Makluman Tarikh Mahkamah & Isu Semasa

Tuesday, May 4, 2010

Keputusan Pengurusan Kes dan Penggabungan Kumpulan 30 April 2010



Pengurusan Kes dan Penyatuan Kumpulan-kumpulan yang terlibat di dalam Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah yang berlangsung pada hari Jumaat 30hb. April 2010 di Kamar Hakim, Komplek Mahkamah, Bangunan MRCB, Shah Alam, Selangor sekali lagi tidak kesampaian bilamana dokumen-dokumen (fail) untuk penyatuan kumpulan GAGAL di kemukakan oleh Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam kepada YA Hakim Tuan Azmil Muntapha Bin Abas pada hari tersebut.

Pihak Pendaftar Mahkamah hanya dapat mengemukakan fail Kumpulan 2,3 dan 4 sahaja dan fail bagi Kumpulan 1, 5 dan 6 tidak disertakan sekali dengan alasan fail-fail tersebut tidak dijumpai. Apa yang meragukan kita ialah, 1 bulan sebelum hari prosiding, pihak peguam kita telah menghantar surat rasmi kepada Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam memaklumkan tentang prosiding Pengurusan Kes dan Penggabungan Kumpulan.



Tambah memusykilkan kita, sebelum ini fail bagi kumpulan 2,3 dan 4 tidak dijumpai, manakala fail bagi kumpulan 1,5 dan 6 ada dan dikemukakan di hadapan YA Hakim. Kemudian bila tiba masa untuk penggabungan kumpulan, maka fail yang sepatutnya berada bersama fail utama telah tidak dapat dikemukakan di hadapan YA Hakim.

Oleh yang demikian, YA Hakim telah menetapkan 29hb. Jun 2010 nanti sebagai tarikh baru dan pihak Pendaftar Mahkamah telah diberikan peringatan keras oleh YA Hakim supaya lebih awal menyediakan fail-fail yang diperlukan untuk penyatuan semua kumpulan bagi tujuan Pengurusan Kes dan seterusnya Sebutan Kes.

Apa yang kita perhatikan scenario fail “HILANG-ADA-HILANG” ini telah berlarutan selama 1 tahun sejak kita memfailkan TGDKWPDKI di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 24 April 2007 yang lalu. Kita bukanlah berniat untuk membuat tuduhan terhadap mana-mana pihak, namun scenario fail “HILANG-ADA-HILANG” membuktikan ada sesuatu yang tidak kena di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam. Pemindahan komplek Mahkamah dari Bangunan Sultan Salahuddin Shah ke Bangunan MRCB bukanlah alasan yang tepat untuk menidakkan hak Pembeli-pembeli Desa Kerayong Indah untuk mendapatkan pembelaan yang sewajarnya.

Namun begitu, kita tetap bersyukur kerana Peguam kita telah menjalankan tugas dan amanah dengan penuh dedikasi walaupun proses dokumentasi untuk keenam-enam kumpulan ini adalah sesuatu yang amat merumitkan berbanding dengan pengurusan bagi satu fail sahaja.

Kita percaya, jika ditakdirkan oleh Allah bahawa kita akan memperolehi hak kita semula, maka saat dan ketika itu pasti akan datang juga, cuma sebagai hambanya, kita tidak pasti bila dan kaedah penyelesaiannya.

Oleh yang demikian, adalah diharap kepada semua pembeli yang telah membuat tuntutan gantirugi ini agar dapat bersabar untuk sedikit masa lagi. Tambahan pula, kesempatan tertundanya prosiding Pengurusan Kes ini, telah didatangkan kepada kita beberapa lagi bukti-bukti (evidence) untuk memperkuatkan kes tuntutan ini.

Selain daripada saksi-saksi sedia-ada, kita juga telah berjaya menambah-senarai beberapa orang saksi-saksi penting yang sedia bekerjasama dan akan bersama-sama dengan kita untuk memperkuatkan lagi kes tuntutan ini.

Keyakinan kita untuk mendapatkan bantuan melalui saluran wakil-wakil rakyat telah semakin menipis lantaran sikap acuh tak acuh kepimpinan yang ada.

Wakil-wakil rakyat terutamanya bagi kawasan parlimen Kuala Selangor terlalu sukar memperlihatkan keperihatinan terhadap masalah yang kita alami. Sekadar memaklumkan bahawa semua EXCO dan Jawatankuasa TASK Force telah tahu masalah projek Perumahan Desa Kerayong Indah ini dan sedang berusaha untuk menyelesaikannya…senang sekali jawapannya. Boleh terus cuci tangan…

Sudahlah kita dibebankan dengan hutang bank yang “faedah”nya semakin meningkat, kita pula yang disalahkan dengan mengatakan kita “menuntut penyelesaian bagi musibah yang kita sendiri tempah …” . Mengapa begitu sempit sekali pemikiran mereka? Adakah kerana tuntutan kita ini tidak mendatangkan keuntungan buat mereka? Adakah membeli rumah untuk didiami oleh ahli keluarga yang tidak kita minta untuk terbengkalai, dikatakan sebagai menempah musibah?

Sebelum itu, surat rasmi setebal 7 mukasurat berserta dengan dokumen-dokumen sokongan telah dihantar kepada pimpinan PKR pusat bertarikh 11hb. Julai 2008 bertajuk Permasaalahan Rakyat – Rumah Terbengkalai Desa Kerayong Indah. Setelah hampir 2 tahun, sehingga ke hari ini 4hb. May 2010, kami masih belum menerima sebarang jawapan. Apabila diajukan pertanyaan, maka jawapan yang terima amat menyedihkan… Dato’ sibuk, Dato’ banyak urusan, Dato’ tiada di pejabat dan sebagainya.

Secara moralnya, yang pasti, jika kandungan surat tersebut ada kaitan dengan sesuatu kes yang sensasi atau populariti atau jika sekiranya pembeli DKI ini adalah yang bukan orang Melayu seperti kita, maka ianya pasti akan diberikan layanan dengan sebaiknya.

Ketahuilah wahai wakil-wakil rakyat sekalian, kami bukan menuntut penyelesaian segera seperti “mee segera” atau “bertemu buku dengan ruas” (sebagai mana yang dibahasakan oleh salah seorang MP). Disebabkan masih belum berupaya menyelesaikannya mengapa pula kita yang telah teranaiya ini dituduh memburuk-burukkan pimpinan yang ada dan mempunyai agenda tersirat? Lantas demontrasi semasa Penamaan Calon bagi PRU12 di luar Stadium Tertutup Kuala Selangor pada 24hb. Februari 2008 yang lalu untuk siapa? Klik di sini

InsyaAllah, kita masih ada saluran terakhir iaitu mahkamah. Walaupun ianya telah berlarutan lebih 3 tahun dan beberapa scenario yang tidak diingini, namun kita yakin jika Allah menghendakinya, maka Tuntutan Gantirugi dan kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah ini akan berjaya akhirnya nanti.

Marilah kita bersama-sama berdoa agar segala halangan dan rintangan dapat kita atasi dengan jayanya. InsyaAllah.