Makluman Tarikh Mahkamah & Isu Semasa

Sunday, February 3, 2008

DKI-Sesudah Setahun Berlalu

Hari ini 2 Feb 2008 (Sabtu) Blogger telah dimaklumkan oleh saudara Kamarol tentang kunjungannya sekali lagi ke tapak Projek Desa Kerayong Indah setelah setahun berlalu pergi sejak Februari 2007 yang lalu. Memang telah dijangkakan bahawa projek perumahan untuk rakyat yang 100% adalah Melayu telah ditinggalkan begitu sahaja tanpa adanya lagi kelibat pihak yang mengawasi tapak projek tersebut daripada dicerobohi oleh pihak luar.

Kalau dulu, masih lagi mampu melihat pondok pengawal, tetapi hari ini ianya telah sepenuhnya rebah ke bumi bersama rebahnya keyakinan kita terhadap rumah idaman tersebut. Memang pada dasarnya, kita percaya bahawa apabila kes kita ini telah difailkan di mahkamah, maka tiada pihak yang boleh sewenang-wenangnya memasuki dan meneruskan projek tersebut tanpa keizinan daripada pihak mahkamah. Namun sekurang-kurang mereka perlu memelihara tapak projek tersebut daripada terus dicerobohi oleh pihak luar.

Mana dahulu janji-janji mereka melalui perkhabaran mulut bahawa projek tersebut akan disegerakan dengan syarat menandatangani perjanjian baru pada Mac 2007. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Kita tahu bahawa walaupun kita telah memfailkan tuntutan ini di mahkamah, tetapi bagaimana halnya dengan mereka yang tidak memfailkan tuntutan dan berkeras ingin memiliki rumah tersebut? Mereka juga ada hak mereka sendiri dan pihak yang bertanggung jawab tidak sepatutnya menjadikan alasan kes mahkamah sebagai batu lonjatan untuk menidakkan hak mereka ini. Tambahan pula Tempoh dan Hadmasa yang terawal akan berakhir seawalnya pada Jun 2008 ini untuk membuat tuntutan secara sah di mahkamah.

Ingatlah wahai mereka-mereka yang telah mengambil wang daripada keringat dan titik peluh yang kami kumpulkan bertahun-tahun lamanya untuk memiliki sebuah kediaman yang sempurna di Bumi Selangor ini......

Ingatlah wahai mereka-mereka yang telah diberikan tugas dan amanah untuk menguruskan dan mengawal selia projek perumahan untuk orang Melayu dan orang Islam seagamamu ini....

Ingatlah wahai mereka-mereka yang telah diberikan mandat dan kuasa untuk membantu rakyat di bumi Selangor yang bertuah ini.....

Sesungguhnya akan datang suatu hari nanti, Allah SWT akan memberikan pembalasan yang setimpal dengan kehancuran dan ketidak-pertanggungjawaban yang dilakukan terhadap orang lain. Disitu nanti akan datang kekesalan sepertimana yang berlaku terhadap salah seorang bekas EXCO Melaka bilamana Desa Wawasan yang cuba dibangunkan bukan atas dasar keikhlasan dan kesungguhan untuk membantu tetapi demi untuk mengaut kekayaan.

Wassalam
Blogger.











No comments: