Makluman Tarikh Mahkamah & Isu Semasa

Sunday, May 18, 2008

Laporkan Masalah Perumahan Kepada EXCO

Sinar Harian
Selangor, Sabtu 17 Mei 2008 - Orang ramai yang mempunyai masalah perumahan diminta menyalurkan aduan mereka secara bertulis kepada EXCO Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Negeri. Ini adalah bagi memudahkan EXCO terbabit untuk meneliti serta mengkaji perkara tersebut dalam jangkamasa yang ada sekarang ini.

Pegawai Khas EXCO Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Negeri, Sdr Khairuddin Othman berkata demikian ketika menghadiri majlis dialog bersama penduduk di perumahan PKNS Kampung Pasir.
Pihaknya memahami rakyat ternanti-nanti dengan tindakan yang akan diambil untuk mengatasi masalah rumah terbengkalai dan sebagainya dan pihaknya sedang berusaha untuk menangani masalah rakyat ini.


"Kami mendapat tahu lebih 140 projek rumah terbengkalai di negeri ini malah akan CUBA MENCARI JALAN menyelesaikannya" - Khairuddin


Malahan EXCO (Iskandar) terbabit telahpun mengadakan pertemuan dengan beberapa pihak terbabit termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS). Namun pihaknya belum mendapat jawapan yang konkrit berkaitan dengan masalah rakyat di negeri Selangor ini.

ULASAN:
Apa yang pasti bagi Projek Pemberimilikan Tanah Terancang Desa kerayong Indah, kami tetap akan meneruskan Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah (TGKWPDKI). Walaupun ditakdirkan pihak Kerajaan Negeri (kepimpinan baru) enggan membantu menyelesaikan tuntutan, kami masih mempunyai saluran untuk memperjuangkan HAK iaitu penghakiman di Mahkamah.



Saturday, May 17, 2008

Layari Internet Secara Percuma di KL




Mulai sekarang sekarang penduduk sekitar Kuala Lumpur boleh menikmati capaian internet berkelajuan tinggi secara percuma selama 2 tahun dengan pelancaran rasmi Kuala Lumpur Wireless Metropolitan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Sri Zulhasnan Rafique baru-baru ini.

WiMax adalah Internet jalur lebar tanpa wayar (WiFi) merupakan perkhidmatan spektrum akses tanpa wayar jalur lebar 2.3GHz dan Kuala Lumpur adalah diantara bandaraya terawal diseluruh dunia yang memperkenalkan rangkaian komunikasi seumpamanya.

Ia membenarkan akses Internet berkelajuan tinggi dan muat turun fail daripada telefon, komputer riba dan peralatan komunikasi bergerak dalam jangkauan lebih jauh.

WiMax, bertujuan menyediakan data tanpa wayar untuk jarak jauh dengan pelbagai cara, daripada hubungan titik-ke-titik hingga kepada akses jenis selular mudah alih penuh dan juga boleh menyediakan perkhidmatan suara.

Pengguna yang ingin menggunakan perkhidmatan ini secara percuma adalah perlu mendaftar (percuma) di wirelesskl.com sebelum boleh menggunakan Wimax.
>>Selanjutnya..


Friday, May 16, 2008

Rumah Terbengkalai-Sama Tapi Berbeza Layanan




Utusan Malaysia
Puchong 14 Mei 2008 - Jawatankuasa Bertindak Pembeli-Pembeli Perumahan Terbengkalai Taman Puncak Jalil Fasa 10A, Taman Saujana Puchong 9, Taman Lestari Permai, Taman Lestari Puchong, Taman Lestari Perdana dan Bandar Saujana Putra kini boleh sedikit tersenyum lebar apabila Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Hamzah Zainudin campur tangan dengan menganjurkan mesyuarat di pejabatnya di Pusat Bandar Damansara Isnin lalu.



"Saya mengambil inisiatif sebab projek ini telah begitu lama terbengkalai. Menteri (Datuk Seri Ong Ka Chuan) arahkan saya untuk melihat dan mengambil inisiatif selesaikan dan memberi kebaikan kepada semua pihak" - Dato' Hamzah


Sebelum itu, kumpulan pembeli ini telah mengadakan Pertemuan dengan Timbalan Ketua Pengarah Perumahan, Dr G Parameswaran di bilik mesyuarat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan mendapat maklum balas yang positif bagi merealisasikan impian mereka untuk memiliki rumah kediaman sendiri.

Ini berbeza dengan Projek Pemilikan Tanah Terancang bagi Pembesaran Kampong di Desa kerayong Indah di dalam DUN JERAM, Kuala Selangor, Selangor Darul Ehsan yang mana melibatkan penganugerahan tanah (sebenarnya tanah tersebut perlu dibeli) oleh Kerajaan Negeri Selangor yang bermula pada 1997 yang lalu bilamana Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor telah mengeluarkan brosur tentang projek ini. Projek yang bernilai melebihi RM100 juta ini dan menempatkan lebih 1100 buah rumah khas untuk 100% Bumiputera Melayu sepatutnya siap pada tahun 2002 seperti yang termaktub di dalam Perjanjian.

Kegagalan Pemaju dan Kerajaan Negeri Selangor menjaga kebajikan dan kepentingan pembeli telah mendorong pembeli-pembeli mengadakan demo di hadapan pintu masuk Bangunan SUK pada tahun 2006 yang lalu. Namun ianya langsung tidak dapat membuka pintu hati dan keperihatinan Kerajaan Negeri untuk mambantu pembeli-pembeli yang menagih simpati disebabkan kesengsaraan yang semakin mendesak terutamanya bagi mereka yang masih belum memiliki rumah kediaman sendiri. Ditambah pula dengan hutang dan tunggakan dengan pihak bank pembiaya.

Kemudiannya, pembeli yang marah dan kecewa telah mengadakan Protes semasa Penamaan Calon Pilihanraya PRU-12 pada 24 Februari 2008 yang lalu di hadapan Stadium Tertutup Kuala Selangor dengan harapan pihak-pihak yang sepatutnya berusaha untuk membantu pembeli akan tampil untuk menyelesaikan masalah rumah terbengkalai ini.

Namun ianya langsung tidak mendorong mereka untuk membantu. Malahan pembeli disogokkan dengan Majlis Taklimat yang diadakan di Kampus Induk UNISEL untuk mengabui mata pembeli agar memilih mereka lagi di dalam PRU-12 itu.

Inilah bezanya diantara Pembeli-pembeli yang 100% berketurunan Melayu di atas Tanah Rezab Melayu, Berkontraktor Melayu dan berpemimpin Melayu yang langsung tidak tidak mahu ambil kesah dengan kesusahan rakyat dengan Pembeli di kawasan eklusif ini.

Projek perumahan Desa Kerayong Indah ini telah terbengkalai sejak 6 tahun yang lalu sedangkan jika dibandingkan dengan Projek Perumahan di kawasan eklusif yang mana ada yang baru 2 atau 3 tahun sahaja terbengkalai telahpun diambil perhatian oleh KPKT terutamanya menteri yang terlibat.

"Malahan pihak Menteri telah bersetuju dan memaklumkan di dalam pasca kabinet untuk bahawa perumahan terbengkalai di kawasan ini akan segera diambil tindakan" - Dato' Hamzah


Di Selangor pula, Projek Kerajaan Negeri ini ternyata bukan sahaja GAGAL untuk disiapkan, malahan EXCOnya pula seolah-olah bermain tarik tali dengan pembeli untuk mengelak daripada dibebankan dengan masalah yang mereka sendiri cari sejak menggondolkan kawasan bukit yang merupakan tadahan air semulajadi anugerah Allah SWT.


Wednesday, May 14, 2008

Rundingan Untuk Selesai Projek Rumah Terbengkalai?





Kerajaan Selangor diberitakan akan berunding dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta pihak bank bagi menyelesaikan masalah pembeli yang terbabit di dalam projek rumah terbengkalai di Selangor ini (rujuk Sinar Harian Selasa 13 Mei 2008)

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata, pihaknya memandang serius perkara ini kerana ianya telah berlarutan sejak sekian lama. KPKT mempunyai kuasa untuk merampas mana-mana projek yang telah terbengkalai dan menyerahkannya kepada pihak ketiga tanpa merujuk kepada Menteri Kewangan. Namun tiada satupun projek yang dirampas oleh KPKT diberikan kepada pihak ketiga yang mampu melaksanakannya.

Tambahnya lagi, terdapat pemaju lain yang ingin meneruskan projek terbengkalai ini dengan membelinya daripada pemaju yang telah muflis. Namun pemaju baru menghadapi masalah kerana adanya cukai tertunggak daripada pemaju terdahulu yang perlu dijelaskan kepada pihak bank pembiaya.

Kenyataan EXCO Iskandar Abdul Samad ini langsung tidak boleh dikaitkan dengan kes Projek Pembesaran Kampong Desa Kerayong Indah ini, kerana sejarah keujudan projek ini sejak dari awal telah terjerumus kearah kepentingan politik untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda dari individu dan pihak yang berkepentingan sendiri daripada membantu rakyat Selangor berketurunan Melayu 100% ini untuk memiliki rumah kediaman yang sempurna dengan wang sendiri di atas Tanah Rezab Melayu ini.

Penilaian yang dibuat adalah berdasarkan kepada :-
  • Projek diilhamkan oleh Jawatankuasa kemajuan dan keselamatan Kampong (JKKK). Siapa mereka?
  • Sejarah keujudan syarikat Pemaju Kontraktor) yang bermodalkan RM2 untuk memajukan projek bernilai lebih RM100 juta.
  • Pemilihan lot-lot tanah yang dikhaskan untuk VIP
  • Pembeli dikenakan RM8 sekaki persegi tanah yang kononnya untuk kemudahan prasarana, sedangkan ianya adalah Projek Pemberimilikan Tanah Terancang yang perlu mendapat kelulusan EXCO Negeri. Pada hakikatnya wang sebanyak RM32,000 (4,000 kaki persegi) ini telah diserapkan ke dalam nilaian harga rumah yang terlalu tinggi pada masa itu. Dengan jumlah RM32,000 pada tahun 1999, pembeli sebenarnya mampu memiliki tanah seluas 20,000 kaki persegi.
  • Kementerian Tenaga, Air dan Telekomunikasi sendiri tidak meluluskan pembinaan Individual Septic Tank (tangki najis) yang pasti akan mencemarkan alam sekitar.
  • Pengambilalihan Projek oleh Pemaju baru tidak mendapat persetujuan daripada pembeli sendiri.
  • Pihak Pemaju telah membuat tuntutan bayaran yang mana tidak setara dengan kerja-kerja yang dilakukan. Malahan adalah pembeli yang telah membayar (melalui bank) hampir 90~95% , sedangkan tiang rumah masih belum tertegak lagi.
  • Pembeli digula-gulakan dengan janji-janji menjelang PRU-12
  • Dan lain-lain lagi....
Oleh yang demikian, Pembeli-pembeli rumah bagi Projek Pemberimilikan Tanah Terancang Desa Kerayong Indah yang telah memfailkan tuntutan di mahkamah, tetap dengan pendirian untuk menuntut bayaran gantirugi daripada Kerajaan Negeri Selangor dan pihak-pihak yang terlibat dengan projek ini. Sekiranya ada perbicaraan di mahkamah nanti, InsyaAllah, kami akan berjuang habis-habisan demi untuk menuntut HAK kami semua tanpa mengambilkira siapa yang memegang tampuk pemerintahan negeri Selangor ini.

Kami telah lama menanggung kesusahan sejak 1999 lagi bilamasa terpaksa mengeluarkan wang dari keringat sendiri demi untuk memiliki sebuah kediaman yang sempurna. Bayaran ansuran kepada pihak bank menjangkau sehingga RM1200 sebulan membuatkan sebilangan pembeli telah diburu oleh pihak bank melalui tindakan saman. "Black List" memang telah tercatat sejak projek ini gagal disiapkan pada 2002 yang lalu. Malahan ada pembeli yang telahpun "kehilangan" wang sebanyak RM100,000 daripada wang saku sendiri.

Manakala dipihak JKKK, Pejabat Tanah, Kerajaan Negeri Selangor (terdahulu) dan Kontraktor seolah-olah membisu walaupun telah banyak mesyuarat demi mesyuarat diadakan dengan mereka. Namun bayangan rumah yang kami semua harapkan tidak kesampaian sehinggalah tindakan saman pemula difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 24 April 2007 yang lalu. EXCO terdahulu pernah mengeluarkan kenyataan di dalam salah satu media ternama supaya kami semua menyaman mereka.

Pemaju seolah-olah dilayan sebagai anak emas, apabila mereka telah GAGAL untuk memfailkan Pembelaan yang kemudiannya diberitakan telah diminta agar hadir ke mahkamah pada hari yang sepatutnya kami semua mendapatkan JID daripada Hakim Mahkamah Tinggi. Ini adalah bagi mengelakkan Pemaju daripada diistiharkan muflis dan seterusnya tanah seluas 216 ekar yang berstatuskan Rezab Melayu tersebut perlu ditebus semula oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Pihak Pemaju masih lagi boleh tersenyum lebar walaupun masih belum memfailkan Pembelaan di Mahkamah, sedangkan kami yang telah memfailkan tuntutan lebih dari 1 tahun ini terpaksa menjalani hari-hari yang mendatang dengan bebanan yang semakin menghimpit biarpun berteduh di bawah Negeri Selangor yang Maju dan Makmur ini.

Apakah ini semua yang dikatakan keadilan? Kami tidak mahu nanti gajah sama gajah bertempur, pelanduk yang tersepit ditengah-tengah.

Tranung Kite
No2UmNO



Wednesday, May 7, 2008

Failkan Tuntutan Kumpulan 6




Pihak Peguam sedang di dalam proses untuk menyiapkan dokumentasi seterusnya memfailkan Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa kerayong Indah bagi pembeli kumpulan seterusnya iaitu Kumpulan ke-6.

Sehubungan dengan itu kita berharap kepada pembeli-pembeli yang ingin membuat tuntutan secara undang-undang di mahkamah agar dapat menyegerakan penyediaan dokumen dan menyerahkannya kepada pihak peguam yang telah dilantik.

Perlu diingatkan bahawa TARIKH AKHIR untuk pembeli yang telah menandatangani Perjanjian Pembinaan dengan Kontraktor Bumi Circle Sdn. Bhd. pada Jun 1999 lalu adalah sehingga bulan Jun 2008 ini iaitu sebelum berakhirnya Tempoh dan Hadmasa yang sah dari segi perundangan.

Kita juga ingin memaklumkan bahawa setiap pembeli rumah Desa Kerayong Indah adalah berhak untuk membuat tuntutan gantirugi ini tanpa mengambil kira jumlah kos yang telah dikeluarkan selagimana mereka telah menandatangi Perjanjian Pembinaan dengan pihak Kontraktor secara sah.

Sekira pembeli mempunyai masalah, sila hubungi kami untuk mendapatkan bantuan bagaimana untuk menyertai tuntutan ini. InsyaAllah.

Semoga Allah s.w.t. mempermudahkan urusan kita.

Link Blogger1


Monday, May 5, 2008

Pra-Bicara 5 May 2008 (MT1)




Assalamualaikum,

Pra-Bicara yang telah berlangsung pada pagi tadi 10:10 pagi Isnin 5 May 2008 di Kamar Hakim, Mahkamah Tinggi 1 (Sivil), Mahkamah Tinggi Shah Alam, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan berjalan dengan lancar dengan kehadiran sebahagian daripada pembeli-pembeli yang telah dan belum memfailkan tuntutan gantirugi.

Peguam Wan Shahrizal yang mewakili pembeli telah masuk ke Kamar Hakim Dato' Mariana Binti Hj. Yahya bersama dengan Peguam Yusman yang mewakili Bumi Circle dan Penolong Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri Selangor Aimi Hajar Binti Dato' Mohd Ridzwan tepat jam 10:09 pagi di Mahkamah Tinggi 1.

Bumi Circle yang masih belum memfailkan Pembelaan seperti yang diminta oleh Hakim Dato' Alizatul Khair Binti Osman Khairuddin semasa tuntutan mendapatkan JID pada 5 Mac 2008 yang lalu, telah diarahkan oleh YA
Dato' Mariana Binti Hj. Yahya untuk memfailkan Pembelaan mereka di Pejabat Pendaftar Mahkamah di dalam tempoh 2 minggu dari tarikh 5 May 2008 ini.

Setelah meneliti segala dokumen dan penghujahan semua pihak, maka YA Hakim Dato Mariana telah menetapkan tarikh untuk Sebutan Kes adalah pada Selasa 5 Ogos 2008 nanti.

Selepas selesai penghujahan, Peguam Wan Shahrizal telah memberikan taklimat kepada pembeli-pembeli yang hadir dan ditemuramah oleh wartawan yang hadir membuat liputan. New Straits Times , MStar

InsyaAllah, selepas ini kita akan mengetahui apakah Pembelaan yang akan difailkan oleh Bumi Circle untuk menyelamatkan mereka yang selama ini banyak bergantungan dengan Kerajaan terdahulu pimpinan Barisan Nasional.

Sekalung ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua pembeli yang hadir memberikan sokongan kepada Peguam Wan Shahrizal.






Friday, May 2, 2008

Ucapan Takziah Atas Pemergian TS Nasimuddin




Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Naza, Tan Sri S.M Nasimuddin S.M Amin meninggal dunia akibat kanser paru-paru di Los Angeles, California, pagi semalam.

Nasimuddin, 53 yang juga Ketua Pegawai Eksekutif konglomerat itu, menerima rawatan penyakit kanser di sebuah hospital swasta di Long Beach sejak Januari tahun ini, kata Konsul Malaysia Ahmad Asmawi kepada Bernama melalui perbualan telefon dari Los Angeles.

Kita mengucapkan takziah kepada isteri Allahyarham, Puan Sri Zaleha Ismail dan anak-anak. Semoga keluarga Allahyarham akan sentiasa bersabar dan redha dengan ketentuan Allah.

Marilah kita bersama-sama menghadiahkan surah Al-Fatihah kepada Allahyarham semoga rohnya akan dicucuri rahmat dan di tempatkan bersama-sama dengan orang yang beriman. InsyaAllah.

Kisah hidup Allahyarham

Al-Fatihah
Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket



Thursday, May 1, 2008

Failkan Tuntutan Kumpulan 5




Assalamualaikum,

Alhamdulillah, Peguam telah selesai memfailkan Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah bagi pembeli-pembeli Kumpulan ke-5 seramai 49 orang pada minggu ke-4 April 2008 yang lalu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

Sehingga ke hari ini, jumlah pembeli yang telah memfailkan tuntutan adalah seramai 259 orang melalui firma guaman yang sama dengan pembeli-pembeli kumpulan K1,K2,K3 dan K4 yang lalu. Jumlah ini tidak termasuk beberapa fail pembeli yang telah berada di pejabat peguam dan tidak sempat untuk difailkan bersama dengan pembeli kumpulan ke-5 ini. Walaubagaimanapun, pihak peguam menjangkakan untuk memfailkannya dalam tempoh 1 bulan yang akan datang.

Oleh itu, para pembeli yang telah menyerahkan dokumen tuntutan kepada peguam tidak perlu risau atau bimbang sekiranya adanya penyelesaian diluar mahkamah yang dibuat oleh pihak defendan, maka mereka ini tidak akan terkecuali daripada mendapat penyelesaian yang sama dengan pembeli kumpulan K1,K2,K3,K4 dan K5 ini.

Pembeli K5 yang ingin membuat semakan nama, bolehlah merujuk ke laman khas (perlukan invited terlebih dahulu) untuk mengetahui samada mereka termasuk di dalam kumpulan K5 ini atau kumpulan yang seterusnya. Semakan boleh juga dilakukan dengan menghubungi Sdr kamarol.


Semoga Allah s.w.t. mempermudahkan urusan kita.

Wassalam.


Wednesday, April 30, 2008

Pra-Bicara 5 May 2008




Pra-Bicara yang telah ditetapkan pada Isnin 5 May 2008 ini akan berjalan seperti yang dijadualkan di dalam kes Tuntutan Gantirugi dan kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah di hadapan Yang Arif Hakim di Mahkamah Tinggi 1, Mahkamah Tinggi Shah Alam, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

Ini melibatkan writ-writ saman MT1-21-114-2007 dan MT1-21-139-2007 seperti yang telah dikeluarkan oleh pihak Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Sehubungan dengan itu, kita meminta kesemua pembeli yang telah memfailkan mahupun belum memfailkan tuntutan gantirugi agar dapat hadir ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada jam 9:00 pagi Isnin 5 May 2008 nanti bagi mendengar seterusnya mengetahui perkembangan terhadap kes yang pertama kalinya akan disebut di hadapan Yang Arif Hakim.

Kehadiran lebih ramai pembeli diharap akan dapat memberikan kekuatan kepada kita semua untuk terus menuntut agar hak kita dikembalikan semula. Kita juga menjangkakan satu kejutan akan berlaku pada Pra-Bicara tersebut. InsyAllah.



Thursday, April 17, 2008

Update Terkini : April 2008





Makluman dan update terkini berkenaan dengan kes Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah adalah seperti berikut :-

  • 5 Mei 2008 - Pra-Bicara (Pengurusan Kes) yang melibatkan Pembeli Kumpulan 2 dan Kumpulan 3 seramai 54 orang yang telah memfailkan tuntutan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 31 Mei 2007 dan 29 Jun 2007 yang lalu. No. Fail Saman : MT1-21-114-2007 dan MT1-21-139-2007
  • 19 Jun 2008 - Pra-Bicara (Pengurusan Kes) yang melibatkan Pembeli Kumpulan 1 seramai 130 orang yang telah memfailkan tuntutan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 24 April 2007 yang lalu. No. Fail Saman : MT1-21-92-2007.
  • Pra-Bicara untuk Pembeli Kumpulan 4 seramai 26 orang yang telah memfailkan tuntutan saman pada 1 Oktober 2007 di Mahkamah Tinggi Shah Alam, masih belum ditetapkan lagi oleh pihak Mahkamah.
  • Pembeli Kumpulan 5 masih di dalam proses akhir untuk difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam memandangkan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan oleh pihak Peguam seperti masalah dokumentasi yang tidak lengkap oleh pihak pembeli yang menyebabkan ianya tertangguh. Walaubagaimanapun pihak peguam diberitakan telahpun mengeluarkan surat pemberitahuan pembatalan terhadap Perjanjian Pembinaan sepertimana yang perlu dilakukan.

Sehubungan dengan itu kesemua pembeli adalah dijemput untuk turut sama hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 5 Mei 2008 (Isnin) ini semasa Pengurusan Kes bagi mendapatkan maklumat lebih jelas dan terperinci daripada pihak Peguam berkenaan dengan Kes Tuntutan kita.

Adalah dijangkakan pihak Bumi Circle Sdn. Bhd. bersama-sama dengan Peguam mereka akan hadir sama pada hari tersebut sepertimana yang telah dimaklumkan sebelum ini.

Walaupun tempoh menunggu sebelum perbicaraan (jika ada) adalah agak lama sehingga hampir 1 tahun daripada tarikh memfailkan kes (24 April 2007), namun berkat kesabaran kita semua dalam menuntut kembalikan segala kerugian ini, InsyaAllah akan dimakbulkan oleh Allah SWT.

Wassalam
Blogger.


Thursday, April 10, 2008

Kes Saman DKI ke Meja Rundingan?




Semalam 9 April 2008, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Negeri, Ronnie Liu memaklumkan bahawa semua kes tindakan undang-undang kerajaan negeri Selangor tehadap individu di Selangor akan digugurkan.

"Manakala tindakan undang-undang yang difailkan terhadap kita (kerajaan negeri), kita akan minta mereka tarik balik supaya semuanya diselesaikan di meja rundingan," katanya lagi. Beliau berkata demikian semasa ditemuramah oleh wartawan di pejabatnya di Shah Alam. Seterusnya...

Sehubungan dengan itu, kita Pembeli-pembeli rumah terbengkalai Desa Kerayong Indah di atas tapak projek Pembesaran Kampung, Kampung Bukit Kerayung, di dalam DUN Jeram, Kuala Selangor amat menyambut baik cadangan kerajaan negeri Selangor itu.

Apa yang amat diharapkan dengan pengumuman tersebut, maka penantian pembeli-pembeli rumah selama 9 tahun sejak 1999 yang lalu akan berkesudahan dengan jalan penyelesaian yang begitu harmoni yang diambil oleh pimpinan kerajaan negeri yang baru.

Kes tuntutan yang difailkan pada 24 April 2007 yang lalu, di bawah pimpinan mantan MB Dato' Seri Mohammad Khir Toyo yang sekarang ini diberitakan sedang mengerjakan umrah di Mekah, seolah-olah dipandang sepi. Tindakan menggula-gulakan pembeli yang teranaiya dengan mengadakan majlis taklimat pada 27 Februari 2008, 3 hari selepas hari penamaan calon bagi PRU-12 ternyata seperti cuba mempermainkan pembeli-pembeli rumah sepertimana yang berlaku ke atas pembeli-pembeli rumah Alam Perdana yang terletak di DUN Ijok.

Malahan kita difahamkan juga bahawa pihak kontraktor yang telah menyebabkan projek perumahan untuk rakyat tersebut terbengkalai telah memasuki kes semasa kita membuat permohonan untuk mendapatkan Penghakiman Dalam Kamar pada 5 Mac 2005, 3 hari sebelum PRU-12, seolah-olah cuba menafikan hak pembeli untuk mendapatkan penghakiman tersebut setelah kegagalan mereka memfailkan kehadiran dan juga pembelaan di mahkamah.

Oleh yang demikian, kesediaan kerajaan negeri Selangor pimpinan YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk menyelesaikannya di meja rundingan menampakkan bahawa kerajaan negeri amat prihatin terhadap nasib rakyat yang telah teranaiya sejak sekian lama.

Link :
1. Tranung Kite


Saturday, April 5, 2008

Isu Tanah - Apakah DKI Terlibat Sama?




Isu penyelewengan tanah di Negeri Selangor semakin bertambah hangat bilamana banyak pihak saling menuding jari sesama mereka untuk mengelakkan daripada dipersalahkan. Nilaian penyelewangan tersebut dianggarkan mencecah ratusan jutaan ringgit.

Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Al-Haj pernah menitahkan “Habis dah tanah negeri Selangor” sebagai menyatakan kekesalan baginda terhadap kemelut masalah penyelewengan tanah yang berlaku di Selangor ini. Ianya seakan telah menjadi satu barah yang tidak langsung mahu diselesaikan sejak sekian lama oleh mereka yang telah diberikan kuasa oleh rakyat jelata.

Mantan Menteri Besar Selangor Dato' Seri Mohamad Khir Toyo di dalam kenyataan memberitahu bahawa masalah penyelewengan tanah yang dilaporkan baru-baru ini adalah berpunca daripada masalah dalaman yang melibatkan pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) itu sendiri tanpa melibatkan mana-mana exco.

Tambah beliau lagi, kes penipuan berkaitan tanah melibatkan sindiket-sindekit dengan kakitangan atau Pegawai di Pejabat Tanah dan Daerah memalsukan nama-nama pada geran tanah. Malahan akuinya lagi bahawa perkara ini telah berlaku sejak sebelum beliau menjadi MB Selangor lagi.

Komen Blogger :
Kalau Mantan MB Selangor tersebut tidak melakukan apa-apa penyelewengan, tiada apa yang perlu dibimbangkan sehingga beriaya-iya benar menjelaskan kepada wartawan tentang bagaimana penyelewengan tersebut berlaku. Kalau dah tahu adanya penyelewengan, mengapa perlu disimpan fail tersebut? Apakah beliau sendiri tidak terlibat sama seperti
aduan rasuah oleh anggota UmNO Sungai Besar pada 14 Feb 2008 lalu. Aduan Sdr Ahmad Lutfi pada 23 Oktober 2001 di BPR Putrajaya seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini.

Bagaimana pula dengan kes seorang pegawai muda PTG yang baru berusia 26 tahun dan tak sampai 3 tahun bekerja telah memilik wang simpanan hampir setengah juta ringgit selain daripada harta dan kemewahan yang melebihi daripada kemampuannya? Adakah ia merupakan kes yang terpinggir juga sedangkan beliau sebagai ketua kerajaan negeri yang mempunyai kuasa untuk mengelakkan perkara yang seumpama ini daripada berlaku. Sehingga ke hari ini kita tidak mendengar apa-apa tentang kes tersebut. Mana perginya maruah kerajaan negeri yangmana tanah-tanah di Selangor begitu bebas diperdagangkan untuk kepentingan masing-masing?

Sementara itu, MB Selangor Tan Sri Abdul Khalid di dalam kenyataannya memaklumkan bahawa siasatan akan dan telahpun dijalankan bagi mengenalpasti jika terdapatnya unsur-unsur penyelewengan dan individu mahupun pihak luar. Hasil siasatan akan diumumkan pada Isnin 7 April 2008 nanti. Katanya lagi, siasatan tersebut akan melibatkan kesemua tanah-tanah di Selangor yang melibatkan 9 buah Pejabat Tanah dan Daerah.

Komen Blogger :
Sekiranya tanah Rezab Melayu yang terlibat di dalam program Pembesaran Kampung, Desa Kerayong Indah seluas 216 ekar ini berlakunya unsur-unsur penipuan yang mana ada pihak yang mengambil kesempatan dengan menukar milik tanah secara tidak sah, maka kita berharap Kerajaan Negeri dapat membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan.

Saya masih ingat pada tahun 1999 yang lalu bilamana saya menanyakan tentang beberapa lot yang lebih besar daripada 4,000 kaki persegi seperti yang terdapat di dalam pelan
projek seluas 216 ekar tersebut. Kerani Bumi Circle memaklumkan kepada saya bahawa lot-lot tersebut yang terletak di puncak bukit telah ditandakan dan diperuntukkan KHAS untuk beberapa orang VIP. Inilah yang menguatkan lagi keyakinan saya bahawa projek seluas 216 ekar ini juga terlibat dengan penipuan demi penipuan termasuk juga beberapa lot yang masih belum ada sebarang binaan tetapi pihak Bumi Circle telah membuat tuntutan bayaran daripada pihak bank pembiaya.

Link :
1. Tranung Kite
2. No2UmNO