Makluman Tarikh Mahkamah & Isu Semasa

Thursday, July 17, 2014

Mahkamah Tinggi Shah Alam - Trial Ke-2

Khamis 17hb. Julai 2014, telah berlangsung Trial (Perbicaraan) yang ke-2 di Galeri Awam Mahkamah Tinggi (Sivil) Shah Alam, Shah Alam, Selangor Ehsan di hadapan YA Hakim Dato' Wan Afrah Binti Dato' Paduka Wan Ibrahim telah dihadiri oleh lebih daripada 100 orang rakan-rakan pembeli Desa Kerayong Indah.

Trial ke-2 ini adalah berkenaan soal jawab dan pemeriksaan balas oleh pihak Defendan 1, 2 dan 3 iaitu Kerajaan Negeri (dan Pejabat Tanah Kuala Selangor) serta syarikat Kontraktor Bumi Circle Sdn Bhd yang diwakili oleh peguam masing-masing.

Sidang Mahkamah bermula jam 10:00 pagi bilamana semua pihak iaitu Peguam, Defendan 1,2 dan 3 serta White Knight dipanggil memasuki Kamar Hakim untuk mengadakan perbincangan sebelum memulakan perbicaraan.

Sesi soaljawab pertama saksi terhadap Sdr Kamarol oleh Defendan 1, 2 dan 3 bermula lebih kurang jam 11:00 pagi dan mengambil masa selama hampir 1 1/2 jam. Persoalan yang dikemukakan oleh Peguam Defendan adalah lebih berkisar kepada :-

01. Bahan dokumentasi Writ Saman

02. Mengkaitkan pihak luar iaitu JKKK

03. Penafian Kerajaan Negeri & Pejabat Tanah mengeluarkan brosur

04. Penglibatan Kontraktor Probil Sonati


Soalan-soalan yang dikemukakan juga memerlukan Sdr Kamarol memberikan jawapan "Ya", "Tidak", "Setuju" dan "Tidak Setuju". Malahan ada ketikanya Sdr Kamarol dikelirukan oleh beberapa soalan dan memaksa beliau meminta Peguam Defendan mengulangi soalan sebanyak 3 kali, manakala beliau tidak dibenarkan memberikan jawapan secara subjektif.

Namun terdapat pada bahagian tertentu, YA Hakim telah mencelah dan menempelak peguam defendan serta membenarkan Sdr Kamarol memberikan jawapan secara subjektif. Juga ada terdapat pada 2 soalan yang dikemukan, Sdr Kamarol memberikan jawapan sebagai "Saya tidak mahu menjawab soalan ini".

Selesai Sdr Kamarol memberikan keterangan, giliran Puan Sarimah Shuhaimi pula dipanggil oleh peguam untuk memberikan keterangan sebagai saksi. Soalan-soalan yang dikemukakan juga adalah berkisar mengenai pekerjaan, dokumentasi saman, harga rumah yang dibeli, penglibatan JKKK dan Kontraktor Probil Sonati.

Mahkamah berhenti rehat selama 15 minit sebelum bersambung dengan keterangan saksi ke-3 iaitu Sdr Mohd Farid Bin Mohd Nor yang ditanya soalan yang sama seperti Puan Sarimah Shuhaimi.

Selesai Sdr Mohd Farid memberikan keterangan, Mahkamah kemudiannya berhenti pada jam 1:15 tengahari dan akan bersambung pada Isnin 9:30 pagi 8hb September 2014. Peguam juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau berhasrat untuk memanggil saksi seterusnya iaitu bekas Pengarah Bumi Circle Sdn Bhd dan Pengarah Probil Sonati untuk memberikan keterangan. Untuk tujuan itu, Peguam juga akan mengeluarkan sapina terhadap kedua-dua individu ini.

Di dalam sesi taklimat sejurus selepas selesai perbicaraan pada hari ini, Peguam telah memaklumkan bahawa :-

01. Trial telah berjalan dengan lancar

02. Memaklumkan keperluan memanggil/sapina saksi

03. Persetujuan White Knight menyegerakan Loan Settlement

04. Amaun Loan Settlement dan Deposit

05. Tempoh 1 bulan untuk Redemption Loan

06. Lain-lain perkara berbangkit


Jawatankuasa Tuntutan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua rakan-rakan pembeli Desa Kerayong Indah yang telah hadir di Mahkamah sepanjang perbicaraan yang berlangsung selama 3 1/2 jam ini.

NOTA : Kepada rakan-rakan yang tidak berkesempatan hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada hari ini untuk mengambil Lencana secara PERCUMA (Sumbangan seorang rakan DKI), boleh menghubungi J/Kuasa tuntutan untuk mendapatkannya.

PERBICARAAN SETERUSNYA : Isnin 8hb. September 2014 (9:30 pagi)

BERSATU MENUNTUT HAK
Admin Desa Kerayong Indah

Penyerahan Lencana Rasmi DKI (Sumbangan Rakan DKI)



Kehadiran Rakan-Rakan di Galeri Mahkamah


Taklimat Peguam Kepada Saksi


Taklimat Selesai Trial


2 comments:

Pesona Indah Hantaran said...

Salam Pihak Admin, saya mewakili pihak ibu dan ayah sentiasa mengikuti perkembangan perbicaraan kes rumah terbengkalai Desa Kerayong Indah ini..Di sini saya nak buat kepastian mengenai data yang telah ditulis di laman blog Desa Kerayong Indah mengatakan bahawa perbicaraan seterusnya akan dibuat pada 8th Sept 2012 selepas perbicaraan pada 17 Julai 2014 iaitu semalam..? Mohon pencerahan dari pihak admin....

Desa Kerayong Indah said...

Salam kembali.
Terima kaseh di atas teguran berkenaan tarikh perbicaraan ke-3 dan Admin telah perbetulkan tarikh sebenar iaitu 8hb. September 2014

Terima kaseh
Admin
Desa Kerayong Indah