untuk membatalkan Kontraktor Bumi Circle, sedangkan Pembeli masih lagi tertakluk kepada "Perjanjian Pembinaan" dengan Bumi Circle? Sekiranya kita bersetuju dengan perkara ini, maka secara automatiknya kita akan hilang hak untuk membuat tuntutan LAD yang dianggarkan tidak kurang (purata) RM50,000 bagi setiap pembeli. Bagaimana pula dengan masalah pembeli yang terpaksa membayar sewaan rumah secara puratanya berjumlah minimum RM30,000 sepanjang keterbengkalainya projek tersebut?

Perenggan 8, Bumi Circle Sdn. Bhd. telah "diminta" untuk menyerahkan tugas dan tanggungjawab untuk menyelesaikan projek tersebut kepada Kontraktor Baru. Persoalannya apakah Bumi Circle telah bersetuju untuk menyerahkannya? Yang pasti tiada pengesahan rasmi dibuat oleh Bumi Circle. Malahan Pembeli tidak dimaklumkan tentang perlantikan ini secara rasmi (bertulis). Dan lagi, kita ingin tahu apakah keuntungan dan faedah yang bakal diperolehi oleh Kontraktor Baru tersebut memandangkan projek ini terbengkalai sejak sekian lama ditambah pula dengan kenaikan kos pembinaan yang semakin tinggi. Atau ada sesuatu disebaliknya?

NOTA PENTING :-
  • Perlantikan JKKK oleh Pejabat Tanah dan Daerah.
  • Pembeli dikatakan "melantik" Bumi Circle sebagai Kontraktor. Betul ke?
  • JKKK kemudian membatalkan perlantikan Bumi Circle. Boleh pulak?
  • Pernyataan bahawa Bumi Circle "diminta" menyerahkan Projek kepada Kontraktor Baru.
...bersambung ke Siri-2

Wassalam
Blogger.


Friday, September 21, 2007

Misi Menjejaki-Siri1



Assalamualaikum,
Petang tadi Jumaat 21 September 2007, sesudah Solat Jumaat, Blogger telah berusaha untuk menjejaki pemilik asal Bumi Circle sepertimana yang tercatat di dalam butiran dokumen Pendaftaran Syarikat (ROC) pada 31 Julai 1995.


Usaha Mencari
Berdasarkan daripada maklumat dan risikan daripada beberapa orang jiran yang tinggal di tempat tersebut (Ulu Klang), akhirnya membawa Blogger kepada alamat rumah Orang Yang Dicari (OYD).

Blogger menemui alamat rumah tersebut yang merupakan rumah sewa 4 pintu sederet. Malangnya ianya telah dihuni oleh orang lain dan langsung tidak mengenali OYD. Kemudian Blogger telah berusaha bertanyakan kepada beberapa orang jiran yang berdekatan dengan rumah sewaan yang pernah didiami oleh OYD tersebut.

Alhamdulillah, akhirnya seorang jiran (Kak Y**) yang masih tinggal disitu dan mengenali OYD, telah membantu Blogger dengan menunjukkan kepada seorang lagi jiran yang masih berhubungan dengan OYD. Jiran tersebut telah memberikan alamat dan nombor telefon OYD yang sekarang ini tinggal di Batu Caves, Selangor.


Blogger telah menghubungi OYD melalui telefon dan telah dapat bercakap dengan beliau sendiri. Beliau juga mengesahkan bahawa seorang lagi individu yang sepertimana yang tercatat di dalam Pendaftaran Syarikat adalah isteri beliau sendiri.

Tak Kenal?
OYD mengakui bahawa beliau langsung TIDAK mengenali beberapa orang Pengarah BC yang namanya disebutkan oleh Blogger. Dan beliau sendiri tidak tahu menahu bahawa syarikat tersebut telah diambil alih pada 12 Oktober 1998 oleh pemilik yang baru.
  • Apa yang menjadi persoalannya sekarang ialah bagaimana syarikat tersebut diambil alih ataupun dibeli sedangkan menurut beliau, tiada sebarang perjanjian mahupun tandatangan telah dibuat sebelum ini?
  • Blogger mengesyaki bahawa telah berlaku sesuatu perkara yang tidak sepatutnya berlaku terhadap syarikat yang tidak aktif selama lebih daripada 3 tahun (lihat rekod pendaftaran syarikat) yang mana kita juga mengesyaki pengambil-alihan berlaku tanpa izin pemilik asal.
  • Seandainya ini berlaku, maka Isu Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah ini akan membuka satu lagi episod penyelewengan bukan sahaja melibatkan individu, malahan lebih dari itu yang pasti akan terbongkar.
Semoga Allah sentiasa bersama-sama dengan orang yang teranaiya seperti kita serta mempermudahkan urusan menyelesaikan tuntutan ini.

Nantikan episod seterusnya....

Wassalam
Blogger
(21 September 2007)
(9 Ramadhan 1428H)


Thursday, September 13, 2007

Kenali Bumi Circle Sdn Bhd





Pemilikan Awal Syarikat Bumi Circle Sdn. Bhd.
Pada peringkat awal penubuhan, syarikat ini dimiliki oleh 2 orang individu dipercayai suami-isteri yang beralamat di Ulu Kelang, Selangor. Memandangkan Modal Berbayar syarikat ini HANYA RM 2 (dua ringgit), adalah dipercayai syarikat ini tidak aktif dan keujudannya HANYA pada nama sahaja yang kita semua tahu apakah halatujunya.













Pengambil-alihan Syarikat (12 Oktober 1998)
Kemudian, daripada rekod, Syarikat ini telah diambil-alih (dibeli) pada 12 Oktober 1998 oleh 3 orang pemilik baru dengan menambah Modal Berbayar sebanyak RM 99,998 menjadikan Keseluruhan Modal Berbayar menjadi RM100,000.














Perubahan Struktur/Modal Syarikat (26 Mac 1999)
3 bulan sebelum Majlis Pelancaran Rasmi dan Menandatangani Perjanjian Pinjaman dan Perjanjian Pembinaan pada 29 Jun 1999, Syarikat ini telah membuat perubahan kepada struktur Syarikat dengan kemasukan seorang Pemegang Saham baru (49.5%) dan melantik 3 orang Pengarah baru. Seterusnya Syarikat telah menambah Modal Berbayar daripada RM 100,000 kepada RM1,000,000.


















PROFIL AHLI LEMBAGA PENGARAH

1. ISMAIL BIN DAUT
Lahir : 7 Ogos 1952
Asal : N/A
Pendidikan : N/A
Jawatan di Bumi Circle : Pengarah
Pekerjaan Terdahulu : N/A
Pemilikan Syarikat Lain : N/A



2. NOR ISMAIL BIN MADROS
Lahir : 26 Jun 1963
Asal : Hulu Yam Baharu, Batang Kali, Hulu selangor.
Pendidikan : Ijazah – Toronto, kanada.
Jawatan di Bumi Circle : Pengarah
Pekerjaan Terdahulu : Syarikat Pemaju Perumahan - Pengurus
Pemilikan Syarikat Lain : N/A



3. MAT ISA BIN ALIF
Lahir : 20 September 1957
Asal : N/A
Pendidikan : UTM - Senibina
Jawatan di Bumi Circle : Pengarah
Pekerjaan Terdahulu : N/A
Pemilikan Syarikat Lain : N/A



4. WISAM BIN HUSSIN
Lahir : 13 Februari 1964
Asal : N/A
Pendidikan : N/A
Jawatan di Bumi Circle : Pengarah
Pekerjaan Terdahulu : Businessman
Pemilikan Syarikat Lain :
Sinar Danga Development Sd. Bhd. - Pengarah
Bukit Danau Sd. Bhd. - Pengarah
Cempaka Selaras Sdn. Bhd. - Pengarah
Symbol Projek management Sdn. Bhd. - Pengarah
Lembaran Prestasi Sdn. Bhd. - Pengarah



5. MD JAMIL @ MD SHAHRIL BIN HJ. MOHAMED
Lahir : 7 Januari 1971
Asal : N/A
Pendidikan : USM – 1995
Jawatan di Bumi Circle : Pengarah
Pekerjaan Terdahulu :
Symbol Engineering & Construction Sdn. Bhd. – Buss. Dev. Exe.
Tek Konsult Consulting Engineer – Electrical Engineer
Lion Group - M & E Engineer
Pemilikan Syarikat Lain : N/A



6. KHAIRANI BINTI MOHAMMAD
Lahir : 11 November 1964
Asal : N/A
Pendidikan : N/A
Jawatan di Bumi Circle : Pengarah
Pekerjaan Terdahulu : N/A
Pemilikan Syarikat Lain : N/A



7. ZAINAL BIN ADAM
Lahir : 8 Julai 1963
Asal : N/A
Pendidikan : N/A
Jawatan di Bumi Circle : Pengarah
Pekerjaan Terdahulu : N/A
Pemilikan Syarikat Lain : N/A

KOMEN BLOGGER
Cuba teliti dengan betul-betul, tarikh-tarikh yang direkodkan di atas dengan masa di mana bermulanya Projek Desa Kerayong Indah ini.
  • 31 Julai 1995 – Bumi Circle Sdn. Bhd. didaftarkan dengan Modal Berbayar RM 2/= (dua ringgit) oleh Pemilik asal syarikat.
  • 1997 – Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor mengeluarkan brosur berkenaan Projek DKI.
  • 12 Oktober 1998 – Bumi Circle diambilalih daripada pemilik asal dgn 3 Pengarah dan Modal berbayar RM 100,000
  • 26 Mac 1999 – Bumi Circle membuat pindaan terhadap organisasi syarikat menjadikan 7 orang Pengarah Syarikat dan menambah Modal berbayar RM 1,000,000
  • 28 April 1999 – Perakuan kelulusan Pindaan Pelan Susunatur – Jabatan Perancangan Bandar dan Desa
  • 29 Jun 1999 – Majlis Pelancaran rasmi dan menandatangani Perjanjian Pemaju-Bank dan Pemaju-Pembeli
KERAGUAN MUNASABAH
  • Two dollar company!!!!
  • Pengambilalihan syarikat dibuat dengan tergesa-gesa dengan Modal Berbayar HANYA RM 100,000
  • Syarikat mempunyai 7 orang Pengarah (4 pemegang saham)
  • Kemasukan Pengarah baru dengan nilai pegangan 49.5% (pelik, tapi benar)
  • Bagaimana syarikat sekecil ini mampu melaksanakan Projek yang bernilai RM 163 juta? Apakah ada sesuatu disebaliknya?
  • Apakah "track record" syarikat ini? Adakah ia pernah atau terlibat dengan projek perumahan sebelum ini? Cuba perhatikan dari tarikh-tarikh tersebut..!!! Tak pernahpun ...Jadi, bagaimanakah mereka mendapat Projek DKI ini? Adakah melalui tender terbuka? Atau ada unsur-unsur korupsi? Jika BENAR, siapa yang terlibat? Tunggu....kita akan bongkar satu persatu.
Pada episod yang akan datang kita akan dapatkan maklumat yang lebih terperinci berkenaan dengan profil Pengarah syarikat dan mereka-mereka yang ada hubung kait dengan Projek ini termasuk JKKK sendiri sebagaimana yang didakwa.

InsyaAllah, seperti perbincangan awal dengan pihak Peguam, apabila kes tuntutan kita ini memasuki perbicaraan nanti dan jika didapati atau kita dapat membuktikan adanya unsur-unsur korupsi, maka kita akan mengemukakan laporan kepada Badan Pencegah rasuah (BPR) untuk tindakan selanjutnya.

NOTA : Maklumat yang diperolehi di atas adalah berdasarkan kepada rekod yang telah diserahkan kepada pihak Blogger. Walaubagaimanapun, kemaskini akan sentiasa dilakukan dari masa kesemasa bagi memastikan maklumat adalah terkini.

Wassalam
Blogger



Wednesday, September 12, 2007

Kemana Perginya Wang Pembeli DKI





Fakta di atas adalah nilai keseluruhan Projek "Desa Wawasan" Desa Kerayong Indah bagi Projek Pembesaran Kampung, Kampung Bukit Kerayong, Mukim Jeram, Kuala Selangor yang bernilai hampir RM163 juta berdasarkan kepada dokumen/brosur yang telah diserahkan kepada pihak Blogger.

ANGGARAN DAN ANDAIAN

Perjanjian Pinjaman BC dengan Bank Rakyat = RM 62 juta
Anggaran amaun yang telah diberikan oleh Bank Rakyat (50%)
= 50% x RM 62 juta
= RM 30 juta

Nilaian Keseluruhan Projek = RM 163 juta
Anggaran min. yang telah dibayar oleh Pembeli (60%)
= 60 % x RM 163 juta
= RM 98 juta

Anggaran amaun yang diterima oleh BC
= RM 30 juta + RM 98 juta
= RM 128 juta

Andaian BC telah membayar balik pinjaman kepada Bank Rakyat (50%)
= 50 % x RM 30 juta
= RM 15 juta

Andaian amaun bersih yang masuk ke kantung BC
= RM 128 juta - RM 15 juta
= RM 113 juta

Nilaikanlah sendiri amaun sebanyak RM 113 juta tersebut telah dibelanjakan begitu sahaja dan telah menyebabkan Projek Desa Kerayong Indah ini terbengkalai separuh jalan dan dibiarkan sahaja yang akhirnya telah menyebabkan hakisan tanah, semak samun dan kecurian.

Persoalannya sekarang ke mana wang sebanyak RM 113 juta (andaian) tersebut telah dibelanjakan? Kereta mewah, rumah besar, melancung sakan...laburkan ke projek yang lain...atau apa-apa sahaja yang telah menyebabkan wang daripada keringat kita sendiri yang kita kumpul selama bertahun-tahun demi untuk memiliki sebuah rumah impian telah lebur begitu sahaja.


Apakah kemewahan yang mereka nikmati ini selama delapan tahun yang telah sudah mampu bagi kita untuk mengatakan "TAK PA". Biarkanlah.....

InsyaAllah, kita semakin pasti bahawa akan adanya perbicaraan di mahkamah. Kita akan seret kesemua yang terlibat di dalam Projek yang telah menghancurkan impian kita oleh mereka-mereka yang tidak dan enggan bertanggung jawab ini.

SAPINA
Nama-nama mereka telah terlibat sama di dalam Projek ini telahpun disenaraikan oleh Peguam untuk tujuan sapina tanpa mengira pangkat atau darjat mahupun kedudukan mereka berdasarkan bukti-bukti (evidance) yang telah dikumpulkan selama ini.

Pihak Peguam telahpun bersedia pada bila-bila masa untuk memfailkan Pembelaan Balas dan seterusnya memfailkan Pengurusan Kes dalam masa yang terdekat.

Jesteru itu juga, kita sekali lagi meminta kepada kesemua Pembeli Desa Kerayong Indah yang telahpun memfailkan tuntutan mereka di mahkamah agar dapat bersedia untuk menghadirkan diri pada masa hari sebutan kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam nanti. InsyaAllah.

Wassalam
Blogger.


Monday, September 10, 2007

Kenali MB Selangor : Dulu dan Kini

1. DATO’ HAMZAH BIN ABDULAH
Lahir : 4 Disember 1890 di Kuala Selangor.
Pendidikan : Sekolah Melayu, Kuala Selangor.
MB Selangor : 1949.






2. RAJA TUN UDA Al-HAJ RAJA MOHAMAD
Lahir : 1894 di Kuala Langat.
Pendidikan : Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak.
MB Selangor : 1 Julai 1949 - 1953.






3. DATO’ OTHMAN BIN MOHAMAD
Lahir : 5 Januari 1905 di Klang, Selangor.
Pendidikan : Victoria Institution, Kuala Lumpur & United Kingdom.
MB Selangor : Mac 1953 - 1954





4. DR. ABD AZIZ HAJI ABD MAJID
Lahir : N/A
Pendidikan : Sekolah Tinggi Kajang.
MB Selangor : 1955 - 1956






5. TUAN MUHAMMAD ISMAIL BIN ABDUL LATIFF
Lahir : Klang, Selangor.
Pendidikan : Senior Cambridge.
MB Selangor : 1956 - 1958






6. TAN SRI ABD. JAMIL BIN RAIS
Lahir : 14 Januari 1912.
Pendidikan : Sekolah Clifford & Universiti Oxford, England.
MB Selangor : 1958 - 1959





7. DATO’ ABU BAKAR BIN BAGINDA
Lahir : 3 November 1899.
Pendidikan : Sekolah Victoria Institution, Kuala Lumpur.
MB Selangor : 30 Mei 1959 - 24 April 1964
Nota : MB pertama melalui Pilihanraya





8. DATO’ SERI HAJI HARUN BIN HAJI IDRIS
(1964 – 1976)
Lahir : 21 Julai 1925 di Petaling Jaya, Selangor.
Pendidikan : Victoria Institution, Kuala Lumpur, Middle Temple & United Kingdom.
Karier Terdahulu : Penasihat Undang-Undang Selangor.
MB Selangor : 19 Mac 1964 - 24 Mac 1976



9. DATO’ SERI HAJI HORMAT BIN RAFEI
Lahir : 21 Jun 1923.
Karier Terdahulu : Kontraktor
MB selangor : 15 April 1976 - 3 Mei 1982.






10. TAN SRI DATO’ HAJI AHMAD RAZALI BIN HAJI MOHD ALI
Lahir : 10 Disember 1982 di Klang, Selangor.
Pendidikan : Sekolah Melayu, Arab dan Inggeris.
ADUN : Dengkil (1974 - 1982)
EXCO : 1969 - 1982
MB Selangor : 1982 - 13 Ogos 1986.



11. TAN SRI DATO’ HAJI MUHAMMAD BIN HAJI MUHAMMAD TAIB
Lahir : Kampung Sungai Manggis, Kuala Kalumpang, Kalumpang, Hulu Selangor.
Pendidikan : B.A. (Hons) Universiti Malaya (1979)
Karier Terdahulu : Guru
ADUN : Batang Kali
MB Selangor : 14 Ogos 1986 - 14 April 1997

12. TAN SRI DATO’ SERI (DR.) HAJI ABU HASSAN BIN HAJI OMAR
Lahir : 15 September 1940 di Bukit Belimbing, Kuala Selangor.
Pendidikan : Universiti Hull, England.
Karier Terdahulu :
Pegawai Tadbir dan Diplomatik mulai 1964 - 1978.
Ketua Penolong Setiausaha Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor
Timbalan Setiausaha, Kementerian Tanah & Pembangunan Wilayah Persekutuan.
Parlimen : Kuala Selangor (sejak 1978)
ADUN : Permatang (1997)
MB Selangor : 6 Jun 1997 - Ogos 2000.


13. DATO’ SERI (DR.) Mohamad Khir Bin Toyo
Lahir : 6 Ogos 1965 di Sungai Burung Tanjung Karang.
Pendidikan : Universiti Malaya (Pergigian)
ADUN : Sungai Panjang.
MB Selangor : 2000 - sekarang.






NOTA :
1. Daripada 13 orang Menteri Besar yang pernah dan menjawat jawatan tertinggi di Selangor ini, 2 daripada mereka berasal dari Kuala Selangor, sebuah daerah yang terkenal dengan jolokan "Kuala Selangor Indah dan Bersejarah".
- INDAH bagi sesetengah manusia yang dapat "habuan" dari keringat orang lain.
- BERSEJARAH bagi hamba rakyat yang teranaiya.

2. Malahan YAB Dato' Seri (Dr.) Haji Abu Hassan Bin Haji Omar sendiri telah hadir menyaksikan dan merasmikan majlis Menandatangani Perjanjian Pembinaan dan Pinjaman sebanyak RM62 juta (BC - Bank Kerjasama Rakyat) yang penuh gilang gemilang itu di salah sebuah hotel terkemuka di Shah Alam pada 29hb. Jun 1999 yang lalu. Malangnya setahun selepas itu, beliau telah meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.