Panggilan Akhir (SAMAN DI MAHKAMAH)

Sila ambil perhatian kepada tentang tarikh akhir kepada pembeli-pembeli yang masih belum memfailkan Tuntutan agar segera berbuat demikian bagi mengelakkan daripada ketinggalan untuk membuat Tuntutan Gantirugi. Tiada apa yang dapat dilakukan lagi sekiranya anda tidak memfailkannya di dalam tempoh yang telah ditetapkan apatahlagi jika Tempoh dan Hadmasa telah berakhir.

Makluman Tarikh Mahkamah & Isu Semasa

Thursday, December 22, 2011

Makluman Dato MB Berkenaan Status Projek Desa Kerayong Indah

KUALA SELANGOR, 16 DIS 2011 : Kerajaan Selangor akan menggunakan pendekatan terbaik dalam usaha menyelesaikan projek perumahan terbengkalai di kawasan Desa Kerayong Indah Jeram yang membelenggu penduduk sejak sekian lama.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata, kerajaan negeri sedang membuat kajian berhubung perkara ini dan menunggu cadangan terbaik daripada kontraktor penyelamat yang dipilih sebelum dapat menyelesaikan isu berkenaan.

Katanya, cadangan itu kemudiannya akan diteliti sebaik mungkin sebelum dibentangkan kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk tindakan selanjutnya.

"Masalah utama projek ini adalah pemaju sebelum ini terlupa memasukkan beberapa perkara antaranya bekalan air dan kemudahan infrastruktur lain. Kos untuk membaikpulih atau menangani masalah itu adalah sebanyak RM51 juta.

"Bagaimanapun, satu kontraktor penyelamat telah datang kepada kerajaan negeri dan membentangkan beberapa cadangan. Cadangan itu akan diusulkan kepada Menteri Besar sebelum kita putuskan sama ada kontraktor penyelamat itu layak untuk mengendalikan projek itu ataupun tidak," katanya.

Penjelasan ini diberikan oleh Iskandar ketika bertemu kakitangan kerajaan dan wakil-wakil penduduk di Stadium Tertutup Kuala Selangor sempena Program Khas Mesra Rakyat Daerah Kuala Selangor bersama Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Projek Desa Kerayong Indah melibatkan pembinaan sebanyak 1,012 unit rumah sederhana setingkat, 112 unit rumah berkembar setingkat, 142 rumah teres dan 28 unit rumah kedai di Kampung Bukit Kerayong.

Sementara itu, Menteri Besar berkata, kerajaan Selangor akan berusaha sebaik mungkin bagi menyelesaikan projek terbengkalai khususnya melibatkan projek perumahan di negeri ini secara berperingkat.

Beliau berkata, ia adalah bagi mengelakkan sebarang masalah timbul kelak terutamanya kepada masyarakat luar bandar yang tinggal di kawasan pedalaman.

"Terdapat banyak projek terbengkalai yang masih lagi perlu diselesaikan. Saya ingin mengingatkan penjawat awam dan masyarakat bahawa apabila projek itu terbengkalai, masalahnya lebih besar daripada membuat projek baharu.

"Oleh itu, kita tidak boleh sewenang-wenangnya memberi kelulusan projek perumahan terutama yang melibatkan masyarakat kampung kerana mereka tidak tahu akibatnya apabila projek itu terbengkalai," tegasnya.



Sumber : TV Selangor.com