Makluman Tarikh Mahkamah & Isu Semasa

Showing posts with label Updated. Show all posts
Showing posts with label Updated. Show all posts

Saturday, March 10, 2012

Update Status Penyelesaian Tuntutan DKI


Atas permintaan konsultan-Pemaju (Baru), maka pada Jumaat 9hb. Mac 2012 yang lalu, J/Kuasa Tuntutan dan Peguam telah mengadakan satu perjumpaan yang antara lain membincangkan berkenaan dengan isu tuntutan yang telah melewati masa hampir 5 bulan daripada tarikh persetujuan awal.

Pemaju (Baru) telah memaklumkan bahawa mereka masih belum memperolehi locus (Kebenaran) daripada Kerajaan Negeri bagi membolehkan mereka meneruskan kerja-kerja membaikpulih projek Desa Kerayong Indah yang telah terbengkalai sejak tahun 2002 lagi.

Oleh yang demikian, maka Pemaju (Baru) masih belum dapat menyempurnakan semua tuntutan termasuk Penyelesaian Pinjaman Bank yang sepatutnya telah dilakukan pada bulan Mac 2012 ini.

Kita difahamkan bahawa Kerajaan Negeri bersama Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan agensi-agensi Kerajaan Negeri yang lain seolah-olah cuba menuding kepada pihak lain sehingga mereka BELUM LAGI mengeluarkan locus kepada Pemaju (Baru) walaupun pihak bank (Anchor Bank) telahpun memberikan persetujuan pembiayaan dan penyelesaian tuntutan ini.


Apa yang dikesalkan adalah sikap pimpinan Kerajaan Negeri ini yang seolah-olah main tarik tali antara satu sama lain dengan penglibatan beberapa EXCO yang tidak sependapat telah menyusahkan rakyat di negeri Selangor ini. Ini juga berkemungkinan berlaku ekoran dari kemelut politik yang melanda negeri Selangor sejak kebelakangan ini dan EXCO perumahan yang seolah-olah langsung tidak campur tangan walaupun isu perumahan sepatutnya ditangani dengan baik.

Malahan kenyataan akhbar yang dibuat baru-baru ini juga menyalahkan Pemaju (Baru) yang tidak menyediakan laporan dengan tepat seperti apa yang mereka kehendaki.

Kita telah sependapat dengan Pemaju (Baru) untuk menggunakan alternatif lain (sedang diaturkan) bagi memberikan tekanan kerajaan negeri untuk segera mengeluarkan locus kepada Pemaju (Baru) sebelum Pemaju (Baru) membuat keputusan untuk menarik diri daripada meneruskan Projek Membaikpulih Desa Kerayong Indah.

Kita ingin MENGINGATKAN KERAJAAN NEGERI SELANGOR ini, JANGAN mempertaruhkan nasib rakyat yang teranaiya ini kerana kelak bilamana ALLAH mengkehendaki, maka KUASA SEMENTARA yang ada ini akan LENYAP SELAMANYA. Dan tidak ada gunanya mendabik dada dengan simpanan mencecah hampir RM2 billion, jika ianya tidak digunakan untuk membantu rakyat.

InsyaAllah, kita jangkakan dengan tekanan dan maklumat awal yang diperolehi, kerajaan Negeri akan memberikan locus selewatnya pada penghujung bulan Mac 2012 ini.

Harap bersabar.




Saturday, January 14, 2012

Perbincangan Tuntutan dan Berita Baik


Jumaat 14hb. Januari 2012. Memasuki tahun baru 2012 ini, J/Kuasa Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah (TGDKWPDKI) telah mengadakan satu perbincangan dan mendapat taklimat daripada Pemaju Baru berkenaan dengan kedudukan dan proses memulihkan Projek Perumahan Desa Kerayong Indah ini dan berlangsung di DePalma Inn Shah Alam.

Isi kandungan perbincangan :-
  1. Laporan dan taklimat proses mendapatkan kebenaran dan kelulusan daripada Kerajaan Negeri untuk memasuki tapak projek dan memulakan kerja-kerja infrastruktur oleh Pemaju Baru.
  2. Proses audit dan analisa gantirugi bagi setiap unit rumah Pembeli/Pemilik yang terlibat dengan TGDKWPDKI.
  3. Isu semasa yang melibatkan Pembeli/Peminjam yang telah dan di dalam proses disaman oleh Bank-bank pemberi pinjaman.
  4. Tempoh masa untuk Pemaju menyelesaikan Pinjaman Bank Pembeli yang telah memfailkan tuntutan di mahkamah.
  5. Isu berbangkit yang melibatkan Pemilik/Pembeli yang tidak berkesempatan untuk menyertai tuntutan saman di mahkamah (selain dari Pembeli Kumpulan 1-6)
Perbincangan dan Keputusan
  1. Pemaju Baru memberikan taklimat berkenaan dengan persetujuan yang telah dicapai bersama semua agensi yang terlibat seperti JKKK, Pejabat Tanah, Pejabat Majlis Daerah, Syabas, TNB dan lain-lain. Pemaju juga telah membuat presentation kepada Kerajaan Negeri Selangor dan telah dipersetujui. Cuma 1-2 perkara yang melibat SOP (Standard of Procedure) yang perlu dipatuhi oleh Pemaju Baru untuk pengambilalihan projek DKI ini.
  2. Pemaju Baru telah bersetuju untuk mempercepatkan proses audit dan tafsiran kerugian bagi setiap unit rumah Pembeli yang telah memfailkan tuntutan (Kumpulan 1-6 dan 7). Pemaju melalui Jabatan Audit (Kewangan) mereka akan memasuki tapak projek dalam masa yang terdekat iaitu selepas mendapat maklumat terperinci berkenaan dengan kedudukan lot rumah dan makluman bank pemberi pinjaman setiap pembeli yang telah memfailkan saman. Butiran ini akan SEGERA disediakan oleh J/kuasa Tuntutan dan Peguam.
  3. Isu yang melibatkan pembeli yang telah disaman (termasuk yang telah mendapat status bankrap) oleh pihak bank juga di dalam pengetahuan Pemaju. InsyaAllah, Peguam kita akan berusaha untuk membantu mengikut kedudukan kes.
  4. Pihak Pemaju berjanji akan menyegerakan tempoh masa menyelesaikan tuntutan pembeli iaitu sebaik sahaja memperolehi kelulusan daripada Kerajaan Negeri. Tambahan pula Anchor Bank (Bank Pembiaya Projek DKI) telah bersetuju dengan proposal Pemaju Baru untuk mengambilalih projek ini.
  5. Pihak Pemaju Baru TELAH BERSETUJU dengan permintaan kita untuk memberi peluang kepada pembeli yang tidak berkesempatan untuk menyertai Pembeli yang telah memfailkan tuntutan gantirugi di mahkamah (Kumpulan 1-6 dan 7).
Berdasarkan kepada PERSETUJUAN yang telah dicapai ini, kita sangat mengalu-alukan mana-mana Pemilik/Pembeli Desa Kerayong Indah yang tidak berkesempatan untuk menyertai Tuntutan Gantirugi
(TGDKWPDKI) ini agar dapat SEGERA menghubungi J/Kuasa Tuntutan dan memberikan butiran seperti yang diperlukan di bawah ini :-


Maklumat Pemilik/Pembeli
Nama Penuh Pemilik/Pemilik Bersama :
No. Kad Pengenalan Pemilik/Pemilik Bersama :
Alamat Surat Menyurat :
Nombor Telefon :
Email (jika ada) :

Maklumat Desa Kerayong Indah
Nombor Lot Rumah/Tanah (No. PT) :
Nombor Fasa/Desa :
Jenis Rumah :
Nama Bank & Cawangan (Pinjaman) :

Semua maklumat yang diperlukan diatas boleh disalurkan ke :-
email : romatech@streamyx.com atau
desakerayongindah@gmail.com
sms : 019-226 2125 (Sdr. Kamarol)

Sila pastikan anda menerima balasan email yang mengesahkan bahawa maklumat anda telah direkodkan.

Sila hubungi J/Kuasa Tuntutan untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan dengan TAWARAN tuntutan gantirugi ini.

Sehubungan dengan itu, kita menyeru kepada Pemilik/Pembeli yang BELUM membuat tuntutan gantirugi dan ingin menuntut kembali wang mereka, agar SEGERA menghubungi kami untuk sama-sama memperolehi tuntutan gantirugi mereka.

Kerjasama daripada Pembeli-pembeli yang telah memfailkan tuntutan (Kumpulan 1-6 dan 7) amat dialu-alukan agar dapat MENGHEBAHKAN Peluang Keemasan ini kepada sahabat-sahabat yang belum membuat tuntutan agar bersama-sama dengan kita memperolehi gantirugi tanpa perlu memfailkan tuntutan saman di mahkamah lagi.

NOTA : Kelewatan memberikan butiran diatas akan menyebabkan Pemilik/Pembeli yang BELUM memfailkan tuntutan akan terlepas PELUANG KEEMASAN ini.




Sunday, January 30, 2011

Update Terkini 30hb Januari 2011


Update Terkini.
Menurut sumber daripada pihak peguam, Kerajaan Negeri Selangor telah memberikan "lampu hijau" bagi menyelesaikan masaalah Projek Perumahan Terbengkalai Desa kerayong Indah ini.

Berdasarkan kepada perbincangan terkini diantara fasilitator kepada Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Projek Perumahan Terbengkalai yang ditubuhkan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dengan pihak Peguam kita, secara asasnya mereka telah bersetuju untuk memenuhi tuntutan utama kita iaitu menyelesaikan pinjaman bank sediada sebelum memulakan langkah seterusnya untuk memulihkan Projek Perumahan Desa Kerayarong Indah yang telah terbengkalai ini sejak 2002 yang lalu.



Kita sebenarnya bukan tidak yakin untuk Kerajaan Negeri dan Pemaju Baru untuk menyiapkan Projek ini. Apa yang perlu kita tekankan ialah adakah setelah menandatangani Perjanjian Baru, mereka akan dapat menyiapkan projek ini dalam masa yang ditetapkan, atau ianya akan terbengkalai lagi sepertimana yang seringkali berlaku di dalam projek pemulihan rumah terbengkalai di negara kita ini?

Jika ini berlaku, maka harapan kita untuk mendapatkan hak terhadap rumah tersebut akan tidak kesampaian lagi dan dalam masa yang sama, hak dari segi perundangan untuk membuat tuntutan akan terbatal kerana ianya telah melangkau Tempoh dan Hadmasa 6 tahun daripada tarikh asal untuk membuat tuntutan.

Inilah yang JawatanKuasa Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Rumah Desa Kerayong Indah dan kita semua perjuangkan selama ini bukan sahaja untuk mendapatkan jaminan kejujuran mereka membantu rakyat, tetapi juga demi untuk mendapatkan hak kita yang selama ini dinafikan. Atau setidak-tidaknya kita mendapat keputusan "win-win situation".

Kita dimaklumkan bahawa tindakan yang akan diambil oleh mereka terhadap tuntutan kita dan menyelesaikan kes rumah terbengkalai ini adalah :-
  • Mendapatkan dana daripada "anchor bank" (senaraian 2 bank utama)
  • Menyelesaikan Pinjaman Bank sediaada
  • Menyediakan Pembiayaan Baru dengan bank yang dilantik.
  • Memberi pilihan kepada pembeli samada untuk terus memiliki rumah tersebut atau menjualkannya kepada Pemaju yang baru dengan harga yang akan dipersetujui oleh kedua belah pihak.
  • Menandatangani surat Penamatan Kontrak dengan Bumi Circle Sdn Bhd.
  • Menyiapkan projek perumahan tersebut (projek mesti diteruskan) dalam masa 2-3 tahun dengan penambah-baikan dari segi kualiti rumah kepada 3 fasa (biasa, pertengahan dan atasan)
  • Membina semula lebih 60 buah rumah yang mengalami kerosakan teruk.
  • Menaik taraf rumah kepada rumah 2 tingkat bagi unit-unit yang terpilih.





Insyaallah, fasilitator kepada Task Force dijangka akan mengadakan "presentation" pada bulan Mac 2011. Semua pembeli (yang menyertai saman atau tidak) disarankan menghadirkan diri untuk mendapatkan penjelasan yang lebih lanjut tentang penyelesaian yang akan diadakan ini nanti. Kerajaan negeri melalui Task Force dijangka akan mengeluarkan surat jemputan kepada semua pembeli dalam masa yang terdekat.

Jika ini menjadi kenyataan, kita amat bersyukur kerana sekurang-kurangnya pihak kerajaan negeri Selangor ini telah mula menunjukkan keprihatinan mereka terhadap masaalah kita. Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah yang telah difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 24 April 2007 yang lalu setidak-tidaknya telah menjadikan penentu kepada keputusan yang bakal mereka buat, yakni mereka telah bersetuju pada asasnya untuk menyelesaikan pinjaman bank yang telah tertunggak sejak sekian lama.

Namun begitu, sepertimana yang telah kita sedia maklum dan dipersetujui sebelum ini bahawa proses-proses yang akan dijalankan itu nanti akan hanya dilangsungkan (termasuk menandatangani perjanjian) apabila mereka telah melangsaikan semua hutang-piutang kita dengan pihak bank sedia ada. Jika ini gagal dilaksanakan, maka proses Tuntutan Mahkamah akan diteruskan seperti biasa.

Oleh yang demikian semua plaintif diminta untuk merujuk kepada pihak peguam sekiranya terdapat sebarang keraguan berkenaan dengan tawaran yang dikeluarkan oleh mereka.

Mudahan Allah mempermudahkan tuntutan kita.




Thursday, April 17, 2008

Update Terkini : April 2008





Makluman dan update terkini berkenaan dengan kes Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah adalah seperti berikut :-

  • 5 Mei 2008 - Pra-Bicara (Pengurusan Kes) yang melibatkan Pembeli Kumpulan 2 dan Kumpulan 3 seramai 54 orang yang telah memfailkan tuntutan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 31 Mei 2007 dan 29 Jun 2007 yang lalu. No. Fail Saman : MT1-21-114-2007 dan MT1-21-139-2007
  • 19 Jun 2008 - Pra-Bicara (Pengurusan Kes) yang melibatkan Pembeli Kumpulan 1 seramai 130 orang yang telah memfailkan tuntutan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 24 April 2007 yang lalu. No. Fail Saman : MT1-21-92-2007.
  • Pra-Bicara untuk Pembeli Kumpulan 4 seramai 26 orang yang telah memfailkan tuntutan saman pada 1 Oktober 2007 di Mahkamah Tinggi Shah Alam, masih belum ditetapkan lagi oleh pihak Mahkamah.
  • Pembeli Kumpulan 5 masih di dalam proses akhir untuk difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam memandangkan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan oleh pihak Peguam seperti masalah dokumentasi yang tidak lengkap oleh pihak pembeli yang menyebabkan ianya tertangguh. Walaubagaimanapun pihak peguam diberitakan telahpun mengeluarkan surat pemberitahuan pembatalan terhadap Perjanjian Pembinaan sepertimana yang perlu dilakukan.

Sehubungan dengan itu kesemua pembeli adalah dijemput untuk turut sama hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 5 Mei 2008 (Isnin) ini semasa Pengurusan Kes bagi mendapatkan maklumat lebih jelas dan terperinci daripada pihak Peguam berkenaan dengan Kes Tuntutan kita.

Adalah dijangkakan pihak Bumi Circle Sdn. Bhd. bersama-sama dengan Peguam mereka akan hadir sama pada hari tersebut sepertimana yang telah dimaklumkan sebelum ini.

Walaupun tempoh menunggu sebelum perbicaraan (jika ada) adalah agak lama sehingga hampir 1 tahun daripada tarikh memfailkan kes (24 April 2007), namun berkat kesabaran kita semua dalam menuntut kembalikan segala kerugian ini, InsyaAllah akan dimakbulkan oleh Allah SWT.

Wassalam
Blogger.


Monday, March 24, 2008

Senarai EXCO Kerajaan Negeri Selangor


Hari ini 24 Mac 2008, Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan YAB Dato Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Bin Ibrahim telah mengumumkan secara rasmi senarai penuh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (EXCO).

Berikut adalah senarai EXCO Kerajaan Negeri Selangor :-

  1. Tan Sri Datuk Abdul Khalid bin Ibrahim - Dato’ Menteri Besar
    Pembangunan Tanah, Kewangan, Majlis Tindakan Ekonomi Negeri, Belia & Sukan
  2. Teresa Kok Suh Sim - Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan
  3. Datuk Dr. Hassan bin Mohamed Ali - Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam
  4. Yaakob bin Sapari - Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan
  5. Rodziah binti Ismail - Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi
  6. Dr. Xavier Jayakumar a/l Arulanandam - Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin
  7. Dr. Halimah binti Ali - Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan
  8. Iskandar bin Abdul Samad - Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan
  9. Ronnie Liu Tian Khiew - Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan
  10. Wong Keat Ping @ Elizabeth Wong - Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar
  11. Eam Yong Hian Wah - Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram

Apa yang kita sangat-sangat harapkan adalah dengan perlantikan serta amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada barisan EXCO Selangor yang baru ini agar mereka lebih telus dalam menjalankan tugas sebagai EXCO untuk memajukan Negeri Selangor ini dan untuk kesejahteraan rakyat sekalian tanpa membeza-bezakan fahaman politik masing-masing.

Kita juga mengharapkan perlantikan
Sdr Iskandar Bin Abdul Samad sebagai EXCO Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan dapat membantu kita semua Pembeli-Pembeli Rumah Desa Kerayong Indah yang telah menghadapi kesusahan sejak 2002 bilamana rumah yang telah dijanjikan untuk disiapkan telah terbengkalai sepenuhnya dan langsung tidak diambil peduli secara serius oleh EXCO dan Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Bekas MB Dato' Seri Khir Toyo.

EXCO YB Iskandar Abdul Samad , 47 tahun, berasal dari Petaling Jaya, Selangor. Beliau merupakan lulusan Ijazah Arkitek dari Humberside, United Kingdom dan pernah menjadi Pensyarah Senibina di Universiti Teknologi MARA. Kini beliau merupakan Timbalan Persuruhjaya 3 PAS Negeri Selangor dan Yang Dipertua PAS Kawasan Pandan.

Di dalam PRU-12 yang lalu, beliau telah menewaskan calon BN Nosimah Hashim di kawasan DUN N21-Chempaka dengan majoriti 1,048 undi.

Mudah-mudahan YAB Dato MB dan YB Iskandar dapat melihat kes tuntutan kita ini agar satu penyelesaian dapat diberikan bagi membolehkan kita menjalani kehidupan di hari yang mendatang dengan lebih baik lagi tanpa perlu bersusah payah untuk menunggu rumah tersebut dengan lebih lama lagi. InsyaAllah.

Wassalam
Blogger.


Wednesday, March 12, 2008

Terkini : Pembeli Kumpulan 5





Blogger telah menerima senarai terkini Pembeli-Pembeli daripada Kumpulan 5 berjumlah seramai 49 orang yang dijangkakan akan difailkan Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah oleh Peguam di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Shah Alam Selangor dalam masa terdekat ini.

Pihak Peguam tidak dapat memfailkan tuntutan Pembeli Kumpulan 5 sebelum ini kerana adanya permintaan dan rayuan daripada pembeli-pembeli agar mereka dimasukkan ke dalam Kumpulan 5 tersebut.

Oleh yang demikian jumlah terkini pembeli yang telah dan akan memfailkan tuntutan adalah seramai 259 orang. Kita menjangkakan jumlah tersebut akan bertambah dari sehari ke sehari memandangkan terdapat ramai lagi pembeli yang telah tampil menyerahkan dokumen-dokumen tuntutan kepada pihak Peguam.

Bagi mereka-mereka yang telah membuat keputusan untuk memfailkan tuntutan seterusnya mendapatkan semula wang gantirugi tersebut, adalah sangat-sangat dialu-alukan bagi mengelakkan keterlewatan menyertai kumpulan yang telah memfailkan tuntutan gantirugi ini. Sila hubungi kami untuk informasi berkenaan dengan prosedur membuat tuntutan. InsyaAllah, kita sedia membantu sedaya yang mungkin.

Wassalam
Blogger.


Sunday, February 3, 2008

DKI-Sesudah Setahun Berlalu

Hari ini 2 Feb 2008 (Sabtu) Blogger telah dimaklumkan oleh saudara Kamarol tentang kunjungannya sekali lagi ke tapak Projek Desa Kerayong Indah setelah setahun berlalu pergi sejak Februari 2007 yang lalu. Memang telah dijangkakan bahawa projek perumahan untuk rakyat yang 100% adalah Melayu telah ditinggalkan begitu sahaja tanpa adanya lagi kelibat pihak yang mengawasi tapak projek tersebut daripada dicerobohi oleh pihak luar.

Kalau dulu, masih lagi mampu melihat pondok pengawal, tetapi hari ini ianya telah sepenuhnya rebah ke bumi bersama rebahnya keyakinan kita terhadap rumah idaman tersebut. Memang pada dasarnya, kita percaya bahawa apabila kes kita ini telah difailkan di mahkamah, maka tiada pihak yang boleh sewenang-wenangnya memasuki dan meneruskan projek tersebut tanpa keizinan daripada pihak mahkamah. Namun sekurang-kurang mereka perlu memelihara tapak projek tersebut daripada terus dicerobohi oleh pihak luar.

Mana dahulu janji-janji mereka melalui perkhabaran mulut bahawa projek tersebut akan disegerakan dengan syarat menandatangani perjanjian baru pada Mac 2007. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Kita tahu bahawa walaupun kita telah memfailkan tuntutan ini di mahkamah, tetapi bagaimana halnya dengan mereka yang tidak memfailkan tuntutan dan berkeras ingin memiliki rumah tersebut? Mereka juga ada hak mereka sendiri dan pihak yang bertanggung jawab tidak sepatutnya menjadikan alasan kes mahkamah sebagai batu lonjatan untuk menidakkan hak mereka ini. Tambahan pula Tempoh dan Hadmasa yang terawal akan berakhir seawalnya pada Jun 2008 ini untuk membuat tuntutan secara sah di mahkamah.

Ingatlah wahai mereka-mereka yang telah mengambil wang daripada keringat dan titik peluh yang kami kumpulkan bertahun-tahun lamanya untuk memiliki sebuah kediaman yang sempurna di Bumi Selangor ini......

Ingatlah wahai mereka-mereka yang telah diberikan tugas dan amanah untuk menguruskan dan mengawal selia projek perumahan untuk orang Melayu dan orang Islam seagamamu ini....

Ingatlah wahai mereka-mereka yang telah diberikan mandat dan kuasa untuk membantu rakyat di bumi Selangor yang bertuah ini.....

Sesungguhnya akan datang suatu hari nanti, Allah SWT akan memberikan pembalasan yang setimpal dengan kehancuran dan ketidak-pertanggungjawaban yang dilakukan terhadap orang lain. Disitu nanti akan datang kekesalan sepertimana yang berlaku terhadap salah seorang bekas EXCO Melaka bilamana Desa Wawasan yang cuba dibangunkan bukan atas dasar keikhlasan dan kesungguhan untuk membantu tetapi demi untuk mengaut kekayaan.

Wassalam
Blogger.












Friday, August 10, 2007

Update Terkini - 10hb. Ogos 2007

Assalamualaikum,

Tarikh akhir Memfailkan Pembelaan oleh Defendan 1 dan Defendan 2 iaitu Kerajaan Negeri Selangor dan Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Selangor berakhir pada 6hb. Ogos 2007 (Isnin) yang lalu.

Maklumat lanjut tentang Pembelaan mereka boleh di dapati disini

Wassalam.
Blogger.


Sunday, July 8, 2007

Update 8hb Julai 2007

Assalamualaikum
Alhamdulillah, pada ketika ini proses Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah ini berjalan dengan lancar walaupun ada beberapa masalah kecil yang di hadapi oleh beberapa orang pembeli yang belum memfailkan tuntutan ini. Namun ianya telahpun diselesaikan dengan bantuan daripada peguam kita.

Kita bersyukur kerana Kumpulan Ke-3 yang telah memfailkan Tuntutan Gantirugi mereka pada 29hb. Jun 2007 telahpun memperolehi "Seal Copy" yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 6hb. Julai 2007. Jangkamasa pengeluaran "Seal Copy" bagi Kumpulan-3 iaitu selama 7 hari ini adalah lebih singkat berbanding dengan Kumpulan-1 (37 hari) dan Kumpulan-2 (15 hari). InsyaAllah, Peguam dijangka akan menyerahkan Writ Saman Kumpulan-3 kepada pihak Defendan-Defendan pada minggu ke-2 bulan Julai 2007 ini.

Bagi Proses Tuntutan Kumpulan-1, Peguam kita telahpun selesai menyiapkan dokumentasi untuk membolehkan Kumpulan-1 ini terus mendapatkan Judgement (penghakiman) terhadap salah satu Defendan.

Wassalam
Blogger.



Friday, June 1, 2007

Terkini 31hb. Mei 2007

Alhamdulillah, Syukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan izinNya juga, Peguam kita telahpun selamat memfailkan saman untuk Kumpulan Kedua Pembeli Desa kerayong Indah di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 31hb. Mei 2007 (Khamis) bersamaan dengan 14 Jamadil Awal 1428H. Kumpulan Kedua ini adalah terdiri daripada seramai 40 orang Pembeli.

Pada hari yang sama juga (31hb. Mei 2007), kita telah memperolehi "Seal Copy" dokumen saman Pembeli Kumpulan Pertama seramai 130 orang tersebut daripada pihak Mahkamah Shah Alam. Berikut adalah proses tuntutan seterusnya :-
  • Pihak Peguam akan menyerahkan (serve) sesalinan dokumen saman kepada pihak-pihak defendan iaitu Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Tanah Kuala Selangor dan Kontraktor Projek DKI iaitu Bumi Circle Sdn. Bhd. pada hari Jumaat bersamaan dengan 1hb. Jun, 2007.
  • Pihak defendan akan mempunyai tempoh masa selama 8 hari selepas pemyampaian writ saman tersebut (termasuk hari penyampaian) untuk menyebabkan kehadiran mereka dimasukkan untuk diri mereka dalam kausa atas guaman Plaintif-plaintif.
  • Sekiranya mereka ingkar, Plaintif-plaintif (Pembeli Kumpulan 1), melalui Peguam kita boleh meneruskan untuk mendapatkan PENGHAKIMAN dan perlaksanaan.
  • Sekiranya amaun yang dituntut dalam kos dibayar dalam tempoh 12 hari selepas pemyampaian Writ Saman tersebut, maka prosiding seterusnya akan ditangguhkan.
InsyaAllah, proses seterusnya akan diberitahu dari masa ke semasa.

Oleh itu, adalah diharapkan agar kesemua Pembeli Kumpulan 1 dapat berhubung terus dengan pihak Peguam sekiranya ada apa-apa permasalahan yang mereka hadapi. Pandangan dan pendapat daripada Pihak Peguam adalah amat mustahak bagi mengelakkan Pembeli daripada membuat keputusan yang tidak sewajarnya yang akan merugikan pembeli itu sendiri.

Apa yang diharapkan juga agar kita dapat bersatu hati untuk menjayakan Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah ini setelah kita dihimpit dengan berbagai kesukaran dan kesusahan selama hampir 8 tahun sejak 1999 yang lalu serta keperitan menghampiri tanggal 1hb. April 2007 yang lalu.

Pembeli yang menghadapi masalah dengan pihak bank ataupun pembiaya juga diminta segera menghubungi Peguam kita untuk tindakan selanjutnya seperti yang telah kita rangkakan sebelum ini.

Pembeli-pembeli juga boleh menghubungi kami untuk sebarang pertanyaan berkenaan dengan progress tuntutan ini.

Semoga Allah mempermudahkan urusan tuntutan kita ini bagi membolehkan kita menjalani kehidupan seperti sediakala. InsyaAllah.

Wassalam.


Saturday, May 19, 2007

Update Terkini


Assalamualaikum, sekali lagi kita ingin meminta kerjasama daripada rakan-rakan Pembeli Desa Kerayong Indah yang telahpun memfailkan tuntutan gantirugi di Mahkamah agar berhati-hati apabila hendak mengeluarkan sebarang kenyataan yang melibatkan undang-undang.

Janganlah sama sekali kita menguris hati dan perasaan rakan-rakan kita yang lain yang masih mengharapkan untuk memiliki rumah yang suatu ketika dahulu menjadi idaman kita semua. Telah diperjelaskan sejak kita mula menggerakkan usaha ini, bahawa HAK setiap Pembeli-Pembeli Desa Kerayong Indah ini hendaklah kita hormati dengan sepenuhnya. Walaupun kita mengharapkan kesemua Pembeli DKI sama-sama memfailkan tuntutan ini, namun kita tidak boleh lari dari mengakui bahawa setiap dari kita mempunyai pandangan dan pendapat yang berbeza.

Walaupun kita menyakini bahawa inilah sebaik-baik jalan penyelesaiannya, namun kita tidak mahu perjuangan menuntut kembali HAK kita melalui saluran mahkamah ini, disalah ertikan. Gunakanlah dengan sebijak-bijaknya apa jua cara untuk mengkhabarkan kepada rakan-rakan yang lain tentang tindakan mahkamah yang kita lakukan ini.

Setiap tutur bahasa dan penulisan kita walau di mana sekalipun hendaklah sentiasa dipelihara agar ianya tidak menjurus ke arah mendahului prosiding mahkamah. Kita tidak mahu nanti, ada diantara rakan-rakan kita yang telah memfailkan tuntutan ini, disabitkan pula dengan kes menghina mahkamah apabila mengeluarkan kenyataan-kenyataan secara terbuka melibatkan keputusan yang hanya boleh diputuskan oleh mahkamah.

Perjuangan kita sebenarnya adalah menentang pihak-pihak yang telah menyebabkan kita mengalami kerugian dan suffer yang berpanjangan sejak seawal tahun 2002 bilamana rumah kita GAGAL disiapkan seperti yang telah dijanjikan di dalam Perjanjian Pembinaan tersebut.

Kita telah kehilangan masa, tenaga dan wang ringgit dek kerana sebuah rumah impian persis antara desa terindah di Selangor ini. Kini, kita pula dibelenggu oleh permasalahan kewangan yang semakin sukar bilamana pihak pembiaya bersungguh-sungguh mahu agar kita melunaskan bayaran ansuran bulanan seperti yang telah dipersetujui di dalam Perjanjian Pinjaman dahulu. Sebahagian besar rakan-rakan kita telah disenarai hitamkan oleh Bank Negara dan gagal untuk mendapatkan sebarang pinjaman dari mana-mana institut perbankan di Malaysia ini. Malahan ada rakan pembeli kita yang telah disaman oleh pihak pembiaya.

Apakah semuanya ini harus kita biarkan berterusan? Siapa lagi yang boleh kita harapkan untuk membela nasib kita kalau bukan kita sendiri? Perjuangan selama lebih dari 5 tahun di meja rundingan tanpa dapat melihat apa-apa perkembangan positif melainkan janji-janji manis daripada mereka untuk menyiapkan rumah kita mesti kita teruskan dengan mengambil tindakan mahkamah ini. Apa yang kita mahukan hanyalah WANG kita dikembalikan bagi membolehkan kita menjalani kehidupan seperti sediakala.

Oleh sebab itu, kita meminta kepada Pembeli-Pembeli yang menghadapi masalah dengan pihak pembiaya agar segera menghubungi kami ataupun Peguam untuk mencari jalan penyelesaiannya yang telah kita rangkakan. InsyaAllah, semuanya ini telah kita kaji sedalam-dalamnya sebelum kita membuat keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang ini.

Kita juga tidak mahu, kesepakatan kita ini diganggu-gugat oleh mereka-mereka yang mempunyai kepentingan tersendiri lalu menidakkan HAK kita. Jika sekiranya nanti ada sesiapa jua diantara kita yang didatangi oleh pihak-pihak yang tertentu yang bertujuan untuk memecah belah atau dengan apa cara sekalipun, janganlah membuat keputusan secara tergesa-gesa. Maklumkanlah dengan segera kepada Peguam atau kepada kami untuk kita sama-sama mendapatkan pandangan agar ianya tidak merugikan kita semua nanti.


Berikut adalah update terkini :-
  • "Seal copy" dijangka akan dikeluarkan oleh pihak mahkamah pada minggu hadapan iaitu minggu ketiga bulan Mei 2007
  • Pembeli Kumpulan Ke2 akan memfailkan tuntutan saman mereka di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada minggu ketiga bulan Mei 2007.
  • Pembeli yang menghadapi masalah dengan pihak bank/pembiaya seperti yang dinyatakan di dalam perjumpaan di Depalma Inn Shah Alam pada 1hb. April 2007 yang lalu, diminta menghubungi pihak Peguam atau menghubungi kami untuk tindakan seterusnya.
  • Pembeli-pembeli lain yang ingin membuat Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli ini tetapi masih belum menyerahkan dokumen kepada Peguam, boleh melakukannya pada bila-bila masa di Pejabat Peguam di Bangsar, Kuala Lumpur.
Semoga Allah sentiasa melindungi kita.
Wassalam

Tuesday, May 15, 2007

Update

Assalamualaikum,

InsyaAllah seperti yang telah kita jadualkan sebelum ini, Kumpulan kedua Pembeli-pembeli DKI yang akan turut serta membuat Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli ini akan memfailkan tuntutan tersebut di Mahkamah Shah Alam pada awal minggu hadapan.

Oleh itu kita berharap agar Pembeli-pembeli ini dapat memastikan bahawa semua dokumen-dokumen tuntutan yang diperlukan telah diserahkan kepada Peguam. Sekiranya masih ada lagi dokumen yang belum lengkap, sila berurusan dengan Peguam secepat yang mungkin bagi memastikan kelancaran proses tuntutan tersebut.

Alhamdulillah, kita telah juga mendapat banyak pertanyaan daripada Pembeli-Pembeli DKI yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan dengan tuntutan ini.

Perlu untuk diperjelaskan di sini bahawa tujuan utama kita memfailkan tuntutan ini adalah semata-mata untuk menuntut kembali wang kita akibat dari kegagalan pihak kontraktor menyiapkan rumah tersebut dalam masa 36 bulan seperti yang telah dimeterai di dalam Perjanjian Pembinaan seawal tahun 1999 yang lalu. Kita telah menanti dengan penuh kesabaran dari setahun ke setahun yang mana janji demi janji untuk menyiapkan rumah tersebut telah ditaburkan oleh pihak-pihak yang tertentu. Dalam masa yang sama kita terpaksa pula mengharungi bebanan kewangan yang semakin sukar termasuk kesukaran untuk menjelaskan bayaran ansuran bulanan kepada pihak bank atau pembiaya. Kita sebenarnya tiada pilihan untuk tidak terus membayar kepada pembiaya walaupun rumah yang dijanjikan GAGAL disiapkan. Yang pastinya, kita tidak mahu nasib yang menimpa Pembeli Taman Senawang Jaya di Negeri Sembilan (link dengan izin) akan terjadi pula kepada kita semua.

Memandangkan tahun 2008 semakin hampir dan bakal melupuskan HAK kita untuk membuat tuntutan ini, maka kita telah memutuskan mengambil jalan penyelesaian ini melalui saluran mahkamah. Apa yang kita harapkan adalah HAK kita akan terbela di mahkamah nanti.

InsyaAllah, kita sedia membantu kepada sesiapa juga Pembeli DKI yang ingin turut serta membuat tuntutan ini. Sila hubungi kami untuk sebarang penjelasan lanjut.

Wassalam.