Makluman Tarikh Mahkamah & Isu Semasa

Wednesday, September 12, 2007

Kemana Perginya Wang Pembeli DKI





Fakta di atas adalah nilai keseluruhan Projek "Desa Wawasan" Desa Kerayong Indah bagi Projek Pembesaran Kampung, Kampung Bukit Kerayong, Mukim Jeram, Kuala Selangor yang bernilai hampir RM163 juta berdasarkan kepada dokumen/brosur yang telah diserahkan kepada pihak Blogger.

ANGGARAN DAN ANDAIAN

Perjanjian Pinjaman BC dengan Bank Rakyat = RM 62 juta
Anggaran amaun yang telah diberikan oleh Bank Rakyat (50%)
= 50% x RM 62 juta
= RM 30 juta

Nilaian Keseluruhan Projek = RM 163 juta
Anggaran min. yang telah dibayar oleh Pembeli (60%)
= 60 % x RM 163 juta
= RM 98 juta

Anggaran amaun yang diterima oleh BC
= RM 30 juta + RM 98 juta
= RM 128 juta

Andaian BC telah membayar balik pinjaman kepada Bank Rakyat (50%)
= 50 % x RM 30 juta
= RM 15 juta

Andaian amaun bersih yang masuk ke kantung BC
= RM 128 juta - RM 15 juta
= RM 113 juta

Nilaikanlah sendiri amaun sebanyak RM 113 juta tersebut telah dibelanjakan begitu sahaja dan telah menyebabkan Projek Desa Kerayong Indah ini terbengkalai separuh jalan dan dibiarkan sahaja yang akhirnya telah menyebabkan hakisan tanah, semak samun dan kecurian.

Persoalannya sekarang ke mana wang sebanyak RM 113 juta (andaian) tersebut telah dibelanjakan? Kereta mewah, rumah besar, melancung sakan...laburkan ke projek yang lain...atau apa-apa sahaja yang telah menyebabkan wang daripada keringat kita sendiri yang kita kumpul selama bertahun-tahun demi untuk memiliki sebuah rumah impian telah lebur begitu sahaja.


Apakah kemewahan yang mereka nikmati ini selama delapan tahun yang telah sudah mampu bagi kita untuk mengatakan "TAK PA". Biarkanlah.....

InsyaAllah, kita semakin pasti bahawa akan adanya perbicaraan di mahkamah. Kita akan seret kesemua yang terlibat di dalam Projek yang telah menghancurkan impian kita oleh mereka-mereka yang tidak dan enggan bertanggung jawab ini.

SAPINA
Nama-nama mereka telah terlibat sama di dalam Projek ini telahpun disenaraikan oleh Peguam untuk tujuan sapina tanpa mengira pangkat atau darjat mahupun kedudukan mereka berdasarkan bukti-bukti (evidance) yang telah dikumpulkan selama ini.

Pihak Peguam telahpun bersedia pada bila-bila masa untuk memfailkan Pembelaan Balas dan seterusnya memfailkan Pengurusan Kes dalam masa yang terdekat.

Jesteru itu juga, kita sekali lagi meminta kepada kesemua Pembeli Desa Kerayong Indah yang telahpun memfailkan tuntutan mereka di mahkamah agar dapat bersedia untuk menghadirkan diri pada masa hari sebutan kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam nanti. InsyaAllah.

Wassalam
Blogger.


Monday, September 10, 2007

Kenali MB Selangor : Dulu dan Kini

1. DATO’ HAMZAH BIN ABDULAH
Lahir : 4 Disember 1890 di Kuala Selangor.
Pendidikan : Sekolah Melayu, Kuala Selangor.
MB Selangor : 1949.






2. RAJA TUN UDA Al-HAJ RAJA MOHAMAD
Lahir : 1894 di Kuala Langat.
Pendidikan : Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak.
MB Selangor : 1 Julai 1949 - 1953.






3. DATO’ OTHMAN BIN MOHAMAD
Lahir : 5 Januari 1905 di Klang, Selangor.
Pendidikan : Victoria Institution, Kuala Lumpur & United Kingdom.
MB Selangor : Mac 1953 - 1954





4. DR. ABD AZIZ HAJI ABD MAJID
Lahir : N/A
Pendidikan : Sekolah Tinggi Kajang.
MB Selangor : 1955 - 1956






5. TUAN MUHAMMAD ISMAIL BIN ABDUL LATIFF
Lahir : Klang, Selangor.
Pendidikan : Senior Cambridge.
MB Selangor : 1956 - 1958






6. TAN SRI ABD. JAMIL BIN RAIS
Lahir : 14 Januari 1912.
Pendidikan : Sekolah Clifford & Universiti Oxford, England.
MB Selangor : 1958 - 1959





7. DATO’ ABU BAKAR BIN BAGINDA
Lahir : 3 November 1899.
Pendidikan : Sekolah Victoria Institution, Kuala Lumpur.
MB Selangor : 30 Mei 1959 - 24 April 1964
Nota : MB pertama melalui Pilihanraya





8. DATO’ SERI HAJI HARUN BIN HAJI IDRIS
(1964 – 1976)
Lahir : 21 Julai 1925 di Petaling Jaya, Selangor.
Pendidikan : Victoria Institution, Kuala Lumpur, Middle Temple & United Kingdom.
Karier Terdahulu : Penasihat Undang-Undang Selangor.
MB Selangor : 19 Mac 1964 - 24 Mac 1976



9. DATO’ SERI HAJI HORMAT BIN RAFEI
Lahir : 21 Jun 1923.
Karier Terdahulu : Kontraktor
MB selangor : 15 April 1976 - 3 Mei 1982.






10. TAN SRI DATO’ HAJI AHMAD RAZALI BIN HAJI MOHD ALI
Lahir : 10 Disember 1982 di Klang, Selangor.
Pendidikan : Sekolah Melayu, Arab dan Inggeris.
ADUN : Dengkil (1974 - 1982)
EXCO : 1969 - 1982
MB Selangor : 1982 - 13 Ogos 1986.



11. TAN SRI DATO’ HAJI MUHAMMAD BIN HAJI MUHAMMAD TAIB
Lahir : Kampung Sungai Manggis, Kuala Kalumpang, Kalumpang, Hulu Selangor.
Pendidikan : B.A. (Hons) Universiti Malaya (1979)
Karier Terdahulu : Guru
ADUN : Batang Kali
MB Selangor : 14 Ogos 1986 - 14 April 1997

12. TAN SRI DATO’ SERI (DR.) HAJI ABU HASSAN BIN HAJI OMAR
Lahir : 15 September 1940 di Bukit Belimbing, Kuala Selangor.
Pendidikan : Universiti Hull, England.
Karier Terdahulu :
Pegawai Tadbir dan Diplomatik mulai 1964 - 1978.
Ketua Penolong Setiausaha Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor
Timbalan Setiausaha, Kementerian Tanah & Pembangunan Wilayah Persekutuan.
Parlimen : Kuala Selangor (sejak 1978)
ADUN : Permatang (1997)
MB Selangor : 6 Jun 1997 - Ogos 2000.


13. DATO’ SERI (DR.) Mohamad Khir Bin Toyo
Lahir : 6 Ogos 1965 di Sungai Burung Tanjung Karang.
Pendidikan : Universiti Malaya (Pergigian)
ADUN : Sungai Panjang.
MB Selangor : 2000 - sekarang.






NOTA :
1. Daripada 13 orang Menteri Besar yang pernah dan menjawat jawatan tertinggi di Selangor ini, 2 daripada mereka berasal dari Kuala Selangor, sebuah daerah yang terkenal dengan jolokan "Kuala Selangor Indah dan Bersejarah".
- INDAH bagi sesetengah manusia yang dapat "habuan" dari keringat orang lain.
- BERSEJARAH bagi hamba rakyat yang teranaiya.

2. Malahan YAB Dato' Seri (Dr.) Haji Abu Hassan Bin Haji Omar sendiri telah hadir menyaksikan dan merasmikan majlis Menandatangani Perjanjian Pembinaan dan Pinjaman sebanyak RM62 juta (BC - Bank Kerjasama Rakyat) yang penuh gilang gemilang itu di salah sebuah hotel terkemuka di Shah Alam pada 29hb. Jun 1999 yang lalu. Malangnya setahun selepas itu, beliau telah meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.



Saturday, September 8, 2007

Apa yang Indah, Desa atau Konfliknya?

Sedutan Perbahasan di Dewan Rakyat pada 27hb. Mac 2006.

Tuan Mohd. Daud bin Tarihep [Kuala Selangor]:
Saya hendak berpindah Tuan Yang di-Pertua kepada isu kedua iaitu soal Pembangunan Perumahan. Kuala Selangor merupakan sebuah daerah pelancongan. Slogannya ‘Kuala Selangor Indah Dan Bersejarah’. Tetapi saya lihat Kuala Selangor hari ini semacam suatu dumping ground, dengan izin yang mana pencemaran baik parit, baik sungai, apatah lagi dengan kerakusan pemaju perumahan. Saya ambil contoh Shah Alam 2 yang membangunkan Puncak Alam 2. Setiap kali hujan lebat dengan kolam takungannya yang tidak memadai dan tidak diselenggarakan dengan baik menyebabkan limpahan air banjir lumpur ke perkampungan Bukit Hijau di bersebelahannya. Pemaju dapat untung, rakyat dapat lumpur. Sagu hati duit sabun pun susah hendak dapat, patutnya pemaju beri belas ihsanlah sedikit.

Oleh kerana saya lihat enforcement, dengan izin penguatkuasaan yang dijalankan oleh pihak-pihak berkuasa amat longgar. Bukannya undang-undang peruntukan tidak diadakan dalam Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 begitu juga dengan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, peruntukan undang-undang cukup, mungkin yang perlu ditambah ialah jumlah denda. Disebut denda RM50,000 tidak kurang dan penjara sehingga tiga tahun. Tetapi saya tidak pernah dengar lagi walaupun orang kampung sudah membuat laporan polis, tindakan mahkamah untuk membawa pemaju ini agar dapat diambil tindakan, saya tidak dengar dan kita harus bertegas mengenai perkara ini. Kita tidak mahu orang kampung susah dan kalau perkara ini berterusan nampaknya mereka tidak akan menyokong kerajaan. Mungkin mereka akan menyokong parti pembangkang.

Tuan Mohd. Daud bin Tarihep [Kuala Selangor]: Begitu juga satu lagi ...... Yang Berhormat bagi Ledang tunggu sekejap. Kerayong Desa juga merupakan kawasan pembangunan perumahan yang sama bentuknya. Kawalan pembangunannya amat lemah menyebabkan banjir lumpur ke kawasan kampung Bukit Kerayong dan selaku Ahli Parlimen kawasan berkenaan, saya cukup dukacita. Saya tidak mahu perkara yang sama berulang, banjir kilat di Shah Alam dan perkara ini tidak dapat diselesaikan - banjir lumpur di kampung-kampung yang berkenaan. Silakan Yang Berhormat bagi Ledang.

Ir. Haji Hamim bin Samuri [Ledang]: Terima kasih Yang Berhormat bagi Kuala Selangor. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya terus kepada soalan pokok tadi. Tuan Yang di-Pertua, pelan yang dimajukan oleh pihak pemaju cantik, disemak dan disahkan oleh arkitek ataupun jurutera perunding yang berkaitan. Kemudian diluluskan oleh PBT, tetapi contohnya yang paling mudah difahami ialah ‘perangkap lumpur’ yang dinyatakan di dalam pelan-pelan yang dikemukakan, yang disahkan oleh perunding yang diluluskan oleh PBT atau oleh jawatankuasa yang berkaitan.

Tetapi apabila sampai ke tahap pelaksanaan, lumpur-lumpur masih lagi mengalir dan menyebabkan parit dan sungai menjadi cetek dan tersumbat. Undang-undang sedia ada, tetapi penguasaan mungkin longgar dengan sebab kita tidak cukup anggota dan sebagainya. Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mencadangkan kalau Yang Berhormat bagi Kuala Selangor boleh bersetuju supaya deposit dikenakan kepada pemaju-pemaju. Kalau ‘perangkap lumpur’ misalnya kenakan deposit. Kos pembinaan ‘perangkap lumpur’ kalau pemaju tidak buat, majlis buat atau PBT buat. Adakah Yang Berhormat bagi Kuala Selangor bersetuju?

Tuan Mohd. Daud bin Tarihep [Kuala Selangor]: Yang Berhormat bagi Ledang terima kasih. Saya setuju dengan cadangan itu sebab beliau seorang engineer. Saya pun tidak faham, jurutera yang bekerja di syarikat perumahan berkenaan belajar di mana pun saya tidak faham. Sedangkan sudah dapat nasihat perunding daripada Jabatan Pengairan dan Saliran tetapi itulah rupa bentuknya dan Pihak Berkuasa Tempatan pula tidak dapat mengambil tindakan yang tegas kepada mereka.

Dato’ Wan Adnan bin Wan Mamat [Indera Mahkota]: Terima kasih Tuan Yang di- Pertua. Sebenarnya apa yang berlaku di Kuala Selangor dan Shah Alam itu juga berlaku di tempat saya di Kuantan dan juga di kawasan Indera Mahkota. Sebenarnya seperti yang dinyatakan oleh Yang Berhormat bagi Ledang tadi berkenaan kelulusan yang diberi, seperti mana juga pertumbuhan pembangunan yang pesat di Kuala Lumpur contohnya, jalan-jalan ataupun elevated highway telah dibina sedangkan saliran utama contohnya di Shah Alam apabila berlaku banjir kilat, hanya satu saliran sahaja iaitu Sungai Shah Alam sedangkan saliran lain tidak dibina. Ini akan menyebabkan berlakunya banjir kilat pada bila-bila masa apabila hujan lebat. Ini akan tetap berlaku pada bila-bila masa sahaja. Terima kasih.

Tuan Mohd. Daud bin Tarihep [Kuala Selangor]: Terima kasih Yang Berhormat bagi Indera Mahkota. Saya gulung, bagi mengatasi masalah ini, jangka panjang saya kira delivery system atau sistem penyampaian kerajaan perlu berkesan dan kita kena bertegas. Kalau didapati ada pegawai-pegawai kerajaan yang bertugas di pejabat-pejabat Pihak Berkuasa Tempatan yang menyeleweng atau ada elemen ‘kautim’ atau unsur rasuah yang menyebabkan tindakan tidak dapat dilaksanakan, saya harap tindakan tatatertib dan Badan Pencegah Rasuah masuk membuat siasatan untuk mengelakkan perkara ini berterusan. Satu lagi Tuan Yang di-Pertua, saya menyokong supaya pihak media massa sama elektronik, TV dan juga akhbar terus membuat pendedahan kepada umum tentang pencemaran dan sebagainya agar kerajaan dapat mengambil tindakan dengan serta-merta. Dengan ini saya ingin menyokong. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Rujukan : Laporan Dewan Rakyat 27 Mac 2006 (Mukasurat 84~86)

Komen Blogger : Siapa yang harus dipertanggung-jawabkan terhadap kesusahan yang dihadapi oleh orang kampung dan Pembeli Desa kerayong Indah yang teranaiya ini? Kepada Allah jualah kita memohon setelah kita berusaha untuk mengembalikan semula segala kerugian kita selama ini melalui tindakan undang-undang.



Thursday, September 6, 2007

Pernyataan Pembelaan Defendan 1 & 2

Assalamualaikum

Seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini, Kerajaan Negeri Selangor melalui Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri telahpun memfailkan Pembelaan mereka di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam, Shah Alam, Selangor pada 4hb. September 2007 yang lalu walaupun kita telahpun mengemukakan (memfailkan) Saman Dalam Kamar (seterusnya dapatkan JID) pada 30hb. Ogos 2007 yang lalu.


Pernyataan Pembelaan yang telah difailkan tersebut adalah merangkumi Pembelaan Defendan 1 (Kerajaan Negeri Selangor) dan Defendan 2 (Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor terhadap Tuntutan Saman oleh Pembeli Kumpulan 1, 2 dan 3 seramai 184 orang.

Memandangkan dokumen ini adalah telahpun menjadi dokumen awam, maka sesiapa juga mempunyai HAK untuk melihat, membaca ataupun memilikinya tanpa apa-apa sekatan. Sila muaturun disini.

Sehubungan dengan itu, kita akan menunggu tarikh perbicaraan Saman Dalam Kamar yang akan dimaklumkan oleh Pihak Mahkamah Tinggi Shah Alam sebelum mengambil apa-apa tindakan susulan.

Dan dalam masa yang sama, Pihak Peguam kita sedang di dalam proses menyediakan Pembalasan Pembelaan dengan mengemukakan beberapa fakta-fakta dan bukti-bukti yang jelas lagi nyata yang akan menyangkal kesemua penafian dan keengganan pertanggungjawaban mereka sepertimana yang terkandung di dalam dokumen Pembelaan tersebut.

Nantikan episod seterusnya yang akan kita kupas satu persatu melalui perundangan bagaimana lahirnya Projek Pembesaran Kampung ini yang cuba diambil kesempatan oleh segolongan manusia yang empunya kuasa dan hanya mementingkan kantung masing-masing daripada berusaha untuk membantu rakyat sendiri yang semakin terpinggir di dalam Negeri Selangor yang bertuah ini yang seringkali diulangcara sebagai Negeri Maju sejak 2005.


Marilah kita bersatu hati dengan kekuatan, InsyaAllah, seramai 800 orang (isi rumah daripada 200 orang Pembeli) yang memfailkan tuntutan ini dan akan bertambah dari sehari ke sehari untuk kita buktikan bahawa tindakan kita ini bukan sahaja tuntutan untuk mendapatkan kembali HAK kita malahan lebih dari itu, ianya akan menjadi satu Gelombang Rakyat.


Wassalam
Blogger.


Rasuah - BPR Siasat Pegawai Pejabat Tanah Selangor

Panas! Panas!! Panas !!! Pejabat Tanah Mana?

Walaupun baru berusia 26 tahun dan tidak sampai tiga tahun berkhidmat, seorang pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) di Selangor memiliki wang tunai hampir setengah juta ringgit dalam akaun simpanan tetap dan dua kereta mewah.

Selain kereta mewah yang masing-masing berharga RM150,000 dan RM170,000 itu, pegawai kumpulan profesional dan pengurusan itu memiliki rumah berharga kira-kira RM150,000. Rumah berkenaan kini disita kerana dipercayai dimiliki hasil daripada rasuah, manakala harta lainnya dirampas mengikut Seksyen 26 Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Pengarah BPR Selangor, Mohd Jamidan Abdullah, berkata pegawai itu disiasat kerana disyaki menerima rasuah RM2 juta daripada sebuah syarikat pemaju sebagai ganjaran menyelesaikan urusan rasmi membabitkan agensi berkenaan termasuk meluluskan pembangunan tanah dan menukar status tanah.

"Kes ini disiasat mengikut Akta Pencegahan Rasuah 1997. Bagi kakitangan kerajaan yang disiasat kerana rasuah, BPR mempunyai kuasa menyita semua harta yang dipercayai diperoleh hasil daripada rasuah.

"Kami bagaimanapun belum menahan pegawai terbabit kerana masih dalam siasatan tetapi kami akan cuba menyiapkan siasatan dengan segera," katanya ketika ditemui selepas majlis penutup Pidato Pencegahan Rasuah Pra-universiti Piala Pusingan Menteri Besar Selangor 2007 di sini, semalam.

Mohd Jamidan berkata, BPR percaya pegawai terbabit mula menerima rasuah sejak akhir tahun lalu dan pihaknya masih menyiasat harta lain yang dimilikinya.

Kes itu disiasat selepas BPR menerima aduan orang awam yang curiga dengan kemewahan hidup pegawai terbabit kerana usianya masih muda, di samping risikan oleh kakitangan BPR.

Beliau berkata, kertas siasatan kes itu sudah hampir selesai dan akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Selain pegawai berkenaan, 58 orang termasuk kakitangan kerajaan dan swasta ditahan BPR setakat akhir bulan lalu.

Rujukan : Sumber Berita Harian:5hb September 2007

Komen Blogger : Inilah yang berlaku jika WANG menguasai manusia tanpa memikirkan kesan yang berlaku ke atas orang lain.



Wednesday, September 5, 2007

Defendan Telah Memfailkan Pembelaan

Assalamualaikum,

Kerajaan Negeri Selangor diberitakan telah memfailkan Pembelaan mereka di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam, Shah Alam, Selangor pada 4hb. September 2007 (Selasa) yang lalu.

Walaubagaimanapun, kita masih lagi belum memutuskan untuk menarik semula "Saman Dalam Kamar" (untuk dapatkan JID) yang telah difailkan pada 30hb. Ogos 2007 yang lalu. Masih ada banyak ruang dan masa untuk kita membuat pertimbangkan tersebut.

Sekurang-kurangnya apabila kita telah memfailkan Saman Dalam kamar ini, Kerajaan Negeri Selangor tidak lagi mempunyai alasan untuk tidak mengendahkan prosiding mahkamah yang kita jalankan ini sepertimana yang mereka perlakukan semasa kita merayu-rayu di dalam mesyuarat-mesyuarat dan demo (di hadapan SUK) untuk mereka mengambil langkah-langkah yang lebih proaktif terhadap tuntutan kita.

Dalam masa yang sama, kita akan mempunyai HAK untuk Memfailkan Pembelaan Balas terhadap Pembelaan mereka dalam masa 14 hari sepertimana yang telah diperuntukkan di dalam perundangan.

InsyaAllah, kita akan "upload" secara terbuka butiran Pembelaan mereka untuk tatapan semua Pembeli Desa Kerayong Indah dalam masa yang terdekat. Pembeli bolehlah menilai dengan sendiri terhadap isi kandungan tersebut.


Semua pendapat, cadangan balas ataupun maklumat-maklumat difikirkan boleh kita gunakan untuk menjawab Pembelaan mereka boleh diajukan terus kepada pihak Blogger untuk tindakan susulan. Dalam masa yang sama, pihak Peguam kita sedang di dalam proses menyediakan Pembelaan Balas untuk difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Shah Alam, Selangor.

LAWAN tetap LAWAN

Wassalam.
Blogger



Dapatkan Maklumat Kes Tuntutan DKI


Pembeli rumah Desa Kerayong Indah yang yang telahpun memfailkan Tuntutan Gantirugi dan kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah yang ingin mendapatkan maklumat terkini berkenaan dengan perkembangan kes tuntutan diminta agar menghubungi kami untuk mendapatkan penjelasan tersebut.

Kepada Pembeli yang bercadang untuk menyertai tuntutan ini juga diminta menghubungi kami untuk mengetahui atau mendapatkan maklumat dengan lebih lanjut bagaimana untuk membuat tuntutan ini. Kita akan berusaha untuk memberikan penerangan dengan sebaik yang mungkin berlandaskan kepada apa yang telah dipersetujui sebelum ini.

InsyaAllah segala pro dan kontra terhadap tindakan undang-undang ini telahpun kita bincangkan dan diperhalusi bersama-sama dengan pihak Peguam sejak dari mula kita melancarkan prosiding ini bagi memastikan HAK setiap Pembeli yang teranaiya akan terbela.


Pihak Peguam pada dasarnya tidak dapat memberikan maklumat sepenuhnya sepertimana yang para pembeli harapkan memandangkan jumlah Pembeli yang memfailkan tuntutan ini adalah ramai (melebihi 200 orang). Oleh itu adalah sukar untuk Pihak Peguam menjawab kesemua panggilan telefon ataupun mengadakan temujanji dengan para Pembeli.

Segala maklumat tersebut sentiasa disalurkan oleh Pihak Peguam kepada kami yang telah diamanahkan sebagai "koordinator" untuk disampaikan kepada para pembeli samada melalui panggilan telefon, appointment mahupun daripada blog ini sendiri.

Wassalam.
Blogger



Tuesday, September 4, 2007

Terkini 4 September 2007

Assalamualaikum,

Maklumat terkini di dalam proses untuk di publishkan berkenaan dengan perkembangan Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah selepas kita memfailkan Saman Dalam Kamar pada 30hb. Ogos 2007 yang lalu.

Wassalam.
Blogger



Thursday, August 30, 2007

Pengumuman Penting Kes Tuntutan DKI

Assalamualaikum,

Alhamdulillah, pada hari ini 30hb. Ogos 2007 lebih kurang jam 2:30 petang, sehari sebelum negara menyambut kemerdekaan yang ke-50, kita telah memperolehi kejayaan ke-2 setelah kejayaan pertama memfailkan Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah pada 24hb. April 2007 yang lalu.

Kejayaan yang kita perolehi pada hari ini berlaku apabila Defendan Pertama dan Defendan Kedua telah....sila klik disini

Marilah bersama-sama kita mengucapkan syukur ke hadrat Allah s.w.t,




Kepada rakan-rakan yang belum memfailkan tuntutan, ayuhlah...laluan berliku telahpun kita luruskan. Kegelapan dan kesuraman ini telah kita temui sinarnya untuk sama-sama kita nikmati pada hari yang mendatang setelah puas mengharungi onak duri dan kegelapan selama delapan tahun yang telah sudah.

Allahyarham Tun Abdul Razak telah lama pergi meninggalkan kita untuk menemui Ilahi. Syukur kepada Ilahi di atas jasa-jasa Allahyarham hingga berjaya meletakkan ibubapa kita mempunyai harta sekecil 6 ekar berbanding impian kita yang tak kesampaian untuk memiliki sebidang tanah seluas 4000 kaki persegi. Manalah tahu, andai YAB Dato' Seri MB mampu mengembalikan bukan sahaja kerugian yang kita alami selama delapan tahun ini malahan lebih dari itu....?

Namun begitu, 1999 yang berlalu pergi takkan termampu kita ulangi dengan satu pengharapan Puncak Bukit Desa Kerayong Indah akan menyergamkan sebuah mahligai untuk anak isteri kita berteduh di dalamnya.

Andai ditakdir perjalanan ini tidak dapat diharungi bersama, lantaran dari sikap tunggu dan lihat yang kita pertahankan atau apa jua alasan yang menidakkan penyenaraian kita di dalam senarai Tuntutan Pembeli, usahlah kita yang telah hampir tiba ke destinasi ini dipersalahkan.

Namun begitu, kiranya masih ada Pembeli yang mengharapkan mahligai itu, kita sekali lagi memohon maaf kerana, walaupun hajat kita serupa, namun pada hakikatnya destinasi kita telahpun jauh berbeza. Desa Kerayong Indah yang suatu ketika dahulu menjadi idaman dan bualan kita semua pada saban waktu, kini telah jauh meninggalkan kita sejak penghujung 2002. Semoga apabila kes ini telah diselesaikan oleh pihak mahkamah dan Defendan-Defendan yang terlibat, InsyaAllah, kita juga tidak akan lupa mendoakan agar mahligai itu akan direalisasikan oleh mereka untuk anda memilikinya pada suatu hari nanti.

Semoga dengan kemerdekaan negara kita yang ke-50 pada tahun ini, bakal menjanjikan sesuatu yang baik kepada kita semua. Pengisian erti sebuah Kemerdekaan pada tahun 2007 ini akan lebih bermakna apabila kejayaan yang kita harapkan di dalam kes tuntutan ini menjadi satu kenyataan. Kalau dulu kita mahu bebas daripada Penjajah yang sentiasa memberikan tekanan dan merampas HAK kita di tanahair sendiri, namun pada dalam kes tuntutan kita ini :-
  • Kita mahu BEBAS dari segala bentuk "Penjajahan Baru".
  • Kita mahu BEBAS dari segala hutang piutang dengan pihak bank.
  • Kita mahu BEBAS dari senarai "Black List".
  • Kita mahu BEBAS dari terikat dengan sebarang ketidakadilan.
  • Kita mahu BEBAS dari segala cakap-cakap sekeliling yang saban masa kedengaran setelah 17 tahun menghambakan diri bersama-sama memajukan Negeri Selangor ini tetapi tergolong di dalam golongan rakyat yang teranaiya.
  • Kita mahu BEBAS dari segala ugutan yang melemahkan kita semua oleh mereka yang ada sedikit kuasa yang pada dasarnya diamanahkan untuk memperjuangkan nasib rakyat jelata seperti kita.
Inilah erti Kemerdekaan yang semua Pembeli Desa Kerayong Indah yang telah memfailkan Tuntutan mahukan. Semoga "Keadilan untuk semua" yang pernah diungkapkan oleh Allahyarham Tunku Abdul Rahman pada 50 tahun yang lalu, akan dapat kita nikmati bersama.

Pulangkan semula wang kami...
Wang hasil dari keringat titik peluh kami sendiri...
Wang rakyat yang telah teranaiya...
Pasti akan berakhir episod suram yang mengegarkan semua.



MERDEKA! MERDEKA!! MERDEKA!!!

Wassalam,
Blogger



Tuesday, August 28, 2007

Nantikan Pengumuman Penting

InsyaAllah dengan izin Allah, kita akan maklumkan pemberitahuan penting ini kepada Pembeli yang telah memfailkan Tuntutan Gantirugi dan kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah melalui Blog Khas dalam masa sehari dua ini.

Diharap Pembeli-Pembeli DKI yang terlibat dapat bersabar.

Dan dalam masa yang sama, diharap Pembeli yang ingin turut serta mendapatkan kembali wang mereka agar segera mengambil tindakan menyediakan dokumen-dokumen yang diperlukan dan diserahkan kepada Peguam kita untuk difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

"Jangan nanti bila telah ada segolongan memperolehi kemenangan, segolongan yang lain menyesali diri dan menyalahkan antara satu sama lain".

Semoga Allah akan mempermudahkan urusan kita.

Wassalam.
Blogger.



Sunday, August 26, 2007

Pengumuman Penting


Kita menjangkakan akan membuat satu pengumuman penting pada minggu hadapan (minggu kelima bulan Ogos 2007) berkenaan kes Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah ini.

Oleh itu Pembeli Desa Kerayong Indah yang telahpun memfailkan tuntutan ini disarankan agar mendapatkan maklumat tersebut melalui Blog Khas atau menghubungi kami.

Wassalam.
Blogger



Thursday, August 23, 2007

Mohon Invited Ke Blog Tuntutan Mahkamah

Assalamualaikum,

Sejak kebelakangan ini, pihak Blogger banyak menerima e-mail daripada Pembeli yang memohon invited ke Blog Tuntutan Mahkamah Pembeli DKI untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung dengan kes tuntutan ini yang telahpun hampir memasuki fasa terakhir.


Seperti yang telah kita maklumkan sebelum ini, kita hanya dapat meluluskan invited HANYA kepada Pembeli yang telahpun memfailkan Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah di Mahkamah sahaja. Kita tidak dapat meluluskan invited tersebut kepada Pembeli yang tidak memfailkan tuntutan ini atas sebab-sebab yang telah kita perjelaskan sebelum ini (sila klik disini ).

Walaubagaimanapun kepada Pembeli yang telah menyerahkan Dokumen Tuntutan kepada Peguam tetapi belum difailkan di mahkamah dan telah membuat permohonan invited agar dapat bersabar sedikit masa lagi untuk pihak Blogger meluluskan invited tersebut.

Wassalam.
Blogger.