Makluman Tarikh Mahkamah & Isu Semasa

Thursday, October 25, 2007

Jadual Failkan Tuntutan Kumpulan 5




Assalamualaikum
Bermula daripada 1hb. Oktober 2007 yang lalu, pengumpulan dokumen-dokumen tuntutan bagi Kumpulan Ke-5 sedang giat dijalankan bagi memberi peluang kepada Pembeli-Pembeli yang tidak berkesempatan untuk menyertai Kumpulan 1, 2, 3 dan 4 yang telah memfailkan Tuntutan Gantirugi dan kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah ini.

Kepada Pembeli-Pembeli rumah Desa Kerayong Indah yang masih belum memfailkan tuntutan mereka dan ingin berbuat demikian, anda adalah sangat dialu-alukan untuk menyertai Kumpulan yang telahpun memfailkan tuntutan mereka di mahkamah. Oleh itu, anda diminta segera menyediakan dokumen tuntutan yang diperlukan serta menyerahkannya kepada Peguam yang telah kita lantik bagi membolehkan Tuntutan Gantirugi anda difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam secepat yang mungkin.

Seperti yang telah kita maklumkan sebelum ini, ruang dan peluang untuk turut serta memfailkan Tuntutan Gantirugi ini masih terbuka luas kepada semua Pembeli-Pembeli Desa Kerayong Indah selagi kes kita ini belum diputuskan oleh mahkamah atau selagimana tempoh dan hadmasa yang sah untuk tindakan undang-undang terhadap pihak-pihak yang telah gagal menyiapkan rumah kita itu belum berakhir.

Marilah kita bersama-sama bergerak beriringan dengan satu kekuatan dan keyakinan akan apa yang kita tuntut ini adalah HAK kita sendiri. Kita telah melihat, bahawa harapan dan peluang untuk mendapatkan kembali HAK kita itu, InsyaAllah akan dimakbulkan oleh Allah s.w.t.

Alhamdulillah, pada masa sekarang perjalanan Tuntutan Gantirugi ini berjalan dengan lancar sepertimana yang kita harapkan sebelum ini di mana ianya sedang memasuki tahap Pengurusan Kes yang mana pihak Peguam sedang di dalam proses menyenaraikan dokumen-dokumen yang relevan, saksi-saksi dan mereka-mereka yang akan disapina sebelum bermulanya perbicaraan di mahkamah nanti .
Maklumat lanjut boleh di dapati disini

Sekiranya anda ingin mendapatkan maklumat lanjut, sila hubungi kami.

Wassalam
Blogger.


Wednesday, October 10, 2007

Selamat Hari Raya Aidil Fitri 1428H




Allah hu Akbar...Allah hu Akbar...Allah hu Akbar....

InsyaAllah umat Islam di Malaysia dijangka akan merayakan 1 Syawal 1428H pada hari Sabtu ini bersamaan dengan 13 Oktober 2007. Sehubungan dengan itu pihak Blogger ingin menyusun 10 jari memohon ampun dan maaf sekiranya ada sebarang salah dan silap samada yang disedari mahupun tidak selama Blogger menyiarkan segala bentuk artikel dan pemberitahuan kepada kesemua Pembeli-Pembeli Desa Kerayong Indah sama yang telah memfailkan Tuntutan Gantirugi dan kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah ini ataupun tidak berbuat demikian.

Apa yang Blogger maklumkan di dalam laman Blog ini dan juga Blog Khas adalah tidak lain dari menjalankan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada Blogger untuk disampaikan kepada semua Pembeli-Pembeli DKI ini.

Sesungguhnya kita adalah bersaudara. Cuma yang membezakan antara kita adalah halatuju masing-masing. Olehitu, adalah menjadi harapan Blogger agar segala kekusutan dan ketidaksehaluan ini kita buang jauh-jauh dari kamar hati masing-masing untuk kita sama-sama mengucapkan syukur ke Hadrat Ilahi kerana InsyaAllah lebaran yang mendatang ini dapat kita rayakan bersama walaupun tidak berlangitkan kecerahan Puncak Bukit Kerayong.


Akhir sekali, Blogger ingin mengundang Pembeli-Pembeli Desa Kerayong Indah ke teratak Blogger yang terletak di Kampung Baru Batu 14, Puchong, Selangor Darul Ehsan bersempena dengan Aidil Fitri. InsyaAllah, Blogger akan pulang menyambut hari raya pertama dikampung isteri di Raub, Pahang pada 12 Oktober 2007 dan seterusnya di kampung halaman Blogger di Alor Gajah, Melaka pada hari raya kedua. Blogger akan pulang semula ke Puchong pada 16 Oktober 2007 sebelum mula bertugas pada 18 Oktober 2007 nanti.

Lemang dan ketupat juadah utama,
Dihidang bersama rendang dan kari,
Sepuluh jari disusun bersama,
Memohon kemaafan di Aidil Fitri.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin.

Wassalam
Blogger.


Tuesday, October 9, 2007

Pembelaan Balas Terhadap Defendan 1 & 2

Assalamualaikum,

Pihak Peguam kita telah memfailkan Pembelaan Balas terhadap Pembelaan Defendan 1 dan 2 (Kerajaan Negeri Selangor dan Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Selangor) di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan pada 5 Oktober 2007 (Jumaat) yang lalu.

Sepertimana yang telah diperuntukan di dalam perundangan, tujuan Pembelaan Balas yang telah difailkan ini adalah bagi menyangkal segala penafian di dalam Pembelaan mereka terhadap pertanggungjawaban yang sewajibnya mereka galas di atas kegagalan Kontraktor Utama Bumi Circle Sdn. Bhd. menyiapkan Projek Desa Kerayong Indah.

Sehubungan dengan itu juga, Pihak Peguam kita akan menunggu sehingga 14 hari daripada tarikh 5 Oktober 2007 ini sebelum meneruskan prosidur (procedure) yang seterusnya iaitu Pengurusan Kes.

Kemudian dari itu, Pihak mahkamah dijangka akan menetapkan Tarikh Pengurusan Kes seterusnya Peguam kita akan mengemukakan (memfailkan) dokumen-dokumen kes yang relevan.

Setelah itu, Pihak Mahkamah Tinggi Shah Alam akan menetapkan Tarikh Perbicaraan. Apabila tarikh perbicaraan telah ditetapkan,
Peguam kita akan memaklumkan dan menyenaraikan saksi-saksi serta pihak-pihak yang akan dikenakan sapina untuk hadir di mahkamah bagi memberikan keterangan terhadap kes tuntutan kita ini.

InsyaAllah kita menjangkakan proses di atas akan berjalan di dalam masa yang terdekat ini. Kesemua Pembeli yang telah membuat tuntutan yang terdiri daripada Kumpulan 1,2,3 dan 4 akan dimaklumkan berhubung dengan Tarikh Perbicaraan dengan secepat yang mungkin.

Oleh itu Pembeli-pembeli dinasihatkan agar selalu melayari blog ini atau menghubungi kami atau pihak Peguam untuk mendapatkan pemakluman terkini. Sila maklumkan juga kepada rakan-rakan pembeli lain yang tiada kemudahan internet.

Semoga Allah akan mempermudahkan lagi urusan kita.

NOTA : Maklumat Pembelaan Balas oleh Peguam kita akan di "upload" kemudian.

Wassalam.
Blogger.


Sunday, October 7, 2007

Tarikh Perbicaraan K1 Vs Bumi Circle Sdn Bhd





Pihak Blogger telah dimaklumkan oleh Peguam bahawa pihak Mahkamah Tinggi Shah Alam telah menetapkan tarikh perbicaraan Engkar Pembelaan terhadap Bumi Circle Sdn. Bhd. bagi Kumpulan 1 seramai 130 orang Pembeli Desa Kerayong Indah telah ditetapkan pada... sila klik disini

Terdahulu, Pihak Peguam telah memfailkan Pembelaan Engkar terhadap Bumi Circle pada 10 Julai 2007 yang lalu apabila mereka GAGAL Memasukkan Kehadiran dan seterusnya memfailkan Pembelaan sepertimana yang telah diperuntukkan di dalam undang-undang.

InsyaAllah, kita menjangkakan pihak Mahkamah Tinggi Shah Alam akan membuat keputusan muktamad Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah terhadap Bumi Circle Sdn. Bhd seterusnya mengesahkan tuntutan tersebut.

Semoga Allah akan mempermudahkan urusan tuntutan kita.

Wassalam
Blogger.


Thursday, October 4, 2007

Yuran Guaman Berjadual




Assalamualaikum,

Pihak Blogger ingin memaklumkan kepada semua Pembeli yang telah memfailkan Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah yang terdiri daripada Kumpulan 1,2,3 dan 4 yang belum membuat Bayaran Guaman Berjadual agar dapat menghubungi pejabat Peguam untuk tujuan semakan serta menjelaskan bayaran guaman tersebut kepada pihak Peguam sepertimana yang telah dipersetujui sebelum ini.

Seperti yang kita semua ketahui, bayaran secara berjadual ini adalah penting untuk melancarkan lagi urusan pihak Peguam menjalankan tugas-tugas guaman tersebut memandangkan kes tuntutan kita ini telah hampir ke perbicaraan yang kita jangkakan akan berlangsung dalam masa yang terdekat ini.

Para pembeli yang budiman juga boleh menghubungi kami untuk mendapatkan penjelasan lanjut serta nombor telefon Peguam bagi urusan tersebut.

Kerjasama daripada semua pembeli amatlah dialu-alukan bagi memastikan kelancaran urusan Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah ini.

Wassalam
Blogger.


Tuesday, October 2, 2007

Failkan Tuntutan Kumpulan 4

Assalamualaikum,

Pihak Blogger dimaklumkan bahawa Peguam telahpun memfailkan Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah bagi Kumpulan ke-4 di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam, Shah Alam, Selangor pada 1hb Oktober 2007 (Isnin).

Sehubungan dengan itu, Pembeli daripada Kumpulan 4 ini bolehlah menghubungi Pejabat Peguam mulai sekarang untuk mendapatkan pengesahan dan butiran tuntutan mereka.

Pada masa sekarang pihak Blogger tidak dapat meluluskan sebarang invited ke laman khas atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Harap maaf.



Semoga Allah s.w.t. mempermudahkan urusan kita.

Wassalam.
Blogger.
(2hb. Oktober 2007)