Makluman Tarikh Mahkamah & Isu Semasa

Sunday, April 15, 2007

DKI : Siri Keempat

DKI : Projek Terbengkalai Selamanya Siri Ke4 (07 Mac 2007)

Assalamualaikum rakan-rakan ku sekalian,

Masihkah kau ingat 1999?
Masihkah kau ingat waktu itu anak kita berlari-lari?
Masihkah kau ingat waktu itu ?

Masih lagi aku teringat pada nama Haji Mahadi,
Datang bertamu merisik khabar
Menyusur lalu mengalas harapan
Sebuah desa mengunung impian

Aku pulang membawa seribu harapan
Lapan tahun yang lalu (1999) ...

"Nak buat apa duit RM 200 ni bang?" tanya si isteri

"Besok masuk dalam Tabung Haji.. jawab si suami ringkas.
"Hai...hari tu kan dan masuk RM200", balas si isteri terkejut.
Ala...kan ke kita nak ubahsuai rumah DKI tu nanti ...!

Kan awak jugak nak pasang kabinet kat dapur, nak taruk lantai jubin lah...macam-macam lagi...

Bilik anak2 kita tu lagi...Sebab tu abang kena budget RM400 sebulan...cukup 36 bulan dapatlah dalam RM 14,000...bolehlah kita ubahsuai.

Yealah bang, nanti besok saya masukkan...kata si isteri dengan penuh semangat.

"Ayah...bilik Alin nanti, Alin nak cat warna biru, Alinnn...nak almari baru, katil baru... boleh tak ayah...." , Tanya si anak.

“Boleh...tapi kena janji dengan ayah...”
“Alin kena belajar rajin2. Kat situ ada sekolah agama, bolehlah Alin belajar disitu yea” kata si ayah

“Baik ayah” balas si anak dengan penuh harapan

Sekarang.. (Selepas 7 tahun)

"Bang...keluarlah duit simpanan Tabung Haji abang tu..." pujuk si isteri
"Tak tahan lah saya,bang.. hari-hari bank talipon tanya pasal ansuran..." keluh si isteri lagi.
"Hari ni pulak saya terima surat saman tunggakan RM15,000...takut lah saya bang"
"Abang bayar je lah, pakai duit Tabung Haji tu...sambung si isteri dengan nada sedih.

Jawab si suami," Tahun lepas kita dah keluar RM10,000...ni nak kena bayar lagi.
Wang akaun2 KWSP sayapun dah habis keluar...tapi bayang rumahpun tak nampak lagi"
"Tulah awak,nak sangat rumah DKI tu...cantik lah...atas bukit lah....macam2 lagi"
"Saya dah cakap dulu...BC tu bukannya Kontraktor yang ada pengalaman buat rumah macam tu!!"
"Kat Selangor nie...tengok..mana orang kenal BC!!!" Jerkah sisuami.

"Kalau kita beli kat tempat lain..tak jadi macam nie..." Sambung si suami
"Kawan saya tu...tak sampaipun 3 tahun dah siappun rumah dia"..ujar si suami.
"Awak tau syarikat mana??..tu Lebar Bumi punya syarikat...",
"Takde lah macam syarikat Putar Bumi tu"... tambah si suami

"Saya nie..macam-macam nak bayar, sewa rumah nie je dah RM700, dah tu campur ansuran rumah DKI tu dah RM1200..
Mana saya nak cari sebanyak tu? Bil api, bil air, kereta lagi, semua saya yang bayar...matilah saya kalau macam nie", bebel si suami

"Lagipun loan tu kan ke atas nama awak, fikirlah macam mana nak bayar", balas suami sambil beredar meninggalkan si isteri kebingungan.

Sketsa di atas adalah senario yang biasa berlaku kepada pembeli DKI sekarang.

Dek kerana impikan DKI, pasangan suami isteri bertelagah.
Dek kerana impikan DKI, wang simpanan kering kontang.

Marilah... wahai rakan-rakan ku sekalian,

Apalagi yang kita nantikan, bayangan DKI semakin jauh meninggalkan kita bersama seribu kenangan pahit yang pasti tidak termampu dilupakan lantaran dari kerakusan manusia tanpa mengenal batas sempadan.

Perjalanan hidup kita pasti akan akan lebih bermakna seandainya DKI tak pernah datang bertandang dalam hidup kita.

Pun begitu DKI telah banyak mengajar kita erti sebuah hidup dan kehidupan.
Keharmonian rumahtangga dieratkan lagi dengan impian sebuah “banglo impian” bak Taj Mahal nun di puncak sana.

Kita membayar dengan “harga” yang begitu mahal.

Mengorbankan wang,masa dan tenaga untuk sesuatu yang semakin hampir terkubur yang tak mampu kita nikmati untuk berteduh dibawahnya walau seketika cuma.

Masa telah merubah segalanya.

“Mereka merancang, Allah juga ada perancanganNYA. Namun akhirnya, perancangan ALLAH jua yang menjadi kenyataan” .

Mana mungkin kita dijanjikan dengan sebuah lagi kepalsuan setelah kita digula-gulakan dengan janji-janji palsu dalam Perjumpaan Kedua di Dewan Orang Ramai Meru pada 2004 yang lalu.

Apakah mungkin untuk kita menerima semula dengan orang yang sama yang pernah memungkiri janjinya????

Masih ingatkah pada janji-janji Kontraktor PS melalui En Johari di Dewan Orang Ramai di Meru pada Perjumpaan Kedua dahulu pada 2004 ?

August 2006 rumah siap
Oktober 2006 selewatnya CF akan dikeluarkan.

Dalam kegelapan dan kekalutan ini, kita tercari-cari satu cahaya yang kita harap dapat menyinari kembali kegelapan ini untuk kita meneruskan kehidupan kerana keyakinan kita terhadap DKI telah terkubur sejak 2002 lagi.

Lantas kita dikhabarkan oleh satu suara menunjuk arah tuju untuk melalui sebuah laluan yang terbentang di hadapan sana.

Kita diyakinkan dengan keazaman dan kekuatan bahawa HAK kita masih ada walaupun kian terhakis menjelang 2008.

Marilah bersama-sama kita menerangi laluan tersebut agar ianya boleh dilalui oleh insan lain yang tidak mendapat perkhabaran ini.

Memang telah menjadi lumrah dunia, usaha kita bakal dan telahpun menjadi bahan sendaan oleh insan-insan yang berhati waja bukan pada tempatnya.

Namun, wahai teman-temanku sekalian, INGATlah bahawa
Selama ini kita tercari-cari dimana silapnya.

Apakah mereka bersalah?
Atau kita yang menyerah?

Desa yang suatu masa dahulu hiruk pikuk dengan kicauan burung-burung kini menjadi tempat limpahan lumpur bertandang datang saban masa apakala hujan membasahi bumi.

Bumi yang seketika dahulu menghijau dengan limpahan hasil bumi, kini kering tandus dek kerakusan manusia sendiri.

Tiada apa lagi yang termampu kita lakukan untuk mendapatkan kembali wang kita, selain membuat tuntutan ini di mahkamah.

Seandainya kita telah menetapkan untuk menuntut HAK kita melalui saluran Mahkamah, kita tetap akan teruskan, tetapi hak Pembeli lain yang ingin berterusan mendapatkan rumah tidak boleh kita nafikan. Itu HAK mereka.

BIARKANLAH.

InsyaAllah, kita berpegang pada janji.
31hb Mac 2007 adalah tarikh akhir untuk memberi peluang kepada mereka untuk membuat keputusan samada menyertai kita atau sebaliknya.

Harus diakui, bahawa kita tidak boleh lari daripada melalui semua ini.
Masing2 ada HAK mereka sendiri, termasuk kita juga.
Kita tidak boleh memaksa sesiapa jua untuk mengikuti kita untuk membuat tuntutan ini.

Kita terpaksa membuat keputusan ini kerana sudah tidak lagi mampu bertahan dengan kesusahan yang kita lalui dimana terpaksa mengeluarkan duit kepada sesuatu yang kita tak nampak hasilnya selepas bertahun2 menanti.

Dalam masa yang sama, kita terpaksa “mendermakan” (mengambil ungkapan seorang Pembeli) sejumlah wang kepada mereka tanpa kerelaan kita.

Saya banyak menerima banyak rungutan dari Rakan2 Pembeli seperti :-

  1. Tunggakan Bank sehingga puluhan ribu ringgit
  2. Telah di senarai hitamkan oleh Bank Negara
  3. Menerima saman dari pihak Bank
  4. Bermasam muka antara suami isteri setiap awal bulan kerana sejumlah wang gaji digunakan untuk membayar ansuran bank.
  5. Terpaksa keluarkan wang simpanan KWSP (dah 3,4 kali keluar)
  6. Terpaksa keluarkan Wang Tabung Haji yang bakal digunakan untuk ke Mekah
  7. Terpaksa keluarkan wang simpanan sendiri
  8. Selalu ditanya oleh keluarga,jiran dan rakan-rakan..Rumah Bila Nak Siap????
  9. Kerja dah bertahun-tahun, tapi rumah sendiri tiada lagi.

Mengapa kita harus lalui ini semua?
Ya Allah, kuatkanlah semangat HAMBA-HAMBAMU ini untuk menuntut HAK sendiri.

Saya terfikir, bagaimana keadaan Pembeli yang telah membatal/menghentikan Pinjaman Bank tetapi masih menanggung pinjaman yang belum dijelaskan dengan jumlah yang besar.

Bagaimana harus mereka menandatangani Perjanjian dengan PS dan dalam masa yang sama perlu mendapatkan Pembiaya (Loan Bank) yang baru bagi membolehkan PS menyiapkan rumah impian tersebut?

Bukankah geran tanah dikaveatkan kepada bank lama (masih ada baki belum jelas) dan hanya boleh dilepaskan setelah Pembeli melunaskan keseluruhan pinjaman?

Entahlah….macam mana mereka menghadapinya? Dan seandainya Pembeli gagal mendapatkan pembiaya dengan apa cara sekalipun, sudah pasti tanah tersebut terpaksa dipulangkan semula kepada Pejabat Tanah Kuala selangor. Pasti akan bertambah rumit masalah Pembeli sedemikian.

Atau ini juga perancangan rapi untuk meluputkan HAK dan tanah Pembeli?

Saya menyeru kepada Rakan-rakan Pembeli yang senada dengan kita supaya memperkuatkan barisan kita dalam menghadapi tentangan dari mereka-mereka yang cuba melemahkan kita.

Jangan biarkan mereka berterusan mengaut keuntungan hasil dari keringat dan titik peluh kita setelah bertahun-tahun kita mengumpul wang untuk memiliki sebuah rumah impian bagi dijadikan tempat berteduh seisi keluarga.

Berhati-hatilah ketika melayari Yahoo Group kerana kita tidak mahu berlakunya pertelingkahan sesama Pembeli walaupun masih ada Pembeli yang ingin terus mendapatkan rumah tersebut. Janganlah kita berhujah disana kerana pasti akhirnya ia akan menjadi tersasar dari landasan atau sengaja disasarkan lalu menjadi satu perdebatan yang tiada kesudahannya.

Bersambung ke siri ke 5……
Semoga Allah mempermudahkan urusan kita untuk mendapatkan kembali wang kita.

(oleh Sdr Kamarol)

Wassalam.


1 comment:

Anonymous said...

Siri kelima akan menyusul nanti ke?