Makluman Tarikh Mahkamah & Isu Semasa

Friday, November 2, 2007

Isu Perumahan dan Nasib Pembeli

Assalamualaikum
Pada minggu lepas Blogger telah mengunjungi Pejabat Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) bagi tujuan untuk mendapatkan surat pengesahan rumah terbengkalai bagi Projek Perumahan Desa Kerayong Indah ini. Alhamdulillah, selepas seminggu, barulah Blogger memperolehi surat pengesahan tersebut.

Adapun tujuan Blogger mendapatkan pengesahan tersebut (walaupun semua orang tahu bahawa Projek Desa Kerayong Indah ini memang telah terbengkalai sepenuhnya sejak sekian lama) adalah bagi tujuan untuk memohon kepada pihak bank/pembiaya supaya kadar faedah semasa yang dikenakan dapat dikurangkan bagi meringankan bebanan kerana kegagalan menduduki rumah tersebut sepertimana yang telah dijanjikan oleh pihak pemaju.

Pembeli-pembeli yang telah memfailkan tuntutan di mahkamah, tetapi masih meneruskan pembayaran kepada pihak bank atau pembiaya samada secara tunai ataupun potongan gaji berjadual, maka permohonan boleh dimajukan kepada pihak bank atau pembiaya untuk tujuan mendapatkan pengurangan kadar faedah semasa. Tahniah kepada anda kerana masih mematuhi perjanjian pinjaman walaupun terpaksa bersusah payah menjelaskan ansuran pinjaman tersebut pada setiap bulan.

Pembeli-pembeli yang tidak berupaya menjelaskan ansuran pinjaman boleh mengajukan permohonan penangguhan kepada pihak bank masing-masing.

Kajian menunjukkan Peminjam sistem konvensional tidak menghadapi masalah yang besar berhubung dengan kadar faedah ini kerana ianya dikira berdasarkan kepada amaun semasa. Ianya berbeza dengan Peminjam sistem Islamik yangmana kadar keuntungan (faedah) dikira berdasarkan kepada keseluruhan amaun yang telah diakadkan semasa menandatangani perjanjian pinjaman tersebut. Bebanan semakin bertambah sekiranya pembeli tidak membuat apa-apa pembayaran ansuran bulanan kepada pihak bank/pembiaya dan ianya akan meningkat dari bulan ke bulan.

Bagi pembeli yang ingin mengelakkan sebarang masalah seperti "senarai hitam" (black-list) kerana ketidakupayaan untuk meneruskan pembayaran ansuran bulanan yangmana ianya akan menyebabkan kesukaran kepada pembeli DKI ini untuk mendapatkan pinjaman lain daripada mana-mana institusi kewangan, maka boleh juga membuat pengeluaran daripada wang simpanan KWSP bagi tujuan tersebut.

Apapun yang berlaku, kita sebagai Pembeli dan Pengguna seringkali tersepit dan menjadi mangsa kepada keadaan yang mana kita terpaksa menanggung KERUGIAN yang besar di atas KEGAGALAN dan KERAKUSAN orang lain memerah WANG kita. Malahan setakat hari ini sahaja, Blogger sendiri telah terpaksa menghabiskan wang sebanyak lebih daripada RM100,000.00, tetapi impian untuk memiliki rumah sendiri semakin hilang daripada pandangan.

Apa yang kita harapkan agar pihak-pihak yang berkuasa dan mempunyai kuasa agar dapat melihat permasalahan pembeli dan pengguna seperti kita ini dan melakukan sesuatu bagi membendung masalah-masalah ini daripada berterusan menimpa kita semua sedangkan mereka-mereka yang terlibat dengan KEGAGALAN ini masih boleh tersenyum bilamana projek DKI ini diwar-warkan akan diambil alih oleh pihak lain seawal Mac 2007 yang lalu.

Kita telah meneliti dengan mendalam Draf Perjanjian Baru tersebut sebelum memfailkan tuntutan ini di mahkamah yangmana antara lainnya ia seolah-olah untuk menutup KEGAGALAN mereka dengan menyajikan sesuatu yang tidak menguntungkan apatahlagi menyebelahi kita semua. InsyaAllah, di dalam episod yang akan datang, kita "upload" butiran Draf Perjanjian tersebut untuk dinilai oleh semua pembeli.

Ingatlah, wahai segolongan manusia yang hanya mementingkan diri sendiri, seandainya anda terlepas daripada hukuman dan undang-undang dunia, pasti hukuman daripada Yang Maha Esa di Akhirat nanti akan menanti anda. Itu janji Allah kepada setiap hambanya yang melakukan kemungkaran.

Wassalam
Blogger.


Thursday, October 25, 2007

Jadual Failkan Tuntutan Kumpulan 5




Assalamualaikum
Bermula daripada 1hb. Oktober 2007 yang lalu, pengumpulan dokumen-dokumen tuntutan bagi Kumpulan Ke-5 sedang giat dijalankan bagi memberi peluang kepada Pembeli-Pembeli yang tidak berkesempatan untuk menyertai Kumpulan 1, 2, 3 dan 4 yang telah memfailkan Tuntutan Gantirugi dan kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah ini.

Kepada Pembeli-Pembeli rumah Desa Kerayong Indah yang masih belum memfailkan tuntutan mereka dan ingin berbuat demikian, anda adalah sangat dialu-alukan untuk menyertai Kumpulan yang telahpun memfailkan tuntutan mereka di mahkamah. Oleh itu, anda diminta segera menyediakan dokumen tuntutan yang diperlukan serta menyerahkannya kepada Peguam yang telah kita lantik bagi membolehkan Tuntutan Gantirugi anda difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam secepat yang mungkin.

Seperti yang telah kita maklumkan sebelum ini, ruang dan peluang untuk turut serta memfailkan Tuntutan Gantirugi ini masih terbuka luas kepada semua Pembeli-Pembeli Desa Kerayong Indah selagi kes kita ini belum diputuskan oleh mahkamah atau selagimana tempoh dan hadmasa yang sah untuk tindakan undang-undang terhadap pihak-pihak yang telah gagal menyiapkan rumah kita itu belum berakhir.

Marilah kita bersama-sama bergerak beriringan dengan satu kekuatan dan keyakinan akan apa yang kita tuntut ini adalah HAK kita sendiri. Kita telah melihat, bahawa harapan dan peluang untuk mendapatkan kembali HAK kita itu, InsyaAllah akan dimakbulkan oleh Allah s.w.t.

Alhamdulillah, pada masa sekarang perjalanan Tuntutan Gantirugi ini berjalan dengan lancar sepertimana yang kita harapkan sebelum ini di mana ianya sedang memasuki tahap Pengurusan Kes yang mana pihak Peguam sedang di dalam proses menyenaraikan dokumen-dokumen yang relevan, saksi-saksi dan mereka-mereka yang akan disapina sebelum bermulanya perbicaraan di mahkamah nanti .
Maklumat lanjut boleh di dapati disini

Sekiranya anda ingin mendapatkan maklumat lanjut, sila hubungi kami.

Wassalam
Blogger.


Wednesday, October 10, 2007

Selamat Hari Raya Aidil Fitri 1428H




Allah hu Akbar...Allah hu Akbar...Allah hu Akbar....

InsyaAllah umat Islam di Malaysia dijangka akan merayakan 1 Syawal 1428H pada hari Sabtu ini bersamaan dengan 13 Oktober 2007. Sehubungan dengan itu pihak Blogger ingin menyusun 10 jari memohon ampun dan maaf sekiranya ada sebarang salah dan silap samada yang disedari mahupun tidak selama Blogger menyiarkan segala bentuk artikel dan pemberitahuan kepada kesemua Pembeli-Pembeli Desa Kerayong Indah sama yang telah memfailkan Tuntutan Gantirugi dan kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah ini ataupun tidak berbuat demikian.

Apa yang Blogger maklumkan di dalam laman Blog ini dan juga Blog Khas adalah tidak lain dari menjalankan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada Blogger untuk disampaikan kepada semua Pembeli-Pembeli DKI ini.

Sesungguhnya kita adalah bersaudara. Cuma yang membezakan antara kita adalah halatuju masing-masing. Olehitu, adalah menjadi harapan Blogger agar segala kekusutan dan ketidaksehaluan ini kita buang jauh-jauh dari kamar hati masing-masing untuk kita sama-sama mengucapkan syukur ke Hadrat Ilahi kerana InsyaAllah lebaran yang mendatang ini dapat kita rayakan bersama walaupun tidak berlangitkan kecerahan Puncak Bukit Kerayong.


Akhir sekali, Blogger ingin mengundang Pembeli-Pembeli Desa Kerayong Indah ke teratak Blogger yang terletak di Kampung Baru Batu 14, Puchong, Selangor Darul Ehsan bersempena dengan Aidil Fitri. InsyaAllah, Blogger akan pulang menyambut hari raya pertama dikampung isteri di Raub, Pahang pada 12 Oktober 2007 dan seterusnya di kampung halaman Blogger di Alor Gajah, Melaka pada hari raya kedua. Blogger akan pulang semula ke Puchong pada 16 Oktober 2007 sebelum mula bertugas pada 18 Oktober 2007 nanti.

Lemang dan ketupat juadah utama,
Dihidang bersama rendang dan kari,
Sepuluh jari disusun bersama,
Memohon kemaafan di Aidil Fitri.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin.

Wassalam
Blogger.


Tuesday, October 9, 2007

Pembelaan Balas Terhadap Defendan 1 & 2

Assalamualaikum,

Pihak Peguam kita telah memfailkan Pembelaan Balas terhadap Pembelaan Defendan 1 dan 2 (Kerajaan Negeri Selangor dan Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Selangor) di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan pada 5 Oktober 2007 (Jumaat) yang lalu.

Sepertimana yang telah diperuntukan di dalam perundangan, tujuan Pembelaan Balas yang telah difailkan ini adalah bagi menyangkal segala penafian di dalam Pembelaan mereka terhadap pertanggungjawaban yang sewajibnya mereka galas di atas kegagalan Kontraktor Utama Bumi Circle Sdn. Bhd. menyiapkan Projek Desa Kerayong Indah.

Sehubungan dengan itu juga, Pihak Peguam kita akan menunggu sehingga 14 hari daripada tarikh 5 Oktober 2007 ini sebelum meneruskan prosidur (procedure) yang seterusnya iaitu Pengurusan Kes.

Kemudian dari itu, Pihak mahkamah dijangka akan menetapkan Tarikh Pengurusan Kes seterusnya Peguam kita akan mengemukakan (memfailkan) dokumen-dokumen kes yang relevan.

Setelah itu, Pihak Mahkamah Tinggi Shah Alam akan menetapkan Tarikh Perbicaraan. Apabila tarikh perbicaraan telah ditetapkan,
Peguam kita akan memaklumkan dan menyenaraikan saksi-saksi serta pihak-pihak yang akan dikenakan sapina untuk hadir di mahkamah bagi memberikan keterangan terhadap kes tuntutan kita ini.

InsyaAllah kita menjangkakan proses di atas akan berjalan di dalam masa yang terdekat ini. Kesemua Pembeli yang telah membuat tuntutan yang terdiri daripada Kumpulan 1,2,3 dan 4 akan dimaklumkan berhubung dengan Tarikh Perbicaraan dengan secepat yang mungkin.

Oleh itu Pembeli-pembeli dinasihatkan agar selalu melayari blog ini atau menghubungi kami atau pihak Peguam untuk mendapatkan pemakluman terkini. Sila maklumkan juga kepada rakan-rakan pembeli lain yang tiada kemudahan internet.

Semoga Allah akan mempermudahkan lagi urusan kita.

NOTA : Maklumat Pembelaan Balas oleh Peguam kita akan di "upload" kemudian.

Wassalam.
Blogger.


Sunday, October 7, 2007

Tarikh Perbicaraan K1 Vs Bumi Circle Sdn Bhd





Pihak Blogger telah dimaklumkan oleh Peguam bahawa pihak Mahkamah Tinggi Shah Alam telah menetapkan tarikh perbicaraan Engkar Pembelaan terhadap Bumi Circle Sdn. Bhd. bagi Kumpulan 1 seramai 130 orang Pembeli Desa Kerayong Indah telah ditetapkan pada... sila klik disini

Terdahulu, Pihak Peguam telah memfailkan Pembelaan Engkar terhadap Bumi Circle pada 10 Julai 2007 yang lalu apabila mereka GAGAL Memasukkan Kehadiran dan seterusnya memfailkan Pembelaan sepertimana yang telah diperuntukkan di dalam undang-undang.

InsyaAllah, kita menjangkakan pihak Mahkamah Tinggi Shah Alam akan membuat keputusan muktamad Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah terhadap Bumi Circle Sdn. Bhd seterusnya mengesahkan tuntutan tersebut.

Semoga Allah akan mempermudahkan urusan tuntutan kita.

Wassalam
Blogger.


Thursday, October 4, 2007

Yuran Guaman Berjadual




Assalamualaikum,

Pihak Blogger ingin memaklumkan kepada semua Pembeli yang telah memfailkan Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah yang terdiri daripada Kumpulan 1,2,3 dan 4 yang belum membuat Bayaran Guaman Berjadual agar dapat menghubungi pejabat Peguam untuk tujuan semakan serta menjelaskan bayaran guaman tersebut kepada pihak Peguam sepertimana yang telah dipersetujui sebelum ini.

Seperti yang kita semua ketahui, bayaran secara berjadual ini adalah penting untuk melancarkan lagi urusan pihak Peguam menjalankan tugas-tugas guaman tersebut memandangkan kes tuntutan kita ini telah hampir ke perbicaraan yang kita jangkakan akan berlangsung dalam masa yang terdekat ini.

Para pembeli yang budiman juga boleh menghubungi kami untuk mendapatkan penjelasan lanjut serta nombor telefon Peguam bagi urusan tersebut.

Kerjasama daripada semua pembeli amatlah dialu-alukan bagi memastikan kelancaran urusan Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah ini.

Wassalam
Blogger.


Tuesday, October 2, 2007

Failkan Tuntutan Kumpulan 4

Assalamualaikum,

Pihak Blogger dimaklumkan bahawa Peguam telahpun memfailkan Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah bagi Kumpulan ke-4 di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam, Shah Alam, Selangor pada 1hb Oktober 2007 (Isnin).

Sehubungan dengan itu, Pembeli daripada Kumpulan 4 ini bolehlah menghubungi Pejabat Peguam mulai sekarang untuk mendapatkan pengesahan dan butiran tuntutan mereka.

Pada masa sekarang pihak Blogger tidak dapat meluluskan sebarang invited ke laman khas atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Harap maaf.



Semoga Allah s.w.t. mempermudahkan urusan kita.

Wassalam.
Blogger.
(2hb. Oktober 2007)


Saturday, September 29, 2007

Ya Allah, Berikan Kekuatan Kepada Kami




Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberi rezeki kepadanya tanpa di sangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.


Marilah kita bersama-sama menadah tangan ke hadrat Ilahi memohon agar diberikan kekuatan untuk terus mengharungi liku-liku perjalanan untuk menuntut kembali HAK kita. Kita tidak mahu dan tidak akan membiarkan usaha bersama yang telah kita gerakkan semenjak Disember 2006 ini boleh diganggu-gugatkan oleh mereka-mereka yang mempunyai kepentingan tersendiri.

Kita akan cuba dengan sedaya yang ada mengharunginya tanpa mengenal erti jerit dan perit mengadu domba kepada sebuah pengharapan agar perjalanan kita untuk mengembalikan semula HAK ini, akan berjalan dengan lancar walaupun terkadang kita seringkali dihimpit dengan pelbagai kemelut yang terkadang hampir melemaskan kita sendiri.

Semoga Allah memberikan kekuatan kepada kita semua untuk terus berjuang mempertahankan apa yang telah kita usahakan selama ini. Teruskanlah perjuangan ....teruskanlah perjuangan...teruskanlah perjuangan....


Wassalam
Blogger


Friday, September 21, 2007

Misi Menjejaki-Siri1



Assalamualaikum,
Petang tadi Jumaat 21 September 2007, sesudah Solat Jumaat, Blogger telah berusaha untuk menjejaki pemilik asal Bumi Circle sepertimana yang tercatat di dalam butiran dokumen Pendaftaran Syarikat (ROC) pada 31 Julai 1995.


Usaha Mencari
Berdasarkan daripada maklumat dan risikan daripada beberapa orang jiran yang tinggal di tempat tersebut (Ulu Klang), akhirnya membawa Blogger kepada alamat rumah Orang Yang Dicari (OYD).

Blogger menemui alamat rumah tersebut yang merupakan rumah sewa 4 pintu sederet. Malangnya ianya telah dihuni oleh orang lain dan langsung tidak mengenali OYD. Kemudian Blogger telah berusaha bertanyakan kepada beberapa orang jiran yang berdekatan dengan rumah sewaan yang pernah didiami oleh OYD tersebut.

Alhamdulillah, akhirnya seorang jiran (Kak Y**) yang masih tinggal disitu dan mengenali OYD, telah membantu Blogger dengan menunjukkan kepada seorang lagi jiran yang masih berhubungan dengan OYD. Jiran tersebut telah memberikan alamat dan nombor telefon OYD yang sekarang ini tinggal di Batu Caves, Selangor.


Blogger telah menghubungi OYD melalui telefon dan telah dapat bercakap dengan beliau sendiri. Beliau juga mengesahkan bahawa seorang lagi individu yang sepertimana yang tercatat di dalam Pendaftaran Syarikat adalah isteri beliau sendiri.

Tak Kenal?
OYD mengakui bahawa beliau langsung TIDAK mengenali beberapa orang Pengarah BC yang namanya disebutkan oleh Blogger. Dan beliau sendiri tidak tahu menahu bahawa syarikat tersebut telah diambil alih pada 12 Oktober 1998 oleh pemilik yang baru.
  • Apa yang menjadi persoalannya sekarang ialah bagaimana syarikat tersebut diambil alih ataupun dibeli sedangkan menurut beliau, tiada sebarang perjanjian mahupun tandatangan telah dibuat sebelum ini?
  • Blogger mengesyaki bahawa telah berlaku sesuatu perkara yang tidak sepatutnya berlaku terhadap syarikat yang tidak aktif selama lebih daripada 3 tahun (lihat rekod pendaftaran syarikat) yang mana kita juga mengesyaki pengambil-alihan berlaku tanpa izin pemilik asal.
  • Seandainya ini berlaku, maka Isu Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah ini akan membuka satu lagi episod penyelewengan bukan sahaja melibatkan individu, malahan lebih dari itu yang pasti akan terbongkar.
Semoga Allah sentiasa bersama-sama dengan orang yang teranaiya seperti kita serta mempermudahkan urusan menyelesaikan tuntutan ini.

Nantikan episod seterusnya....

Wassalam
Blogger
(21 September 2007)
(9 Ramadhan 1428H)


Thursday, September 20, 2007

Misteri Kehilangan Adik Nurin Jazlin




PETALING JAYA: Polis hari ini mengesahkan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas mayat kanak-kanak perempuan yang ditemui dalam sebuah beg sukan di Petaling Jaya Utama Isnin lepas adalah Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang hilang sejak 20 Ogos 2007 yang lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata ujian darah ke atas mayat dan juga ibu bapa Nurin Jazlin mengesahkan hubungan antara kedua-dua pihak.Katanya, ibu bapa Nurin Jazlin telah dimaklumkan tengah hari ini mengenai keputusan DNA itu.

Nurin Jazlin, pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak dilaporkan hilang pada 20 Ogos 2007 setelah keluar bersendirian untuk ke pasar malam yang berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju di sini.

Mayat budak perempuan yang tidak berbaju yang dipercayai menjadi mangsa deraan seks ditemui oleh pemilik lot kedai di Jalan PJS 1 pada pagi Isnin lepas (17 September 2007).

Sementara itu, bapa Nurin, Jazimin Abdul Jalil, 33, seorang pemandu teksi enggan menerima keputusan DNA itu bahawa mayat kanak-kanak itu adalah anaknya.

Jazimin berkata, beliau dimaklumkan mengenai keputusan DNA tersebut pada pukul 12.30 tengah hari oleh polis daerah Petaling Jaya dan diminta datang ke bilik mayat HKL untuk membuat pengecaman semula mayat tersebut.

Sebelum ini, Jazimin dan isterinya Norazian Bistaman, 35 telah dipanggil untuk proses pengecaman di HKL pada Isnin lepas dan tidak mengaku mayat itu anaknya, Nurin berdasarkan kepada keadaan fizikal kanak-kanak yang ditemui itu.

“Sebagai seorang ibu saya masih berharap bahawa itu bukan anak saya, ibu mana yang sanggup terima kenyataan bahawa anaknya diperkosa dan dibunuh begitu kejam. Hanya Tuhan sahaja tahu perasaan kesedihan yang saya alami,” katanya dengan linangan air mata. Lihat gambar-gambar berkenaan dengan adik Nurin Jazlin disini.

Mengikut rekod polis, terdapat sekurang-kurangnya 16 ibu bapa di luar sana yang masih menanti penuh harap malah mungkin sudah bergolok-bergadai menjejaki anak masing-masing - kesemuanya hilang dalam usia mentah iaitu di bawah 9 tahun.

Komen Blogger :
Walau siapapun, namun peristiwa ini amat memilukan hati kita memandangkan ianya berlaku terhadap kanak-kanak yang sepatutnya dilindungi. Jadikanlah ianya satu pengajaran agar ianya tidak akan berlaku kepada anak-anak kita semua. Marilah kita sama-sama menghadiahkan Al-Fatihah kepada Allahyarhamah, semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah s.w.t.


Al-Fatihah
Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket


Wassalam
Blogger
20 September 2007


Tuesday, September 18, 2007

Jadual Failkan Tuntutan Kumpulan 4




Assalamualaikum,
Kita ingin memaklumkan bahawa Pembeli Kumpulan 4 dijadualkan memfailkan Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah dalam masa yang terdekat.


Adapun penundaan Jadual memfailkan Tuntutan ini di Mahkamah Tinggi Shah Alam adalah disebabkan oleh faktor permintaan daripada beberapa orang Pembeli yang meminta penangguhan bagi memboleh mereka berkesempatan untuk menyertai Kumpulan 4 ini.

BERSABAR

Oleh itu, kita berharap Pembeli Kumpulan 4 ini dapat bersabar untuk sedikit masa lagi untuk pihak Peguam menyiapkan kesemua dokumentasi tersebut. Blogger telah dimaklumkan bahawa Pihak Peguam telahpun menghantar notis penamatan Perjanjian Pembinaan dengan Bumi Circle Sdn Bhd seperti kebiasaan di dalam sistem perundangan sepertimana yang dilakukan oleh Kumpulan 1,2 dan 3 yang telah memfailkan tuntutan mereka sebelum ini.


INVITED
Sehubungan dengan itu juga, pihak Blogger juga berharap agar Pembeli Kumpulan 4 ini dapat bersabar sehingga Peguam memfailkan tuntutan mereka di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Shah Alam, untuk membolehkan Blogger meluluskan invited mereka. Oleh itu, Pembeli yang telah memohon invited diminta untuk membuat semakan (semak e-mail) selewat-lewatnya pada minggu hadapan (minggu ke 5, September 2007). Sekiranya masih tiada kelulusan, sila hubungi Blogger untuk mendapatkannya.

Wassalam
Blogger
(18 September 2007)


Thursday, September 13, 2007

Kenali Bumi Circle Sdn Bhd





Pemilikan Awal Syarikat Bumi Circle Sdn. Bhd.
Pada peringkat awal penubuhan, syarikat ini dimiliki oleh 2 orang individu dipercayai suami-isteri yang beralamat di Ulu Kelang, Selangor. Memandangkan Modal Berbayar syarikat ini HANYA RM 2 (dua ringgit), adalah dipercayai syarikat ini tidak aktif dan keujudannya HANYA pada nama sahaja yang kita semua tahu apakah halatujunya.













Pengambil-alihan Syarikat (12 Oktober 1998)
Kemudian, daripada rekod, Syarikat ini telah diambil-alih (dibeli) pada 12 Oktober 1998 oleh 3 orang pemilik baru dengan menambah Modal Berbayar sebanyak RM 99,998 menjadikan Keseluruhan Modal Berbayar menjadi RM100,000.














Perubahan Struktur/Modal Syarikat (26 Mac 1999)
3 bulan sebelum Majlis Pelancaran Rasmi dan Menandatangani Perjanjian Pinjaman dan Perjanjian Pembinaan pada 29 Jun 1999, Syarikat ini telah membuat perubahan kepada struktur Syarikat dengan kemasukan seorang Pemegang Saham baru (49.5%) dan melantik 3 orang Pengarah baru. Seterusnya Syarikat telah menambah Modal Berbayar daripada RM 100,000 kepada RM1,000,000.


















PROFIL AHLI LEMBAGA PENGARAH

1. ISMAIL BIN DAUT
Lahir : 7 Ogos 1952
Asal : N/A
Pendidikan : N/A
Jawatan di Bumi Circle : Pengarah
Pekerjaan Terdahulu : N/A
Pemilikan Syarikat Lain : N/A



2. NOR ISMAIL BIN MADROS
Lahir : 26 Jun 1963
Asal : Hulu Yam Baharu, Batang Kali, Hulu selangor.
Pendidikan : Ijazah – Toronto, kanada.
Jawatan di Bumi Circle : Pengarah
Pekerjaan Terdahulu : Syarikat Pemaju Perumahan - Pengurus
Pemilikan Syarikat Lain : N/A



3. MAT ISA BIN ALIF
Lahir : 20 September 1957
Asal : N/A
Pendidikan : UTM - Senibina
Jawatan di Bumi Circle : Pengarah
Pekerjaan Terdahulu : N/A
Pemilikan Syarikat Lain : N/A



4. WISAM BIN HUSSIN
Lahir : 13 Februari 1964
Asal : N/A
Pendidikan : N/A
Jawatan di Bumi Circle : Pengarah
Pekerjaan Terdahulu : Businessman
Pemilikan Syarikat Lain :
Sinar Danga Development Sd. Bhd. - Pengarah
Bukit Danau Sd. Bhd. - Pengarah
Cempaka Selaras Sdn. Bhd. - Pengarah
Symbol Projek management Sdn. Bhd. - Pengarah
Lembaran Prestasi Sdn. Bhd. - Pengarah



5. MD JAMIL @ MD SHAHRIL BIN HJ. MOHAMED
Lahir : 7 Januari 1971
Asal : N/A
Pendidikan : USM – 1995
Jawatan di Bumi Circle : Pengarah
Pekerjaan Terdahulu :
Symbol Engineering & Construction Sdn. Bhd. – Buss. Dev. Exe.
Tek Konsult Consulting Engineer – Electrical Engineer
Lion Group - M & E Engineer
Pemilikan Syarikat Lain : N/A



6. KHAIRANI BINTI MOHAMMAD
Lahir : 11 November 1964
Asal : N/A
Pendidikan : N/A
Jawatan di Bumi Circle : Pengarah
Pekerjaan Terdahulu : N/A
Pemilikan Syarikat Lain : N/A



7. ZAINAL BIN ADAM
Lahir : 8 Julai 1963
Asal : N/A
Pendidikan : N/A
Jawatan di Bumi Circle : Pengarah
Pekerjaan Terdahulu : N/A
Pemilikan Syarikat Lain : N/A

KOMEN BLOGGER
Cuba teliti dengan betul-betul, tarikh-tarikh yang direkodkan di atas dengan masa di mana bermulanya Projek Desa Kerayong Indah ini.
  • 31 Julai 1995 – Bumi Circle Sdn. Bhd. didaftarkan dengan Modal Berbayar RM 2/= (dua ringgit) oleh Pemilik asal syarikat.
  • 1997 – Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor mengeluarkan brosur berkenaan Projek DKI.
  • 12 Oktober 1998 – Bumi Circle diambilalih daripada pemilik asal dgn 3 Pengarah dan Modal berbayar RM 100,000
  • 26 Mac 1999 – Bumi Circle membuat pindaan terhadap organisasi syarikat menjadikan 7 orang Pengarah Syarikat dan menambah Modal berbayar RM 1,000,000
  • 28 April 1999 – Perakuan kelulusan Pindaan Pelan Susunatur – Jabatan Perancangan Bandar dan Desa
  • 29 Jun 1999 – Majlis Pelancaran rasmi dan menandatangani Perjanjian Pemaju-Bank dan Pemaju-Pembeli
KERAGUAN MUNASABAH
  • Two dollar company!!!!
  • Pengambilalihan syarikat dibuat dengan tergesa-gesa dengan Modal Berbayar HANYA RM 100,000
  • Syarikat mempunyai 7 orang Pengarah (4 pemegang saham)
  • Kemasukan Pengarah baru dengan nilai pegangan 49.5% (pelik, tapi benar)
  • Bagaimana syarikat sekecil ini mampu melaksanakan Projek yang bernilai RM 163 juta? Apakah ada sesuatu disebaliknya?
  • Apakah "track record" syarikat ini? Adakah ia pernah atau terlibat dengan projek perumahan sebelum ini? Cuba perhatikan dari tarikh-tarikh tersebut..!!! Tak pernahpun ...Jadi, bagaimanakah mereka mendapat Projek DKI ini? Adakah melalui tender terbuka? Atau ada unsur-unsur korupsi? Jika BENAR, siapa yang terlibat? Tunggu....kita akan bongkar satu persatu.
Pada episod yang akan datang kita akan dapatkan maklumat yang lebih terperinci berkenaan dengan profil Pengarah syarikat dan mereka-mereka yang ada hubung kait dengan Projek ini termasuk JKKK sendiri sebagaimana yang didakwa.

InsyaAllah, seperti perbincangan awal dengan pihak Peguam, apabila kes tuntutan kita ini memasuki perbicaraan nanti dan jika didapati atau kita dapat membuktikan adanya unsur-unsur korupsi, maka kita akan mengemukakan laporan kepada Badan Pencegah rasuah (BPR) untuk tindakan selanjutnya.

NOTA : Maklumat yang diperolehi di atas adalah berdasarkan kepada rekod yang telah diserahkan kepada pihak Blogger. Walaubagaimanapun, kemaskini akan sentiasa dilakukan dari masa kesemasa bagi memastikan maklumat adalah terkini.

Wassalam
Blogger