Makluman Tarikh Mahkamah & Isu Semasa

Saturday, May 19, 2007

Update Terkini


Assalamualaikum, sekali lagi kita ingin meminta kerjasama daripada rakan-rakan Pembeli Desa Kerayong Indah yang telahpun memfailkan tuntutan gantirugi di Mahkamah agar berhati-hati apabila hendak mengeluarkan sebarang kenyataan yang melibatkan undang-undang.

Janganlah sama sekali kita menguris hati dan perasaan rakan-rakan kita yang lain yang masih mengharapkan untuk memiliki rumah yang suatu ketika dahulu menjadi idaman kita semua. Telah diperjelaskan sejak kita mula menggerakkan usaha ini, bahawa HAK setiap Pembeli-Pembeli Desa Kerayong Indah ini hendaklah kita hormati dengan sepenuhnya. Walaupun kita mengharapkan kesemua Pembeli DKI sama-sama memfailkan tuntutan ini, namun kita tidak boleh lari dari mengakui bahawa setiap dari kita mempunyai pandangan dan pendapat yang berbeza.

Walaupun kita menyakini bahawa inilah sebaik-baik jalan penyelesaiannya, namun kita tidak mahu perjuangan menuntut kembali HAK kita melalui saluran mahkamah ini, disalah ertikan. Gunakanlah dengan sebijak-bijaknya apa jua cara untuk mengkhabarkan kepada rakan-rakan yang lain tentang tindakan mahkamah yang kita lakukan ini.

Setiap tutur bahasa dan penulisan kita walau di mana sekalipun hendaklah sentiasa dipelihara agar ianya tidak menjurus ke arah mendahului prosiding mahkamah. Kita tidak mahu nanti, ada diantara rakan-rakan kita yang telah memfailkan tuntutan ini, disabitkan pula dengan kes menghina mahkamah apabila mengeluarkan kenyataan-kenyataan secara terbuka melibatkan keputusan yang hanya boleh diputuskan oleh mahkamah.

Perjuangan kita sebenarnya adalah menentang pihak-pihak yang telah menyebabkan kita mengalami kerugian dan suffer yang berpanjangan sejak seawal tahun 2002 bilamana rumah kita GAGAL disiapkan seperti yang telah dijanjikan di dalam Perjanjian Pembinaan tersebut.

Kita telah kehilangan masa, tenaga dan wang ringgit dek kerana sebuah rumah impian persis antara desa terindah di Selangor ini. Kini, kita pula dibelenggu oleh permasalahan kewangan yang semakin sukar bilamana pihak pembiaya bersungguh-sungguh mahu agar kita melunaskan bayaran ansuran bulanan seperti yang telah dipersetujui di dalam Perjanjian Pinjaman dahulu. Sebahagian besar rakan-rakan kita telah disenarai hitamkan oleh Bank Negara dan gagal untuk mendapatkan sebarang pinjaman dari mana-mana institut perbankan di Malaysia ini. Malahan ada rakan pembeli kita yang telah disaman oleh pihak pembiaya.

Apakah semuanya ini harus kita biarkan berterusan? Siapa lagi yang boleh kita harapkan untuk membela nasib kita kalau bukan kita sendiri? Perjuangan selama lebih dari 5 tahun di meja rundingan tanpa dapat melihat apa-apa perkembangan positif melainkan janji-janji manis daripada mereka untuk menyiapkan rumah kita mesti kita teruskan dengan mengambil tindakan mahkamah ini. Apa yang kita mahukan hanyalah WANG kita dikembalikan bagi membolehkan kita menjalani kehidupan seperti sediakala.

Oleh sebab itu, kita meminta kepada Pembeli-Pembeli yang menghadapi masalah dengan pihak pembiaya agar segera menghubungi kami ataupun Peguam untuk mencari jalan penyelesaiannya yang telah kita rangkakan. InsyaAllah, semuanya ini telah kita kaji sedalam-dalamnya sebelum kita membuat keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang ini.

Kita juga tidak mahu, kesepakatan kita ini diganggu-gugat oleh mereka-mereka yang mempunyai kepentingan tersendiri lalu menidakkan HAK kita. Jika sekiranya nanti ada sesiapa jua diantara kita yang didatangi oleh pihak-pihak yang tertentu yang bertujuan untuk memecah belah atau dengan apa cara sekalipun, janganlah membuat keputusan secara tergesa-gesa. Maklumkanlah dengan segera kepada Peguam atau kepada kami untuk kita sama-sama mendapatkan pandangan agar ianya tidak merugikan kita semua nanti.


Berikut adalah update terkini :-
  • "Seal copy" dijangka akan dikeluarkan oleh pihak mahkamah pada minggu hadapan iaitu minggu ketiga bulan Mei 2007
  • Pembeli Kumpulan Ke2 akan memfailkan tuntutan saman mereka di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada minggu ketiga bulan Mei 2007.
  • Pembeli yang menghadapi masalah dengan pihak bank/pembiaya seperti yang dinyatakan di dalam perjumpaan di Depalma Inn Shah Alam pada 1hb. April 2007 yang lalu, diminta menghubungi pihak Peguam atau menghubungi kami untuk tindakan seterusnya.
  • Pembeli-pembeli lain yang ingin membuat Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli ini tetapi masih belum menyerahkan dokumen kepada Peguam, boleh melakukannya pada bila-bila masa di Pejabat Peguam di Bangsar, Kuala Lumpur.
Semoga Allah sentiasa melindungi kita.
Wassalam