Makluman Tarikh Mahkamah & Isu Semasa

Tuesday, May 15, 2007

Update

Assalamualaikum,

InsyaAllah seperti yang telah kita jadualkan sebelum ini, Kumpulan kedua Pembeli-pembeli DKI yang akan turut serta membuat Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli ini akan memfailkan tuntutan tersebut di Mahkamah Shah Alam pada awal minggu hadapan.

Oleh itu kita berharap agar Pembeli-pembeli ini dapat memastikan bahawa semua dokumen-dokumen tuntutan yang diperlukan telah diserahkan kepada Peguam. Sekiranya masih ada lagi dokumen yang belum lengkap, sila berurusan dengan Peguam secepat yang mungkin bagi memastikan kelancaran proses tuntutan tersebut.

Alhamdulillah, kita telah juga mendapat banyak pertanyaan daripada Pembeli-Pembeli DKI yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan dengan tuntutan ini.

Perlu untuk diperjelaskan di sini bahawa tujuan utama kita memfailkan tuntutan ini adalah semata-mata untuk menuntut kembali wang kita akibat dari kegagalan pihak kontraktor menyiapkan rumah tersebut dalam masa 36 bulan seperti yang telah dimeterai di dalam Perjanjian Pembinaan seawal tahun 1999 yang lalu. Kita telah menanti dengan penuh kesabaran dari setahun ke setahun yang mana janji demi janji untuk menyiapkan rumah tersebut telah ditaburkan oleh pihak-pihak yang tertentu. Dalam masa yang sama kita terpaksa pula mengharungi bebanan kewangan yang semakin sukar termasuk kesukaran untuk menjelaskan bayaran ansuran bulanan kepada pihak bank atau pembiaya. Kita sebenarnya tiada pilihan untuk tidak terus membayar kepada pembiaya walaupun rumah yang dijanjikan GAGAL disiapkan. Yang pastinya, kita tidak mahu nasib yang menimpa Pembeli Taman Senawang Jaya di Negeri Sembilan (link dengan izin) akan terjadi pula kepada kita semua.

Memandangkan tahun 2008 semakin hampir dan bakal melupuskan HAK kita untuk membuat tuntutan ini, maka kita telah memutuskan mengambil jalan penyelesaian ini melalui saluran mahkamah. Apa yang kita harapkan adalah HAK kita akan terbela di mahkamah nanti.

InsyaAllah, kita sedia membantu kepada sesiapa juga Pembeli DKI yang ingin turut serta membuat tuntutan ini. Sila hubungi kami untuk sebarang penjelasan lanjut.

Wassalam.

No comments: