Makluman Tarikh Mahkamah & Isu Semasa

Monday, August 13, 2007

Failkan Tuntutan vs Tunggu dan Lihat

Assalamualaikum,

Kita ingin menyeru kepada Pembeli-Pembeli yang belum memfailkan Tuntutan Gantirugi dan kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah ini agar tidak lagi mengambil sikap tunggu dan lihat kerana kes tuntutan kita ini telahpun menghampiri fasa yang akhir.

Seruan ini bukanlah semata-mata datangnya dari kita yang telah memfailkan tuntutan ini sahaja, malahan daripada "pihak yang tertentu" yang ingin melihat lebih ramai lagi Pembeli DKI mendapat apa yang mereka tuntut melalui saluran undang-undang.

Apa yang dikhuatirkan sekiranya anda masih lagi ingin melihat terlebih dahulu apakah keputusan yang akan diperolehi oleh Pembeli-Pembeli yang telah memfailkan tuntutan ini, samada berjaya mendapatkan kembali HAK mereka atau sebaliknya, samada melalui keputusan mahkamah atau sebaliknya, maka adalah dikhuatiri anda akan tergolong di dalam kategori yang terlewat.

Sekiranya ini berlaku, kita sebenarnya tidak dapat menjanjikan apa-apa kepada Pembeli yang tidak memfailkan tuntutan ini sekiranya keputusan yang bakal diambil oleh pihak Defendan-Defendan di dalam masa yang terdekat ini berpihak kepada kita, memandangkan telah ada tanda-tanda yang positif ke arah itu.

Berfikirlah dengan semasak-masaknya. Untuk apa ditunggu sesuatu yang kita sendiri belum pasti apakah rumah DKI itu yang pada suatu ketika dahulu menjadi rumah idaman kita semua akan berdiri megah di puncak bukit, semegah pelancarannya.

Untuk apa kita berterusan "Tunggu dan Lihat" seolah-olah menanti sesuatu keajaiban yang bukan tangan kita sendiri yang mengerjakannya? Mereka bukanlah segolongan 10 belia yang lantang diperkatakan oleh Pak Sukarno untuk meratakan tapak kediaman kita di puncak Bukit Kerayong. Kita sebenarnya tak lain hanya seorang rakyat yang terlalu mengharapkan ketelusan dan kejujuran mereka untuk menyediakan sebuah kediaman yang sempurna sepertimana yang terkandung di dalam Perjanjian Pembinaan tersebut.

Lantaran daripada kegagalan mereka mengotakan apa yang telah dipersetujui sebelum ini, maka adalah menjadi HAK kita untuk menuntut segala kerugian yang kita alami selama ini.

Marilah...wahai rakan-rakan sekalian, kesempatan sedikit masa yang ada ini, pergunakankanlah dengan sebaik-baiknya. Berfikirlah dengan semasak-masaknya kerana "Berfikir Itu Ibu Segala Penyelesaian"

Seperti yang telah kita perkatakan dahulu, "Jangan pula nanti bila telah ada segolongan yang beroleh kejayaan dan kemenangan, maka segolongan yang lain akan menyesali diri".

Marilah kita bersama-sama menuntut HAK kita.
Sila hubungi kami untuk keterangan lanjut bagaimana untuk menyertai tuntutan ini.

Wassalam
Blogger.