Makluman Tarikh Mahkamah & Isu Semasa

Monday, January 7, 2008

Selamat Menyambut Maal Hijrah 1429H




Blogger ingin mengucapkan Selamat menyambut Maal Hijrah 1 Muharram 1429H yang akan menjelang tiba pada hari Khamis 10 Januari 2008 nanti kepada semua Pembeli-Pembeli Desa Kerayong Indah.

Sepatutnya kedatangan Maal Hijrah ini akan dapat kita raikan bersama-sama di Masjid Desa Kerayong Indah yang kita nantikan sejak delapan tahun yang telah sudah andainya desa yang kita impikan itu telah dilaksanakan dengan penuh tanggung jawab oleh mereka-mereka yang telah diberikan amanah itu.

Kita hanya mampu membayangkan betapa ketika itu jawatankuasa Masjid Desa Kerayong Indah bersama-sama dengan kita sibuk berusaha mengatur majlis keagamaan seperti sembahyang berjamaah, bacaan doa akhir dan awal tahun, bacaan yassin, ceramah agama dan sebagainya.

Manakala khemah-khemah tetamu dan ruang memasak dipenuhi dengan jemaah DKI yang bergotong royong menyediakan kerusi meja dan makanan untuk kenduri kesyukuran sempena dengan kedatangan Maal Hijrah ini. Kecerian sambutannya dihiasi lagi dengan anak-anak kita yang turut bergembira.

Namun itu semua tidak menjadi kenyataan.
Apa yang kita impikan sejak 1999 yang lalu telah lenyap ditelan waktu. Malahan hari ini kita menghadapi kesusahan yang tidak dapat digambarkan dengan hanya "bersabar". Dan dalam masa yang sama antara kita dan pihak yang bertanggung jawab saling mengejar waktu Tempoh dan Hadmasa yang akan berakhir 5 bulan dari sekarang.

Jika ini berlaku, maka kita amat bersimpati kepada mereka yang tidak memfailkan Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah ini kerana tiada apa lagi yang boleh dilakukan selain mengharapkan ehsan mereka untuk menyiapkan pembinaan rumah tersebut. Pada masa itu, pihak yang bertanggung jawab akan terlepas daripada Tindakan Undang-Undang bilamana berakhirnya Tempoh dan Hadmasa tersebut.


Mudah-mudahan juga kehadiran 1429H ini akan memberikan nafas baru dalam hidup dan kehidupan kita dalam menghadapi kegetiran hari-hari yang mendatang. Semoga juga apa yang kita rencanakan pada tahun yang telah sudah, walaupun belum berjaya sepenuhnya, namun janganlah sesekali kita berputus asa. Orang yang berjaya di dalam hidupnya tidak akan berputus asa walau sesaat selagi ia menyakini bahawa apa yang dilakukannya adalah benar. InsyaAllah.

Bagi Pembeli yang telah memfailkan tuntutan di Mahkamah, kita mengesyorkan agar setiap keluarga mahupun individu agar membuat bacaan Yassin pada Hari Rabu 9 Januari 2008 bersamaan dengan 30 Zulhijjah 1428H selepas Solat Maghrib serta memohon ke hadrat Ilahi agar kes tuntutan kita ini akan berjaya dan dipermudahkan oleh Allah SWT. InsyaAllah.

Wassalam
Blogger.

No comments: