Makluman Tarikh Mahkamah & Isu Semasa

Saturday, August 27, 2011

Selamat Hari Raya Aidil Fitri 1432H-2011M


InsyaAllah, beberapa hari yang akan datang, semua umat Islam akan merayakan Hari Raya Aidil Fitri 1432H. Dikesempatan ini, kami ingin mengucapkan :-

Selamat Hari Raya Aidil Fitri.
Maaf Zahir dan Bathin

kami memohon maaf sekiranya ada keterlanjuran bicara di dalam laman blog ini yang telah menyakitkan hati semua pihak dalam masa kita semua menuntut pengembalian hak kita semua.

Mudahan Aildil Fitri ini akan membawa sinar keceriaan kepada kita semua. InsyaAllah.






Thursday, August 4, 2011

Perbincangan Penyelesaian Luar Mahkamah


Khamis 4hb. Ogos 2011. Alhamdulillah, Perbincangan berkenaan penyelesaian di luar mahkamah bagi Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah (TGDKWPDKI) yang berlangsung di DePalma Inn Shah Alam pada Rabu 3hb. Ogos 2011 jam 9:15 malam berjalan dengan baik.

JawatanKuasa Tuntutan
Sdr Kamarol
Sdr Sabri
Sdr Zulhaizan
Sdr Azwan
Sdri Kamariah
Peguam TGDKWPDKI

Fasilitator Task Force - Pengerusi Majlis Perjumpaan
En. Zulkipli Abdullah - RSS PMC

Pemaju (Baru)
Tn. Haji Ibrahim Md Salleh
En. Mohd Hafiz - Pengarah Nusa Development
En. Mohd Syed - Pengurus Besar Nusa Development
En. Mohd Farid Omar - Peguam

Isi kandungan perbincangan :-

  1. Pengenalan Pembangunan Projek DKI oleh Pemaju (baru).
  2. Persetujuan dan Kelulusan Pengambilalihan Projek DKI oleh Agensi Kerajaan Negeri yang berkaitan.
  3. Penyelesaian terhadap tuntutan dan pampasan
  4. Isu-isu berbangkit


Siapa Pemaju (Baru)
Pemaju (Baru) yang dimaksudkan adalah Nusa Development Sdn Bhd yang bekerjasama dengan KLIA Premiers Sdn Bhd untuk mengambilalih dan seterusnya memulihkan Projek Pembesaran Kampong Bukit Kerayong (Desa Kerayong Indah), Mukim Jeram, Daerah Kuala Selangor, Selangor Darul Ehsan. Pemaju (Baru) telah mengambilalih projek Desa Kerayong Indah daripada Probil Industries Sdn Bhd melalui Perjanjian Usahasama yang telah dimaterai pada 14hb. April 2011 yang lalu.


Pengenalan Pembangunan Projek DKI oleh Pemaju (baru)

Tn Haji Ibrahim Md Salleh yang mewakili Pihak Pemaju (baru) telah memberi penerangan berkenaan pengambilalihan Projek Pemulihan Desa Kerayong Indah ini daripada Probil Industri Sdn Bhd. Pemaju (baru) telah mendapat perkenan dan kelulusan daripada agensi-agensi Kerajaan negeri Selangor untuk projek memulihkan Desa Kerayong Indah yang termasuk di dalam kategori "tenat". Namun begitu terdapat satu agensi yang masih tidak dapat dan tidak akan memberikan kelulusan kepada Pemaju (baru) untuk meneruskan Projek Pemulihan Desa Kerayong Indah ini walaupun diberitakan bahawa pihak Pemaju (baru) telahpun mengeluarkan perbelanjaan (initial cost) seperti pengambilalihan projek, pembinaan pagar dan lain-lainnya.

Agensi tersebut telah menetapkan bahawa selagi Kes Tuntutan Gantirugi dan kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah (TGDKWPDKI) tidak diselesaikan, maka Pemaju (baru) tidak dibenarkan samasekali untuk meneruskan projek pemulihan tersebut waima memasuki tapak projek yang pada masa sekarang telah di"palang" oleh agensi penguatkuasa lain di atas arahan agensi yang tidak memberikan kelulusan tersebut.

Kita menghormati kesungguhan pihak Pemaju (baru) untuk mengadakan pertemuan walaupun 2 pertemuan yang dirancangkan sebelum ini tidak kesampaian. Sessi pertemuan pada 3hb Ogos 2011 lalu (semalam) diadakan dalam suasana yang penuh harmoni yang bertujuan untuk mencapai kesepakatan.

Walaupun kelebihan adalah berpihak kepada kita (TGDKWPDKI) yang mana tanpa persetujuan kita, pihak Pemaju (baru) tidak dapat meneruskan projek tersebut, namun kita perlu akur bahawa masih terdapat pembeli-pembeli yang masih berminat dengan pemilikan rumah di Desa Kerayong Indah walaupun kita tidak pasti apakah Harga Baru bagi setiap unit rumah yang akan ditetapkan oleh Pemaju (baru). Kita menjangkakan bagi setiap unit rumah lot baglo harga akan mencecah sekurang-kurangnya 3 kali ganda berbanding dengan harga yang asal (Tahun 1999).

Namun begitu, Pemaju (baru) prihatin diatas ketidakmampuan pembeli untuk meneruskan pemilikan rumah tersebut. Oleh yang demikian, maka bagi pembeli yang tidak termasuk di dalam TGDKWPDKI ini, maka mereka akan ditawarkan untuk menjualkan unit-unit rumah kepada Pemaju (baru) pada harga semasa yang akan dimaklumkan oleh Pemaju (baru) nanti.

Bagi seramai 321 orang Pembeli yang berada di dalam TGDKWPDKI ini, maka berikut adalah penyelesaian awal yang telah dibincangkan di dalam sessi pertemuan tersebut :-

  1. Pemaju (baru) bersetuju untuk Menyelesaikan Pinjaman Bank Pembeli. Pemaju akan berusaha mendapatkan pembiayaan "anchor" bank dan mendapatkan pelarasan (hair-cut) daripada pihak bank untuk memudahkan urusan penyelesaian kes.
  2. Pemaju (baru) bersetuju untuk Mempertimbangkan Tuntutan sepertimana yang telah difailkan di mahkamah. 2 salinan Jadual Tuntutan telah diserahkan kepada Pemaju (baru).
  3. Pemaju (baru) bersetuju secara bersama untuk Menyelesaikan Kes Diluar Mahkamah. Masa yang ditetapkan ialah selewat-lewatnya 6 bulan daripada tarikh surat peguam (perkara 4). Jumlah pampasan yang akan diterima oleh Pembeli yang telah mengemukakan saman akan dibincangkan secara bersama diantara Pemaju (baru), J/Kuasa TGDKWPDKI dan pihak peguam pada masa yang akan ditetapkan nanti. Pihak Pemaju telah diperingatkan bahawa jumlah tuntutan bagi setiap pembeli yang terlibat adalah tidak sama dan perlu penelitian bagi setiap kes. Apa yang paling penting adalah setiap pembeli akan menerima pampasan pada kadar yang paling munasabah.
  4. Pihak Peguam TGDKWPDKI akan mengeluarkan surat persetujuan untuk withold (bukan withdraw) kes saman di mahkamah (surat ini amat diperlukan oleh Pemaju (baru)). Isi kandungan surat tersebut akan didraftkan terlebih dahulu oleh peguam dan ditunjukkan kepada J/Kuasa Tuntutan sebelum diserahkan kepada Pemaju (baru). Surat ini adalah sahlaku dalam masa 6 bulan daripada tarikh ianya dibuat.
  5. Pemaju menerima surat persetujuan dan dimajukan kepada agensi kerajaan negeri untuk kelulusan.
  6. Pemaju menjangkakan dapat memasuki tapak projek dan memulakan kerja pembinaan infrastruktur selepas Hari Raya Aidil Fitri nanti. Perkara utama yang akan mereka laksanakan adalah penyediaan infrastruktur utama iaitu jalan masuk ke tapak projek serta kemudahan lain seperti bekalan air dan elektrik.
Alhamdulillah, kita bersyukur dengan kesediaan Pemaju (baru) untuk berbincang dengan kita dan menyelesaikannya di luar mahkamah. InsyaAllah, setiap Pembeli yang berada di dalam Kumpulan 1 hingga Kumpulan 6 akan memperolehi semula gantirugi/pengembalian wang mereka dalam masa yang telah ditetapkan seperti di dalam perbincangan.

Apabila ia semua telah diselesaikan, maka seperti yang dipersetujui, Tuntutan Saman di Mahkamah akan ditarik balik bagi memberi laluan untuk kerja-kerja pemulihan projek dijalankan dengan lancar.

Mudah-mudahan segala tuntutan kita akan dipermudahkan dan menemui jalan penyelesaian yang terbaik untuk kebaikan semua pihak. Wassalam.

KOMEN : Sebenarnya apa yang kita tuntut ini adalah hak kita. kalaupun jumlahnya tidak akan dapat membawa kita kembali ke tahun 1999 yang mana pada masa itu kita tiada bebanan, sekurang-kurangnya apabila telah menerima pampasan ini, maka kita akan dapat melabuhkan tirai Desa Kerayong Indah, kita tak perlu menjawab lagi gangguan bank yang saban hari menuntut hutang. Tidur kita akan lebih lena. Selepas daripada ini, kita tidak lagi perlu memikirkan samada Pemaju (baru) dapat menyempurnakan projek Desa Kerayong Indah atau tidak.