Makluman Tarikh Mahkamah & Isu Semasa

Saturday, March 29, 2008

Laman Blog bekas MB Selangor




Apakah benar pada 28 Mac 2008 bekas MB Selangor Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo telah melancarkan blog peribadi menggantikan laman web rasmi semasa beliau ketika menjadi MB Selangor dahulu? Kita tertanya-tanya apakah ianya seolah-olah satu mimpi selepas kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan beliau di Selangor yang diikuti dengan perletakan jawatannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UmNO dan BN Negeri Selangor ini?

Apakah kerana impak yang berlaku di dalam pilihanraya umum ke-12 yang baru lalu menyedarkan beliau bahawa blog-blog yang tumbuh seperti cendawan di Malaysia ini telah sedikit sebanyak memberikan maklumatmaklumat kepada sekalian rakyat jelata mengatasi media-media arus perdana yang nyata amat menyebelahi pihak pemerintah.

Seterusnya kita akan sentiasa memantau dan melihat apa pula perjuangan beliau pada kali selepas tidak lagi menjadi MB Selangor (mungkin buat selama-lamanya) selepas kegagalan beliau menjadi pejuang rakyat seperti mana yang seringkali dilaungkan-laungkan oleh pemimpin BN selama ini. Kegagalan beliau membantu lebih 1000 pembeli rumah Desa Kerayong Indah yang 100% melayu Islam ini pasti akan mengundang pelbagai onak dan duri untuk ditempuhinya bagi menebus kembali maruah dan harga diri seorang yang bergelar pemimpin yang sepatutnya berada di sisi rakyat yang memerlukan sokongan dan pertolongannya suatu ketika dahulu.

Walaubagaimanapun alu-alukan penglibatan beliau di dalam meningkatkan pengetahuan ICT dan sumber maklumat yang baik kepada masyarakat.

Alamat laman blog beliau : http://drkhir.blogspot.com


Wassalam
Blogger.


Wednesday, March 26, 2008

Pertanyaan untuk memfailkan tuntutan




Assalamualaikum.
Sejak kebelakangan ini, kita banyak menerima panggilan telefon daripada pembeli yang bertanya bagaimana untuk menyertai kumpulan pembeli yang telah memfailkan Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah ini.

Sehubungan dengan itu kepada pembeli yang ingin membuat tuntutan gantirugi secara legal (perundangan), bolehlah menyediakan kesemua dokumen-dokumen yang diperlukan bagi tujuan pihak peguam memfailkan tuntutan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

Dalam masa yang sama kita juga menyarankan kepada pembeli yang ingin membuat tuntutan agar membuat tafsiran sendiri terhadap kerugian yang ingin dituntut berdasarkan kepada Jadual Tuntutan yang telah disediakan untuk mempermudahkan dan menyeragamkan tuntutan semua pembeli. Sila mohon disini.

Oleh yang demikian, kita meminta kepada pembeli-pembeli yang belum lagi berbuat apa-apa tetapi ingin mendapatkan tuntutan gantirugi agar segera berbuat demikian untuk mengelakkan daripada terlewat memfailkan tuntutan memandangkan Tempoh dan Hadmasa yang semakin hampir iaitu seawal Jun 2008 ini (kurang 3 bulan dari sekarang).

InsyaAllah, kita yakin kes tuntutan kita terhadap Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Tanah dan Daerah Kuala selangor dan Bumi Circle Sdn. Bhd. ini akan membuahkan kejayaan sepertimana yang kita semua harapkan semasa mula memfailkan kes tuntutan ini di mahkamah pada 24 April 2007 yang lalu.

Kita juga mengharapkan agar kerajaan baru pimpinan YAB Dato Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang telah memulakan tugas sejak 14 Mac 2008 yang lalu, akan lebih memahami kesusahan yang kita semua alami selama ini. InsyaAllah.

Wassalam
Blogger.


Monday, March 24, 2008

Senarai EXCO Kerajaan Negeri Selangor


Hari ini 24 Mac 2008, Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan YAB Dato Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Bin Ibrahim telah mengumumkan secara rasmi senarai penuh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (EXCO).

Berikut adalah senarai EXCO Kerajaan Negeri Selangor :-

  1. Tan Sri Datuk Abdul Khalid bin Ibrahim - Dato’ Menteri Besar
    Pembangunan Tanah, Kewangan, Majlis Tindakan Ekonomi Negeri, Belia & Sukan
  2. Teresa Kok Suh Sim - Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan
  3. Datuk Dr. Hassan bin Mohamed Ali - Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam
  4. Yaakob bin Sapari - Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan
  5. Rodziah binti Ismail - Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi
  6. Dr. Xavier Jayakumar a/l Arulanandam - Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin
  7. Dr. Halimah binti Ali - Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan
  8. Iskandar bin Abdul Samad - Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan
  9. Ronnie Liu Tian Khiew - Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan
  10. Wong Keat Ping @ Elizabeth Wong - Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar
  11. Eam Yong Hian Wah - Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram

Apa yang kita sangat-sangat harapkan adalah dengan perlantikan serta amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada barisan EXCO Selangor yang baru ini agar mereka lebih telus dalam menjalankan tugas sebagai EXCO untuk memajukan Negeri Selangor ini dan untuk kesejahteraan rakyat sekalian tanpa membeza-bezakan fahaman politik masing-masing.

Kita juga mengharapkan perlantikan
Sdr Iskandar Bin Abdul Samad sebagai EXCO Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan dapat membantu kita semua Pembeli-Pembeli Rumah Desa Kerayong Indah yang telah menghadapi kesusahan sejak 2002 bilamana rumah yang telah dijanjikan untuk disiapkan telah terbengkalai sepenuhnya dan langsung tidak diambil peduli secara serius oleh EXCO dan Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Bekas MB Dato' Seri Khir Toyo.

EXCO YB Iskandar Abdul Samad , 47 tahun, berasal dari Petaling Jaya, Selangor. Beliau merupakan lulusan Ijazah Arkitek dari Humberside, United Kingdom dan pernah menjadi Pensyarah Senibina di Universiti Teknologi MARA. Kini beliau merupakan Timbalan Persuruhjaya 3 PAS Negeri Selangor dan Yang Dipertua PAS Kawasan Pandan.

Di dalam PRU-12 yang lalu, beliau telah menewaskan calon BN Nosimah Hashim di kawasan DUN N21-Chempaka dengan majoriti 1,048 undi.

Mudah-mudahan YAB Dato MB dan YB Iskandar dapat melihat kes tuntutan kita ini agar satu penyelesaian dapat diberikan bagi membolehkan kita menjalani kehidupan di hari yang mendatang dengan lebih baik lagi tanpa perlu bersusah payah untuk menunggu rumah tersebut dengan lebih lama lagi. InsyaAllah.

Wassalam
Blogger.


Thursday, March 20, 2008

Selamat Menyambut Maulidur Rasul 1429H





Hari ini 12 Rabiul Awal 1429H bersamaan dengan 20 Mac 2008, seluruh umat Islam menyambut hari keputeraan junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. Baginda lahir pada 12 Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan dengan 23 April 571.

Bulan Rabiulawal bermaksud bulan dimana bermulanya musim bunga bagi tanaman. Mengikut kebiasaannya di Tanah Arab, sewaktu bulan Rabiulawal pokok buah-buahan mula berbunga dan seterusnya berbuah. Maka nama bulan ini diambil sempena musim berbunga tanaman mereka. Dan setelah kedatangan Islam, Rasulullah saw telah mengekalkan nama Rabiulawal ini sehinggalah sekarang.

Satu nikmat besar yang dikurniakan Allah kepada manusia ialah memperolehi perutusan daripada nabi dan rasul. Mereka adalah pembawa risalah Islam, sekali gus menjadi contoh tauladan kepada umat manusia seluruhnya.

Firman-Nya dalam surah Ali Imran ayat 164 bermaksud: Sesungguhnya Allah telah memberi kurnia kepada orang-orang yang beriman ketika Allah mengutus di antara mereka seorang rasul daripada golongan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, membersihkan (jiwa) mereka dan mengajarkan kepada mereka al-Kitab dan al-Hikmah. Dan sesungguhnya sebelum (kedatangan nabi) itu, mereka adalah benar-benar kesesatan yang nyata.

Sepatutnya sambutan Maulidur Rasul telah kita raikan secara bersama-sama sebanyak 6 kali sejak 2002 (tahun rumah Desa kerayong Indah siap). Malangnya dengan kegagalan pihak Bumi Circle menyiapkan rumah tersebut, maka kita semua terpaksa meraikannya secara berasingan di tempat masing-masing.

Walaubagaimanapun, marilah kita bersama-sama mengucapkan salam dan selawat ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW yang telah menjadi utusan Allah SWT untuk membimbing kita semua ke jalan yang benar. InsyaAllah.

Wassalam
Blogger.


Thursday, March 13, 2008

Kerajaan Baru : Implikasi Kes Tuntutan




Blogger ingin menjawab beberapa persoalan yang seringkali bermain di fikiran kita semua bilamana Kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Dato' Seri Mohd Khir Toyo telah beralih kepada gabungan Kerajaan Barisan Alternatif (BA) pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim. Ramai yang bertanya apakah implikasinya terhadap kes tuntutan gantirugi yang telah difailkan semasa era Kerajaan Barisan Nasional tersebut?

Kronologi kepimpinan Kerajaan Negeri Selangor.
  • Projek Pembesaran Kampung/Perumahan Desa kerayong Indah ini telah dimulakan pada seawal Jun 1999 semasa YAB Dato Abu Hassan Omar menjadi Menteri Besar Selangor.
  • Kemudiannya pada tahun 2000, Dato Seri Mohd khir Toyo telah dilantik menjadi Menteri Besar Selangor yang ke-13 menggantikan Dato Seri Abu Hassan Omar apabila kita memfailkan kes tuntutan di mahkamah.
  • Pada 8 Mac 2008, apabila gabungan Barisan Alternatif (BA) memenangi pilihanraya umum ke-12, Tan Sri Khalid Ibrahim (PKR) telah dipilih menjadi Menteri Besar Selangor yang ke-14 setelah menerima perkenan DYM Sultan Selangor.
Sebenarnya kes tuntutan kita adalah terhadap Kerajaan Negeri Selangor (Defendan 1) dan Pejabat Daerah/Tanah Kuala Selangor (Defendan 2). Walau parti mana sekalipun yang memerintah Negeri Selangor ini, kes tuntutan yang sedang dan akan dibicarakan di mahkamah akan berjalan seperti biasa. Kerajaan yang baru (BA) adalah perlu meneruskan prosiding mahkamah sekalipun terdapat pertukaran kerajaan, SUK dan Penasihat Undang-Undang mereka.

Oleh yang demikian, kita tidak perlu bimbang apa-apa kerana tidak akan berlaku peminggiran terhadap kes-kes mahkamah dan kita menjang
kakan bahawa kes tuntutan ini akan berjalan dengan lancar dari segi perundangan. Ini ditambah dengan kemasukan Bumi Circle Sdn. Bhd. di dalam kes ini yang akan didengar di hadapan Hakim oleh Pengarah mereka sendiri (arahan mahkamah) pada Pengurusan Kes (Case Management) yang akan datang.

Bumi Circle yang telah menghilangkan diri sebaik sahaja Projek ini menemui kegagalan telah datang melalui Peguam mereka di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk mencelah bagi mengelakkan kita memperolehi JID pada 5 Mac 2008 yang lalu. Oleh yang demikian, walaupun kita gagal mendapatkan JID, tetapi sebenarnya ianya merupakan satu bonus untuk kita dan kita sebenarnya tidak perlu lagi mengeluarkan sapina terhadap mereka, kerana sekarang mereka telah datang menyerahkan diri.

Ini ditambah dengan Bumi Circle yang selama ini dianggap sebagai anak emas semasa era pemerintahan Barisan Nasional yang lalu. Nah...sekarang macam mana? Dahan tempat mereka berpaut telah terkulai menyembah bumi.

Kita pasti, kekesalan mereka tidak terperi rasanya kerana apabila telah memasuki kes ini, mereka tidak lagi boleh melarikan diri dengan seribu macam alasan. Mereka menyangka bahawa Kerajaan Barisan Nasional akan kekal berkuasa di Selangor ini, maka dengan sebab itu maka mereka telah memasuki kes ini tanpa berfikir panjang walaupun dah tak ada duit lagi atau ada pihak lain yang berada di belakang mereka. Kalau selama ini mereka tak kisah kalau Bumi Circle gulung tikar dan tanah seluas 216 ekar tersebut akan menjadi "freeze" sehinggalah Kerajaan Negeri "redeem" semula.

Tetapi bagi kita, apabila kes ini dibicarakan nanti, ianya akan menjadi tambah menarik bilamana Kerajaan Negeri dan Bumi Circle bukanlah dari pihak yang bersekutu sekarang ini. Segala rahsia dan kecurangan akan segera terbongkar di Mahkamah nanti. Majlis Daerah Kuala Selangor dan Pejabat Daerah/Tanah Kuala Selangor juga akan mempunyai pimpinan yang baru yang kita jangkakan akan lebih telus.

JKKK Bukit Kerayong dan mereka-mereka yang terlibat sama, persiapkanlah diri sebelum kes bermula, kerana kita telah sepakat apabila dibicarakan dan di dapati adanya unsur-unsur korupsi, maka kalian semua akan dilaporkan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR). InsyaAllah.

NOTA : Tan Sri Khalid Ibrahim merupakan anak kelahiran Jeram.

Wassalam
Blogger.


Wednesday, March 12, 2008

Terkini : Pembeli Kumpulan 5





Blogger telah menerima senarai terkini Pembeli-Pembeli daripada Kumpulan 5 berjumlah seramai 49 orang yang dijangkakan akan difailkan Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah oleh Peguam di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Shah Alam Selangor dalam masa terdekat ini.

Pihak Peguam tidak dapat memfailkan tuntutan Pembeli Kumpulan 5 sebelum ini kerana adanya permintaan dan rayuan daripada pembeli-pembeli agar mereka dimasukkan ke dalam Kumpulan 5 tersebut.

Oleh yang demikian jumlah terkini pembeli yang telah dan akan memfailkan tuntutan adalah seramai 259 orang. Kita menjangkakan jumlah tersebut akan bertambah dari sehari ke sehari memandangkan terdapat ramai lagi pembeli yang telah tampil menyerahkan dokumen-dokumen tuntutan kepada pihak Peguam.

Bagi mereka-mereka yang telah membuat keputusan untuk memfailkan tuntutan seterusnya mendapatkan semula wang gantirugi tersebut, adalah sangat-sangat dialu-alukan bagi mengelakkan keterlewatan menyertai kumpulan yang telah memfailkan tuntutan gantirugi ini. Sila hubungi kami untuk informasi berkenaan dengan prosedur membuat tuntutan. InsyaAllah, kita sedia membantu sedaya yang mungkin.

Wassalam
Blogger.


Tuesday, March 11, 2008

PRU12 : Kekalahan BN Di Selangor - Ulasan





Sepertimana yang semua dari kita tahu bahawa Barisan Nasional telah menerima tamparan yang sungguh hebat dengan kekalahan yang teruk sejak 50 tahun yang lalu di dalam Pilihanraya Umum ke-12 pada 8 Mac 2008 yang lalu.

BN yang telah menang dengan penuh bergaya pada Pilihanraya Umum ke-11 pada 2004 yang lalu kerana rakyat jelata telah memberikan sokongan padu kepada pimpinan YAB Dato' Seri Abdullah (DSA) dan Dato' Seri Mohd Khir (DSK).

Mereka meraikan kemenangan tersebut dengan penuh keegoan apabila mendapat mandat 2/3 daripada rakyat jelata . Kroni-kroni di sekelliling mereka mengambil kesempatan di atas kuasa yang ada pada mereka dengan rakus mengumpul harta kekayaan tanpa memikirkan nasib rakyat.

Mereka melancarkan projek-projek mega yang bernilai berbillion RM yang lebih mendatangkan keuntungan kepada kroni-kroni yang selama ini telah kaya-raya. Projek-projek pembaziran seperti pembatalan Jambatan Bengkok, Pelancaran Wilayah Ekonomi, Monumen Masjid di Terengganu dan sebagainya.

Sementara rakyat dibebankan dengan bermacam-macam kenaikan harga seperti Kenaikan TOL, kenaikan harga minyak, kenaikan harga barangan keperluan harian seperti susu, tepung, gula dan sebagainya.

Masalah perumahan untuk rakyat telah diambil ringan oleh mereka. Malahan di Selangor sendiri, projek perumahan langsung tidak menjadi agenda utama mereka bilamana Projek Pembesaran Kampung di atas tanah rezab Melayu di Mukim Jeram, Kuala Selangor telah terbengkalai sejak 2002 yang lalu.

Bermula dengan membaca surah Yassin pada Awal Muharram diikuti dengan Solat Hajat pada malam sebelum Penghakiman Engkar Pembelaan terhadap BC pada 5 Mac 2008 lalu diselangi dengan tindakan memprotes kegagalan kerajaan Selangor menangani masalah ini di Pusat Penamaan Calon PRU-12 di Stadium Tertutup Kuala Selangor pada 24 Februari 2008 nampaknya tidak diendahkan langsung oleh mereka. Sebaliknya mereka cuba menggula-gulakan pembeli-pembeli Desa Kerayong Indah (DKI) dengan mengadakan Majlis Taklimat di Unisel, Bestari Jaya pada 27 Februari 2008.

Kita yang telah dimaklumkan bahawa DSK tidak akan hadir pada majlis tersebut mengambil keputusan bahawa majlis yang di adakan tersebut tidak lebih dari sekadar memenuhi diari kerja mereka menjelang PRU-12 ini seperti yang berlaku kepada Pembeli-Pembeli Alam Perdana di Ijok pada Pilihanraya pada 2007 lalu.

Sehinggalah pada Pilihanraya Umum ke-12 pada 8 Mac 2008, mereka langsung tidak cuba untuk menyelesaikan masalah DKI ini. Seolah-olah kita semua bukan rakyat mereka. Kita menyakini bahawa tidak langsung ada terniat untuk mereka membantu pembeli-pembeli DKI yang 100% adalah Melayu Islam ini. Janji mereka untuk menyiapkan pembinaan DKI hanya tinggal janji sahaja.

DSK..., susah sangat ke nak tolong anak bangsa sendiri? Susah sangatkah nak bantu bangsa sendiri yang selama ini tidak pernah lupa menyokong kepimpinanmu? Tak bolehkah DSK memperuntukan sedikit masa untuk menyelami masalah lebih 1000 pembeli DKI daripada melayani karenah seorang dua taukeh-taukeh? Saidina Umar sanggup berjalan seorang diri semata-mata untuk menyelami masalah rakyatnya, mengapa pula DSK tidak sanggup berbuat demikian? Selama ini, kita pembeli DKi sentiasa mengharapkan pertemuan itu secara terbuka kerana kita menyakini projek DKI ini adalah projek kerajaan walaupun DSK menafikannya secara perundangan. Kita bukannya minta dari duit poket DSK!!! Kita cuma mahukan HAK-HAK kita sebagai pembeli dan rakyat di bumi Selangor ini dikembalikan. Itu sahaja....

Sesungguhnya Allah Maha BerKuasa.

Kekecewaan kita ini bila diterjemahkan melalui kertas undi pada PRU-12 lalu telah sedikit sebanyak menyumbang kepada kejatuhan BN di dalam PRU-12 ini. Oleh sebab itu jugalah, maka Blogger ingin memohon maaf kepada mereka-mereka yang menjadi penyokong kuat BN kerana kita terpaksa mengujudkan "Segmen Pilihanraya" bagi menyedarkan betapa kezaliman yang mereka lakukan dengan tidak menghiraukan kesengsaraan yang kita alami sejak 1999 yang lalu.

Malahan Blogger yang turut menghantar berbagai-bagai e-mail tentang masalah-masalah Pembeli-pembeli DKI kepada mereka-mereka yang diharap dapat membantu seperti Ketua Pemuda UmNO, Naib Ketua UmNO, EXCO Perumahan dan sebagainya, langsung tidak dilayan sama sekali oleh mereka termasuk semasa Perhimpunan Agung UmNO yang lalu.

Sesungguhnya gelombang kuasa rakyat yang telah jelak dengan kerakusan dan ketidakadilan mereka di dalam menangani permasalahan rakyat telah berjaya menidakkan kekuasaan mereka selama ini.

Mudah-mudahan Kerajaan Pimpinan MB Tan Sri Khalid Ibrahim ini akan menampakkan sinar untuk Pembeli-pembeli Desa Kerayong Indah kerana kita menyakini kerajaan baru ini benar-benar mampu untuk membantu rakyat sepertimana yang terkandung di dalam Manifesto tersebut. Kita menyakini kepimpinan Tan Sri Khalid dapat diterjemahkan untuk kepentingan rakyat yang selama ini di dalam kesusahan dalam mengalas beban sejak 1999 yang lalu.

Mudah-mudahan juga, tuntutan kita akan setidak-tidaknya diambil perhatian oleh mereka. InsyaAllah.

Wassalam
Blogger.

NOTA : Segmen PRU-12 berakhir disini. Mudah-mudahan kita mendapat iktibar daripadanya. Misi kita seterusnya akan berjalan dalam masa yang terdekat. Oleh yang demikian, semua pembeli-pembeli DKI diminta bersabar. InsyaAllah, kita akan berjaya.


Sunday, March 9, 2008

Ucapan Tahniah : BA Kerajaan Baru Selangor




Kita semua mengucapkan TAHNIAH di atas kejayaan Barisan Alternatif (BA) memenangi Pilihanraya DUN sekaligus dapat menubuhkan Kerajaan Barisan Alternatif di Negeri Selangor ini.

Semoga kejayaan ini akan menjadikan Selangor lebih maju dan hak-hak rakyat yang diperjuangkan oleh BA akan dinikmati oleh seluruh rakyat Selangor termasuk Pembeli-Pembeli Rumah Terbengkalai Desa Kerayong Indah yang telah menanggung kesusahan sejak 1999 yang lalu.

http://desakerayongindah.blogspot.com

Wassalam
Blogger
9 Mac 2008 04:21 am.

Nota :
Ucapan tahniah ini juga telah dihantar kepada gabungan Parti-Parti BA seperti PAS,PKR dan DAP.



Friday, March 7, 2008

PRU12-Selamat Mengundi



InsyaAllah, kurang 30 jam yang akan datang negara akan menghadapi Pilihanraya Umum ke-12 bagi memilih kerajaan dan wakil-wakil rakyat yang baru untuk 5 tahun yang akan datang. Pembeli-pembeli Desa Kerayong Indah juga tidak terkecuali turut merasai bahang pilihanraya yang semakin bertambah hangat ini.

Oleh yang demikian, sebagai rakyat yang selama ini merasai betapa kesengsaraan yang kita alami selama 9 tahun yang telah sudah sejak 1999 yang lalu terpaksa juga berhadapan dengan bebanan hutang dengan bank dan dalam masa yang sama kehidupan seharian menjadi semakin terhimpit ekoran kenaikan harga barangan keperluan harian disamping terpaksa membayar dengan harga yang begitu tinggi dalam menjalani kehidupan di negara sendiri sedangkan pemimpin negara begitu bersahaja merobek kekayaan negara tanpa membantu rakyat sendiri.

Sebab-Sebab mengapa mesti menolak Barisan Nasional

  • Pembohongan fakta
  • BN mahu sangat Kelantan kerana sumber Gas Ali yang baru dijumpai yang cukup untuk menampung 7 generasi rakyat Kelantan (500 tahun lamanya). Sekiranya Kelantan berjaya dikuasai oleh BN, maka kroni-kroni akan rakus mengisi ke kantung masing-masing.
  • Gagal mengurus ekonomi dengan baik.
  • Gagal membendung gejala rasuah.
  • Maksiat dan perjudian berleluasa.
  • Kekayaan negara untuk kroni-kroni dan suku sakat sedangkan rakyat terpaksa menanggung beban.
  • Pemimpin memiliki kediaman bak mahligai sedangkan rumah untuk rakyat dibiarkan terbengkalai.
  • Minyak petrol akan naik lagi daripada RM1.92 seliter kepada hampir RM2.50 seliter sekiranya mereka menang dalam PRU12 memandangkan harga bahanapi tersebut telah meningkat lebih USD100 setong dan tiada jaminan di dalam manifesto BN bahawa harga bahanapi itu akan dikekalkan.
  • Harga barangan keperluan dapur telah meningkat secara mendadak sejak 2006. Yang merasa kesengsaraannya adalah rakyat jelata terutamanya yang berpendapatan rendah sedangkan pemimpin sibuk mencanang seluruh pelusuk negara agar rakyat memahami trend kenaikan harga barangan.
  • BN adalah sinonim dengan Barang Naik.
  • TOL tak pernah turun walaupun syarikat konsensi untung besar.

Sebab-Sebab mengapa mesti memilih Barisan Alternatif (PAS,PKR dan DAP)
Sekiranya Manifesto BA ini diterjemahkan dalam bentuk undian pada 8 Mac 2008 ini, maka seluruh rakyat Malaysia akan merasai suasana yang penuh nikmat yang belum pernah dirasai sejak 50 tahun yang lalu. Bahanapi murah, barang keperluan dapur murah, anak dapat belajar hingga ke Universiti tanpa perlu bimbang kos pengajian kerana adanya biasiswa (Blogger sempat merasainya kerana tahun 1986 merupakan tahun terakhir skim biasiswa), dan bermacam-macam lagi kemudahan untuk rakyat jelata.

Negara kita tidak akan muflis dengan memberikan semua itu kepada rakyat jelata kerana negara mempunyai sumber kekayaan hasil bumi anugerah Allah SWT yang begitu banyak :-
  • Petroleum
  • Gas Asli
  • Emas
  • Hasil Pertanian seperti Getah, Kelapa Sawit dan sebagainya.
  • Hasil Galian terbaik dunia yang belum dikhabarkan.
Akhir kata, sebelum mengundi di lokasi sebenar pada 8 Mac nanti, luang-luangkanlah masa untuk mengundi sebentar di petak kanan blog ini.

SELAMAT MENGUNDI....Buatlah pilihan dengan bijak.

Wassalam.




Wednesday, March 5, 2008

PRU12-Kemana Arah Kita



Pilihanraya Umum ke-12 (PRU12) akan berlangsung pada hari Sabtu 8 Mac 2008 ini bagi menentukan kepimpinan negara yang baru. Apakah kerajaan terdahulu mampu mengekalkan kuasa mereka untuk 5 tahun yang akan datang atau negara akan mempunyai kerajaan yang baru daripada Barisan Alternatif.

Ramai pihak menjangkakan bahawa beberapa negeri akan jatuh ke tangan Barisan Alternatif seperti Perlis, Kedah, Perak, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu. Sementara itu Kelantan masih lagi kekal di bawah pimpinan YAB Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.

Ini adalah kesan daripada Manisfesto Barisan Alternatif yang membuat tawaran yang amat menguntungkan rakyat jelata seperti Penurunan Harga Bahanapi, Pendidikan Secara Percuma, Kesihatan Percuma, Melaksanakan Akta Gaji Minimum dan bermacam-macam lagi.

Jika diberikan mandat oleh rakyat, PAS Selangor di bawah kepimpinan ulama akan menurunkan kadar Cukai Pintu rumah kediaman sebanyak 20% serta memastikan setiap rakyat Selangor memiliki sebuah rumah kediaman sendiri serta bermacam-macam lagi faedah untuk rakyat. Sekiranya Manifesto ini ditawarkan kepada rakyat Indonesia, Thailand, mahupun Amerika Syarikat, pastinya rakyat mereka akan berebut-rebut untuk memilih Barisan Alternatif ini.

Ini berbeza dengan Barisan Nasional yang memaparkan Manisfesto yang hampir sama seperti tahun-tahun yang lalu yang hanya indah khabar dari rupa terutamanya yang melibatkan skim perumahan untuk rakyat. Malahan Kerajaan yang ada sekarang telah membelanjakan hampir RM700 biliion sepanjang 4 tahun pemerintahannya berbanding dengan Tun Dr Mahathir yang membelanjakan hanya RM300 billion sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri.

Terlalu banyak yang kita dengar kemungkaran yang dilakukan seperti isu Rasuah, Skandal Seks Pemimpin MCA, Plat Kereta Kerajaan Negeri, Isu Kenaikan harga barang , isu paip minyak , Isu PKFZ dan sebagainya. Sekiranya kita berdiam diri dan tidak berusaha untuk merubahnya, maka kita juga tergolong di dalam golongan yang subahat.

Apakah kita masih lagi mahu memberikan sokongan kepada kerajaan yang langsung tidak mahu membantu rakyat yang selama ini begitu tertekan dengan hutang dengan pihak bank? Sedangkan mereka begitu angkuh dengan mahligai indah milik mereka? Apakah kita mudah menjadi pelupa setiap kali pilihanraya bilamana kita disajikan dengan sebotol air mineral, sehelai kain pelikat, duit minyak setinggi RM200 berbanding dengan khazanah negara yang begitu rakus dirobek oleh mereka?

Selama 50 tahun memerintah, tidak ada satupun wakil rakyat mereka yang berani bersuara di Parlimen untuk menguatkuasakan undang-undang yang ketat bagi menghukum mana-mana pemaju perumahan yang gagal menyiapkan projek perumahan. Malahan mereka seolah-olah dilindungi apabila gagal menyiapkan projek perumahan yang mana pembeli tidak akan dapat menyaman mereka kerana dikhuatiri sekiranya pemaju jatuh bankrap, maka projek perumahan beserta hartanah tersebut akan menjadi "freeze" (berbeza kes DKI, kita menyaman Kerajaan Negeri Selangor)

Lihat sahaja betapa begitu banyak projek perumahan di Selangor ini yang terbengkalai tanpa diambil peduli secara serious oleh Kerajaan BN pimpinan Dato' Seri Khir Toyo. Malahan EXCO perumahan Dato Mokhtar Dahlan secara sinis pernah menghina Pembeli-Pembeli Desa Kerayong Indah melalui sketsa di TV3 menyuruh kita mengambil tindakan saman sekiranya tidak berpuas hati di atas kegagalan beliau menyelia urus projek rumah terbengkalai ini. Allah itu Maha Berkuasa. Beliau kini tidak dicalonkan sebagai calon pilihanraya di dalam PRU12 di Selangor ini.

Sementara Wakil Parlimen Kuala Selangor sebelum ini Mohd Daud Tarihep yang asyik gemar menunjuk-nunjuk keegoannya sebagai Ahli Parlimen telah gagal memainkan perananannya untuk membantu Pembeli-Pembeli Desa Kerayong Indah di bawah Parlimen beliau. Malahan Dato' Amiruddin yang amat gembira bilamana Mohd Daud Tarihep tidak dicalonkan, juga langsung tidak mengambil tahu tentang Projek Perumahan di dalam kawasan beliau sendiri.

Diberitakan bahawa kem Mohd Daud Tarihep langsung tidak mahu menyertai kempen Pilihanraya ke-12 ini untuk membantu calon-calon yang bertanding di Kuala Selangor ini. Mungkin kerana menunjukkan protes terhadap MB Selangor kerana menggugurkan Mohd Daud Tarihep.

Inilah yang seringkali berlaku ke atas pimpinan UmNO yang selama ini telah 2 kali kita memberikan undi kepada mereka sejak Pilihanraya Umum ke-10 (1999) dan Pilihanraya Umum ke-11 (2004). Walaupun mereka langsung tidak mempedulikan projek Desa Kerayong Indah ini, namun kita masih lagi mahu memberikan undi terhadap calon bagi DUN Jeram dan Parlimen Kuala Selangor.

Enough is enough. Cukuplah kita tertipu sebanyak 2 kali pilihanraya yang lepas. Pada Pilihanraya Umum ke-12 ini, marilah kita berganding bahu samada Pembeli yang memfailkan tuntutan mahupun tidak, untuk sama-sama tidak memberikan undi kepada Barisan Nasional. Sekiranya BN menang pada kali ini, Pembeli yang tidak memfailkan tuntutan pasti akan lebih tertekan dengan ketidakpeduli mereka terhadap kita semua.

Bagi Pembeli yang mengundi di kawasan lain, pastikan kita tidak mengundi Barisan Nasional. Undilah parti-parti lain kerana hanya ini sahaja kuasa yang ada pada kita untuk membawa perubahan.

HARAPAN KITA
Adalah menjadi harapan kita semua untuk sesuatu perubahan yang lebih baik setelah kita mengharungi kesukaran selama 9 tahun yang telah sudah. Perubahan yang lebih baik itu akan dapat diterjemahkan melalui kertas undi pada 8 Mac 2008 ini kerana,
  • Bagi pembeli yang masih menantikan rumah tersebut, InsyaAllah, Kerajaan Pimpinan PAS nanti pasti akan mampu merealisasikan impian tersebut sepertimana yang terkandung di dalam Manifesto PAS Selangor ini.
  • Bagi yang telah memfailkan tuntutan saman, InsyaAllah, Kerajaan PAS Selangor pasti akan segera berusaha untuk menyelesaikannya kerana mereka lebih memahami masalah rakyat.

Oleh itu, bulatkan tekad untuk kita sama-sama bersatu untuk kali ini untuk sama-sama memberikan undi kepada Barisan Alternatif samada PAS, PKR mahupun DAP. UNDILAH BARISAN ALTERNATIF untuk kebaikan dan kesejahteraan semua.







Keputusan Mendapatkan JID vs Bumi Circle



Alhamdulillah, hari ini 5 Mac 2008 kita telah selesai menjalani prosiding untuk mendapatkan Penghakiman Engkar terhadap Defendan ke-3 Bumi Circle Sdn. Bhd. di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Shah Alam, Selangor. Laporan penuh keputusan tersebut sila klik disini.




Tuesday, March 4, 2008

JID - Bumi Circle Nak Lawan Kita?



Blogger telah dimaklumkan oleh Peguam melalui Sdr Kamarol bahawa Pihak Defendan ke-3, Bumi Circle Sdn. Bhd telah memghubungi Pejabat Peguam kita dan memaklumkan akan hadir sama ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada esok hari 5 Mac 2008 bagi memohon untuk memfailkan pembelaaan terhadap saman yang telah kita failkan sebelum ini.

Inilah yang menariknya, apabila mereka pula (BC) telah menjadi tidak keruan dan kelam kabut sekiranya kita memperolehi JID daripada Hakim Makamah Tinggi. Apa yang mereka takutkan adalah bahana yang bakal mereka hadapi sepertimana pelan tindakan yang kita rancangkan selepas mendapatkan JID ini.

Atau ini adalah taktik mereka untuk melengah-lengahkan kes tuntutan ini. Siapakah dibelakang mereka sehinggakan Bumi Circle begitu bersahaja bilamana kita memfailkan tuntutan saman pada 24 April 2007 yang lalu?

Mengapa sebelum ini mereka yang telah GAGAL menepati Perjanjian Pembinaan, kemudian GAGAL memfailkan Kehadiran dan seterusnya GAGAL memfailkan pembelaan telah merancang untuk meminta pihak mahkamah membenarkan mereka memfailkan pembelaan ini?

Perlu diperjelaskan di sini bahawa kita tidak akan memberikan ruang kepada mereka lagi setelah sembilan tahun mereka begitu angkuh terhadap pembeli-pembeli Desa Kerayong Indah yang malang ini.

Kita bertekad untuk menghukum mereka bukan sahaja berlandaskan undang-undang malahan kita akan menghukum mereka melalui pilihanraya ke-12 pada kali ini yang akan berlansung pada 8 Mac 2008 ini.

Wahai pembeli-pembeli Desa Kerayong Indah, tunjukkanlah bahawa kita semua juga mempunyai kuasa untuk merubah sesuatu yang selama ini tidak menjanjikan apa-apa lantaran kita terpaksa berjuang sendirian untuk mendapatkan rumah mahupun wang tuntutan gantirugi tersebut.

Wassalam.
Blogger


JID vs Bumi Circle di Mahkamah Tinggi SA


InsyaAllah jika diizinkan Allah SWT, Pembeli-pembeli Desa Kerayong Indah akan mendapatkan Penghakiman Dalam Kamar (Judgement-in-Dorm, JID) pada 5 Mac 2008 (Rabu) terhadap Bumi Circle Sdn. Bhd. iaitu Kontraktor yang telah dilantik oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui surat penawaran Pemilikan Tanah Terancang kepada semua pembeli-pembeli bagi program Pembesaran Kampung, Kampung Bukit Kerayong, Mukim Jeram, Kuala Selangor. Surat penawaran ini hanya dikeluarkan selepas mendapat kelulusan di dalam Mesyuarat anggota EXCO Negeri Selangor.

Pembeli Desa Kerayong Indah yang telah memfailkan Tuntutan Gantirugi dan kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah pada 24 April 2007 yang lalu langsung tidak mendapat maklum balas mahupun tentangan daripada Bumi Circle yang juga merupakan Defendan Ke-3 di dalam kes ini. Ini juga ekoran daripada kegagalan pihak Bumi Circle menjalankan prosedur mahkamah seperti :-

  • Memasukkan kehadiran
  • Memfailkan Pembelaan
Oleh yang demikian, dari segi prosedur mahkamah, maka kita adalah dibolehkan untuk mendapatkan Penghakiman di Dalam Kamar. Sehubungan dengan itu kita meminta agar semua pembeli dapat hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada hari tersebut (jam 8:30 pagi) untuk memberikan sokongan kepada pihak Peguam di dalam menjalankan tugasan tersebut.

Marilah kita bersama-sama melakukan sembahyang solat hajat di tempat masing-masing pada hari ini (Selasa, 4 Mac 2008) dan berdoa memohon :-
  • Urusan mendapatkan JID akan menjadi lebih mudah.
  • Hakim yang membicarakan kes ini di dalam keadaan sihat untuk membolehkannya membuat keputusan yang adil.
  • Hakim yang membicarakan kes ini dapat memenangkan kita.
Semoga Allah SWT memudahkan semua urusan kita membuat tuntutan ini. InsyaAllah.

Wassalam.
Blogger


Sunday, March 2, 2008

Majlis Taklimat Di Unisel-Ulasan



Majlis Taklimat yang berlangsung di Kampus Utama Unisel, Bestari Jaya (dahulunya Batang Berjuntai) pada 27 Februari 2008 (Rabu) yang lalu pada jam 10:00 pagi telah dihadiri oleh Pejabat Daerah/Tanah Kuala Selangor, MDKS, LPHS, Probil Sonati dan pembeli-pembeli Desa Kerayong Indah.

Apa yang menariknya, majlis tersebut diadakan secara tergesa-gesa bilamana surat jemputan ke majlis taklimat tersebut hanya mula diedarkan melalui pos pada hari Isnin 25 Feb 2008. Oleh yang demikian, maka sebilangan pembeli terutamanya yang tinggal di luar Lembah Klang menghadapi kesukaran untuk menghadirinya. Ditambah pula ianya diadakan pada hari Rabu iaitu hari bekerja. Ini tidak termasuk ada pembeli yang menerima surat jemputan tersebut pada beberapa hari selepas majlis taklimat itu berlangsung.

Malahan surat jemputan tersebut menggunakan kepala surat Pejabat Daerah/Tanah Kuala Selangor dan ditandatangani oleh Ketua Penolong Pegawai Tanah Kuala Selangor. Surat ini juga diposkan atas "Urusan Seri Paduka Baginda". Tetapi yang memberi taklimat adalah LPHS. Mengapa sebelum ini mereka menafikan keterlibatan mereka di dalam projek perumahan untuk rakyat ini?

Dari cakap-cakap yang kita dengar, majlis taklimat yang diadakan ini adalah atas arahan daripada pihak atasan yang boleh kita andaikan sebagai memenuhi diari kerja. Ini ditambah lagi dengan Protes yang diadakan telah tersebar luas bukan sahaja di Selangor, malahan seluruh negara dan menjadi bahan kempen parti lawan. Oleh sebab ianya juga diadakan secara tergesa-gesa, maka mereka yang memberikan taklimat pada hari tersebut ternyata tidak bersedia dan terpaksa berhadapan dengan kemarahan pembeli-pembeli Desa Kerayong Indah yang menghadapi kesusahan sejak 9 tahun yang lepas.

Apa yang sedihnya bilamana pihak yang memberi taklimat telah mendedahkan kepada pembeli yang hadir tentang banyak lagi kes rumah terbengkalai yang terdapat di Selangor ini. Mereka pula terpaksa berkejaran ke sana ke mari untuk mengaturkan majlis taklimat sedemikian bagi menunjukkan kepada pembeli bahawa bukan mereka sahaja yang menghadapi nasib sedemikian dengan harapan agar kemarahan pembeli akan menjadi reda.

Diakhir majlis, pembeli dijamu dengan makan tengahari secara percuma. Teringat Blogger akan cerita seorang ayah yang bakal diambil tanah ladang kelapa sawitnya untuk dibuat Empangan. Diceritakan bahawa mesyuarat (memujuk) telah diadakan di pusat peranginan Genting Highland yang jauhnya 100km dari rumahnya. Makanan yang disajikan sungguh enak yang belum pernah dirasai sebelum ini.
Perginya berjemput, manakala balik dihantar hingga di hadapan pintu rumah. Ianya telah berlangsung lebih dari setahun dan kini masih lagi tiada jalan penyelesaiannya. Inilah yang dikatakan bentuk layanan bertujuan mengaburi mata. Semoga pembeli-pembeli Desa Kerayong Indah tidak terpedaya dengan apa jua tipu muslihat mereka.

Tidak perlu rasanya untuk kita mengulas panjang lebar berkenaan dengan tujuan utama mereka mengadakan majlis tersebut yang tak lain hanya untuk sekadar gimik pilihanraya untuk memancing undi sepertimana yang berlaku ke atas pembeli-pembeli Alam Perdana semasa kempen pilihanraya Ijok pada 28 April 2007 yang lalu.

Tambahan pula pihak yang terlibat menganjurkan majlis taklimat itu hanya orang ketiga yang pada akhirnya tidak akan mampu untuk merealisasikannya. Mereka hanya berjanji untuk membawa permasalahan rumah terbengkalai ini kepada pihak atasan untuk diberikan perhatian sedangkan dalam masa yang sama pihak atasan sedang sibuk meraih simpati rakyat untuk kekal berkuasa.

Kalau dalam pilihanraya Ijok (2007) yang lalu, TPM telah turun ke padang untuk menjengok pembeli-pembeli rumah pangsa Alam Perdana yang harga rumah mereka jauh lebih rendah daripada harga rumah Desa Kerayong Indah.
Mereka dijanjikan akan dibantu oleh Syarikat Perumahan Negara Sdn. Bhd.. Tetapi hingga ke hari ini masih lagi tidak menampakkan tanda-tanda adanya kerja-kerja pembinaan dijalankan di tapak projek. Malangnya, janji hanya tinggal janji sahaja dengan alasan tidak cukup bilangan 70% pembeli yang menandatangani perjanjian yang baru.

Manakala Desa Kerayong Indah sebenarnya tidak mempunyai keistimewaan seperti rumah pangsa Alam Perdana ini. Bolehkah mereka mengumpulkan tidak kurang 70% pembeli untuk meneruskan pembinaan rumah tersebut, sedangkan kehadiran di majlis taklimat tidak sampaipun 10%?

Dimanakah wang sebanyak RM70 juta yang diperlukan oleh Kontraktor Baru menyiapkan projek ini, sedangkan secara puratanya banyak wang pembeli telah dileburkan sehingga ada mencecah 95%~100%. Atau ianya sekadar omong-omong kosong yang menyatakan kesediaan Kontraktor Baru untuk meneruskan projek sedangkan dalam masa yang sama ada sejumlah pembeli yang telah memfailkan kes ini ke mahkamah. Bagaimana harus mereka memasuki tapak projek tersebut?

Apakah pembeli-pembeli Desa Kerayong Indah, sekali lagi akan termakan janji-janji yang ditaburkan pada kali ini? Sedangkan perkara yang sama telah mereka lakukan sejak 9 tahun yang lalu dengan mengadakan pelbagai mesyuarat demi mesyuarat, tetapi akhirnya tidak menjadi.

Nasihat kepada pembeli yang masih mahupun rumah tersebut :-
  • Pertambahan Kos - Secara logiknya, mana-mana kontraktor baru yang mengambil alih projek terbengkalai, pasti akan ada sedikit pertambahan kos, itupun kalau keadaan rumah/tapak adalah sempurna semasa ditinggalkan oleh kontraktor lama. Inikan pula Desa Kerayong Indah yang keadaan rumah yang telah rosak teruk dan keadaan peningkatan harga barangan semasa seperti besi, simen dll. Sekiranya Kontraktor Baru mengatakan bahawa tiada pertambahan kos, bermakna ada sesuatu yang tak kena yang perlu diambil perhatian....
  • Perjanjian Baru - Mana-mana kerja yang hendak dibuat oleh satu-satu syarikat mestilah tertakluk kepada syarat-syarat dan terma-terma. Inilah yang dikatakan perjanjian. Sekiranya tiada perjanjian, bermakna Kontraktor Baru akan terlepas segala tanggungan (legal) sekiranya mereka gagal menyiapkan projek tersebut, sedangkan pada masa itu Bumi Circle telah terlepas dari tanggungan secara legal (tempoh dan hadmasa berakhir). Bak kata pepatah, terlepas mulut harimau masuk pula mulut buaya.
  • 70% Pembeli - Mampukah mereka memujuk seramai tidak kurang 70% pembeli (sekurang-kurangnya 700 orang) untuk meneruskan projek tersebut sedangkan Tempoh dan Hadmasa terawal akan berakhir pada Jun 2008 ini?
  • Kontraktor Baru - Siapakah Kontraktor Baru ini? Apakah latar belakangnya sebelum ini pernah menyiapkan dengan sempurna unit-unit rumah kediaman?

Secara keseluruhannya, majlis yang berlangsung di Kampus Induk Unisel tersebut tidak menjanjikan apa-apa penyelesaian selain daripada membawanya kepada pihak atasan untuk perhatian dan tindakan susulan. Jika benar ada kejujuran daripada mereka untuk membantu pembeli-pembeli di dalam kawasan mereka, mengapa bakal calon ADUN Dato' Amiruddin Setro dan MB sendiri tidak mahu menghadiri majlis taklimat tersebut. Projek Pembesaran Kampung berstatus anugerah milik ini sebenarnya adalah projek mereka di atas tanah rezab melayu. Atau sekurang-kurangnya, mereka meneruskan pembinaan di tapak projek terlebih dahulu, kemudian baru diaturkan majlis taklimat sedemikian. Ini tidak, gendang dipalu seluruh kampung, tapi penyanyinya entah di mana?

Jadikanlah sejarah kes Desa Wawasan Lesung Batu di Negeri Melaka sebagai sempadan untuk kita menilai apakah maksud dan tujuan mereka yang sebenarnya. Sebagai rekod... bekas ADUN yang terlibat sama di dalam projek tersebut telahpun dijatuhkan hukuman penjara 2 tahun atas kesalahan penyalahgunaan kuasa semasa memegang jawatan sebagai EXCO.

Kita bukanlah bermaksud untuk mengetepikan hasrat pembeli-pembeli yang lain untuk memiliki rumah di Desa Kerayong Indah, tetapi apa yang perlu dibimbangi adalah permainan dan tipu helah mereka untuk menidakkan HAK pembeli dan sekaligus melenyapkan hak pembeli untuk membuat tuntutan gantirugi bilamana tempoh dan had masa berakhir.

Dalam episod seterusnya...kita akan kupas berdasarkan kepada sumber-sumber yang dipercayai, bagaimana mereka akan mendapatkan dana sebanyak tidak kurang RM70 juta untuk meneruskan projek Pembesaran Kampung yang telah gagal ini.
  • Apakah mereka mampu memperolehi dana sebanyak itu dalam masa yang terdekat?
  • Apakah akan adanya suntikan dana daripada pihak-pihak yang berkepentingan demi untuk menutup keterlibatan secara salah pihak-pihak (VIP) yang terlibat di dalam projek ini?
  • Apakah bentuk balasan yang bakal dinikmati oleh Kontraktor Baru bilamana tiada satupun kontraktor lain yang sanggup menyiapkan projek yang ditinggalkan oleh Bumi Circle ini?
  • Mengapakah ada sesetengah pihak yang beriya-iya benar hendak meneruskan projek yang ternyata sudah tidak bermaya ini? Tunggu.....
Semoga apa yang akan terbongkar ini akan menjadi iktibar kepada semua pihak bahawa setiap yang HAK itu akan tetap menjadi HAK bilamana kebathilan akan terhapus dengan doa yang mustajab dari mereka yang teranaiya.

Wassalam.
Blogger