Makluman Tarikh Mahkamah & Isu Semasa

Monday, July 16, 2007

Pembelaan oleh Defendan

Assalamualaikum

Untuk pengetahuan semua Pembeli yang terlibat, pada masa ini kes Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah telah memasuki fasa Pembelaan oleh pihak Defendan-Defendan. Maklumat lanjut sila klik disini

Wassalam
Blogger
(16hb. Julai 2007)



Tuesday, July 10, 2007

Renungan dan Peringatan

Assalamualaikum

Pemberitahuan ini adalah sebagai peringatan berkenaan dengan Tempoh dan Had Masa yang perlu diketahui oleh Pembeli-Pembeli samada yang telahpun atau belum memfailkan Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah ini. Adalah perlu untuk kita memahami dengan jelas HAK-HAK yang masih lagi ada walaupun harapan untuk memiliki sebuah kediaman yang sempurna telah hilang di telan waktu.

3 tahun (36 bulan) : Penyerahan Milikan Kosong oleh Bumi Circle Sdn. Bhd.
6 tahun : Tempoh dan Had Masa (perundangan) Perjanjian tamat.

  • Penyerahan Milikan Kosong rumah adalah 3 tahun (36 bulan) selepas menandatangani Perjanjian Pembinaan dengan Bumi Circle Sdn. Bhd.
  • Tempoh untuk mengambil tindakan undang-undang bermula dari hari pertama KEGAGALAN Pemaju menyiapkan rumah sehingga tempoh maksimum 6 tahun.
  • Sebarang Tuntutan Gantirugi tidak lagi boleh dilakukan melalui mana-mana tindakan undang-undang sekiranya anda tidak memfailkan Tuntutan Gantirugi terhadap pemaju setelah melepasi Had Masa 6 tahun ini.
  • Perjanjian Pembinaan yang telah ditanda tangani dengan Bumi Circle Sdn. Bhd. akan terbatal dengan sendirinya apabila telah melepasi Tempoh dan Had Masa ini.
Sekian harap maklum.

Wassalam
Blogger.



Sunday, July 8, 2007

Update 8hb Julai 2007

Assalamualaikum
Alhamdulillah, pada ketika ini proses Tuntutan Gantirugi dan Kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah ini berjalan dengan lancar walaupun ada beberapa masalah kecil yang di hadapi oleh beberapa orang pembeli yang belum memfailkan tuntutan ini. Namun ianya telahpun diselesaikan dengan bantuan daripada peguam kita.

Kita bersyukur kerana Kumpulan Ke-3 yang telah memfailkan Tuntutan Gantirugi mereka pada 29hb. Jun 2007 telahpun memperolehi "Seal Copy" yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 6hb. Julai 2007. Jangkamasa pengeluaran "Seal Copy" bagi Kumpulan-3 iaitu selama 7 hari ini adalah lebih singkat berbanding dengan Kumpulan-1 (37 hari) dan Kumpulan-2 (15 hari). InsyaAllah, Peguam dijangka akan menyerahkan Writ Saman Kumpulan-3 kepada pihak Defendan-Defendan pada minggu ke-2 bulan Julai 2007 ini.

Bagi Proses Tuntutan Kumpulan-1, Peguam kita telahpun selesai menyiapkan dokumentasi untuk membolehkan Kumpulan-1 ini terus mendapatkan Judgement (penghakiman) terhadap salah satu Defendan.

Wassalam
Blogger.



Monday, July 2, 2007

Failkan Saman Kumpulan 4

Assalamualaikum
Bermula daripada 1hb. Julai 2007 ini, pengumpulan dokumen-dokumen tuntutan bagi Kumpulan Ke-4 sedang giat dijalankan bagi memberi peluang kepada Pembeli-Pembeli yang tidak berkesempatan untuk menyertai Kumpulan 1, 2 dan 3 yang telah memfailkan Tuntutan Gantirugi dan kembalikan Wang Pembeli Desa Kerayong Indah ini.

Kepada Pembeli-Pembeli rumah Desa Kerayong Indah yang masih belum memfailkan tuntutan mereka dan ingin berbuat demikian, anda adalah sangat dialu-alukan untuk menyertai Kumpulan yang telahpun memfailkan tuntutan mereka di mahkamah. Oleh itu, anda diminta segera menyediakan dokumen tuntutan yang diperlukan serta menyerahkannya kepada Peguam yang telah kita lantik bagi membolehkan Tuntutan Gantirugi anda difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam secepat yang mungkin.

Seperti yang telah kita maklumkan sebelum ini, ruang dan peluang untuk turut serta memfailkan Tuntutan Gantirugi ini masih terbuka luas kepada semua Pembeli-Pembeli Desa Kerayong Indah selagi kes kita ini belum diputuskan oleh mahkamah atau selagimana tempoh dan hadmasa yang sah untuk tindakan undang-undang terhadap pihak-pihak yang telah gagal menyiapkan rumah kita itu belum berakhir. Lihatlah dan fikirkanlah dengan semasak-masaknya dengan mata hati kita sendiri untuk menilai apa yang telah kita lalui selama hampir 8 tahun ini masih mampu untuk kita sekadar melihat orang lain terlebih dahulu mengharunginya sebelum kita bertindak menyusurinya di belakang.

Marilah kita bersama-sama bergerak beriringan dengan satu kekuatan dan keyakinan akan apa yang kita tuntut ini adalah HAK kita sendiri. Kita telah melihat, bahawa harapan dan peluang untuk mendapatkan kembali HAK kita itu, InsyaAllah akan dimakbulkan oleh Allah s.w.t.

Alhamdulillah, pada masa sekarang perjalanan Tuntutan Gantirugi ini berjalan dengan lancar sepertimana yang kita harapkan sebelum ini di mana ianya sedang memasuki tahap PEMBELAAN oleh pihak defendan dan di satu pihak lagi sedang di dalam proses akhir judgement.
Maklumat lanjut boleh di dapati disini

Sekiranya anda ingin mendapatkan maklumat lanjut, sila hubungi kami.

Wassalam
Blogger.